Thursday, June 25, 2009

Ustaz Turun Ke Hospital?



“ Wat, tengok sekarang, macam-macam bidang orang agama boleh masuk”.
“ Iye, Alhamdulillah rezeki kita, namun yang paling besar tanggungjwab dan amanah kita agar bidang tersebut selari dengan syariah islam”

Pendidikan sudah terjamin apatah lagi keperluan terhadap J-QAF.
Polis dan tentera sudah ada orang kita dalam kagat.
Ekonomi, setiap bank disyaratkan mempunyai lembaga penasihat syariah.
Dalam mahkamah syariah ada peguam syarie.
Dalam masyarakat apatah lagi, imam, bilal, qadhi nikah.

Tidak kira bidang baru apa yang muncul, pastinya akan melahirkan fiqh ataupun hukum hakam. Tiada satu perkara dalam dunia ini terlepas daripada 5 hukum taklifi.

Wajib, Haram, Sunat, Makruh dan Harus..

Bukan setakat hukum hakam, bahkan kemasukan orang agama juga sebagai ikon akhlak selain sebagai pembimbing kepada orang lain.

Mengislamkan semua lapangan dan memahamkan mereka tentang islam itu luas.

Cuma dalam bidang perubatan, agak kurang orang kita. Saya tidak bermaksud tiada ijtihad ulama dalam bidang ini, Cuma agak kurang dipandang oleh orang agama yang bertaraf da’ie.

Ustaz turun ke hospital?

Bagaimanakah dikatakan Ustaz Medic ini? Perlukan dia mempelajari biologi, fizik, kimia dan lain-lain?

Saya melihat ada beberapa cabang utama dalam bidang perubatan yang perlu diterjun oleh orang agama.

Yang pertama adalah ijtihad dalam menghasilkan hukum hakam berkaitan perubatan.

Daripada sebesar-besar isu seperti mati otak, klon, pemindahan organ, bedah siasat mayat, pembedahan kosmetik, dan pengguguran. Semua ini perlu diketahui oleh ustaz dan bakal ustaz.

Isu yang sederhana pula terhadap doktor dan pesakit, hukum mengerjakan solat bagi yang terpaksa menjalani pembedahan yang melangkaui waktu solat, bersuci bagi mereka yang sakit, cara solat, menghadap kiblat dan lain-lain.

Nyawa adalah satu dharuriyat dalam islam. Keutamaannya selepas agama, maka wajib diselamatkan sekiranya mampu.
Ibadat dalam islam juga wajib dilaksanakan, namun fleksibel dengan keadaan semasa. Solat tidak boleh ditinggalkan walau apa keadaan sekali pun, cuma ada kelonggaran dalam perlaksanaanya.

Bidang yang kedua yang saya maksudkan adalah kaunseling. Kita sendiri menyedari bahawa mubaligh kristian menguasai sebahagian hospital dalam misi kasih sayang Tuhan Jesus.

Memang, kaunseling adalah bidang lain, namun agama juga mempunyai cabang ini bahkan lebih mendalam kerohaniannya.

Ada pesakit yang tidak dapat menahan sakitnya menyalahkan takdir. Mereka ini perlu dimotivasikan agar menyedari ini semua adalah ujian Tuhan.

Menyampaikan kalam bahawa setiap kesakitan itu penghapus dosa. Juga bagi mereka yang bakal memasuki bilik pembedahan, kemungkinan besar itu adalah penamat hayat mereka. Maka, orang agama diperlukan untuk menyampaikan nasihat terakhir.

Ustaz, pesakit juga memerlukan anda.

Wednesday, June 24, 2009

Menanti Langit Cerah ( siri akhir )



MPPM, sebuah badan yang bagi sesetengah orang tidak mempedulikannya. Bukan tidak berminat namun yang layak menganggotainya hanyalah mereka yang bergelar ‘presiden’.

Bukan senang untuk bergelar YDP ataupun presiden zon melainkan badan anak negeri ( BKAN ) yang kecil.

