Wednesday, September 30, 2009

Ada Apa Dengan Firaq Islam?


Alhamdulillah, hari ini kelas pertama saya bermula. Subjek Firaq dalam islam. Firaq di sini bermaksud kumpulan-kumpulan ataupun golongan dalam islam. Dr. Qais yang mengajar turut mengumumkan bahawa subjek ini telah menjadi subjek wajib kepada pelajar syariah.

Yang jelas, Firaq bukanlah membincangkan mazhab-mazhab fiqh seperti syafie, hanbali, hanafi dan maliki, namun mazhab dalam akidah iaitu syiah, muktazilah, murjiah, khawarij dan lain-lain lagi.

Sehingga saat ini pengetahuan saya dalam mazhab akidah sangat lemah. Betul kata pensyarah.

"Jika kamu seorang PHD sekali pun dalam bidang syariah tanpa mempelajari subjek firaq dalam islam, pasti kamu akan tertarik dengan kata-kata ulama syiah".

Sehingga isu syiah. Yang saya tahu mereka mengkafirkan sahabat, berakidah taqiyyah, mengharuskan nikah mu'tah. Itu sahaja.

Dr. Qais juga menambah, pihak-pihak yang terseleweng akidahnya seperti syiah ini tidak akan menzahirkan pegangan mereka dalam semua itu. Yang pasti mereka akan meracuni ummat islam dengan kisah-kisah sedih keluarga rasulullah yang dizalimi.

Sebenarnya agak pelik Syiah ini, seperti kata sebahagian orientalis:-

1. Semua agama terbina atas kasih sayang, ketenangan jiwa dan sifat-sifat yang terpuji. Manakala syiah terbina atas cemuhan terhadap sahabat Nabi, pengkhianatan dan kepura-puraan ( taqiyyah ).

2. Agama-agama lain, ibadat mereka adalah ketenangan dan gerakan yang tidak menyakitkan, namun syiah, ibadat mereka memukul dan mencederakan badan.

Moga Allah memberi kekuatan dan kemampuan kepada saya untuk meneroka subjek ini.

Sekian.

Monday, September 28, 2009

Mutiara Yang Diburu



" Bila ana cakap tak perlu baca selawat selepas solat tarawih baru-baru ni, diorang cakap ana kuat wahabi pula. Kita nak raikan pensyarah yang datang" kata seorang sahabat di depan Kuliyyah Syariah tadi.

Ntah berapa banyak isu wahabi, salafi, asya'irah, kaum muda, kaum tua yang saya tulis dalam blog ini. Isu yang lebih dikuasai oleh emosi dan sikap berbanding hujjah ilmiah jika dibincangkan. Isu yang amat rugi untuk dibahaskan jika ada isu besar yang lain, namun bukanlah itu sebagai alasan untuk tidak terjun mempelajarinya.

Dulu, saya terfikir juga mengapa di Malaysia jurang antara 2 golongan ini terlalu jauh. Tersangat jauh hingga menimbulkan perpecahan.

Mungkin di Jordan keterbukaan mazhab diamalkan. Ibadat yang lebih dekat dengan sunnah. Solat subuh tanpa qunut, solat fardhu tanpa zikir yang kuat, solat tarawih tanpa selawat. Jika suasana ini di Malaysia mungkin di sebahagian tempat akan terus dilebel wahabi.

Ada masjid wahabi, ada masjid ahli sunnah. Pelbagai lagi.

Di Jordan, mereka lebih menggunakan perkataan salafi berbanding wahabi. Kritik mengkritik, sindir menyindir sentiasa ada dalam isu ini.

Kelebihan Universiti Mu'tah.

Universiti Mu'tah antara yang terbaik pengajian islam dan bahasa arab di Jordan. Apa yang menarik, sistem pengajiannya berasaskan perbandingan. Semua subjek fiqh diajar dalam bentuk perbandingan mazhab. Bukan setakat 4 mazhab, namun disertakan pendapat zohiri, syiah, dan pendapat ulama kontemporari. Kemudian dibandingkan antara pendapat dan akhir sekali dipilih pendapat yang betul-betul tepat, tanpa memperlekehkan pendapat yang lemah.

Boleh jadi hari ini pendapat tersebut tepat, boleh jadi suatu hari nanti pendapat itu adalah pendapat yang lemah.

