Saturday, August 29, 2009

Cerita Masjid Rusila



2 hari lepas saya menghadiri kuliyyah Tuan Guru Abdul Hadi Awang di masjid Rusila. Terkenang nostalgia suatu ketika dulu sering ke sana bersama arwah nenek.

Cerita mengenai masjid Rusila.

Baru-baru ini masjid ini pernah mendapat anugerah 3 masjid terbaik di Malaysia oleh sekumpulan penyelidik luar negara. Yang menarik, penilaiannya bukanlah berasaskan seni bina semata-mata, namun apa yang dikatakan peranan masjid dalam masyarakat.

Saya sendiri tidak mengetahui sejarah masjid ini, namun saya bersetuju dengan keputusan kumpulan tersebut. Iaitu peranannya.

Masjid Rusila yang terdiri daripada 4 tingkat ini merupakan mercu tanda PAS sendiri. Rumah Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang merupakan presiden PAS bersebelahan dengan masjid tersebut. Setiap hari jumaat selepas kuliyyah, beliau akan dikunjungi oleh masyarakat dan kadang-kadang tetamu daripada luar.

Kuliah Tafsir, Riyadus Solihin dan Akidah oleh beliau sendiri benar-benar menarik. Dengan gaya bahasa beliau berceramah yang cukup menarik, kehadiran pendengar dari pelusuk negeri memenuhi dalam dan perkarangan masjid cukup ramai. Jika sebelum ini, keadaan sangat sesak hinggakan lalu lintas menjadi perlahan. Namun kini, jalan sudah diperbesarkan.

Masjid ini juga menempatkan sebuah sekolah swasta di bahagian atasnya. kalau tidak silap saya sekolah tersebut adalah Ma'had Darul Quran. Alhamdulillah hingga kini, pihak pentadbiran berjaya membina 2 buah bangunan 4 tingkat sebagai kemudahan asrama.

Perkarangan masjid juga dijadikan sebagai pusat kegiatan ekonomi terutamanya pada hari jumaat. Kini, keadaan pasar kawasan sekitar lebih tersusun dan bersih.

Saya merasakan inilah pusat kegiatan masyarakat yang terbaik yang pernah saya temui. Bermula dengan masjid selaku pusat dakwah dan ilmu seterusnya kepada pusat ekonomi dan kemasyarakatan.

Tuan Guru juga merupakan wakil rakyat bagi parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Jika wakil rakyat PAS yang lain dapat membina pusat sedemikian di kawasan masing-masing saya merasakan sudah pasti PAS akan lebih bertapak dengan lebih kukuh dalam masyarakat.

Dan ini akan menjadi faktor kemenangan parti itu di masa akan datang.

Ops.. Saya bercakap tentang PAS..

Wednesday, August 26, 2009

Formula Matematik Untuk Hukum?



Alhamdulillah, sudah masuk hari ke 3 saya di tanah air.

Menyingkap perjalanan dari Amman ke Manama dan akhirnya ke Kuala Lumpur sungguh menyeronokkan. Bukan selalu dapat menaiki kapal terbang.

Bermula dengan terserempak dengan Kak Faezza ( mantan tmbln pres 2 MPPM ) dan rakan-rakan JUST di Queen Alia International Airport. Kami terus menanggalkan topeng. Manakan tidak, jika pelajar perubatan pun tidak memakainya, tentulah segan pelajar lain yang bukan daripada aliran perubatan.

Tiba di KLIA, walaupun heboh dengan H1N1, saya menjangkakan hanya 10% sahaja mereka yang memakai topeng. Itu di KLIA yang menjadi pusat pelbagai jenis manusia.

Sempat juga saya bersalaman dengan Datuk Seri Muhammad Nizar, ayah kepada sahabat saya Syaheed yang menjemput beliau di sana.

Terima kasih kepada Syahirah, Kak Wani dan Abang Hasnan kerana menjemput saya di KLIA. Sekurang-kurangnya terubat sayu di hati memandang rakan-rakan lain dijemput oleh keluarga tersayang.

Menunggu penerbangan ke Kuala Terengganu, saya menghabiskan masa bersama mereka. Kak Wani dan Abang Hasnan tidak putus-putus menhujani saya dengan soalan-soalan hukum hakam muamalat berkenaan dengan ASB,ASN, bank islam, tabung haji...

Alhamdulillah, jika golongan pertengahan mempunyai kesedaran seperti ini, insyallah proses islamisasi akan berkembang dengan cepat di tanah air kita.

Menjawab soalan agama sebenarnya bukanlah begitu sukar apatah lagi kepada orang yang bertaraf awam. Jawapan tidak semestinya didatangkan dalam bentuk hukum seperti wajib, haram dan lain-lain.

Kita boleh mendatangkan jawapan dalam bentuk konsep, kiasan, dakwah agar tidak membebankan kita dan orang yang bertanya. Namun, semua itu bukanlah boleh didatangkan jika anda baru pertama kali menjawab soalan. Semua itu memerlukan pengalaman samada dalam belajar ataupun mempraktikkan ilmu agama.

Menjawab soalan agama samalah seperti anda menjawab soalan matematik. Anda perlu memahami permasalahan dan anda perlu menggunakan teori yang betul.

Sebagaimana soalan matematik menjadi mudah kerana banyak melakukan latihan begitu juga dengan soalan agama.

Kepada pelajar agama, jangan merasa rendah diri ataupun takut untuk menerima soalan. Bukan bermakna anda perlu menjawab semua walaupun anda tidak tahu, namun yang penting anda perlu berusaha mencari jawapannya.

Samada dengan cara ijtihad ataupun taqlid.

Banyakkan membaca fatwa, artikel, pendapat ulama dan yang paling utama bertanya kepada pensyarah ataupun mereka yang lebih alim.

Jika tidak melatih diri daripada menjawab soalan agama di peringkat pembelajaran, anda akan menghadapi masalah apabila pulang ke tanah air nanti. Seperti mana anda kekurangan latihan dalam menjawab soalan matematik, begitulah juga dengan soalan agama.