Namun, sesi ini ada kelainannya, pencalonan ahli majlis tertinggi MPPM ( MT ) telah dibuka kepada sesiapa yang pernah ataupun sedang menyandang apa sahaja jawatan dalam persatuan.

Saya dicalonkan..

Saya juga hadir ke Mesyuarat Agung MPPM. Terpadang senarai calon yang diletakkan termasuk saya.

Sangat rendah diri apabila melihat calon lain pengalaman mereka sungguh hebat. Ada yang pernah bergelar presiden, YDP dan lain-lain jawatan besar.

Saya pula, hanya tertulis ketua biro akademik, mujurlah gambar saya tiada. Tidaklah orang kenal sangat.

Mesyuarat Agong MPPM agak tegang juga apabila ada ahli yang membangkitkan bahawa MPPM didominasikan oleh mantiqah tertentu. Saya pun turut bersuara mempertikaikan majalah asprasi MPPM dan juga perbelajaan KARISMA.

Sesi petang, saya hadir namun hanya tidur dalam dewan hinggalah pengumuman oleh pengarah JPR.

Dzulkarnain..
Khairul Anwar..
Aladin..
Dan yang terakhir Muhammad Shahrul Ifwat..

Tidaklah begitu terkejut. Mungkin undian ke atas saya sekadar pelengkap mewakili mantiqah Mu’tah. Apa pun, undi tetap undi dan itu keputusan rasmi.

Tiba-tiba, datang presiden MPPM pada saya. Itulah kali pertama saya mengenali dia. Berdasarkan gaya dan imejnya, dia seorang yang bershakhsiah tinggi dan selayaknya memimpin MPPM.

Seminggu selepas itu, beliau menghubungi saya takala menghadiri Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia di Mesir. Beliau meminta saya memangku jawatan presiden.
Ketika itu hanya ada 2 orang AMT.

Dapat menyertai MPPM adalah pengalaman yang bermakna, sedikit sebanyak mengurangkan tekanan di PERMATA. Saya sendiri ditawarkan jawatan timbalan presiden 1. Kata presiden MPPM, dia mahu saya menjadi ‘chek and balance’ dalam MPPM.

Mungkin dalam PERMATA saya sedikit ego kerana merasakan diri ini senior. Ataupun mungkin terlalu sukar untuk satu pendapat dengan pimpinan terutama ALP.

Berlainan suasana dalam MT MPPM. Saya mengagumi semua yang menyertainya. Mesyuarat kami tidak pernah tegang dan tidak pernah diam. Ada sedikit keprofesionalan berbanding PERMATA. Namun, bukanlah untuk merendahkan PERMATA. Mereka yang menganggotai MT MPPM sudah berpengalaman

Percayalah, dalam persatuan perlu ada orang yang mengkritik anda agar tidak bongkak. Namun, anda juga harus sentiasa kuat agar tidak tumbang dalam menghadapi kritikan.

Ada arus yang anda perlu redah dan ada arus yang anda perlu ikut. Yang pasti anda tidak hanyut dan menhanyutkan bahtera anda.

Dengan PERMATA dan MPPM, pemikiran saya semakin terbuka, ikatan persahabatan semakin luas, pandangan semakin jauh.

Umpama air, sesuci mana pun jika berada dalam sesuatu bekas tanpa dialirkan akan tetap terdedah dengan kekotoran.

Jika dialirkan ia semakin suci dan terus suci.

Bukan setiap hari awan menutupi langit.

Tunggulah dengan sabar awan itu pergi ataupun ia akan menurunkan hujan.

Yang nyata, langit pasti cerah..

Tuesday, June 23, 2009

Menanti Langit Cerah ( siri 3 )


Alhamdulillah, hubungan saya sentiasa akrab dengan presiden sejak tahun 1. Bahkan saya mengagumi beliau. Sejarah beliau hebat, latarbelakang keluarga juga. Pencapaian akademik dan pengalaman di UIA. Kebolehan bertutur dalam bahasa inggeris dan arab dengan fasih jauh lebih baik daripada saya.