Bukankah Fiqh itu terkesan dengan suasana, uruf dan maqasidnya. Semua itu boleh berubah.

Walaupun hampir tidak semua subjek dipelajari secara talaqi kitab dari kulit ke kulit, sistem perbandingan ini mampu melahirkan mahasiswa yang tidak hanya taqlid buta dan mampu membandingkan antara pendapat. Ini ke arah melahirkan mujtahid.

Mujtahid yang mampu menilai mazhab, bukannya yang menolak mazhab.

Bukan setakat fiqh sahaja, pengajian akidah juga turut menerima konsep perbandingan. Tidak kira salafi dan asya'irah turut dimasukkan dalam silibus.

Yang terbaru, saya melihat 2 subjek wajib baru untuk pelajar tahun satu iaitu perbandingan agama dan manahij muhaddithin.

Ini satu perkembangan yang positif. Dengan mempelajari manahij muhaddithin, pelajar akan terjun ke alam khilafiyyah antara ulama hadith. Sekurang-kurangnya dapat membantu menilai hadith yang digunakan oleh ahli fiqh.

Perbandingan agama juga sangat penting dalam usaha dakwah, selain menjadi ilmu tambahan kepada subjek akidah islam. Ketika saya di pusat matrikulasi UIA sebelum ini, mereka telah menjadikan perbandingan agama sebagai subjek fundamental bagi pelajar baru.

Sebenarnya, sangat banyak mutiara-mutiara ilmu di tanah gersang ini. Di sini saya memberikan beberapa alternatif lain kepada mahasiswa baru dan lama dalam memburu ilmu di sini:-
1. Menguasai bahasa arab dengan cepat terutamanya kemahiran mendengar.
2. Merujuk kepada pelajar senior subjek-subjek asas syariah.
3. Menyertai kelas tafaquh.
4. Kerapkan bertemu dengan pensyarah.
5. Memanfaatkan kemudahan perpustakaan.
6. Menyertai forum yang dianjurkan oleh pihak universiti dan juga munaqashah master.
7. Menyertai kelas-kelas luar subjek pengajian.

Saya juga selaku pelajar tahun 4 masih tidak memanfaatkan semua ini 100%, insyallah kita semua akan menempuh kejayaan bersama.

Sunday, September 27, 2009

Semoga Tahun ke 8 Hijrah Memberi Semangat Baru



" Apa khabar Asmahan?"
" Baik, Alhamdulillah. Lama tak nampak kamu"

Untuk semester ini saya mendaftar 20jam kredit, tentu ramai sahabat yang terkejut, namun itulah yang sebenarnya. Saya perlu bekerja keras untuk kembalikan muaddal harapan saya. 2 semester sebelum ini agak buruk, kini peluang satu semester untuk menebus kembali.

Belajar daripada pengalaman bukanlah sesuatu yang memalukan. Jika tiada pengalaman jatuh, apa erti kejayaan untuk dikongsi kepada orang lain. Yang penting bagaimana kita bangkit.

Keluar dewan umawi, terus terserempak dengan Azmudin dan Mazlan. Kesian melihat mereka menguruskan pelajar baru yang melebihi 100 orang. Teringat 2 tahun yang lalu saya menguruskan kehadiran pelajar baru bersama Ust Mahadi dan Ust Judin. Teringat juga bagaimana cuaknya saya apabila surat MSD tiba-tiba hilang, mujurlah pihak universiti mengakui kesilapan mereka. Saya juga sempat dengan sistem kemasukan tanpa kementerian pengajian tinggi. Ketika itu, pelajar boleh datang tanpa melalui MSD ataupun KPT.

Tahniah Azmudin, semoga dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Terkejut juga apabila melihat kebanjira pelajar-pelajar baru. Ada yang sudah berkeluarga, yang sudah senior. Mungkin faktor kehadiran yang begitu ramai pelajar ke Jordan dipengaruhi oleh sistem kemasukan di Universiti Al-Azhar yang mensyaratkan STAM dan kesukaran mendapatkan visa di Syria. Jordan kembali ke era 1995-1997.

Apa pun, saya menganggap dan mengharapkan perubahan ini ke arah positif.