Indahnya Tanah Airku..

Thursday, August 20, 2009

Mereka Dengan Kenangan



Jam menunjukkan pukul 2:39 pagi waktu Jordan. Beberapa jam lagi saya akan berlepas ke Malaysia, namun ada sesuatu kesedihan lantaran kehilangan mereka yang pernah bersama.

Mereka yang bergelar kakak-kakak senior.
Mereka yang bersama dalam perjuangan lalu.

Hari ini Mu'tah kehilangan beberapa orang yang saya gelar mereka sebagai revolusiner. Iaitu mereka yang mencetus perubahan dan menyokong perubahan.

Kuailiti dalam pentadbiran persatuan.
Keberanian bersuara akhawat.
Semangat ilmu.

Merekalah yang mencoraknya. Tadi saya hadir agak lambat majlis mereka.

" Ifwat, kak wa nak ifwat tulis panjang-panjang dalam buku kak wa" pinta kak Wa
" Ifwat kena tulis 3 muka surat" kakak ( Kak Afrah )pula bersuara.

Mereka ada jasa tersendiri di sini. Ketika era PERMATA sesi lepas, secara terus terang saya nyatakan kebanyakkan ALT akhawat agak perlahan. Dari sudut bersuara dan gerak kerja.

Namun, kakaklah yang menyelamatkannya. Suasana bertukar dan sebagai status senior kami sangat menghormati beliau. Setiap kali mesyuarat ALT pasti ada laporan kewangan yang lengkap dibentangkan.

Laporan kewangan KARISMA berjaya kami hantar dalam tempoh seminggu dengan detail disebabkan kecekapan beliau.

Saya juga masih ingat malam sebelum AGM sesi lepas, kakak antara yang bersama kami membincangkan perubahan perlembagaan hingga pukul 3 pagi. Hasilnya kami berjaya mengubahnya.

Kak Wa pula nampak sikap kematangan beliau. Samada berkomunikasi dan gerak kerja persatuan. Semua memanggil dengan gelaran kak Wa tanda 'senior'nya beliau.

Dalam KARISMA, saya masih ingat jasa beliau berusaha menyelesaikan masalah venue hingga jam 12 malam.

Antara kak Wa dan Kakak, mereka sentiasa mengikuti kelas saya dan sentiasa menyokong usaha ilmiah di sini.

Tahniah.

Akak ( K.Zalina) dan Kak Yong pula mungkin tidak begitu rapat dengan saya, namun saya sentiasa memerhatikan apa sahaja program persatuan, mereka sentiasa menyumbang walaupun sebagai AJK kecil. Komitmen yang sukar dicari ganti.

Kak Asmida pula, terima kasih kerana ulang-alik dari Amman ke Mu'tah semata-mata baju KARISMA.

Yang terakhir, sahabat saya Sumaiyah, mungkin saya tidak rapat dengan beliau, namun saya pernah bekerja ketika sesi Mohammad Mohsen. Saya akui anda juga seorang yang hebat dan berpengaruh.

Kejayaan anda akan menyemarakkan lagi semangat pelajar Adab yang lain.

Hari ini mereka mencipta sejarah. Sejarah diri mereka, sejarah keluarga mereka bahkan sejarah dunia menyaksikan mereka berjaya keluar daripada medan Mu'tah dengan satu kenangan.

Namun, itu hanya kenangan bukannya kejayaan. Kejayaan tidak akan diiktiraf selagi hayat masih berjalan.

Berusahalah di Tanah Air nanti..

Kenangan mereka insipirasi kepada kita semua..

Menanti Hembusan Bayu Timur



Esok saya pulang ke tanah air. Ramai yang terkejut dengan keputusan saya disebabkan hanya berbaki satu semester sahaja. Ada yang bergurau saya akan menamatkan zaman bujang, rasanya jauh sekali tanggapan itu dengan realiti saya sekarang.

Masih jauh untuk sampai ke tahap itu, walaupun hati ini mengimpikan agar ruang sentiasa dipermudahkan.

" Ifwat, kalau rasa kena balik, balik je" pesan Ustaz Jimie.

Saya merasakan kata-kata itu memberi kesan kepada saya dan hanya beliau faham keadaan saya. Yang lain semuanya melihat sebagai ketidakwajaran dan membazir wang. Untuk mengabur pandangan semua hatta keluarga, saya menyatakan kepulangan untuk berhari raya bersama keluarga.

Sebenar saya merindui angin bayu timur..
Tempat saya dibesarkan..
Tempat saya mencari ilham dan ketenangan..

Saya merindui suasana nelayan waktu pagi di pantai Batu Burok walaupun sekarang sudah hampir dengan musim tengkujuh. Sebenarnya saya sudah tidak tinggal di rumah arwah nenek di batu burok.

Saya menghadapi sedikit kelainan perasaan sejak kebelakangan ini. Keputusan peperiksaan dan hubungan saya dengan mahasiswa di sini.

Kadang-kadang saya terkejut dan tidak menyangka sedemikian.

Ada juga nasihat berikut kepada saya:
1. Jauhkanlah diri daripada suasana pelajar Malaysia buat seketika.
2. Jangan bersikap menonjol diri.

Di Mu'tah, pelbagai ragam manusia. Bumi ini berkat dengan darah dan jasad syuhada', namun jangan lupa jaraknya hanya sekitar 30 km daripada Israel. Silap hari bulan perangai yahudi yang ada pada kita. Nauzubillah..

Sudah berapa ramai rakan kita yang menjadi mangsa fitnah? sudah berapa ramai rakan kita sudah menjadi daging ratahan kita?

Adakah sebab kita pelajar syariah, maka kita kebal dengan semua itu?

Dulu saya pernah menulis satu artikel 'akses yang terpantas di dunia' yang pernah dipaparkan dalam risalah Aura PERMATA.

Saya menyindir dan mengingatkan bahawa mulut suatu perkara yang sangat dasyat. Anda mungkin seronok, namun sedarlah setiap kalam kita ada yang mencatatnya.

Cukuplah untuk mengupasnya...