Memang selayaknya beliau ditampuk itu. 2 minggu selepas itu , saya pulang bersama beliau ke Malaysia

Ketenangan yang dicari..
Bayu timur pantai batu buruk..
Raut wajah ibu dan ayah..
Nostalgia kawan-kawan..

Kepulangan ini benar-benar menyuntik semangat untuk kembali melawan arus. Diam bukan bererti mengalah, namun jangan sampai diam membuatkan mereka memperlekehkan kita.

Sekurang-kurangnya kepimpinan kita berasaskan harapan. Harapan presiden, harapan rakan-rakan ALT dan harapan mereka yang cintakan ilmu.

Semester soifi sudah bermula. Dengan suasana yang agak tenang dan meraka yang sering mempertikaikan saya tiada pada waktu itu. Inilah peluang yang terbaik. Membentuk Baitul Hikmah. Menghimpunkan tenaga pemikir dan akademik yang terbaik di Mu’tah.

Ada satu lagi misi patut dibentuk selepas gagasan cemerlang PERMATA untuk semua sesi lepas. Iaitu..

Biar ahli berkongsi tekanan kerja dengan pimpinan.
Biar ahli mampu menjadi pemerhati yang terbaik buat pimpinan.
Biar ahli tahu apa isu kita.
Ahli berhak kerana mereka membayar yuran yang sama dengan pimpinan.
Mereka juga mampu mengubah perlembagaan dan penentu hidup mati persatuan.

Persatuan ini bukan eksklusif untuk golongan tertentu.

Namun, saya lebih melihat ahli sewajarnya diberi peluang bergerak seiring dengan pimpinan. Mereka juga layak seperti kita.

Cerita masuk U
Pendaftaran pelajar tahun baru,setiap tahun pasti BA menerima tekanan ini. Mereka yang mendaftar melalui persatuan namun kali ini peluang itu tertutup rapat lantaran Universiti Mu’tah mensyaratkan kelulusan daripada KPT Jordan.

Ramai yang melenting dan mempertikaikan keikhlasan orang persatuan. Kita mesti berterus terang agar mereka faham dan mereka akan memahamkan orang lain.

Maka, saya menceritakan satu persatu bagaimana saya menguruskan pelajar baru. Saya menceritakan bagaimana kali ini peluang itu sudah tertutup. Persatuan tidak mampu lagi membantu.

Alhamdulillah, ramai yang faham bahkan bertanyakan saluran yang sebenar.

Namun,
“ Saya nak bercakap dengan presden dan timbalan presiden” 2 orang Ahli Lembaga Penasihat ( ALP ) ingin berjumpa kami selepas itu.
“ Ada apa?” saya menjawab.
“ Mengapa kamu dedahkan rahsia persatuan. Saya cukup terasa dengan kamu. 2 tahun saya buat kerja ini, tak pernah saya bagitahu kepada orang lain. Kamu membocorkan rahsia persatuan!!”

Presiden cuba meredakan keadaan takala masing-masing sudah hilang keprofesionalan.

Malam itu pertanyaan bertukar pergeseran pendapat. Kemudian bertukar membangkitkan perkara lama. Bertukar menjadi salah faham yang melukakan hati saya dan dia.

Sekiranya didedahkan kepada ALT tentu semakin buruk hubungan dengan ALP, saya menerima nasihat agar tidak mendedahkan perselisihan itu.

Benar, dalam persatuan ada khilafnya. Ada sebahagian mereka mengganggap kerja-kerja persatuan tidak boleh didedahkan. Saya pula sebaliknya.

Saya juga sering meraskan setiap waktu ada sahaja yang dilakukan salah.

Bermula dengan isu usrah.
Cadangan saya agar usrah dikaji kembali disalah erti saya ingin menghapusnya.
Seruan saya agar isu persatuan turut dikongsi bersama ahli disalah erti saya membocorkan rahsia persatuan.
Muhasabah saya terhadap sesi lepas dianggap memburukkan mantan.

