Wednesday, July 29, 2009

Cadangan Untuk PERMATA



Sekalung tahniah buat seluruh barisan kepimpinan AMT dan ALT yang telah pun dibentuk. Semoga pimpinan kali ini dapat melakukan yang terbaik untuk ahli. Di sini saya mempunyai beberapa cadangan kepada pimpinan PERMATA kali ini.

Perbahasan Dasar dan Hala Tuju PERMATA Dibentangkan.
Kebiasaannya ahli hanya berpeluang bersuara secara terbuka di AGM. Mereka hanya menanti saat untuk menegur dan membangkitkan muhasabah terhadap pihak persatuan pada saat itu.

Alangkah baiknya jika kita mengambil contoh perbahasan di dewan rakyat dan dewan undangan negeri. Setiap kali perancangan dan bajet kerajaan pasti dibentang dan dibahaskan oleh semua ahli parlimen.

Jika ini diadakan diperingkat persatuan ini akan memberi ruang kepada ahli untuk membahasnya agar menghasilkan kebersamaan dalam perancangan dan merapatkan jurang antara pimpinan dan ahli.

Hanya persatuan zon sahaja yang mampu melaksanakannya.

Antaranya dasar, misi, objektif dan perancangan tahunan persatuan. Pihak yang membentangkannya adalah barisan kepimpinan dan pihak yang membahaskannya secara khusus mungkin perwakilan batch disamping turut memberi ruang kepada ahli lain.

Sesi 2007/2008 menyaksikan apabila Mohammad Mohsen membentangkan dasar dan hala tuju PERMATA mendapat respon yang memberangsangkan. Antara misi yang hangat dibahaskan oleh perwakilan batch adalah target sifar Ghiab, sifar inzar dan juga permohonan sumbangan daripada ahli keluarga ahli.

Kehadiran ahli juga melebihi 60%.

Sebenarnya jika diteliti faktor kehadiran ahli mencapai 2/3 sejak dua AGM yang lalu kerana ahli sering diberi ruang untuk membahas. Mu’tah bertuah kerana ahli mempunyai 2 kali pilihan perbahasan secara terbuka iaitu pada KOMIS dan AGM.

Jika KOMIS diadakan pada pertengahan sesi pentadbiran dan AGM pada akhir alangkah baiknya liqo mahabbah diadakan pada awal sesi.

Sistem Sekretariat
Setakat ini saya melihat semua persatuan mempunyai kelemahan dari sudut jabatan kesetiausahaan. Kesan yang paling jelas sesi lepas kegagalan sebahagian besar persatuan menghantar laporan bulanan kepada MSD dan juga MPPM. Bahkan kadang-kadang ada mesyuarat ALT yang tergendala disebabkan persiapan setiausaha. Sebenarnya bebanan jabatan kesetiausahaan sangat besar. Dalam perlembagaan dinyatakan 9 tugasan mereka. Jika biro yang hanya mempunyai 2 hingga 4 tugas boleh membentuk AJK yang besar mengapa tidak bagi jabatan kesetiausahaan?

Perkara berikut sangat penting diambil perhatian:-
1. Data dan maklumat ahli masih disimpan dalam rekod yang ketinggalan zaman.
2. Perjalanan dan perancangan program persatuan tidak disusun. Sesi lepas menyaksikan banyak berlaku pertindihan program antara biro kerana masing-masing tidak mengetahui program pihak lain.
3. Jabatan kesetiausahaan juga sebagai pemantau kepada setiap unit khas yang ditubuhkan di bawah AMT.

Begitu juga dengan jabatan perbendaharaan.

Pilihanraya Majlis Perwakilan Batch
Saya merasakan sudah tiba masa pihak PERMATA memandang serius dengan perwakilan yang setiap batch selaku antara penggerak utama persatuan selepas biro. Jika pemilihan diadakan secara terbuka sudah pasti wakil-wakil yang terpilih adalah lebih baik dan cemerlang.

Peranan ketua batch sangat berkesan dari sudut kebajikan dan masalah ahli. Biro pula boleh menumpukan kepada program. Perkasakan Majlis Perwakilan Batch ( MPB ) yang diwujudkan pada sesi lepas.

Unit Perancangan dan Strategi Pesatuan.
Jika dilihat, persatuan banyak berorientasikan kepada program. Kemajuan persatuan diukur kepada program. Mungkin PERMATA sudah mempunyai ahli lembaga penasihat, namun masih lagi terhad dari segi bilangan dan juga portfolio tugas.

Sesi lepas saya mencadangkan kepada PERMATA supaya setiap program diwujudkan biro perancangan dan strategi seperti KOMIS. Biro ini membincangkan khas berkenaan dengan plan swot yang diadakan dalam sesuatu program. Alangkah baiknya diwujudkan satu unit khas dalm mengkaji dan memberi nasihat yang berbentuk perancangan kepada pimpinan PERMATA. Namun mestilah bersifat ‘nasihat’ bukannya ketetapan wajib.

Unit yang dianggotai mantan-mantan dan pelajar senior mampu memberi sumbangan kepada PERMATA berdasarkan pengalaman mereka di sesi lepas, MPPM dan BKAN. Yang paling besar adalah perancangan ekonomi. Bayangkankan PERMATA memerlukan dana sekurang-kurangnya JD 1440 untuk PUSKMA dan akaun persatuan sepatutnya perlu berada di atas diparas JD 500 setiap bulan.

Sebenarnya saya merasakan unit ini sangat sesuai sebagai alternatif kepada resolusi pelajar tahun 4 KOMIS lepas yang mencadangkan penubuhan unit tahun akhir.

Dasar Penswataan
Setakat ini hanya bahagian pesegaran sahaja yang diserahkan sebagai tander khas ataupun boleh dikatakan swasta. Kesannya, kita dapat lihat perkhidmatan yang berkualiti dihasilkan walaupun terpaksa berbelanja lebih kecuali beberapa kes.

Dulu pernah timbul isu untuk menswastakan perkhidmatan iqamah dan juga pindah barang. Bukan bermaksud ingin mengurangkan tugasan persatuan namun untuk membaiki kualiti perkhidmatan dan meringankan beban seseorang ALT.

Mungkin yang bertanya apa fungsi PERMATA?

PERMATA masih mempunyai kuasa memantau dan menyelaraskan dari sudut perlaksanaannya. Sesiapa yang menjadi ketua biro tentu merasai betapa peritnya hendak menghimpunkan pelajar mengankat barang. Betapa sukarnya tugas seorang ketua biro perhubungan menguruskan iqamah. Saya mencadangkan beberapa ‘tander’ khas. Antaranya:-
1. Penerbitan majalah bulanan selain daripada majalah BPP.
2. Gerai ataupun kegiatan ekonomi oleh pelajar.

Menyuarat Ahli Lembaga Tadbir.
Mesyuarat ALT masih ditakuk lama yang mengambil masa kadang-kadang 3 hingga 4 jam dengan keadaan ahli mesyuarat yang letih. Perbincangan menjadi hambar di saat-saat ahkir. Sesi lepas saya mencadangkan agar dibahagikan kepada 2 bahagian. Pertama mesyuarat khas membincangkan minit mesyuarat semata-mata yang lebih ke arah muhasabah bulanan. Mesyuarat kali kedua pula membincangkan laporan biro agar lebih berkualiti.

Teknik yang diperkenakan oleh Atese MSD baru-baru ini bagi saya cukup berkesan. Iaitu mengubah minit menyuarat dengan hanya membentangkan tindakan minit. Kadang-kadang membentangkan laporan biro mengambil masa yang lama. Sistem perbahasan AGM mungkin sesuai dipraktikkan dalam mesyuarat ALT yang lebih bersifat perbahasan.