Sangat sukar untuk menjadi seorang bersabar, lagi sukar untuk menjadi seorang yang bersyukur. Semoga kita dikalangan 2 golongan itu.

Bayu timur....

Saya perlukan hembusannya untuk bangkit kembali.
Mungkin ada sesuatu yang boleh saya dapat daripadanya.

Selamat menyambut ramadhan dan doakan kepulangan saya....

Sunday, August 16, 2009

Kunjungan Ukhuwwah



2 hari lepas saya dikunjungi oleh 2 rakan dari Konya, Tukri. Ahmed dan Mustofa. 2 tahun lepas ketika kunjungan saya ke Turki, saya sempat ke Konya selama 2 hari. Ketika itu saya berkenalan dengan Ahmed yang merupakan seorang guru di sekolah rendah.

Kunjungan itu cukup bermakna kerana saya berpeluang masuk ke sekolah kerajaan yang masih menguatkuasakan larangan bertudung,juga berkesempatan berjumpa dengan guru besar dan para guru yang lain.

Apa yang menarik perhatian saya, betapa kuatnya Atarturk cuba memasakkan pemikiran sekular kepada rakyatnya untuk jangka masa yang panjang. Setiap buku teks akan ada wajah dan visinya untuk dihafal oleh pelajar sejak alam persekolahan lagi.

Itu cerita 2 tahun lepas sehinggalah semalam, Ahmed dan Mustofa membalas kunjungan tersebut. Dengan hanya mengikut panduan sms saya, akhirnya beliau yang mampu bertutur dalam bahasa arab tiba di Mu'tah.

" Mana beg kamu"
" Er.. Ni je yang saya bawa"

Beliau hanya datang sehelai sepinggang. Tiba di Mu'tah pada pukul 4 petang jumaat dan ingin pulang awal pagi esok.

" Kenapa macam tu, tak nak jalan-jalan di Jordan?" Tanya Tarmizi
" Oh.. Saya datang kerana Muhammad ( Saya ). Lama saya tak jumpa dia. Dah dapat tengok dia pun dah cukup" Jawab Ahmed.

Beribu-ribu kilometer hanya kerana ingin bertemu seorang sahabat yang pernah mengunjungi beliau selama 48 jam 2 tahun lepas?

Itulah ukhuwwah yang dibina atas islam dan iman.

Akhirnya kami berjaya pujuk agar beliau berada di sini sekurang-kurangnya 2 hari. Hari pertama kami berjalan sekitar Mu'tah dan Mazar menziarahi maqam syuhada'.

" Muhammad, jika saya tidak kenal kamu, mungkin tak berpeluang mengunjungi maqam syuhada' sahabat nabi ini"

Ditambah dengan kehadiran Tarmizi yang selalu berceloteh menceriakan lagi keadaan.

Keesokkannya saya menghadapi imtihan pada pukul 8 pagi, Syafiq dan Faiz yang imtihan pada pukul 11 membawa beliau sarapan. Plan kami hari itu ke Karak dan Laut Mati.

Namun sebelum itu, sempat singgah di rumah Pasir Puteh. Bucas, Ayie, Jeme, Mat Din melayan dengan cukup baik walaupun agak sukar berkomunikasi. Terhibur kami melihat gelagat Ayi yang bertutur bahasa arab namun dijawab bahasa Turki oleh Mustofa yang langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa arab dan inggeris.

Ahmad pula terpaksa bercakap dengannya bahasa arab fushah kerana beliau hanya belajar bahasa arab selama 3 bulan di Syria. Itu pun beberapa tahun yang lalu. Mugkin kami terkesan dengan bahasa amiyyah Jordan, pertuturan agak kekok menggunakan 100% fushah.

Petang itu, kami ke Laut Mati, Aid, pemandu van tidak berhenti-henti bercerita. Maklumat beliau banyak kerana selalu mengembara bersama Ust Said dan Ust Hazimin.

Antara cerita yang terkini, beliau mengkritik kerajaan Jordan kerana masih membenarkan syarikat Fosfat terus beroperasi hingga menyebabkan laut mati semakin surut.

Baru-baru ini dalam sebuah artikel mendedahkan laut mati akan kering pada tahun 2050.

Malam terakhir bersama beliau, kami menonton bersama gambar-gambar yang diambil sekitar perjalanan. Setiap kali gambar ditayangkan, pasti kami ketawa dengan keadaan negara Jordan dan perangai arab Jordan itu sendiri.

Pagi tadi beliau pulang. terima kasih atas kunjungan yang singkat namun bermakna.

Thursday, August 13, 2009

Memilih Mazhab Akidah?



" Jangan buat begitu nanti Tuhan marah"
" Tuhan?"
" Tuhan tu Allah, dia yang paling kuat. kalau tak dengar cakap dia, kena bakar dalam api neraka. takut tak?"
" Eii.."

Saya tidak ingat sejak bila mengenal akidah dan ketuhanan. Yang pasti, sejak kecil saya sering diajar konsep ketuhanan suatu kuasa yang tiada tandingan dan akan menghukum jika kita melakukan kesalahan.

Apabila memasuki alam persekolahan PASTI dan darjah satu. Kita akan diperkenalkan Tuhan ini sangat berkuasa dan menciptakan alam. Ketika ini sudah mula menyanyikan sifat 20 dan mengalunkan asma al husna.

Kemudian apabila memasuki sekolah menengah baru diperkenalkan syirik. Diperkenalkan juga bagaimana perkara yang membatalkan akidah. Bid'ah juga disebut tapi masih dalam samar-samar.

Golongan pula dibahagi dua, orang islam dan orang kafir.

Cuma, mungkin disekolah agama, pembelajarannya lebih advance. Saya sempat belajar perdebatan antara golongan asyaerah dan muktazilah.

Ketika di UIA, mula terkejut apabila mengetahui ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan sifat 20. Sifat yang sudah dipasak dalam kepala ini bertahun-tahun. Istilah bid'ah mula ditelanjangkan.