Hinggakan permintaan mereka melarang saya menulis lantaran mencetuskan rasa tidak puas hati..

Manakah lebih baik menjadi seorang pemimpin bisu atau menzahirkan idea dan pandangan?

Keletihan kerja berpersatuan bukan kerana tenaga, namun letih untuk memahamkan orang.

Lagi letih memahamkan mereka yang sepatutnya bersama kita.

Kemudian...

" Anda dicalonkan sebagai AMT MPPM"
" MPPM?, biar betul?"

Bersambung..

Sunday, June 21, 2009

Menanti Langit Cerah ( siri 2 )



Keputusan diumumkan. Seperti yang dijangka. Namun saya masih berada dalam senarai kedua dari bawah senarai ALT yang menang.

Saya tidak berani mengangkat muka. Tidak tahu bagaimana wajah yang patut ditunjukkan. Wajah Simpati juga memandang saya.

Alangkah baiknya jika terkeluar terus.

Saya pulang dengan hati yang tenang, sekurang-kurangnya tidak memikul amanah yang besar. Semester masih belum berakhir. Tugas mengajar saya belum selesai. Kelas yang dihentikan sementara boleh disambung lagi. Tiada lagi istilah kempen.

Dalam masa 48 jam juga saya menulis surat perletakan jawatan. Saya tahu jika saya berundur makin kurang suara senior dalam PERMATA, namun dalam masa yang sama saya tidak nampak presiden memerlukan saya.

“ Wat, demo kena ada” respon presiden ke atas surat saya.

Malam itu, Lembaga penasihat mencadangkan agar saya dilantik sebagai ketua BPP. Apa-apa keputusan pun saya bagaikan menutup hati terhadap PERMATA, jauh di sudut amat terasa dengan keputusan tersebut. Mengapakah saya yang pernah dilantik sebagai ALT paling kanan sebelum ini di’turun’kan pangkat? Alangkah baiknya sekiranya saya diletakkan sebagai salah seorang AMT agar dapat membantu membuat dasar.

Rupa-rupanya pertemuan dan keputusan itu turut tidak disenangai oleh ALT-ALT lain hingga menuntut presdien mengadakan perjumpaan dengan ALT. Keputusan itu juga merenggangkan hubungan ALT dengan ALP ( ahli lembaga penasihat )

Dalam mesyuarat kali pertama..

“ Saya merasakan jawatan yang paling sesuai untuk saya adalah timbalan presiden. Saya sebagai calon presiden, saya juga cemerlang dengan khidmat BA sebelum ini”

“ Sekiranya saya diberi peluang saya boleh membantu presiden dalam perancangan ilmiah dan akdemik PERMATA, sekiranya tidak saya tidak mampu untuk bersama PERMATA lagi”

Pertikaian turut berlaku dalam jawatan-jawatan lain hingga diselesaikan dengan undian.

Esoknya…

“ Ifwat minta jawatan, kasihan presiden”
“ Aku dah hilang respect pada dia, rupanya ini perangai sebenar dia”
“ aku nak orang lain timbalan presiden”
" dia ugut presiden, tak patut"

Angin itu bertiup kencang. Dalam majlis pengenalan kepimpinan PERMATA.

“ Saya nak Tanya, adakah jawatan kepimpinan itu diminta-minta?” tanya seorang ahli yang saya dapat hidu bentuk sindirinnya.

Saya tunduk. Presiden cuba menjawab yang terbaik. Saya pelik, jawatan timbalan presiden hanya saya yang pilih apabila dipinta. Jawatan tersebut tidak direbut berbanding jawatan lain sehingga membawa kepada pengundian.

Suara-suara sumbang semakin tersebar takala saya ingin mengadakan kumpulan ilmiah, saya ditudah ingin mewujudkan persatuan baru menentang PERMATA.

Saya terpaksa mengecilkan volume pemikiran seperti yang dinasihatkan oleh kebanyakakn orang. Mengapa? Saya tidak akan mengalah.