Sempat juga saya singgah di Kuliyyah Syariah bertemu beberapa orang pensyarah. Suasana sudah berubah. Dr. Ali Zuqaili sudah bergelar dekan kuliyyah dan Dr. Hammad Azzam selaku timbalan beliau. Dr. Khalid pula naik selaku ketua jabatan fiqh dan usul.

Selepas ini, bilik dekan pula yang akan menjadi tumpuan pensyarah bersembang. Siapa tidak kenal Dr. Ali yang tidak boleh duduk diam.

Sempat juga saya bertanya soalan tadi.

" Dr, ada perkara baru di Malaysia, sekarang ada syarikat telefon yang menyediakan perkhidmatan membayar zakat fitrah dengan cara sms. Sedangkan pengguna dalam keadaan berhutang kerana membayar bil pada hujung bulan. Bukankah zakat fitrah disyaratkan kepada mereka yang dalam keadaan mempunyai wang. bla.. bla.. bla..

Betapa panjang lebarnya soalan dan penerangan masalah yang saya utarakan. Namun..

" Bisir-bisir ( boleh-boleh )"

Itu sahaja jawapannya. Namun, siapa yang rapat dengan Dr. Ali mengetahui hal ini. Beliau antara pakar rujuk di Universiti Mutah serta bekas mufti Karak dan kawasan selatan. Antara pensyarah kegemaran saya.

Ketika pulang saya terserempak dengan Dr. Faris Mar'ie.

" Kullu am wa antum bikhair" sapa Dr Faris.

" Kamu ada ambik subjek dengan saya?" tanya beliau.

" Tidak Dr, tapi saya harap saya boleh habiskan banyak masa dengan kamu, lagi pun saya sudah semester akhir"

" Apa salahnya"

Dr Faris juga antara pilihan saya walaupun saya tidak mendapat markah tinggi dengan beliau yang lebih mendatangkan soalan berorientasikan menghafal. Namun, saya gemar kerana jawapan beliau cukup meyakinkan bagi sesiapa yang bertanya ditambah pula beliau seorang yang mudah didekati.

Hari ini bermula perjuangan. Bagi yang junior ataupun senior. Amat rugi mereka yang tidak bersedia dan mengabaikan peluang di sini.

Alangkah baiknya jika kita mengingati kembali apa sebenarnya yang ada pada Mu'tah, bumi yang gersang ini?

Mu'tah ini tidak akan terkenal tanpa peristiwa perang Mu'tah, peperangan pertama antara 2 agama samawi ini. Universiti ini wujud hasil daripada mengingati perjuangan tersebut.

Ramai yang menuntut duit zakat, walaupun menumpang pada asnaf fi sabilillah. Bukan saya menafikan, namun jika anda mengambilnya atas dasar fi sabilillah, perjuangannya harus setaraf dengan fi sabilillah.

Fi sabilillah itu jihad dan perjuangan kerana agama.

Mengimbau kembali perang Mu'tah, bayangkan peperangan itu berlaku dalam keadaan:-
1. Bilangan tentera musuh 66 kali ganda dari pihak islam.
2. Peperangan pertama tentera islam di luar tanah hijjaz.
3. Waktu peperangan yang berlangsung pada musim sejuk.
4. Tekanan yang dihadapi apabila 3 panglima di bunuh.

Namun, mereka tidak mengalah dan berjaya memaksa musuh berundur.

Kita hadir selaku mujahid, mengutip senjata-senjata dalam menghadapi ghazwatu fikr. Sekeliling kita penuh dengan cabaran dan ancaman.

Jiran kita, Palestin dalam perjuangan membebaskan diri daripada Zionis. Jika Arab di sini masih hanyut dan kembali kepada jahilyyah, mengapa harus terkesan dengan kita?

Jika kita menerima ancaman itulah adalah lumrah perjuangan. Jika syahid, itu adalah matlamat perjuangan.

Kuatkan semangat dan terus berjuang.

Selamat datang kepada pelajar baru.

Saturday, September 26, 2009

Salam Aidilfitri....



Alhamdulillah, ramadhan dan aidilfitri kali ini mungkin yang paling menggembirakan saya. Sudah 4 kali saya berpuasa dan beraya di Jordan. Suasana di Malaysia jauh berbeza. Walaupun ramai yang mengkritik suasananya yang semakin jauh daripada hakikat sebenar Ramadhan dan Aidilfitri.