Lebih teruk bid'ah dijadikan senjata untuk menyerang. Mungkin perkataan kafir agak berat, maka digunakan bid'ah walaupun hadith yang dihujjahkan akhirnya akan memasukkan pelaku bid'ah ke dalam neraka.

Apabila sampai tahap ni, rasa begitu tidak selesa. Apatah lagi kedua-dua pihak adalah ustaz. Lebih baik menjauhkan diri.

Manhaj Perbandingan Agama.
Saya berpeluang mempelajari subjek Religion in Malaysia di UIA. Mungkin boleh dikatakan inilah subjek agama yang paling saya seronok. Bermula dengan mengkaji kenapa manusia perlu beragama, kemudian belajar Hindu, Buddha, Sinkh dan Islam.

Dalam mempelajari perbandingan agama, golongan yang pertama perlu dihadapi adalah golongan Aties. Mereka yang tidak mempercayai agama perlu didatangkan hujjah kita dengan kaedah akal dan logik.

Ketika ini manhaj As-syaierah sangat berkesan. Kaedah dalam membuktikan kewujudan pencipta dengan logik dan akal. Sekiranya menggunakan kaedah salafi yang berpegang kepada nas semata-mata, mungkin agak sukar.

Kemudian pengajian perbandingan agama diteruskan dengan berhadapan dengan golongan Hindu, Budha, Sikh dan Kristian. Akidah mereka benar-benar memeningkan. Ada mokhsa, Nirwana, Hukum Karma, Trinity.

Ketika ini manhaj Salafi sangat sesuai berbanding Asyaierah. Akidah yang membicarakan ketuhanan berdasarkan nas cukup mudah untuk difahami.

Hingga saat ini, bagi saya ada kepentingan kedua-dua metodologi ini samada ada salafi dan Asyaierah. Tidak salah untuk cenderung kepada mana-mana pihak, namun yang penting sedarlah pihak yang satu lagi bukan musuh kita.

Saya teringat kata-kata Dr.Qais.
" Sistem pembelajaran akidah di Saudi masih tidak cukup kerana hanya mempelajari satu golongan sahaja"

Boleh ke talfiq ( bertukar-tukar mazhab ) dalam akidah?

Wednesday, August 12, 2009

Mencari Kesedaran Sebelum Berjuang



Alhamdulillah, lega apabila sudah melepasi ujian subjek tilawah. Terasa bebannya apatah lagi dengan tempoh yang begitu pendek pada semester musim panas ini. Baki subjek lain tidak lah begitu sukar. Kemahiran komputer 2, English 2 dan pendidikan sukan.

Dengan baki 8 hari sebelum pulang ke Malaysia, saya telah berjanji kepada BPP PERMATA untuk menyumbangkan beberapa artikel berkaitan Palestin antaranya terjemahan artikel Dr Azzam Tamimi, The End of Zionis. Kemudian artikel yang agak baru juga dalam penulisan isu ini iaitu mengenai golongan Holocaust Denial, golongan yang dikatakan menafi jumlah angka pembunuhan Yahudi ketika era Hitler.

Menanti sambutan hari Al-Quds sedunia yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ketika tahun 2 dahulu apabila menjadi ketua BA, saya telah mengedarkan artikel Al-Quds sempena hari tersebut. Ada yang memerli dengan menyatakan itu adalah Bid'ah. Terus terang saya nyatakan kesedaran Palestin mahasiswa Malaysia Mu'tah masih lagi belum memuaskan walaupun jarak kami dengan Israel hanyalah 30 km!

Mungkin dasar politik Jordan yang menjadikan sebahagian daripada kita perlu berhati-hati. Apa yang berlaku pada Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia ( PERTAMA ) baru-baru ini menyebabkan kita perlu tidak terlalu agresif.

Ada benar kata pengarah MSD, biarlah kita menjadi seorang yang realistik bukan sekadar idealistik. Iaitu keperluan melihat persekitaran sebelum melakukan sesuatu.

Namun, ini bukanlah bermakna kita perlu pekak mendengar isu ini, buta melihat isu ini dan bisu membicarakan isu ini. Kewajipan jihad tetap berterusan selagi rejim itu masih belum keluar dari bumi suci kita. Berusahalah untuk menambahkan ilmu, maklumat agar semua itu dapat dijadikan bahan kesedaran masyarakat apabila ke pulang nanti.

Saya masih ingat ceramah Ust Maszlee Malik ketika di Irbid 2 tahun lepas

" Kamu semua adalah duta Al-Aqsa"

Semoga kita tidak didakwa diakhirat nanti sebagai orang yang tidak peduli, lembab dan tidak berjihad dalam perjuangan palestin.

Manusia Dan Perjuangan.
Apa yang menjadikan manusia berjuang?

Umumnya, kesedaranlah yang membangkitkan perjuangan. Kesedaran juga membezakan perjuangan itu benar ataupun batil. Tidak kiralah apa isu sekali pun. Manusia harus dibiasakan dengan perjuangan agar jiwanya kental.

Semalam kawan baik saya, Dr. Dzulkarnain menghubungi saya mengucapkan tahniah atas penerbitan buku saya. Beliau juga akan cuba mengaktifkan semangat penulisan di Irbid.

Sebenarnya, saya kagum dengan beliau atas usaha mewujudkan sistem zakat dan sedekah MPPM. Saya masih ingat lagi idea itu terbit dalam mesyuarat MPPM sesi lepas kali pertama. Ketika itu saya membangkitkan ada sebahagian daripada mahasiswa kita tidak mampu meneruskan pengajian disebabkan masalah kewangan.

Idea sememangnya mudah, namun untuk melaksanakannya sangat sukar. Ini bukannya bentuk program yang sekadar pelengkap takwim persatuan, tapi ini adalah program yang benar-benar berada dalam realiti.

Sangat sukar untuk menggerakkannya, ramai yang tidak memahami misi dan pemikiran beliau, menyebabkan perjalanannya terbantut seketika.