" ifwat,itu semua dunia" nasihat seorang rakan.

BPP telah meminta ucapan saya sebagai timbalan presiden 1.

Saya menjawab dnegan pendek.
“ Biarlah persatuan ini ditentukan oleh orang yang mentadbirnya. Jangan ada tangan-tangan belakang yang campur tangan dalam urusan ini”

Saya tidak pernah memberi komen lebih akan siapakah tangan-tangan belakang itu, hinggalah hari ini.

Saya mengharakan agar keputusan PERMATA tidak dipengaruhi oleh ALP yang merupakan mantan kepimpinan. Saya menghormati mereka, kelebihan dan pengalaman mereka, namun keputusan ALT sepatutnya lebih kuat daripada keputusan mereka.

Tangan-tangan itu juga saya tujukan kepada orang-orang yang mengangkat presiden sendiri. Peranan anda hanyalah sebelum pilihanraya. Selepas itu ALT yang berhak menentukan dasar ini. Tutuplah mulut anda walaupun sebelum ini anda berkempen bermati-matian untuknya.

Biar persatuan ini digerakkan oleh mereka yang terpilih oleh ahli.
Mereka itu menanggung amanah, mereka itu dipertanggungjawabkan.
Mereka letih berfikir, mengorbankan masa, tenaga dan wang.

Biarlah mereka juga menikmatai kuasa.

Bukannya anda diluar sana mengatur kami didalam mengikut acuan anda. Kami semua bukan boneka yang tiada prinsip.

Tiba-tiba..

“ Ifwat, tulisan anda mencetuskan pemberontakan”

Bersambung..

Menanti Langit Cerah ( siri 1 )


“ Wat, kawe ada berita kurang baik sikit untuk demo” Bucas bersuara setelah kami selesai mengadakan kelas fiqh ibadat.

Mat din, Syafiq dan beberapa teman BA lain turut bersama.

“ Maklumat yang kawe dapat daripada rumah AAA, nampak gayanye demo akan kalah”
“ Ala, baru satu rumah cas” Syafiq menyampuk.
“ Tapi mereka akan kempen. Mereka kata demo tak pandai cari duit. Demo memang banyak idea tok majukan PERMATA tapi cukup lah demo duduk bawah je”

“ Wat, demo nak bertanding ke?”
“ Aku dah tarik diri la cas dengan SPR”
“ Tapi kalau demo jadi ketua BA lagi, kawe dan kawan-kawan akan sentiasa di bawah demo”

Saya sudah berubah hati, tidak menyangka sudah merebak kempen. Semalam Afiq datang ke rumah memberitahu perkara yang sama.

Mengapa perlu memberitahu kepada saya? Apakah yang membuatkan kamu simpati dengan saya?

Saya tahu gelombang pengaruh calon seorang lagi sudah sampai ke kemuncaknya, saya sendiri tidak sanggup bertanding dan telah pun menghantar surat penarikan diri kepada SPR tapi ditolak.

Semuanya suram melihat saya, ada sesuatu yang melahirkan simpati. Adakah kamu menyangka saya melakukan perubahan yang cemerlang dalam BA semata-mata untuk mengejar jawatan itu? Dan kamu simpati apabila suasana tidak memihak kepada saya?

“Kalau jadi presiden rugi, tak boleh mengajar, sibuk ke MSD” suara simpati berbaur kempen daripada teman rapat BA. Saya tahu apa yang kamu cakap dibelakang saya.

Malam itu saya mengajar kelas thaqafah dan itulah kelas terakhir saya sebelum pilihanraya. Puncanya.

“ Wah, berkempen nampak”

Suasana cukup tertekan, tapi jauh di hati saya ini adalah ujian. Samada kita ikhlas dengan kerja kita sebelum ini ataupun mungkin kita dapat sesuatu yang lebih baik.

Caranya… Sabar menghadapi ujian.

Saya tahu bagi orang yang tidak terlibat ini adalah satu permainan dan mereka akan gembir melihat persaingan yang sama kuat antara calon.