Mungkin ramadhan masih lagi bertepatan dengan objektifnya iaitu melahirkan insan yang bertaqwa. Antaranya:-
1. Masjid dihidupkan.
2. Majlis berbuka puasa yang rancak.
3. Solat tarawih yang disertai oleh ramai ummat islam.
4. Qiamullail.

Cuma ada beberapa perkara yang perlu dinilai:-
1. Solat tarawih yang terlalu laju.
2. Suasana berbuka puasa yang masih dalam pembaziran.

Hari raya pula, bagi sesetengah orang sudah jauh dari matlamatnya.
1. Hiburan yang berlebih-lebihan.
2. Duit raya yang kadang-kadang membebankan.
3. Percampuran antara mahram yang tidak dikawal.

Namun, yang paling bermakna raya adalah inilah masanya untuk mengeratkan silaturrahim samada sesama keluarga ataupun kenalan lain.

Raya kali ini saya sempat beraya bersama hampir 90% keluarga.

Raya kali ini juga cukup bermakna kerana dapat bertemu kembali sahabat-sahabat yang sudah 5 hingga 7 tahun terpisah.

Rakan-rakan sekolah rendah.. Terima kasih Azmi.

Rakan-rakan SMK(A)DG.. Terima kasih Duan KK, Redho, Iju, DK, Mizi, Mat Taqi, Marwan, Seraf..

Terima kasih kerana datang ke rumah saya.

Kita jauh berbeza haluan dan cita-cita, namun dari dulu hingga kini SMK(A)DG adalah pencetus semangat saya. Berjumpa dengan kalian benar-benar memberi semangat baru.

Rakan-rakan SMAASZA pula, walaupun tidak dapat bertemu dengan semua, namun hubungan kita tetap akrab. Mungkin haluan kita hampir sama dan kita dekat.. Terima kasih Mamat, Koji, Zhan, Mizi, Pojan, Teman, Zubir, Pok Din, Bajuk dan lain-lain..

Selamat Hari Raya.. Maaf Zahir Batin.

Tiba di Jordan,
" Macam mana ramadhan dan aidilfitri kamu" tanya saya kepada salah seorang arab.
" Saya tidak berpuasa dan biasa je"

Aduhai..

Selamat Hari Raya Aidilfitri.. Maaf Zahir Batin..

Tuesday, September 8, 2009

Antara 2 Suara Siswa


Semalam, selepas solat tarawih, saya sempat menonton rancangan suara siswa di RTM tv1. Saya tidak sempat mengikuti dari awal rancangan tersebut dan tidak juga menonton sehingga habis.

Namun, menonton selama sekitar 20 minit dan melihat penampilan wakil-wakil mahasiswa di pentas menarik perhatian saya untuk mengupasnya.

Isu yang dibincangkan adalah masa depan pendidikan negara. Forum tersebut dihadiri oleh naib canselor, professor, pensyarah, guru-guru, mahasiswa dan pegawai-pegawai pendidikan. Tahniah buat penal mahasiswa kerana mampu bercakap dengan idea yang bernas dan terbuka dihadapan mereka.

Saya tidak ingat nama-nama mereka, namun jawatan mereka antaranya bendahari MPP UIA dan speaker MPP UIA. Kesimpulannya, mereka adalah kepimpinan pelajar.

Isu-isu yang dibincangkan adalah PPSMI, guru fotokopi, masa depan pelajar sekolah.

Saya tidak berminat untuk mengupas isu dan pandangan mereka, cuma terdetik di hati ini membandingkan mahasiswa tanah air dan mahasiswa timur tengah. Saya hanya fokus kepada Jordan.

Tentulah tidak logik perbandingan jika merujuk kepada bilangan dan aliran pengajian yang lebih terhad di Jordan. Namun, perbandingan di sini adalah kepekaan dan kebolehan menilai isu semasa tanah air.

Kini, hampir 90% mahasiswa Malaysia Jordan mempunyai akses internet di rumah dan mereka juga mempunyai persatuan-persatuan untuk mengadakan perbincangan ini.

Namun, mengapa tiada perbincangan tersebut? kalau adapun mengapa tidak berkesan?