Namun, dengan kesedaran dan semangat yang tinggi, akhirnya beliau sendiri yang mempengerusikan unit ini di saat-saat akhir. Dengan perbincangan dengan beberapa orang pelajar bertaraf Master dan PHD hingga menyebabkan beberapa kali bentuk sistem terpaksa diubah, Zul tetap tabah.

Semalam skim tersebut berjaya dilancarkan dengan rasmi.

Terus terang saya menasihati pelajar Malaysia terutamanya pelajar syariah di bumi Jordan ini wajar mencontohi semangat dan sikap beliau yang menuntut dalam jurusan perubatan namun kesedaran dan sikap beliau mungkin terkehadapan daripada kita.

Apa pun teruskan lah berjuang. Janganlah mengharapkan hasil yang begitu cepat. Bahkan boleh jadi tiada langsung habuan di dunia ini, namun yang pasti diakhirat nilainya jauh lebih beharga.

Asalkan kita ikhlas, sabar dan terus berjuang...

Tuesday, August 11, 2009

Kisah Sahabat Dan Cerita Team Baitul Hikmah



" Mu tahu sebab apa aku termenung jauh kalau mu ajak wat gape2?" seorang kawan yang bertaraf sahabat menimbulkan persoalan kepada saya.

" Sebab orang lain cakap aku ni macam jadi kuli mu doh"

Saya terdiam dan mengangguk seolah-olah sudah mengetahui perkara itu. Mungkin untuk menjaga hatinya. Kadang-kadang sangat pelik mulut manusia ni. Ada ke sampai tahap macam tu?

Sejak berkawan dengannya, saya mula membimbing beliau samada dari sudut pelajaran. Demi Allah, setiap kali saya bertemu dengan mereka yang ingin belajar dengan saya, bagaikan ingin membelah dada ini agar dia nampak niat hati saya.

Bagaikan ingin membelah otak ini supaya dia menyalin semua ada dalam kepala saya. Tidak kira apa latarbelakang dia, jika sanggup membuang ego dan tidak malu untuk belajar, percayalah pintu hati ini sentiasa terbuka.

Persoalan yang pelik...

Mengimbas kembali, mungkin saya sering mengajaknya ke rumah dan ini memberi persepsi negetif kepada orang sekelilingnya.

Ataupun mungkin saya mengajaknya takala dia sepatutnya bersama mereka.

Namun, Saya tidak pernah mempelawa dia ke arah aktiviti yang tidak sihat.

Saya hanya mengajaknya jika saya ingin menunjukkan perkara baru dalam ilmu.
Saya hanya mempelawanya hadir ke kelas pengajian agar selain mendapat ilmu, dia dapat mengambil kemahiran mengajar.
Saya hanya mengajaknya hadir ke mana-mana diskusi agar dia mendapat manfaat dan berkat ilmu.

Tidak mengapa, manusia diperlu diberi peluang menilai kata-kata manusia. Samada dia akan teguh dalam menghadapi arus ataupun dia akan hanyut lagi.

Ingatlah orang mukmin tidak akan jatuh ke lubang 2 kali.

Percayalah sangat sukar untuk mencari golongan berikut iaitu; tidak malu dan ego dalam menuntut ilmu dan tidak malu dan ego dalam memberi ilmu.

Kepada sahabat saya yang saya hormati, tanyalah hati anda untuk melahirkan jawapan yang ikhlas.

Terpulang pada anda..

Lupakan sementara..

Cerita Team Baitul Hikmah

Semalam saya mengadakan perjumpaan team al-fikrah, kami meneruskan agenda dengan menjadiknya secara rasmi sebagai team baitul hikmah. Terima kasih kepada saudara Presiden yang turut hadir.

Semua ahli yang hadir begitu semangat agar team penulisan dan penterjemahan ini diaktifkan. Setakat ini ahli lama yang masih kekal, Azmer, Fatah, Azmudin, Fakhrullah, Syafiq Shafii, Ida Dayana, Afifah Azzam, Akmalina. Dan kami bertuah mendapat 2 sahabat baru iaitu Rozaimi dan Hussien.

Pencapaian yang terbaik kami berjaya menghasilkan artikel dan terjemahan untuk Al-Fikrah baru-baru ini. Seperti yang saya nyata semalam, penulisan anda semua tidak lah begitu hebat, namun komitmen anda cukup saya kagum.

Saya menyedari bahawa kita baru di tahap permulaan, bahkan hanya 2 orang sahaja dikalangan kita bukan tahun satu,baki semuanya tahun satu.

Tapi saya yakin dengan tahap kemahiran dan semangat anda.

Untuk mahasiswa yang diluar, kegiatan kami sebenarnya hanyalah melahirkan sesuatu ungkapan ilmu di atas kertas untuk dihimpunkan. Berikut adalah aktiviti kami:
1. Aktiviti penterjemahan penuh samada artikel berbahasa arab ataupun inggeris
2. Penulisan daripada kefahaman terjemahan.
3. Penulisan berbentuk fikrah
4. Penulisan hasil daripada temu bual bersama pensyarah.

Secara peribadi, saya tidak pernah menyekat mana-mana individu yang ingin menyertai kegiatan kami. Cuma jika anda berminat, hubungilah saya.

sekian..

Monday, August 10, 2009

Mencari Arah Aliran Agama ( siri 3 )

" Jangan pergi UIA, di sana kuat wahabi" Nasihat seorang senior.
" Kat sana sosial"
" Diorang tak fokus arab tapi inggeris. Belajar agama, tapi nanti jadi cikgu BI"

Apa saya peduli kalau di sana saya berpeluang mengubah diri. Kadang-kadang bukan hala tuju tempat itu yang dingini, tapi persekitarannya.

Saya merindui persekitaran yang membangkit semangat agar saya tidak mensia-siakan usia muda ini.

Akhirnya, saya keluar juga daripada SMAASZA apabila mendapat tawaran Matrikulasi UIA. Bukanlah impian saya, jauh di sudut hati seorang yang belajar agama inginkan pengajiannya di tanah arab. Tanah yang diturunkan wahyu. Samada Mesir, Jordan, Syria, Saudi, dan Yaman.