KARISMA di Irbid meredakan ketegangan, Kegembiraan SBB muncul kali ketiga piala duta memberi sedikit ketenangan.

Namun dalam masa yang sama masih muncul mesej-mesej yang agak pelik menuntut agar saya redho dengan kekalahan.

Saya tidak berhajatkannya, namun jika diri diperkotak-katikkan, mampukah anda berdiam diri?

Sabar… Sesungguhnya Allah bersama dengan orang sabar.

Menjelang pengundian, salah seorang AJK SPR menyindir saya.
“ Aku boleh tau kamu undi diri kamu sendiri”

Saya terkejut, namun bukanlah mempertikai kredibiliti SPR, Cuma ini sindiran individu. Lihatlah sekarang, orang tersebut masih tidak kembali menjejak kaki di bumi Jordan ini takala diburu. Alangkah baik kamu menjaga mulut kamu.

Saya langsung tidak berminat dan tidak berani dengan jawatan itu kerana pandangan saya jauh melihat sesuatu yang bakal dihadapi.

Tidak mungkin PERMATA kali ini mendapat ALT yang secemerlang dan berpengaruh seperti sesi Mohammad Mohsen.

BKMNS juga bakal berpindah pusat, tak mungkin PERMATA boleh menggunakan wisma semudah sebelum ini.

Kewangan yang ditinggalkan sekitar 200 JD, mampukah ianya dikembangkan?

Sungguh mendung langit, bilalah mentari akan muncul kembali..

Bersambung..

Saturday, June 20, 2009

Nostalgia BA : ' Arah' atau ' Minta Tolong'



Tanpa disedari rupa-rupanya sudah genap 2 tahun saya bersama PERMATA, bermula dengan ketua Biro Akademik dan sekarang timbalan presiden 1 PERMATA. Berbaki beberapa hari lagi saya akan meninggalkan jawatan dalam MPPM dan PERMATA.

Tiada beza antara MPPM dan PERMATA.

Tiada beza antara jawatan ALT dan AMT.

Yang pasti peluang memegang amanah ini tidak disiakan. Peluang untuk kesempurnaan diri digunakan sebaik-baiknya.

Misi the dream team.

Tanpa persatuan sukar untuk membentuknya. Dengan persatuan sukar juga sekiranya diri masih ego memandang mereka di luar sana tidak layak.

Inilah beza antara orang berpersatuan dan tidak. Ataupun orang belajar kepimpinan dalam berpersatuan dengan orang yang sekadar memenuhi kerusi ALT ataupun exco.

Suara itu muncul lagi.

“ Wat, kawe suka kerja dengan BA dulu”

Terasa di hati walaupun tidak mendengarnya daripada semua bekas team BA. Kini, ada yang sudah bergelar timbalan presiden 2 PERMATA, ada yang sudah menjadi timbalan S/U, ketua BA, ketua BBR. Dan ada yang sudah ‘pencen’ daripada persatuan.

Mengimbas nostalgia, Team ini tidaklah terlalu sukar untuk digerakkan tapi agak sukar untuk mencari permulaannya.

Ancaman perletakan jawatan apatah lagi rakan sejawatan.

Namun, niat yang ikhlas untuk perjuangan, kesabaran, semangat dan hormat antara satu sama lain mengatasi dugaan perjalanan ini.

KOMIS dihidupkan kembali, MAFEST dilahirkan, EF dikembangkan. Kelas akademik dan tafaquh diaktifkan.

Semuanya dengan niat agar berlaku perubahan dan revolusi ilmu dikalangan masyarakat Melayu Mu’tah. Biarlah jejak kaki ke kelas tafaquh itu dengan penuh rasa rendah diri. Biarlah semua layak bercakap isu ilmu dan akademik.

Seperti KOMIS kemuncaknya.

Namun, semua itu tidak akan terhasil tanpa nasihat daripada U.Mahadi. Farhana Suhaimi yang sentiasa mampu mengimbangi pengaruh saya. Basyirah dan Rasyidah yang sentiasa patuh.