Keputusan-keputusan mesyuarat ALT yang penting juga kadang-kadang perlu dihebahkan kepada ahli melalui sumber rasmi persatuan.

Berkaitan dengan ALT, saya mencadangkan perlu penilaian prestasi kerja daripada ahli. Mungkin cara servey ahli dalam majalah As-Soff yang pernah diadakan oleh BPP dahulu perlu diwujudkan kembali.

Sekian

Muhammad Shahrul Ifwat Bin Ishak
Ahli prihatin

Tuesday, July 28, 2009

Belajar Menilai Daripada Mereka.

Pagi tadi di Cafe Idari ketika menerangkan kepada Hayee subjek Hadith Ahkam bab perempuan menjadi hakim, tiba-tiba Syah datang.

" Wat, tau tak Dr. Syuesh kata insurans perniagaan halal"
" Iye, Dr Azzam kata haram. Dr Syuesh menyokong pendapat syeikh Mustafa Zarqa'"
" Tapi Kesatuan Ulama Sedunia mengharamkan"
" Benar, tapi dari segi hukum asal, dari segi perlaksanaannya ulama berbeza-beza"

Tahun lepas hampir satu bulan saya berbincang dengan Dr Hammad Azzam yang merupakan ketua Jabatan Fiqh dan Usul dan Dr. Syuesh Mahamid yang juga bekas ketua jabatan tersebut.

Isunya hukum insuran perniagaan. Kedua-dua pensyarah ini berbeza pendapat.

Dr Hammad Azzam menyatakan insuran perniagaan adalah haram disebabkan:-
1. Unsur Riba ( pembayaran wang pampasan tidak sama dengan wang caruman )
2. unsur Gharar ( ketidakpastian dalam pembayaran wang caruman dan wang pampasan)
3. Unsur Judi ( Wang pampasan kemungkinan akan dapat dan kemungkinan tidak )

Tiga hujjah utama disamping hujjah lain yang agak longgar. Saya beralih kepada Dr. Syuesh pula. Pada mulanya beliau menyatakan kehairanan mengapa ada pihak yang menghalalkan insuran negara dan taa'wuni ( konsep takaful ), namun mengharamkan insuran perniagaan sedangkan tujuannya adalah sama menjaga kepentingan manusia.

Beliau menolak hujjah Dr. Hammad Azzam.
1. Riba jika mengenakan lebihan dalam pinjaman wang, sedangkan insuran bukan pinjaman wang tetapi adalah perniagaan yang berbentuk khidmat.
2. Jika berhujjahkan dengan unsur Gharar, semua perniagaan mempunyai gharar. Sebagai contoh jika anda membeli sebiji buah, ada kemungkinan buah itu rosak. Itu pun dinamakan gharar.
3. Beliau menolak unsur judi kerana niat penjudi adalah untuk mendapat keuntungan dengan cara bertaruh nasib sedangkan niat pencarum insuran adalah untuk mendapat jaminan keselamatan.

Saya merujuk kembali Dr Hammad, beliau menjawab kembali hujjah Dr Syuesh.
1. Riba tidak terhad dalam pinjaman namun ada juga dalam jual beli. Di sini jelas lebihan dan penangguhan dalam pembayaran.
2. Gharar dalam insuran diketogarikan sebagai gharar fahish iaitu yang ketidakpastian besar yang boleh membawa kepada pergaduhan. Buktinya banyak kes mahkamah yang melibatkan pertelingkahan antara syarikat insurans.
3. Dalam bab judi, kita tidak melihat kepada niat namun melihat kepada konsep judi iaitu ketidakpastian.

Saya merasakan sudah jelas hujjah kedua-dua pihak, saya merujuk pensyarah lain seperti Dr. Muhammad Said hawa dan Dr Abdul Rahman Kailani.

Benar, secara teori insurans adalah haram akadnya disebabkan pelaburannya dalam bank riba, namun secara realiti agak sukar untuk melaksanakannya.

Semua pembelian kereta mensyaratkan insurans. Jika kita menyatakan itu keadaan dharurat, agak janggal konsep dharurat melibatkan semua pembelian. Kebiasaannya dharurat hanya keadaan tertentu.

Begitu juga seperti kata Dr Abdul Rahman Kailani, ada beberapa negara yang mensyaratkan khidmat kesihatan dengan pembelian insurans. Sebagai contoh ada sebuah negara yang mengenakan bayaran kesihatan yang tinggi bagi pesakit yang tidak mempunyai insurans nyawa.

Membicarakan fiqh tidak cukup sekadar teori, samalah ilmu lain.

Cuma dalam artikel ini, saya mengharapkan pelajar menggunakan kesempatan belajar menilai perbezaan pendapat antara pensyarah. Cara ini sebenarnya membiasakan pelajar dalam berhadapan dengan khilaf ulama mazhab samada silam ataupun kontemporari.

Apatah lagi pensyarah kita bukan calang-calang orang. Hampir semua mempunyai PHD dan ada beberapa pensyarah sudah pun memegang title mufti seperti Dr. Ali Zuqaili dan Prof Dr Amin Butush.

Jika di Malaysia mudahkah anda berjumpa dengan Datuk Harunsani dan mufti-mufti lain?

Monday, July 27, 2009

Hanya Berpegang Kepada Dalil?

Jika sebelum ini saya menegur sikap pelajar yang tidak mendalami subjek nizom hukum, hari ini ada satu lagi penilaian saya yang mungkin biasa namun sangat penting samada dari sudut akademik ataupun ilmu fiqh itu sendiri.

Perkara itu adalah Wajhu Dalalah..

Ilmu syariah bersumberkan hampir 100% daripada dalil Quran dan Sunnah yang juga sumber hukum hakam.

Walaubagaimanapun mejoriti ayat ataupun hadith tidak didatangkan dalam bentuk yang jelas ( sorih ) dan memerlukan kefahaman dan penafsiran yang tersirat daripada seorang mujtahid. Kefahaman yang terbit dengan mamahami asbab nuzul, gaya bahasa dan perbandingan dengan nas yang lain.

Sebab itulah wujudnya mazhab dan pendapat yang berbeza. Bukan saya ingin menulis berkenaan dengan mazhab untuk kali ini.

Dalam pembelajaran syariah terutamanya fiqh yang membincangkan hukum hakam, mahasiswa sekadar memahami dalil, menghafal dan mengeluarkannya takala diminta.

Sebenarnya ada yang tertinggal. Jika dibandingkan jumlah dalil Al-Quran dan hadith dengan masalah fiqh yang muncul, jauh tidak mencukupi.

Dalam bab muamalat sebagai contoh berapa ayat dan hadith sahaja yang digunakan oleh ulama dalam berdalil? Kadang-kadang satu ayat Quran dan Hadith digunakan berhujjah lebih daripada satu hukum.

Maka, sesuatu dalil harus difahami bagaimana berhujjah dengannya.

Umpamanya hadith lalat yang jatuh dalam air
Nabi Bersabda, "Apabila seekor lalat masuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka celupkanlah ia, kemudian angkat dan buanglah lalat itu sebab pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap lainnya ada penawarnya(HR. Bukhari, Ibn Majah, dan Ahmad )

Hadith ini menunjukkan bagaimana cara memulihkan minuman yang jatuh di dalamnya lalat.

Namun, saya tertarik bagaimana Sheikh Khatib Syarbini dalam kitab Iqna' menggunakan hadith ini dalam bab bangkai serangga tidak menajiskan air. Dalam berhujjahkan dengan hadith tersebut beliau merumuskan lalat yang jatuh dalam minuman itu sudah semestinya mati apabila diselam. Jika Rasulullah masih menyatakan air yang sudah ditenggelami bangkai lalat itu masih boleh diminum sudah tentu air tersebut masih suci untuk berwudu'.