Tapi saya ke UIA juga mungkin ada sesuatu di sana.

Hari pertama...

" Siapa suruh awak masuk?"

Terkejut saya apabila terlewat beberapa minit.

" Siapa suruh awak keluar"

Sudah panas telinga saya apatah lagi dalam kelas asyik dicemuh sahaja tentang sikap pelajar sekolah agama.

" Mengapa kamu kata kita perlu agama?"
" Apa hujjah bahawa Tuhan itu wujud?"
" Mengapa wujudnya mazhab sedangkan islam agama yang satu?"
" Mengapa itu, mengapa ini"

Ustaz Maszlee Malik, saya begitu bertuah kerana sempat berguru dengan beliau sekurang-kurangnya 2 semester di sana. Seorang yang tegas, namun bijak menarik perhatian anak muridnya dalam pembelajaran.

Ketika itu konsep berfikir dalam mempelajari agama suatu yang menarik minat saya.

Ketika itu juga konsep mencari dalil dan hujjah dalam menyatakan sesuatu dalam agama.

Tidak dinafikan dalam masa yang sama saya terkesan dengan golongan salafiyyah. Dalam masa beberapa bulan sahaja kehidupan saya berubah. Setiap hari menghabiskan masa di perpustakaan. Membaca, menterjemah, menulis. Saat yang begitu indah.

Suatu hari, apabila pulang ke rumah di Terengganu, saya terpandang buku rujukan STAM. Saya membeleknya. Begitu terkejut kerana saya dapat memahaminya dengan mudah. Rupa-rupanya tanpa saya sedari penguasaan bahasa arab saya semakin baik.

Saya bergegas ke sekolah bertanyakan adakah saya mempunyai peluang untuk menduduki peperiksaan STAM secara calon persendirian. Ustaz mengalu-alukannya.

Alhamdulillah, setelah itu, saya masih menaruh impian untuk datang ke tanah arab. pilihan ketika itu adalah Jordan.

Ketika berada di Jordan, saya terkesan dengan pemikiran As-syaerah yang menjadi manhaj pilihan sebahagian besar pensyarah di sini.

Mungkin saya terlampau aktif dengan persatuan sedikit sebanyak tumpuan saya tidak 100% dalam bab ilmu.

Walaubagaimanapun, secara peribadi saya yakin tidak lagi menyesal menjadi pelajar aliran ini kerana sudah mempunyai manhaj pembelajaran yang baik sehingga saat ini.

Namun, jika bercakap tentang pelajar agama dan golongan agama..

Mungkin tidak sesuai untuk diulas lagi.

Nasihat saya, percayalah ilmu ini memerlukan kesabaran dan dampingan anda kepada mereka yang berilmu.

Sekian...

Sunday, August 9, 2009

Mencari Arah Aliran Agama ( siri 2 )

Terus mengejar impian adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua orang, namun yang pasti adakah di sana peluang untuk menggapai impian anda?

Terlampau bermain dengan nostalgia menjadikan dunia anda sentiasa jauh dengan realiti. Jika tidak berpijak dengan realiti bagaimanakah anda ingin berlari mengejar impian?

Saya kaget. Selepas beberapa peristiwa hitam pada tahun itu, saya cuba bangkit, jika sudah tidak mampu untuk belajar agama, sekurang-kurangnya masih ada SPM walaupun aliran sastera.

Cuti persekolahan saya tinggal bersama nenek di Kuala Terenggganu. Cuti selama 2 bulan itu, saya berusaha mencari pusat tuisyen. Akhirnya saya berjumpa dengan Cikgu Nasir.

" Cikgu, saya nak cikgu ajar subjek matematik moden dengan semua silibus tahun 5"
" Cikgu, saya nak ambik matematik tambahan tahun depan, tapi saya tidak pernah belajar masa tingkatan 4"

Cikgu Nasir seorang yang cukup istimewa. Bekas tenaga pengajar di sebuah SBP dan MRSM, namun melupakan cita-citanya. Kata cikgu Rohani.

" Kisah cikgu Nasir sedih, beliau seorang yang genius. Selama 2 tahun beliau menjaga ayahnya yang sakit. Apabila ayahnya meninggal ibu pula yang sakit. Akhirnya ibunya pula yang meninggal"

Cikgu Nasir jauh lebih hebat, namun terpaksa melupakan cita-citanya dan diuji dengan sedemikian rupa. Mengapa saya tidak belajar daripada kisah beliau? Sekurang-kurangnya saya masih ada peluang.

Tahun 2004, saya menebus peluang dan meneruskan saki baki perjalanan dalam menghadapi SPM. Ketika itu saya belajar matematik tambahan tanpa guru.

Bercakap tentang belajar agama. Saya cuba memaksa diri agar minat terus hadir. Saya mengikuti gerakan dakwah selama 2 hari.

Saya juga selalu mengikuti kuliah Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Rusila setiap hari jumaat.

Saya ada kesedaran tentang agama, namun tiada kesedaran untuk mendalami agama.

" Tolong ajar saya subjek mantiq?"
" Kamu hafal je bulat-bulat walaupun tak faham"

Semuanya berorientasikan hafal. Hafal tanpa faham adalah lebih baik daripada faham tanpa hafal. Saya masih tak dapat terima konsep seperti ini.

Sebenarnya bukannya konsep itu salah, namun tidak sesuai bagi saya.

Selepas berakhirnya tingkatan 5, Mak mahu saya meneruskan pengajian tingkatan 6 yang masih ada satu tahun lagi untuk peperiksaan STAM. Sementara menanti keputusan SPM.

Saya hadir ke sekolah pada tahun 2005 tidak lebih daripada sekadar mengisi masa kosong. Ketika itu 100% subjek adalah bahasa arab dan agama melainkan subjek MUET.

Dalam masa yang sama, saya adalah penolong jurulatih bagi pasukan bola sepak sekolah bawah 15. Ada sedikit keseronokan.

Selepas keputusan SPM diumumkan, saya merasa berat untuk meninggalkan sekolah. Sekurang-kurang saya ingin menunggu lagi hinggala mendapat tawaran IPT.

Tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran kolej matrikulasi. Sesuatu yang agak diidamkan oleh sebahagian besar pelajar. Namun takala saya menunjukkan kepada mak surat itu.

" Pergilah, sekurang-kurangnya kamu dah belajar agama selama beberapa tahun dan tanggungjawab kami sudah lepas"

Mencari hikmah dan hala tuju belajar agama...

Mengapa masih belum ditemui mutiara itu..

Saturday, August 8, 2009

Mencari Arah Aliran Agama ( siri 1 )


" Kenapa semua berubah ni?"

Ketika itu saya pulang ke rumah daripada asrama. Ada sedikit kelainan. Mak sudah bertudung labuh dan selalu menyertai usrah. Abah pula, jika lapang akan ke masjid sementara menanti solat.

Setiap malam pasti mereka bangun untuk solat, tidak lupa untuk mengejutkan saya. Namun, saya agak liat untuk bangun malam.

" Ma dan Abah nak suruh kamu jadi ustaz"

Ketika itu saya di tingkatan 2 bersekolah di sebuah SMK (A). Namun, sekolah agama persekutuan bukan seperti sekolah agama negeri. Hanya bersongkok dan mempelajari bahasa arab asas yang membezakan dengan sekolah SMK lain, sedangkan perangai dan suasana pelajar lebih kurang sama.

Sebelum ini saya hampir mengemas barang ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Namun, keluarga mengubah fikiran di saat-saat akhir.

Saya tidak mempedulikan sangat kata-kata Mak.

Bagi saya tempoh tingkatan 1 hingga tingkatan 3 adalah saat yang terbaik dalam belajar. Hala tuju yang jelas ditambah dengan persekitaran yang cemerlang dan akhir kemuncaknya saya mendapat 9A dalam PMR.

Dan selepas itu terus merudum.. Rakan-rakan seperjuangan sudah pun jauh..

" Ma nak hantar kamu ke sekolah agama. Ma tak bagi kamu masuk MRSM ataupun Sekolah asrama penuh"

Ketika bermula sesi tingkatan 4, Ma meminta saya mengisi borang Sekolah Agama Atas Sultan Zainal Abidin. ( SMAASZA ). Sebut sahaja SMAASZA di Terengganu kepada orang-orang tua, pasti mereka menarik nafas lega. Satu-satunya sekolah warisan zaman berzaman menghasilkan ulama di sini.

Saya menurut perintah, apatah lagi tiada peluang lain. Tunduk sedikit malu takala kawan-kawan satu kelas dahulu ke MRSM, SBP, teknik. Aliran agama sememangnya dikenali sebagai aliran yang gelap masa depannya.

Saya sendiri bagaikan terumbang ambing.

Masuk je ke SMAASZA. Ya Allah, saya kembali ke abad 18 ke?

Dengan kemudahan sekolah dan asrama yang dhaif. Maklumlah sekolah agama negeri apatah lagi ketika itu di bawah kerajaan PAS yang disekat royalti.

Tak ape.. Bukan semua keadaan nak senang.

Hari pertama di sekolah, berpakaian serba putih. Sebenarnya di sini terdapat 2 aliran iaitu thanawi ( agama ) dan sains. Kami, aliran agama ditempatkan di bangunan yang jauh dari pelajar sains.

Malam itu di surau, saya memerhatikan ramai yang berjanggut dan berjambang. Memakai lilitan serban. Semuanya gaya bagaikan ustaz. Itulah pelajar senior agama.

" Pelik, kenapa anta datang sekolah ini?"
" Belajar agama..."
" Kat sini, kita aliran thanawi ada suasana kita tersendiri. Lelaki dan perempuan tidak boleh bercakap melainkan ada tabir. Ini yang membezakan kita dengan yang lain sebab kita thanawi"
" Kelas kena asingkan lelaki dan perempuan"

Pelik. Bagaimana pula dengan pelajar lain? Ke Syurga hanya untuk pelajar agama?. Hanya lamunan ketika itu.

" Tengok, kami pelajar sains selamba je boleh berborak dengan perempuan"

Apa saya peduli..

Kemudian dalam kelas..

" Kamu semua pelajar thanawi misi kita adalah STAM bukannya SPM. Kita semua harus berazam untuk menyambung pengajian ke Azhar.

Saya agak terkejut. Jadual kelas penuh dengan subjek arab. Hanya ada BM, BI,PA, Matematik. Itupun 2 jam seminggu.

2 bulan selepas itu, Saya masih tidak faham apa yang saya belajar di sini. Mungkin sebab tidak berminat.

Setiap hari saya menelefon Mak.

Ada juga rakan-rakan aliran sains mengajak saya menukar aliran kepada sains. Namun..

Setiap kali dalam kelas hanya jasad sahaja dalam kelas, fikiran merayau di luar sana. Selepas beberapa bulan, saya sudah mula ponteng kelas terutama subjek agama. Lepak di tepi padang bola sambil termenung berjam-jam.

Tahun 2003, cukup sukar..

Ke manalah arah ini...

Bersambung...

p/s : suasana SMAASZA pada tahun 2003-2005

Friday, August 7, 2009

Baitul Hikmah & Hala Tuju Ilmiah

Penat juga menerbitkan buku. Berapa malam saya tidak tidur untuk menulis artikel-artikel walaupun kebanyakkannya daripada blog saya sendiri, saya cuba mengolah kembali kepada bentuk fikrah, bukannya pendapat fiqh.

Bagi saya buku itu bertujuan untuk memahami sesuatu isu. Sekadar memahami bukannya sebagai rujukan ilmu.

Semalam, saya mendapat surat daripada saudara Presiden supaya meneruskan Baitul Hikmah. Sekarang sudah menjadi kelab. Saya merasakan hanya Baitul Hikmah sahaja unit yang masih dikekalkan.