Bucas sangat lucu dan penyuntik semangat kami. Layaklah beliau sebagai pengarah MAFEST. Bahkan Bank soalan Syabab yang wujud kini adalah usaha beliau. Selagi dimanfaatkan selagi itulah ganjaran pahala untuk beliau.

Mat Din sangat tekun. Mampu menyebarkan iklan ke seluruh Mu’tah dalam masa satu malam, siapa sangka seorang yang berkaca mata itu seorang yang bersastera dan bermotivasi.

Mat We, digelar pakar bahasa Pasir Puteh. Siapa sangka keadaannya yang tidak menampakkan serius, beliau pernah tidak tidur malam semata-mata perjalanan program kemahiran bahasa arab.

Farid juga, banyak mengorbankan masa dan tenaga. Tugasnya berhubung dengan pihak universiti memudahkan kerja-kerja saya.

Dayana, Ku dan Ziana masih setia menjalankan tugas-tugas BA walaupun sekecil-kecil tugas.

Syafiq, Amer dan Kamilah tahniah atas pertolongan anda.

Team kita yang terbaik dan teramai ketika hari keluarga PERMATA.

Kini, sudah setahun kita berpisah. Apalah nilai jawatan yang kecil sebagai kenangan buat diri anda, tapi nilai semangat pertolongan anda cukup saya hargai.

Sebagai seorang ketua, kita ada 2 watak. Samada menganggap kita bos dengan mengarahkan orang dibawah.

Ataupun kita menganggap kita dibebani dengan sesuatu tugas, maka kita meminta pertolongan dengan orang dibawah kita.

Antara ‘arah’ dan ‘minta tolong’.

Ada bezanya dan inilah yang saya ucapakan dalam mesyuarat ALT kali terakhir pada sesi 07/08 takala semua ketua biro merungut komitmen AJK.

Teman-teman sentiasa berubah, namun misi the dream team sentiasa teguh di hati

Penghargaan buat : Ustaz Mahadi, Ustazah Hasanah, Farhana, Basyirah, Rasyidah, Nik Farid, Che Shihabudin, Che Ridzuan, Farid, Syafiq, Ameruddin, Dayana, Ku Mawaddah, Ziana, Kamilah, Kak Bazilah.

Melarikan Diri Daripada Isu Ini? ( siri akhir )



Benar, isu salaf-khalaf dan bid’ah ini perlu dikuasai oleh pelajar agama. Ini adalah isu kita. Orang yang faham isu ini akan cenderung kepada salah satu aliran. Mereka yang tidak berminat dengan mana-mana aliran adalah mereka yang tidak faham.

2 golongan ini adalah ahli sunnah wal jamaah yang paling dekat ( termasuk maturidi )

Cuma untuk apa kita perlu mengetahui kedua-duanya?

Ilmu perbandingan.
“ ifwat, orang dulu duk khilaf, kita duk pening menghafal dalil mereka” gurau salah seorang sahabat.

Kewujudan pemikiran yang berlainan dalam sesuatu ilmu bukanlah perkara yang pelik. Ilmu bahasa, sastera, perundangan, sains, sejarah dan mana-mana ilmu yang memberi ruang kepada campur tangan akal dan faham, maka mustahil hanya ada satu aliran.

Begitu juga agama dan syariah.

Namun, perbezaan sepatutnya dinilai dari sudut kekayaan perbendaharaan sesuatu ilmu dan sebagai nikmat kepada pengkajinya.

Manhaj akidah yang diperkenalkan oleh salafi sangat mudah untuk difahami. Konsep yang sangat sesuai untuk memahamkan mereka yang bergelar ‘orang awam’. Asasnya berpegang kepada zahir nas tanpa campur tangan akal untuk memikirkan secara mendalam.