Kemudian dikiaskan ( dibandingkan ) dengan bangkai serangga lain kerana mempunyai sifat yang sama dengan lalat iaitu darah yang tidak mengalir

Lihatlah bagaimana kaedah beliau berhujjah.

Contoh yang kedua daripada ayat pertama surah Mujadalah.

" Sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata seorang wanita yang mengajukan tentang suaminya dan mengadu kepada Allah dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua"


Ayat ini menceritakan tentang hukum Zihar. Bermula daripada ayat pertama yang menceritakan asbab nuzulnya hinggalah kepada ayat keempat yang membincangkan hukumnya.

Namun, sebahagian ulama juga menggunakan dalil tersebut dalam menyatakan hak bersuara wanita dalam pemerintahan ataupun majlis syura.

Hujjahnya, jika suara wanita begitu bernilai sehingga turunnya wahyu yang menyatakan hukum..

Maka, sudah tentu suara wanita mempunyai hak dalam urusan keduniaan dan pemerintahan.

Kesimpulannya, memahami ilmu Syariah ataupun Fiqh amat memerlukan penguasaan yang lebih serius dalam pengajian Usul Fiqh, Kaedah Fiqh, Maqasid Syariah dan apa sahaja yang dikatogerikan sebagai ilmu alat agama.

Sekian...

Hati Ini....

" Ifwat atau afwat?" tanya Dr.Qais apabila tiba giliran saya membaca quran.

Saya tersenyum. Sejak kelas pertama hingga sekarang,pasti itu kata-kata yang keluar apabila saya berkeras nama saya tetap ifwat.

Hampir semua pensyarah kuliah syariah mengenali saya. Cuma sejak semester lepas subjek saya di kuliah syariah sedikit.

Nasihat U.Mahadi ulama ada sebut jika 3 hari tidak berjumpa orang alim, hati akan gelap. Betul, terasa cahaya yang menusuk dikalbu ini takala resah.

Semua persoalan yang saya tanya kepada pensyarah akan saya sebarkan kepada semua mahasiswa. Kalam mereka sungguh beharga

Setiap hari pasti saya akan ke cafe idari. Di situlah peluang untuk bertemu rakan. Setiap kali saya datang pasti ada pelajar yang merujuk masalah mata pelajaran. Hayyee, Jeme, Azmudin. Cuma hari ini.

" Wat, kawe tanya doh dr Azzam persoalan demo semalam"

Tersenyum saya apabila yang berkata itu Mat Zul. Tidak kira siapa identiti kita, ilmu seharusnya tidak terhad kepada orang-orang tertentu. Biarlah semua layak membincangkannya dengan penuh minat.

Semalam kelas riyadi, saya telah diminta oleh pensyarah Dr.Ali Abu Zuma' supaya bertanding melompat dengan seorang pelajar arab.

Saya menang.

" Muhammad, kamu nak berapa markah? Saya bagi 5 markah, 5 lagi semester depan"

Semua pelajar gelak..

Setiap hari juga saya akan ke perpustakaan walaupun beberapa minit. Saya masih ingat nasihat U.Maszlee malik, perpustakaan adalah tempat yang kedua selepas kelas sepatutnya kita habiskan masa.

Ada kelainan belajar di sana.

Hari demi hari, hati ini sentiasa berubah. Berusaha mencari ketenangan takala ada yang kurang senang dengan kita.

Saya mula mengajar kelas akademik sajek tahun 2 hinggalah kini. Pernah suatu ketika saya mengajar 6 kelas dalam tempoh satu minggu menyamai subjek saya di kuliah. Namun, jika itu satu harapan dan permintaan.

Setiap kali selepas imtihan pasti ada pelajar yang menghubungi saya menyatakan kegembiraan dan berterima kasih.

Lagi gembira hati si pemberi..

Dalam persatuan sesi lepas, saya dikurniakan amanah yang begitu besar. Daripada sebesar-besar mesyuarat bersama MT MPPM dan MSD hinggalah ke sekecil-kecil perjumpaan. Kehadiran saya tidak pernah mengecewakan mereka yang menjemputnya.

Selagi mana mampu melaksanankan tugas, memberi idea, nasihat dan semangat selagi itulah yang akan disumbangkan.

Bayangkan takala malam hujung munggu saya menyertai mesyuarat ALT PERMATA sekitar 3 hingga 4 jam. Keesokan harinya mesyuarat MPPM di Amman bermula 9 pagi hingga 4 petang. Malam itu menyertai mesyuarat biro.

Semuanya dihadapi dengan gembira dan tenang..

Yang penting kita sedar kita adalah harapan mereka. Kita memberi sebagaimana kita menerima nikmat yang Maha Esa.

Sehingga 2 hari lepas..

Pertama kali dalam hidup saya. Bukan tidak pernah dikritik, cuma katogeri kritikan kali ini berbeza. Ntah berapa kali saya dikritik disebabkan sikap, perbuatan. Saya menerima dan adakala saya berkeras.

Cuma yang terbaru saya apabila melibatkan persoalan hati dan keikhlasan..

Apa yang boleh anda lakukan? Mengkritik kembali pengkritik tersebut. Tidak perlulah hati ini menangis lagi. Jika anda fikir saya tidak profesional saya mengaku.

Saya menarik balik 2 artikel yang ada melebal artikel pemecah belah, artikel yang bodoh. Saya terima..

Bercakap tentang ukhuwwah.. tanya lah mereka yang bersama saya, apa yang saya lakukan untuk ukhuwah? Tanyalah mantan MPPM, PERMATA dan AJK KARISMA.

Tergamakkah saya untuk menghancurkan usaha yang saya bina.

Maaflah.

Kali ini hati benar-benar terluka apabil manusia sudah sampai tahap menghukum hati.

Dulu saya tutup shoutbox kerana berlaku pergaduhan antara mereka yang menghentam saya dan mereka yang menyokong saya.

Semalam saya memadam balik 2 artikel saya kerana takut akan membawa kepada pergaduhan lagi.

Biarlah bola itu bergolek selagi mana ia masih bulat. Biarlah saya meluahkan di padang bukan di blog..

Sekurang-kurangnya saya tahu ada mereka yang terlampau lama memendam dalam hati apa yang tidak kena pada saya.

Namun,
Kata-kata anda itu juga tidak akan menghalang saya daripada terus menyumbang dalam kelas akademik.

Kata-kata itu juga tidak akan menghalang saya menulis artikel ilmiah

Kata-kata anda juga tidak akan menghalang saya daripada menyumbang apa sahaja untuk ummah.

Blog ini adalah rumah pemikiran saya. Ada baiknya, jika tetamu yang datng memberi salam dan membicarakan dengan sebaik-baik bahasa dengan tuan rumahnya.

Tidak kira apa perkara yang kita berikhtilaf..

Namun dalam soal akhlak, hati, perasaan, kita dituntut memeliharanya.

Salam ukhuwwah

Thursday, July 23, 2009

Cerita Sebentar Tadi

Hari ini seperti biasa kelas kami bermula pada pukul 10. Maaf kepada Azmuddin kerana terpaksa berkejar dan masih tidak sempat mengikuti kelas kami. Tahniah juga buat Arip selaku MT PERMATA yang turut serta, mungkin boleh menjadikan masa depan kelas kami lebih terjamin.

Ramai disekeliling, namun hanya 7 orang sahaja yang mengikuti. Bukan senang untuk meneruskan usaha berbentuk usrah ini. Mereka di luar sana memberi 1000 teori perlaksanaan usrah yang berkesan, namun hanya mereka yang mengikuti sahaja yang mengetahui hakikat sebenar.