Cuma bentuk pembawaannya, presiden mahu dibangunkan kemahiran menulis pelajar. Sebenarnya di Mu'tah lebih daripada 50 blogger yang kita ada dan saya kira juga lebih daripada 20 daripada mereka menulis dalam bentuk ilmiah dan konsisten dalam usaha mereka. Namun, masih gagal usaha untuk menghimpunkan mereka. Mungkin lebih selesa menulis secara individu.

Saya akui saya memperlahankan sedikit pergerakan baitul hikmah sejak penghujung semester awal sesi lepas. Mungkin saya masih memikirkan bentuk kumpulan yang terbaik.

Sehinggalah saya membimbing kelas terjemah dan membentuk team fatwa EF, baru saya nampak masa depan unit ini.

Cuma bagi pihak PERMATA, saya mencadangkan baitul hikmah menghimpunkan 2 kumpulan iaitu kumpulan tutor akademik dan kumpulan team penulisan ( terjemah & fatwa )

Saya juga ditanya oleh Timbalan presiden 1 dan ketua biro akademik berkenaan cadangan hala tuju ilmiah untuk PERMATA sesi ini. Cuma sebelum kita merancang sesuatu ada baiknya kita menilai sejauh mana kuasa dan peranan yang boleh dimainkan persatuan.

Bagi saya, yang paling utama adalah membangkitkan kesedaran ahli. Saya merasakan Timbalan presiden dan Ketua BA sudah mempunyai perancangan tersendiri. Sebenarnya semua itu bergantung kepada ahli dalam memajukan pencapaian masing-masing.

Berikut adalah beberapa isu yang perlu diberi perhatian:-

Perpustakaan Universiti
Sejak kebelakangan ini saya lihat perpustakaan Universiti Mu'tah agak suram daripada kunjungan mahasiswa Malaysia Mu'tah. Sebenarnya jika dibandingkan dengan perpustakaan Universiti di Malaysia sangat jauh bezanya jumlah kitab syariah di sini.

Terutama di tingkat bawah, banyak buku yang sangat sukar untuk dijumpai di luar sana.

Di tingkat 2, terdapat banyak himpunan kertas kerja ilmiah yang dibukukan.

Dan ditingkat yang paling atas, buku-buku rujukan mazhab perlu bagi pelajar sekurang-kurangnya mengetahui nama kitab dan mazhab penulis.

Dulu masa saya tahun 1, Ust Mahadi memperkenalkan buku-buku tersebut secara ringkas.

Mungkin persatuan boleh mempromosikannya.

Hubungan Dengan Pensyarah
Sebelum ini saya pernah menulis artikel suara ada nilainya. Itu dari sudut musyarakah. Pelajar seharusnya lebih rapat dengan mereka dan persatuan perlu sekurang-kurangnya mengadakan program ceramah khas bersama pensyarah pilihan setiap bulan ( selain kelas tafaquh ).

Sebelum ini saya sempat bertalaqi dengan Dr. Muhammad Said Hawa ( kitab riyadus solihin ), Dr Hammad Azzam ( Kitab kifayatul Akhyar ) Dr Ghuraibah ( kitab Ashbah Wa Nazoir ). Kadang-kadang saya merujuk kitab Hidayah syarh Bidayah kepada Dr Faris.

Pelajar seharusnya menggunakan kesempatan ini, jika tidak pasti anda menyesal apabila pulang nanti. Berusaha untuk bertalaqi dengan pensyarah, jika mereka tiada kelapangan sekurang-kurangnya bertanya mana-mana bahagian yang anda tidak faham.

Jika masih tiada kelapangan sekurang-kurangnya anda perlu berjumpa mereka sekali setiap minggu untuk bertanya apa-apa hukum.

Kemahiran Berbahasa Arab
Tidak dinafikan pelajar kita lemah dalam bahasa arab. Saya menilai daripada beberapa sudut. Pelajar kita lemah bertutur, buktinya suara musyarakah Malaysia sangat kurang. Pelajar kita lemah menulis, buktinya tiada pelajar yang menulis artikel dalam bahasa arab. Pelajar kita kekurangan vocab atau kalimah bahasa arab, buktinya tidak ramai pelajar yang mampu membaca dan memahami kitab.

Itu tidak dikira penguasaan nahu dan sorof pelajar.

Wujudkan biah yang membawa pelajar ke arah ini. Sesi lepas kami, ALT pernah bermesyuarat dalam bahasa inggeris dan arab ( walaupun cincai ).

Celik Turath.
Dulu, semasa saya tiba di sini, jika memasuki bilik senior, semuanya bagaikan mini perpustakaan. Penuh dengan himpunan kitab. Berlainan dengan sekarang. Boleh dibilang pelajar yang mengumpul kitab terutamanya kitab turath.

Alasan pelajar tidak tahu ingin membeli kitab apa..

Dan jawapan yang kurang optimis " beli banyak-banyak pun bukannya baca semua"

Sebenarnya sebagai pelajar aliran syariah, kitab-kitab yang kita beli itu bukannya untuk dibaca dari kulit ke kulit namun yang paling utama sebagai rujukan.

Dalam sistem pembelajaran yang terbuka di Universiti Mu'tah. Pelajar didedahkan dengan pengajian perbandingan mazhab. Kita akan menilai pendapat Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Zohiri dan kemudian mentarjihkannya. Itu dalam bidang fiqh, dalam bidang akidah pula kita didedahkan dengan pandangan salafi, Asyaierah, muktazilah dan lain-lain lagi.

Kita juga didedahkan dengan pengajian ala ahli hadith.

Semua ini memerlukan mahasiswa ruang untuk merujuk dengan lebih luas.

Thursday, August 6, 2009

Buku Terbaru Saya



Alhamdulillah, saya telah berjaya menerbitkan buku pertama yang diberi tajuk sembang-sembang cafe Idari.

Buku yang memuatkan artikel-artikel fiqh dan ilmiah merangkumi bab insurans, wang, arak, mazhab, dan politik.

Setakat ini belum dipasarkan secara meluas. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya terus.

Tuesday, August 4, 2009

Bayu Timur...


Blog ini akan menjadi pasif dalam waktu yang agak lama.. Jumpa lagi