Dulu, dalam program MAFEST di Mu'tah, antara pengisiannya adalah sembang-sembang Malaysiakini yang membincangkan isu politik dan mahasiswa. Suasana agak tegang kerana ada beberapa individu membicangkan secara emosi.

Perkara ini ditegur oleh pengarah MSD. Beliau juga menyeru mahasiswa membincangkan isu akademik. Yang menariknya, ucapan beliau ditempelak oleh presiden ketika itu. Hujjah beliau, isu tersebut sudah lama dibincangkan dan mahasiswa harus berani membincangkan isu semasa tanah air kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara.

Saya akui mahasiswa di luar negara. Mereka hanya ada 2 pilihan. Bebas untuk melontarkan idea politik tanah air dan jika mereka cenderung kepada pembangkang, mereka akan menghadapi masalah dengan Jabatan Penuntut Malaysia ( MSD ) dan juga kedutaan.

Pilihan kedua, jika mereka memilih jalan untuk tidak bercakap tentang politik tanah air ataupun cenderung kepada kerajaan, mereka akan mendapat sokongan kedua-dua jabatan kerajaan tadi. Ataupun menyertai Kelab UMNO.

Itulah realiti yang melembabkan pemikiran mahasiswa Jordan tentang isu semasa. Bukan mereka tiada ruang untuk mendapat berita dan maklumat. Namun, mereka tidak berpeluang untuk membincang dan menilainya.

Penilaian memerlukan satu perjumpaan yang menghasilkan perbandingan pendapat.

Sebenarnya, ada beberapa faktor lain juga. Antaranya keadaan politik yang di Jordan yang memerlukan mahasiswa berhati-hati. Politik yang tidak menjurus kepada kebebasan.

Persatuan pelajar Universiti juga tidak ubah seperti persatuan sekolah rendah. Pernah sekali, kami mengadakan perjumpaan dengan ketua pelajar Universiti Mu'tah untuk mencadangkan satu program tabadul thaqafi.

" Kamu hendak bertukar fikiran tentang apa?" tanya beliau yang kebingungan sambil menghisap rokok.

Tugas beliau hanyalah menyerahkan buku panduan pelajar dan mug kepada pelajar baru.

Faktor yang seterusnya, saya tidak nafikan jadual belajar di Universiti di Jordan yang padat. Umum mengetahui bebanan pelajar JUST hinggakan sukar untuk mereka aktif dalam persatuan.

Pelajar syariah, bahasa dan ekonomi pula mereka terpaksa bersaing dengan pelajar tempatan dan mereka juga perlu menguasai bahasa dengan cepat. Selain berhadapan dengan rujukan kitab turath yang tinggi bahasanya.

Di tambah pula dengan semester pengajian, peperiksaan, cuaca dan persekitaran lain.

Ada juga mahasiswa yang memilih untuk mengembara di negara-negara sekitarnya, melihat sejarah dan tamadun. Apatah lagi hanya ini satu-satunya peluang sebelum pulang ke tanah air.

Antara 2 suara mahasiswa. Masing-masing ada suasana dan cara yang berbeza. Yang penting masing-masing melengkapkan diri untuk ummah.

Yang menjadi masalahnya, mahasiswa yang mejoriti masanya bermain PS, chatting YM, tidur, bergayut, menonton movie..

Berubahla...

Saturday, September 5, 2009

Budaya Membaca Dan Majalah Islam



Alhamdulillah, hampir 2 minggu saya di tanah air. Dengan kepulangan yang dikatakan tidak berbaloi kerana berbaki hanya satu semester, saya berusaha untuk memanfaatkan masa sebaik mungkin.

Mengetahui isu semasa dengan lebih mendalam dan mencari ruang masa depan yang akan datang.

Tidak dinafikan kemudahan internet menjadikan mahasiswa di Jordan tidak ketinggalan dalam mengikuti isu politik dan semasa di Malaysia. Namun, itu semua masih belum mencukupi. Kebanyakkan bahan dalam internet lebih sekadar berita.

Sebagai contoh laman harakahdaily dan siasahdaily hanya menyiarkan berita. Jika membeli akhbar, masih banyak rencana dan analisis politik yang menarik.

Alhamdulillah, Malaysia semakin mempunyai banyak akhbar yang tidak condong kepada satu parti politik sahaja. Sebagai contoh akhbar sinar harian. Jika dilihat akhbar tempatan ini sangat bagus analisanya tentang politik tanah air.