Janganlah kecewa wahai seorang ustaz,daie jika mad'u anda sedikit. Itu ujian bagi anda dan mereka.

Bahkan dalam kisah surah yassin diceritakan bagaimana perutusan 3 orang rasul kepada satu kaum, namun yang menerimanya hanya seorang sahaja.

Ingatkah cerita bagaimana Nabi s.a.w ketika menyampaikan dakwah ke Taif, berapakah yang mengikuti? Bahkan baginda s.a.w dilontar batu dan dihalau. Apakah kita ingin dihidangi dengan permaidani merah untuk menyampaikan kalam?

Lupakan sebentar, moga kita diberi kekuatan dan saya akan cuba menulis apa yang dibincangkan tadi untuk tantapan mereka yang tidak berkesempatan.

Hari ini kami membincangkan satu isu menggunakan kalimah 'khalifatullah'.

Sebenarnya apa maksud khalifah? Pengganti? Bermakna kita pengganti Allah?

Dalam tafsiran ayat khalifah fi ard terdapat 2 pendapat ulama:-
1. Khalifah bermaksud menegakkan hukum dan menunjukkan jalan tauhid kepada yang Esa.
2. Khalifah bermaksud mengadili manusia dengan hak.

Ulama yang tidak membenarkan menggunakan kalimah khalifatuLLAH berdasarkan:-
1. Kata-kata saidina Abu Bakar apabila seorang sahabat memanggil beliau khalifatuLLAH, beliau melarang seraya menjawab ; Aku khalifatul Rasulullah.

2. Sekiranya meletakkan khalifatuLLAH seolah-olah menjadikan seseorang itu mengganti tempat Allah. Nauzubillah.

Apapun kata Syeikh Qaradhawi itu bukanlah hujjah yang qatie larangan menggunakan kalimah khalifatullah bahkan gelaran itu sendiri disebut dalam Al-Quran.
Hikmahnya:-
1. Agar manusia sedar bahawa mereka hanya memegang amanah Allah dan tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya ke atas alam ini.

2. Sebagai kemulian kepada kejadian manusia.

3. Agar Manusia berusaha mencapainya untuk memakmurkan bumi. Usaha tersebut tidak akan berjaya tanpa ilmu dan pengetahuan. Manusia harus mencapainya

4. Sebagai satu gelaran yang membezakan antara manusia. Bukan semua yang layak menggunakan gelaran tersebut.

Akhir sekali syeikh Qaradhawi menyatakan di sana masih banyak perkara-perkara besar yang mengancam akidah ummat. Ini hanyalah masalah kecil.

Terima kasih kepada yang hadir.. Jumpa lagi minggu hadapan..

Bagi yang sentiasa menyatakan saya seorang yang sibuk, saya tidak mahu melihat apa niat anda, namun saya akan sentiasa sibuk dengan menyampaikah amanah ilmu dan menulisnya di alam siber. Maaf jika itu kurang menyenangkan anda.

Politik Kita?

Saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap mahasiswa pengajian fiqh dan usul Universiti Mu'tah. Perkara ini mungkin tidak dilihat penting, namun sebenarnya ia berkaitan dengan perjuangan islam yang paling besar.

Menegakkan negara islam!!

Bukannya saya maksudkan mahasiswa di sini buta politik. Lihatlah bagaimana suasana di cafe Idari. Masing-masing bagaikan YB- YB dalam mengupas sesuatu isu. Pakatan rakyat, kerajaan perpaduan, one malaysia, kepimpinan Ulama, UMNO, PAS, Anwar, Tok Guru semuanya lancar dalam perbincangan.

Bertuahnya parti tersebut dengan pelapis-pelapis sebegini.

Namun..

Agak jarang pelajar bercakap isu politik secara ilmiah dan akademik. Maksud saya dalam lingkungan perbahasan ulama fiqh ataupun pemikir politik. Kita di sini memahami rung lingkup politik dengan isu semasa. Kesannya lahirlah muqallid yang mengikut parti politik mereka sahaja.

Hari ini apabila ada parti islam mengharuskan kerjasama dengan bukan islam, pengikutnya akan meng'iya'kannya.

Esokkan kalaulah parti itu mengharamkan kerjasama tersebut, pasti akan di'iya'kan juga.

Tiada pegangan dari sudut ilmu dan fiqh. Pernah sekali apabila saya menyertai borak-borak isu kerajaan perpaduan, mereka yang bercakap bersandarkan kepada tokoh-tokoh dalam parti tersebut dan saya mencelah dengan memberi pendapat Dr.Wahbah Zuhaili dalam hubungan parti islam dengan parti bukan islam.

Masing-masing pelik. Mengapa?

Bersumberkan Isu.
Jika kita mempelajari sesuatu berdasarkan media dan kenyataan pimpinan politik semata-mata, ilmu tersebut sekadar maklumat bukannya pegangan. Sebab media sentiasa hanyut dengan mengikuti arus yang menguntungkan mereka.

Orang politik pula, mereka ada strategi tersendiri dalam memainkan sesuatu isu agar mendapat keuntungan. Bukan maksud saya ingin memburukkan orang politik, namun sememangnya itu peranan dan sikap mereka. Bukankah politik itu peperangan dan helah dibenarkan dalam memenanginya?

Maka, kita yang mempelajarinya dengan disiplin ilmu perlu membezakan antara kita dan orang awam.

Bermula Di sini.
Akhirnya, saya mendapat satu jawapan dalam teori saya kegagalan pelajar kita berpunca daripada subjek Nizom Hukum.

Manakan tidak, subjek ini hanya ada 2 orang pensyarah iaitu Dr. Iwadi dan Dr. Bassam. Mereka berdua terkenal sebagai pensyarah yang langsung tidak menilai hasil kerja pelajar melayu. Markah yang diberikan berdasarkan mood mereka.

Yang pastinya pelajar kita akan mendapat lulus. Samada anda terlampau rajin ataupun tidak memahaminya, keputusannya hampir sama. Bahkan baru-baru ini ada pelajar kita yang muaddalnya mumtaz terkandas dalam madah ini.

Maka, sebahagian pelajar mempelajari subjek ini tanpa minat.

Sedangkan subjek ini membincangkan tentang negara islam, khalifah, sistem, ahli syura, demokrasi, negara persekutuan, bai'ah, pilihanraya, kerjasama politik, hak bukan islam.

Bahkan hampir 90% perkara dalam pemerintahan adalah perkara ijtihad yang memerlukan penilaian pelajar.

Seterusnya memberi kesan kepada kepimpinan pelajar dalam persatuan. Lahirlah fatwa mereka pilihanraya itu Yahudi, pimpinan 100% mestilah imej thiqah, amanah persatuan mesti didahuluikan ke atas pelajaran dan pelbagai lagi dotrin yang merugikan semua.

Apabila pulang ke Malaysia, gagal mengaplikasinya dalam suasana politik di Malaysia.

Mahasiswa Malaysia Mu'tah, berusahalah menguasai subjek ini, jika orang agama tidak faham khilafah islam bagaimanakah ingin memperjuangkannya?

Tuesday, July 21, 2009

Belajar Daripada Alam

" Muhammad, Malaysia macam ni ke?" tanya saif merujuk kepada permandangan kawasan kolam air panas Hafrah

" Lebih kurang la"

" Mustahil, Malaysia lagi cantik, syurga asia" balas ihab.

Hari jumaat yang lalu saya menghabiskan cuti dengan rehlah bersama kawan-kawan arab di kawasan kolam air panas hafrah di Tofileh. Benar, flora dan fauna Malaysia lebih cantik dan terjaga.

" Muhammad, ceritalah rumah kamu di Malaysia macam mana?" tanya saif yang berusia 7 tahun.

" Ohh, saya tinggal di kampung. Belakang rumah saya ada macam-macam haiwan. Ada arnab, itik, ayam dan kambing"

"Arnab? Cantiknya"

"Tidak jauh dari rumah saya, ada kebun. kat situ sangat cantik sebab jauh daripada kemajuan. Ada banyak pokok, anak sungai dan kolam ikan"

"Indahnya Malaysia"

Tinggal di Jordan selama 3 tahun menyebabkan saya semakin rindu kepada Malaysia. Kebudayaannya serta alam sekitarnya. Saya begitu bangga jika ada pelajar Melayu mempamerkan kebudayaan kita dihadapan masyarakat tempatan.

Di sini,semuanya padang pasir. Ada sedikit sahaja pokok. Semakin menebal perasaan saya terhadap Malaysia.

Kebun Saya.
" Abah cakap kalau kamu tak dapat pinjaman, dia nak jual kebun kita. Semata-mata ingin kamu belajar agama" bagitahu Mak ketika 2 hari sebelum saya ke Jordan.

Terkejut saya.

Kebun itu bukan kebun pusaka. Abah membelinya sendiri. Abah hanya seorang pekerja kerajaan biasa terpaksa menanggung bayaran pinjaman selama hampir 20 tahun.

Namun,harga itu berbaloi dan abah bijak memilih tempat.

Ada anak sungai, sebahagian daripada tanah itu adalah tanah gambut bewarna hitam.

Macam-macam pokok yang kami tanam. Setipa minggu kami sekeluarga akan ke sana.

Abah bukan seorang belajar tinggi dan jarang sangat mengetahui pelajaran anak-anaknya. Namun beliau ada pelajaran tersendiri.

Belajar daripada alam.

Setiap minggu abah akan membawa saya ke kebun bersama adik-adik. Oleh kerana jarak umur saya dan adik agak jauh juga dan saya lelaki menyebabkan saya selalu menyendiri di kebun.

Abah datang menyapa.

" Sebab apa kita kena datang ke kebun?"

" Sebab nak bersihkan semak" saya meneka.

" Macam inilah iman dan amalan kita. setiap masa kita kena bersihkan. kalau tak akan bersemak dengan dosa"

"Tengok anak sungai jernih sebab sentiasa berusaha mengalirkan dirinya walaupun tidak mengetahui arahnya berakhir".

Kata abah berkebun menjadikan kita bersama alam. Jika bersama manusia kita banyak dosa. Mengumpat dan kadang-kadang melahirkan banyak penyakit hati.

Alam juga mengajar kita mengenali pencipta

Belajar Daripada Alam.
Manhaj Quran dalam mengajar manusia mengenali penciptanya adalah dengan memerhatikan alam. Sebahagian besar surah mengajar manusia memerhatikan alam. Bagaimana kejadiannya, bagaimana langit boleh terbentang luas, hujan turun dan kemudiannya melahirkan tumbuh-tumbuhan.

Menyingkap sirah nabawiah, Dr. Ziyad Abu Hammad menyatakan hikmah Nabi s.a.w dijadikan pengembala kambing di kawasan pendalaman jauh daripada masyarakat arab adalah untuk baginda memerhatikan kejadian alam.

Rindunya pada Malaysia. Mampukah saya pulang penghujung soifi ini?

Sunday, July 19, 2009

Sehingga Saat Ini


Lewatnya saya bangun hari ini hingga 2 kelas pagi saya terlepas. Sambil memandang pintu almari yang masih bertampal poster kelendar MPPM. Teringat semua wajah dalam itu. Semuanya sudah menjadi kenangan.

Semalam AGM PERMATA, malam sebelum itu saya, Syaheed, Fudat, Ikhwan, Lutpi, Kakak dan Basyirah membincangkan isu-isu perlembagaan hingga sampai jam 3:30 pagi. Malam terakhir bergelar pimpinan persatuan.

Esoknya, AGM PERMATA berjalan dengan lancar disebelah siangnya. Tiada langsung kegugupan, kerisauan di hati saya. Mungkin sudah mempunyai pengalaman AGM MPPM yang lebih besar dan mencabar.

Ucapan selama 2 minit saya menyatakan kebanggaan saya dengan PERMATA kerana persatuan ini mempunyai perpaduan yang kukuh daripada latar belakang mahasiswa yang berlainan. PERMATA juga memberi ruang kepada semua ahlinya untuk menerajui apa-apa tanggungjawab tanpa melihat kepada imej 100%.

Tahniah kepada Amer. Janganlah terasa dengan kempen saya terhadap Arip. Itu semua sekadar menjadikan calon lain rasa dihargai. Saya sendiri pernah merasai apabila semua orang langsung tidak mempedulikan kita. Selain itu ini memeriahkan lagi pilihanraya.

Seperti kata Gbum.
" Peratusan mengundi kali ini 87% kerana kewujudan 2 'parti' ini"

Saya yakin ramai yang melihat ini suatu bid'ah yang positif. Memeriahkan pilihanraya sambil mempromosikan calon. Jauh lebih baik daripada kempen belakang yang menyentuh peribadi calon.

Hari ini cuaca agak baik. Di cafe suasana seperti kebiasaan pelajar Malaysia, sambil menunggu kelas berborak, menghirup teh. Daripada sebesar-besar isu politik agama hinggalah ke isu persatuan.

Seperti kata ustaz Mahadi, suasana ini hanya ada di Mu'tah. Iye, perpaduanlah menjadikan kita sedemikian. Seperti ucapan presiden baru.

" Inilah yang perlu kita pelihara"

Sambil berborak dengan Amzari, saya menyatakan semakin hari saya semakin minat dengan keseniaan dan kebudayaan Malaysia. Mungkin terpengaruh dengan beliau, Lutpi dan rakan-rakan lain.

Kata Amzari inilah warisan kita. Jika pupus tidak akan dapat diwujudkan kembali.

Sempat juga di cafe saya membaca buku dirasat fi Fiqh Maqasid Syariah yang ditulis oleh Syeikh Qaradhawi. Sehingga kini saya amat meminati bidang maqasid syariah. Saya sempat membaca kritikan syeikh terhadap golongan zahiriyah yang berpegang bulat-bulat kepada sesuatu nas tanpa mempedulikan maksud tersiratnya.

Tersenyum apabila mereka menyatakan akad nikah tidak sah apabila perempuan membalas lamaran sesorang dengan kata-kata kerana hadith nabi menyatakan persetujuan perempuan cukup apabila mereka diam.

Maka, zahiriyyah berpegang hanya dengan perempuan diam sahaja sah perkahwinan.

Tengah hari, saya menonton perlawanan bola sepak Malaysia menentang Man United. Sememangnya ada peningkatan pasukan Malaysia.

Petang itu saya menziarahi rakan-rakan Pasir Puteh. Masakan pasir puteh sentiasa sedap. Sempat juga saya menonton dokumentari Alexander bukan Iskandar.

Malam pula, Mr Kacak @ Gbum datang ke rumah. Ini kali ke tiga beliau menjejak kaki ke rumah saya. Aduhai mantan pengarah SPR.

Menanti hari esok dengan ketenangan dan kebahagiaan.

Saya mengimpikan kehidupan saya ketika di pusat matrikulasi UIA dahulu. Moga semangat itu datang kembali.