Sebenarnya, kewujudan banyak sumber dan media alternatif menyumbang kepada kemenangan pakatan rakyat pada PRU 12 dan PR kecil selepas itu. Jika Pakatan Rakyat diberi ruang memiliki lesen televesyen sudah pasti gelombang mereka tidak akan dihalang oleh pihak kerajaan.

Tidak dinafikan pihak kerajaan yang begitu terdesak. Polis, SPRM, media perdana terus disalah gunakan. Yang terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) menunjukkan sikap tidak profesionalnya apabila menolak keputusan speaker DUN Kedah. Prof Abdul Aziz Bari, pensyarah UIAM terus menempelak, sejak bila SPR mempunyai kuasa mentafsir perlembagaan ataupun Undang-undang tubuh negeri.

Kali ini SPR, esok lusa seluruh agensi kerajaan akan mentafsir undang-undang. Bayangkan jika pihak polis mentafsirkan ISA, OSA dan akta hasutan? Bayangkan jika SPRM mentafsirkan akta rasuah?

Jika diperhatikan sejarah moden manusia, mana-mana regim pemerintah yang akan jatuh, kebiasaannya mereka akan menggunakan apa sahaja untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Polis, tentera, dan seluruh jentera kerajaan. Lihatlah Shah Iran dan Suharto di Indonesia.

Lupakan sementara politik.

Saya tertarik dengan kempen membaca dalam televisyen baru-baru ini. Jika dilihat kewujudan bahan bacaan bercetak seperti majalah, surat khabar, buku ilmiah dan buku isu semasa terlampau banyak.

Namun, kesedaran membaca rakyat masih ditahap rendah. Jika tahap membaca sedemikian, sudah tentu akan memberi kesan kepada tahap menilai sesuatu isu.

Akhirnya hanya bergantung kepada media elektronik.

Antara majalah I dan Al-Islam.
Saya juga tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan majalah agama di tanah air. Sehingga kini, 2 majalah agama yang berpengaruh adalah majalah Al-Islam dan I, masih lagi kosisten pengeluarannya.

Majalah Al-Islam tidak lagi seperti dulu. Jika editornya dahulu Astora Jabat melariskan jualan majalah tersebut dengan pandangan-pandangan agama yang sangat kontroversi, kini editor baru majalah ini ada pendekatan yang berbeza.

Bahkan ramai penulis seperti Dr.Asri, Prof Mahmud Zuhdi melontarkan idea dalam majalah ini.

Berbeza dengan majalah I. Kemunculan majalah ini banyak menjawab kekeliruan
isu majalah Al-Islam.

Namun, majalah yang pro-salafi ini nampaknya semakin ketandusan isu. Apatah lagi masih berlegar dengan isu-isu khilafiah. Yang terbaru bulan Ogos, ramai penulis yang dahulunya tulisannya begitu hebat seperti Prof Abdul Aziz Bari, Dr. Daniel, Dr. Asri, Ustaz Maszlee Malik sudah tidak wujud.

Walaubagaimanapun, penulis-penulis jemputan lain masih lagi hebat seperti Ust Zaharuddin. Mungkin pandangan saya adalah silap kerana hanya menilai 2 buah majalah yang terbit dalam bulan Ogos dan September.

Apa pun, kita masih kekurangan majalah agama yang berbentuk moden seperti ini. Semoga perjuangan kedua-dua majalah ini berterusan agar masyarakat kita dapat memahami isu-isu dari sudut perspektif islam.

Semaikan kempen membaca...

Wednesday, September 2, 2009

Apabila Terhasil Kekuatan Masyarakat dan Guru Yang Ikhlas



" Ni yuran adik kamu, bulan puasa mungkin lebih murah. Baki nanti, sedekah kat sekolah ye"

Hari ini, mak meminta saya membayar yuran bulanan adik bongsu di Madrasah Darul Iman, sebuah sekolah agama swasta di Kampung Titian Baru, sekitar 10 km dari rumah saya.

Sejak 2,3 tahun yang lalu abah tidak lagi menghantar anak-anaknya bersekolah di sekolah kebangsaan. Sekolah swasta islam menjadi pilihan, paling kurang pun sekolah agama kerajaan negeri.