Tuesday, July 14, 2009

Hukuman Bagi " Peminjam"

Dalam artikel sebelum ini saya ada membangkitkan hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada penghutang yang enggan ataupun yang tidak mampu membayar hutang. Dalam masalah ini saya lebih suka merujuk Dr. Syuesh Mahamid, bekas ketua jabatan Fiqh dan usul, Kuliah Syariah Universiti Mu'tah kerana jawapan beliau agak terperinci.

Secara ijmanya ulama mengharamkan menaikkan jumlah pinjaman kerana lebihan itu adalah riba.

Di sini ada beberapa penyelesaian.

1. Memberi tempoh tambahan kepada penghutang agar berusaha melangsaikan hutang tersebut.

2. Menuntutnya daripada penjamin jika ada. Konsep ini dikenali sebagai 'kafalah' dalam islam.

3. Mengambil barang cagaran ( rahnu )jika disertakan.

4. Merujuk kepada mahkamah. Kebiasaannya mahkamah akan menjatuhkan hukuman muflis.

Ini adalah cara yang asas bagi menyelesaikan masalah ini. Namun cara ini hendaklah dilaksanakan perjanjian sebelum memberi hutang. Sebab itulah ayat yang terpanjang dalam Quran menyebut tentang hal ini agar hutang itu ditulis dan disertakan dengan saksi.

Islam juga mewujudkan sistem kafalah ( jaminan ) dan juga rahnu ( cagaran ) bagi mengelak kemudharatan bagi pemberi pinjam

Namun, saya tertarik dengan jawapan terakhir beliau yang dipelopori oleh Syeikh Mustafa Zarqa dalam fatwanya iaitu mewujudkan badan khas zakat dalam membantu mereka yang gagal mendapatkan pulangan hutang.

Mereka ini layak atas asnaf al-Gharimin.

Namun, jika suatu hari nanti si penghutang muncul untuk membayar kembali maka wang tersebut hendaklah diserahkan kepada baitul Mal untuk maslahat umat islam.

Isu hutang bukanlah isu kecil baik bagi peminjam ( penghutang ) mahupun pemberi pinjam ( Pemiutang ).

Tindakan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pemberi pinjam kerana tersilap langkap boleh jatuh kepada riba.

Bagi peminjam pula, hutang bukanlah perkara remah. Jika tidak dilunaskan di dunia ini akan memikulnya di akhirat.

Bahkan ada doa yang mengajar kita supaya mengelakkan diri daripada belenggu hutang.

Monday, July 13, 2009

Ucapan 2 Minit Terakhir


Saya diminta mengulas apa yang perkatakan dalam Mesyuarat Agung 2 hari lepas.

1. Saya membangkitkan kembali 3 faktor yang membantutkan perkembangan MPPM. Faktor taqwim universiti yang berbeza-beza, jarak yang jauh dan cuaca mempengaruhi pergerakan pelajar ke program MPPM.

Faktor ini sangat sukar diatasi. Kepimpinan MPPM mestilah bijak dalam memikirkannya. Yang paling penting juga semangat ukhuwwah di antara ahli. Program MPPM hanya dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya kita datang kerana ukhuwwah.

2. Saya menyebut jumlah mahasiswa Malysia sekarang seramai 804 orang. Jumlah persatuan mahasiswa Malaysia ( MPPM, BKAN dan PZ )pula sebanyak 17. Bermakna terdapat lebih daripada 200 penjawatan dalam menggerakkan perjalanan semua persatuan ini. 25 % daripada jumlah mahasiswa. Jika purata program setiap persatuan adalah 5 setiap tahun bermakna akan ada 85 program. Jika setiap program ada 10 jawatankuasa, jumlah keseluruhan adalah 850 ajk.

Semua ini menjadikan peluang seluruh mahasiswa Malaysia Jordan untuk mendapat pengalaman dalam aktiviti ko kurukulum. Namun mengapa hanya orang-orang tertentu sahaja yang menggondol semua sijil. Mereka yang memegang amanah persatuan perlu mencari mekanisma agar semua mahasiswa aktif.

3. Saya risau jika perjuangan dalam persatuan hanya kerana menyeru orang pasif persatuan menyertai kita. Hinggakan kita sendiri semakin lemah dan berlegar dalam isu yang sama. Sepatutnya kita boleh kembangkan lagi pencapaian kita seperti menghasilkan sesuatu kajian ilmiah, projek ekonomi, dan lain-lain.

4. Saya mengharapkan agar diwujudkan fasal perlembagaan MPPM mengenai hubungannya dengan persatuan gabungan ( PZ dan BKAN ). Biarlah hubungan ini diikat dengan perlembagaan agar lebih kuat.

5. Saya juga mengharapkan MPPM bersikap berkecuali dalam memihak kepada mana-mana pihak dalam isu persatuan zon ataupun badan kebajikan anak negeri. Bukan bermaksud tidak memperdulikan, namun berusaha untuk bertindak sebagai suara penyelesai masalah. Inilah formula kita untuk kekal relevan di masa akan datang.

Kepada semua barisan AMT, semoga berjaya.

Sunday, July 12, 2009

Terima Kasih MPPM


Alhamdulillah, MEKAR telah pun melabuhkan tirainya. Dalam masa yang sama, kepimpinan MPPM sudah pun berganti. Tahniah dan harapan diucapkan kepada barisan kepimpinan yang baru.

Tahniah kepada Mustaqim, Izzah dan seluruh jawatankuasa MEKAR. Bukankah saya sudah menyatakan, peluang sentiasa ada, hanya mencari, mengejar dan menggapai sahaja. Impian tidaklah begitu sukar untuk menjadi realiti.

Sebagai mantan timbalan presiden, saya merasakan telah menyumbangkan yang termampu untuk Mafraq. Seperti yang saya nyatakan dalam mesyuarat bersama AJK MEKAR kali pertama, anda semua ahli Mafraq berhak menganjurkan program MPPM yang berskala besar untuk membuktikan kelompok anda juga yang terbaik.

Tahniah sekali lagi. Tahniah juga kepada seluruh pemenang anugerah.

Bagi saya mesyuarat agung berlangsung dengan baik sekali, tidak begitu tegang dan tidak begitu lembab. Pada pemerhatian saya, kepimpinan MPPM ataupun MPPM itu sendiri sangat dihormati. Masing-masing yang bertanya dan memberi komentar berlapik dengan adab dan sopan.

PPMA, saya merasakan hari itu juga kita bersemuka secara berhadapan. Meluahkan apa yang tersemat di hati. Hilang segala yang terpendam. Moga ukhuwwah kita semakin terjalin.

Malam itu dalam bas pulang ke Mu'tah saya bermimpi sama keadaan ketika mula memegang jawatan ke dua tertinggi dalam MPPM. Saya terjaga. Mengelamung buat seketika. Rasa semuanya berlalu dengan pantas.

Saya ditakdirkan bersama dengan mereka yang hebat. Dari segi akademik dan juga kepimpinan.

Zul, K.Faezah, Nuek, Aladin, Mahfuzah, Arda. Sememangnya ini team yang paling cemerlang dan profesional yang pernah saya temui.

Tidak lupa kepada Arul, Afiq, Amzari, Apek, Nisa', K.daya, Farah, k. Azziyati. Anda semualah yang menguruskan MPPM.

Kami telah mempertingkatkan kualiti penganjuran PERTAMA dan KARISMA.

Kami telah mengadakan MEKAR dan sistem infaq dan takaful MPPM.

Kami juga telah membuka jalan untuk perancangan MAlaysian Day.

Saya merasakan seluruh idea dan tenaga saya sesi ini ke arah MPPM. Itulah yang saya bayar kerana kamu mengurniakan sesuatu yang sangat beharga kepada saya MPPM.

MPPM memberi ruang kepada saya untuk mempelajari pengurusan, hal ehwal persatuan, protokol dan penganjuran sesuatu program.

Yang paling saya hargai, MPPM yang membuka jalan ukhuwwah agar saya mengenali insan di luar sana.

Sekarang sudah tiada beza antara Irbid, Mafraq dan Amman. Saya mengenali ramai daripada mereka. Saya gembira dengan mereka semua.

Misi ukhuwwah ini...

Terima kasih MPPM...

Monday, July 6, 2009

Bisnes "Hutang"



Sistem kapitalis yang menguasai ekonomi dunia kini mendatangkan seribu satu masalah kepada manusia. Bagaikan darah daging dalam semua negara, amat sukar untuk membebaskan diri daripadanya apatah lagi dasar perdagangan dunia tanpa sempadan.

Negara yang cuba melepaskan diri berpegang kepada ideologi komunis dan sosialis, namun lihatlah kesannya semakin miskin.

Menggantikan yang haram bukan dengan cara islam turut mengundang mudharat.

Antara kerosakan yang telah dibawa oleh sistem kapitalis.
1. Menggantikan mata wang emas kepada matawang kertas. kesannya, ekonomi dunia sentiasa terumbang-ambing disebabkan nilai matawang yang tidak tetap.

2. Golongan yang kaya terus kaya dan miskin terus miskin. Lihatlah perbezaan negara eropah dan afrika.

3. Negara-negara miskin dijajah dalam bentuk ekonomi disebabkan tidak mampu untuk membayar hutang kepada negara kaya.

Itulah kapitalis, apa sahaja cara untuk mendapatkan keuntungan dihalalkan walaupun dengan cara menindas. Cumanya dikaburkan di mata kita penindasan yang bukan berbentuk kekerasan senjata.

Riba dalam pinjaman. Inilah asas kekuatan kapitalis.

Pinjaman dengan mengenakan faedah dalam sistem ini dilihat sebagai salah satu cara untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah dan tetap. Keuntungan sudah pastinya diperolehi tanpa melakukan sesuatu.

Konsep yang cuba dikelirukan, menghalalkannya dengan melihat kepada pemiutang ( pihak yang meberi pinjaman ). Bukankah logik jika kita meminjam kepada orang lain kemudiannya mengenakan sedikit cas atas dasar perkhidmatan kita? Tentunya tiada beza dengan menjual sesuatu dengan mengambil keuntungan. Begitu juga keuntungan dalam pinjaman.

Namun islam membezakan antara riba dan jual beli. Salah satunya dihalalkan dan satu lagi diharamkan. Walaupun beza antara keduanya agak tipis, kesannya sangat besar.

Jika dalam konsep kapitalis, peminjam dilihat orang yang mendapatkan perkhidmatan, manakala dalam islam peminjam ataupun penghutang dilihat sebagai orang yang dalam kesempitan.

Lihatlah bagaimana dalam kisah isra' wa mi'raj apabila Nabi s.a.w. melihat tertulis ganjaran memberi pinjam kepada seseorang lebih besar berbanding memberi sedekah.

Kerana pminjam dilihat sebagai orang yang susah dan sempit berbanding orang yang meminta sedekah.

Oleh yang demikian, islam melihat kepada maslahat kedua-dua pihak, pemberi pinjam dan peminjam.

Bahkan orang yang menanggung hutang juga adalah dari kalangan mereka yang berhak mendapat zakat.

Maka, kamu pula kapitalis ingin menindas mereka? Lihatlah betapa banyak bank kamu yang tumbang disebabkan bergantung kepada sistem pinjaman riba ini, namun tidak mendapat pulangan kerana peminjam tidak mampu untuk membayarnya. Selagi banyak faedah yang kamu kenakan semakin mustahil untuk mereka bayar.

Sistem komunis juga gagal dalam alternatif kepada kapitalis. begitu juga sosialis. Puncanya, semuanya mengabaikan aspek spritual iaitu agama.

Persoalannya, tentu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan bentuk pinjaman islam. Jika kita diharamkan mengenakan denda dengan cara mengenakan faedah apabila mereka enggan membayar kembali, bagaimanakah cara dalam islam untuk mendapatkan wang kita kembali?

Friday, July 3, 2009

Kewujudan Parti Politik Dalam Negara Islam ( siri 2 )


Bahkan menurut Syeikh Qaradhawi, kewujudan parti politik pada zaman kini mungkin tahap dharuri iaitu suatu kemestian.

Tujuannya, agar kekuasaan tidak dimonopoli oleh sebelah pihak sahaja. Namun, keharusan mestilah bersyarat iaitu:-
1. Hendaklah diiktiraf oleh islam dari sudut akidah dan syariatnya.
2. Tidak berjuang dengan prinsip yang bertentangan dengan islam.

Satu perkara yang mungkin kita tersilap faham adalah konsep negara islam. Ianya bukanlah bermakna pemimpin seorang yang maksum dan kabinetnya bebas daripada kesalahan. Mereka juga manusia, kadang-kadang melakukan kesilapan dan perlu ditegur.

Inilah peranan parti politik. Ada yang memerintah dan ada yang bertindak sebagai pembangkang.

Konsep Mazhab.
Al-Qaradhawi juga membandingkan perbezaan pendapat dalam parti politik sama seperti perbezaan mazhab. Berkisarkan perbezaan manhaj, cara dan fikrah.

Bukannya perbezaan disebabkan kawasan, golongan dan lain-lain yang menjerumus kepada asobiyyah.

Bagaimanakah pemilihan pemimpin, adakah kuasa majlis syura wajib dilaksanakan, bentuk pengundian, status ahli parlimen, hubungan antara negara, ekonomi, suara wanita..

Ini semua adalah perkara ijtihad yang membuka ruang perbezaan pendapat.

Antara pepecahan dan kepelbagaian.
Seterusnya, perbezaan pendapat haruslah dilihat sebagai kepelbagaian dan keluasan. Hal ini sama dalam bidang fiqh yang menjadikan perbezaan bukanlah suatu yang negetif.

Selagi mana pepecahan tidak membawa kepada permusuhan.

Kepelbagaian parti adalah sistem barat?
Mereka yang mendakwa sedemikian berhujjah dengan hadith tasyabbuh dengan bukan islam.

Sebenarnya hadith tersebut merujuk kepada perbuatan mengikut hal-hal keagamaan mereka seperti memakai salib meniru orang kristian.

Jika sesuatu perkara mendatangkan masalahat kepada orang islam, mengapa perlu menolak?

Sebagaimana Nabi s.a.w mengambil idea kaum farsi yang menggali parit.

Saidina Umar meniru sistem kharaj, khalifah Muawiyyah mengambil sistem pos. Semuanya bukan daripada islam.

Kepada siapa wala'?
Persoalan yang timbul kepada siapa kita akan memberi bai'ah atau taat setia?

Pemimpin negara ataupun pemimpin parti? Bukankah ini akan menimbulkan pepecahan dan melemahkan negara.

jawapannya benar jika ketaatan secara ta'sub kepada parti dan menentang negara.

Namun,jika kita mempunyai ketua lain, tidak bermakna kita hilang taat setia kepada negara seperti taat kepada pemimpin kabilah, persatuan, kelab dan juga parti.

Yang terakhir, individu yang mendatangkan soalan ini membangkitkan pendapat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang menyatakan tiada parti dalam negara islam.

Syeikh menjawab, ijtihad Imam Hassan adalah berdasarkan pada zaman beliau kejatuhan khalifah islam, kemudian tanah air ummat islam dijajahi, maka relevenkah jika diwujudkan lagi pepecahan?