" Adik beradik kamu yang cerdik, hantar sekolah pondok?" sinis saudara-mara.
" Ada masa depan ke?"

Saya akui dalam keluarga saya yang besar hanya abah dan mak sahaja yang berani menghantar anak-anaknya ke sekolah agama. Bagi saudara mara yang lain mereka lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan tanpa mengira bagaimanakah bentuk pendidikan yang diterima.

Sehinggakan saya...

" Kamu nak jadi mufti ke? berapa orang mufti negeri Terngganu nanti" saya menghidu bau sindiran.

Tapi saya mendiamkan diri. Mereka yang mengagungkan kekuasaan material harus dibuktikan dengan material juga. Mungkin bukan hari ini.

Setakat ini saya tidak pernah menjumpai pelajar agama yang menganggur lebih daripada satu tahun.

JQAF.
Setiap sekolah mempunyai pendidikan agama dan bahasa arab.
Setiap negeri akan mempunyai jabatan agama, yayasan islam, pusat zakat dan jabatan mufti.
Tentera menyediakan KAGAT.
Polis juga mempunyai bahagian agama.
Imigresen dan Kastam memerlukan pelajar agama.
JAKIM.
Setiap bank syariah diwajibkan mempunyai jabatan syariah.
Mahkamah dan guaman syariah.
Kementerian pendidikan.
YADIN.
JAPIM.

Itu dibawah kerajaan. Saya bukan ingin menimbulkan rasa bangga pelajar agama, namun berharap agar masyarakat tidak menilai kami sebagai golongan yang tiada masa depan.

Bahkan Allah telah mengarahkan agar diwujudkan sekumpulan manusia yang 'tafaqquh fi din'. iaitu mendalami agama.

Tangguhttp://www.blogger.com/img/blank.gifngjawab membina masyarakat, ekonomi, ibadat, tarbiyyah dan kerajaan adalah perjuangan tersirat kami.

Alhamdulillah dengan sumbangan 'orang agama':

Pendidikan sudah diberi ruang kepada JQAF.
Askar, tentera, imigresen mengalu-alukan tarbiyah islam.
Alternatif bank islam sudah wujud.
NGO-NGO islam.
Undang-undang islam masih lagi dipertahankan.

Masyarakat dan Pendidikan.
Sebenarnya, saya ingin menceritakan tentang perkembangan positif institusi pendidikan di negara kita.

Dahulu, kerajaan pernah mencabar PAS supaya menyediakan pendidikan yang terbaik kepada masyarakat. Hasilnya, muncul PASTI. Permulaannya tidaklah begitu menyerlah, kerana masing-masing masih meragui keupayaan dan ada juga yang menganggap tempat PAS menabur benih perjuangan mereka. Itu cerita dulu.

Kini, zaman berubah. Berkat kesabaran, perjuangan dan pembaharuan yang sentiasa berterusan menjadikan PASTI pilihan utama masyarakat termasuk orang UMNO dan bukan islam.

Ketika Tadika ataupun pra-sekolah mengajar kanak-kanak menyanyi, bermain permainan, menonton video, PASTI lebih kehadapan menyediakan pendidikan yang jauh lebih baik.

Pendidikan agama dan moral, jangan dibanding dengan institusi lain.
Bahasa Inggeris, melayu dan arab.

Ketika sistem pendidikan kerajaan baru 'berani' memperkenalkan pelajaran bahasa arab di sekolah menengah, PASTI sudah pun kehadapan untuk kanak-kanak seusia 4 hingga 6 tahun.

Kini, PASTI terus berkembang. Kalau dahulu terpaksa menumpang markaz PAS dan rumah orang, kini ada PASTI yang sudah memiliki premis yang bertingkat-tingkat.

Kalau dahulu, pelajar terpaksa membawa buku sendiri, kini PASTI sudah mempunyai buku teks yang silibusnya diselaraskan di seluruh negara.

Apa yang menarik, PASTI adalah gabungan kejayaan:-
1. Tenaga Guru yang ikhlas. Tanyalah guru PASTI adakah gaji mereka melebihi RM 1000?
2. Sumbangan masyarakat yang tidak pernah putus.