Namun, zaman berubah, banyak tanah air ummat islam yang merdeka dan diperintah oleh pemimpin muslim. Walaupun bukan semuanya berakhlak baik dan melaksanakan syariat islam, namun apabila ruang demokrasi dibuka, inilah peluangnya.

Untuk kelas berikutnya, kita akan membincangkan fatwa perubatan. Selamat berdiskusi.

Kewujudan Parti Politik dan Maqasid Zakat ( siri 1 )

Semalam disambung kembali kelas cafe muasirah di rumah Azmudin. Walaupun kehadiran tidak begitu ramai kerana sebahagian ahli balik ke tanah air dan ada yang ke syria. Apa pun saya akan menulis untuk menyampaikan kepada di luar sana apa yang dibincangkan semalam.

Alhamdulillah, diskusi kami sudah pun memasuki fatwa jilid 2 yang lebih membincangkan isu perubatan, kemasyarakatan dan politik. Sebelum itu, kami memulakan dengan fiqh zakat yang menjadi silibus diskusi kami.

Mempelajari zakat tanpa mendalami maqasidnya tidak akan lengkap bahkan boleh menjadikan sistem yang terunggul ini menjadi sistem yang menindas. Melihat kepada nas yang menyatakan harta yang wajib dizakat perlu kepada penelitian yang tersirat.

Unta, lembu dan kambing, mengapa tidak pada ayam, itik, ikan dan arnab.

Akhirnya dapatlah kita fahami bahawa zakat dikenakan kepada harta yang berkembang yang dikenali sebagai 'nama'.

Sememangnya ciri-ciri ini tiada pada haiwan ternakan lain, cumanya apakah ukuran bagi memenuhi ciri-ciri 'nama' ini.

Maka, satu tempoh perlu dibataskan bagi membuktikan haiwan tersebut 'nama'. Tempoh itulah yang dikenali sebagai 'haul' iaitu satu tahun.

Maka, 3 haiwan yang disebut dalam nas menepati syarat 'nama' dan 'haul' dan jika sampai bilangan yang disyaratkan ( nisob ), maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar tertentu.

Bagaimana dengan haiwan lain? Jika mendatangkan hasil mengapa tidak dizakatkan? Jawapannya, kita bercakap bab zakat haiwan. Di sana, masih ada lagi kategori zakat lain seperti zakat perniagaan.

Parti Politik.
Untuk perbincangan kedua menyentuh hukum mewujudkan lebih daripada satu parti politik dalam negara islam.

Isu ini timbul kerana:-
1. Menyebabkan pepecahan dalam umat islam.
2. Parti politik adalah acuan politik barat.
3. Ummat islam tidak akan taat kepada pemerintah bahkan kepada ketua parti.

Al-Fadhil, Syeikh Yusof Al-Qaradhawi menyatakan dalam fatwanya:-
1. Tiada dalil syarie yang melarang perkara ini.
2. Kewujudan parti dilihat sebagai jalan untuk menegur pemerintah ( amar ma'ruf nahi mungkar ).
3. Kepelbagaian parti politik disamakan dengan kepelbagaian mazhab dalam islam.

Bersambung.....

Thursday, July 2, 2009

Harapan PRISMA



Alhamdulillah, sempat juga saya memperbaharui artikel dalam blog ni. Walaupun masa yang padat takala sesi mesyuarat agung tahunan semakin hampir dan mata pelajaran saya di semester ini agak sukar.

Harapan Mafraq.
Terima kasih kepada jawatankuasa AGM PRISMA kerana menjemput saya sebagai pemerhati dalam program terakhir anda. Pengalaman yang berharga buat saya.

Harapan PRISMA.. Ustaz Nasir dan rakan-rakan AMT. Bebanan yang bakal dipikul.

Melaksanakan perubahan bukanlah suatu yang mudah. Tidak kira seluas manapun khilaf dan perbezaan pendapat antara ahli anda, namun masing-masing menaruh impian yang satu. Sama ada Hayyu Dubat, Imarah dan Sakan..

Impian Ukhuwah dan Penyatuan.

Sudah berapa ramai yang terasa, yang menangis, yang sedih. Semuanya mengharapkan misi penyatuan. Tanpa penyatuan, tidak layak sesuatu kelompok pelajar digelar persatuan. Hilangnya ‘satu’.

Saya tidak berani untuk mengulas namun sangat menaruh harapan ke arah itu.

Bahasa Dakwah Yang Berwarna Warni.
Sebenarnya berhujjah dengan hukum fiqh tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka yang tidak berkehendak. Fiqh sekadar ilmu teori yang statik.

Apatah lagi menggunakan fiqh untuk ‘menghukum’

Ada beza menghukum dan menyatakan hukum.

Mereka yang datang ke Jordan mengambil jurusan agama bukan mereka yang baru masuk islam. Mereka yang mendalami bahasa arab bukannya mereka yang tidak memahami langsung perkataan dalam Al-Quran.

Sudah bertahun-tahun. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena.

Mereka ini juga sahabat kita.. Keluarga kita di sini.. Teman seperjuangan di tanah air nanti.

Mereka yang melakukan kesalahan, mungkin menunjukkan reaksi agar diberi perhatian. Bagaikan si anak merajuk. Orang yang tidak faham akan terus memburukkan keadaan.

Gunalah bahasa pujukkan. Bahasa kaunseling bukannya bahasa hukuman.

Bahasa dakwah yang bewarna-warni.. Bahasa hukum yang satu..

Perkongsian Peluang.
Mungkin pengalaman di Mu’tah boleh dikongsi. Sehingga sekarang saya masih mengagumi motto ‘permata untuk semua’ yang digagaskan oleh Mohammad Mohsen.

Bukan sekadar retorik, tapi inilah kunci penyatuan Mu’tah. Tidak kira apa pandangan orang tersebut di mata anda, mereka tetap ahli persatuan. Berhak dalam semua hak seperti anda. Cuma kebolehan dan sokongan yang membataskan sesuatu.

“ Saya nak Bucas jugak yang menjadi pengarah MAFEST” Amad tegas dengan keputusannya walaupun ramai AMT dan saya sendiri yang meragui kemampuan beliau.

Bucas, dengan imej dan pengalaman, sesiapa sahaja akan risau apatah lagi program tersebut satu minggu dan dengan perbelanjaan JD 400. Mampukah dia uruskan program, dewan, kewangan dan sambutan.

“ Saya tidak kisah biarlah program itu hancur, saya nak bagi peluang kat dia jugak”

Hasilnya, walaupun ada sedikit kelemahan, namun tetap berhasil. Hingga kini, tidak kira siapa anda di Mu’tah, peluang sangat terbuka luas sebab penilaian tidak disempitkan.

Bagi mereka yang diberi peluang, gunakanlah dengan sebaiknya. Mereka yang tegas dan digelar ‘syadid’ ada sebabnya. Anda juga harus belajar memahami mereka. Bukan tanpa sebab mereka tidak ber’kenan’ dengan perbuatan anda.

Mereka sepatutnya memberi peluang dan anda sepatutnya menggunakan peluang dengan baik. Memahami demi ukhuwwah.

Masing-masing ada cara yang tersendiri dan saya pasti kepimpinan PRISMA sudah berusaha melakukan yang terbaik. Begitu juga rakan-rakan Hayyu Dubat. Suara mereka demi kebaikan PRISMA.

Yang pasti cara anda melayan sahabat luar mantiqah sungguh ramah. Maaf kepada Azfar, Apek, Faizal dan ramai lagi yang mempelawa kerana tidak dapat bermalam di Mafraq.

Semoga PRISMA terus menjadi wadah perjuangan mahasiswa Malaysia Mafraq.

Jumpa di MEKAR 09..