" Ni sumbangan pak cik untuk PASTI"
" Terima kasih.. Anak pak cik nama apa?" tanya seorang ustazah.
" Anak pak cik belajar kat sini 5 tahun lepas"

Kini, sekolah-sekolah agama swasta lahir bagaikan cendawan selepas hujan. Kewujudan mereka menghasilkan persaingan yang sihat terutama kepada sekolah kerajaan sendiri. Sekolah agama swasta bukan seperti dalam cerita laskar pelangi yang hanya untuk pelajar miskin.

Ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan berjawatan besar memilih sekolah agama swasta walaupun bayarannya lebih mahal berganda-ganda. Bahkan mereka sering membayar lebih daripada yuran.

Jika PAS berjaya membentuk dan menyeragamkan sekolah agama swasta.
Kemudian sekolah menengah.
Kemudian kolej.
Kemudian berjaya melahirkan universiti.

Saya yakin akan parti pemerintah kini akan menggulung tikar.

Mereka lebih kehadapan dan moden.

Ops.. Menulis tentang PAS lagi. Harap MSD tidak black list nama saya.

Ke arah pemikiran mahasiswa luar negara yang tidak dikongkong...

Tuesday, September 1, 2009

Puasa Dan Teori Asal-Usul Agama



Belum terlambat lagi rasanya untuk menulis berkenaan dengan puasa dan ramadhan. Ibadat dan bulan yang mengubah suasana ummat islam. Selain kelebihan ibadat yang digandakan, ummat islam dituntut melihat kepada sejarah di bulan ini. Perang Badar, Perang Ain Jalut, pembukaan Al-Aqsa dan pelbagai lagi sejarah yang seharusnya membangkitkan semangat ummat islam.

Bulan ini sinonim dengan perjuangan kerana bulan selepas ini, Syawal adalah simbol kepada kemenangan.

Semua Agama Dari Sumber Yang Sama?
Bercakap tentang puasa. Boleh dikatakan semua agama mempunyai ibadat seperti ini cuma cara dan waktunya berbeza.

Seperti agama islam yang menyatakan antara tujuan berpuasa untuk bertaqwa iaitu membina kekuatan dalaman, begitu juga agama lain yang menganggap bahawa puasa untuk membina kerohanian pada penganutnya.

Ini bukan pandangan pluralism yang menyamakan semua agama. Cuma saya tertarik dengan beberapa teori daripada pemikir-pemikir termasuk pemikir islam sendiri bahawa semua agama berasal daripada sumber langit.

Berikut adalah alasan untuk mengukuh hujjah mereka.

1. Harun Yahya dalam buku The Parished Nation ( Kaum-kaum yang pupus ) menyebut bahawa kisah banjir besar pada zaman Nabi Nuh disebut dalam semua kitab suci agama termasuk Buddha dan Hindu, cuma versi yang berbeza. Apa yang pasti tidak mungkin cerita itu direka melainkan mesti datang daripada sumber wahyu.

2. Beberapa pengkaji islam telah membuktikan dalam kitab suci agama Hindu, Buddha dan agama langit, Yahudi dan Kristian ada menceritakan berita kedatangan Nabi yang terakhir, Muhammad S.A.W. Walaupun tidak dinyatakan nama, namun disebutkan sifat-sifat yang ada pada baginda. Mustahil berita tersebut direka oleh manusia.

3. Ayat Al-Quran sendiri telah menyebut :
Dan ( Kami telah mengutuskan ) beberapa orang Rasul yang telah kami ceritakan kepada kamu dahulu sebelum ini, dan rasul-rasul yang tidak kami ceritakan hal mereka kepada kamu...
( An-Nisa' : 164 )

Berdasarkan ayat ini kemungkinan pengasas agama lain adalah Rasul utusan Allah yang tidak diceritakan apatah lagi kebanyakkan agama lain di dunia ini lebih awal daripada Islam.

Namun, bukanlah kewajipan untuk mempercayainya. Kita hanya dituntut beriman dengan nama Rasul dan nabi yang disebut secara jelas dalam Al-Quran.

Jika benar pun teori tersebut, ummat Islam meyakini bahawa semua agama melainkan islam telah pun diselewengkan daripada sumber asal mereka.

Mereka berpuasa, kita pun berpuasa.

Namun ganjarannya di akhirat adalah berbeza.