Manhaj akidah asyaeirah pula sangat sesuai apabila berhadapan dengan golongan yang sering menimbulkan keraguan terhadap islam dan ketuhanan. Asasnya yang dikuatkan dengan ilmu mantiq sangat penting dalam berhujjah dan menghadapi serangan berbentuk pemikiran.

Maka, kedua-duanya sangat menjadi keperluan. Bercakap soal akidah sudah tentu berbeza apabila berhadapan dengan orang islam dan bukan islam, begitu juga dengan orang yang ingin menerima dan orang yang ingin menimbulkan keraguan.

Kuasailah manhaj salaf untuk mendekatkan orang awam terhadap akidah islam.
Pelajarilah manhaj asyaeirah dalam menajamkan akal membicarakan akidah islam.

Begitu juga selain lapangan akidah yang menjadi perbezaan antara mereka turut penting buat kita.

Isu bid’ah.

Wujud dikalangan mereka yang begitu cepat menghukum bid’ah apabila melihat amalan yang tidak pernah disebut dalam kitab bukhari dan muslim.

Ada juga yang begitu cepat melebal wahabi takala melihat ibadat yang dilakukan bertentangan dengan adat kebiasaan.

Kesimpulannya gagal memahami isu khilafiah

Siapa yang perlu membetulkan keadaan ini jika bukan kita, pelajar agama?

Sebaiknya, ibadat yang dilakukan mestilah hampir dengan sebenar-benar sunnah agar agama ini terus terpelihara daripada tokok tambah.

Itu bagi mereka yang mampu mencari dalil dan pendapat yang paling rajih.

Bagi mereka yang ibadatnya hanya taqlid daripada adat dan kebiasaan, bagaimana? Mahukah kita memaksa mereka meninggalkan semua amalan dan melaksanakan ibadat apabila hanya apabila bertemu hadith sahih?

Suara dakwah dan sebaik pendekatan amat diperlukan. Bagi mereka yang ingin mengubah.

Isu ini sebenarnya bukan isu keutamaan.

Gejala murtad, sosial, isu palestin, umat islam yang ditindas jauh lebih utama.

Isu perbankan islam, ekonomi, perubatan, politik jauh perlu diperahkan fikiran ke atasnya.

Namun, isu ini juga tidak harus diabaikan agar kita tidak berpecah dari dalam dan musuh mentertawakan kita.

Teringat kata Tuan Guru Abdul Hadi Awang
“ Ulama duk brgaduh membahaskan azali dan qadim, mengarang kitab, mengkritik pendapat anatara satu sama lain, dalam masa yang sama negeri, Siam yang perintah”

Tuesday, June 16, 2009

Melarikan Diri Daripada Isu Ini? ( siri 1 )


Cuti ini, saya sempat membelek buku Prof Dr. Abdul malek Saa’di yang bertajuk bid’ah berdasarkan kefahaman islam yang teliti. Buku yang agak menarik dalam membincangkan kefahaman sebenar konsep bid’ah.

Sebenarnya, saya sendiri agak berat untuk mengambil tahu isu bid’ah secara dalam apatah lagi membaca buku berkenaannya. Bagaikan ingin memekakkan diri dan bersikap berkecuali dalam isu yang dikira sangat besar jurangnya antara golongan ahli sunnah wal jamaah.

Saya merasakan ramai juga dari kalangan ahli agama dan pelajar cuba bersikap sedemikian.

Puncanya, membincangkan isu ini sungguh letih antara 2 golongan samada asyaierah ataupun dikenali sebagai khalafi dan kumpulan yang kedua salafi ataupun wahabi.

Isunya berkisar taqlid dalam mazhab, bid’ah dalam ibadat, pengamalan hadith dhaif, takwilan sifat Tuhan. Perbezaan yang bermula dengan manhaj hadith terus merebak ke bidang akidah dan fiqh.

Saya pernah mengalami kefinatikan bersama asyaierah ketika di sekolah dulu takala kagum dalam pelajaran ilmu kalam menentang mu’tazilah.

Kemudian beralih kagum dengan Salafiyah yang dilihat berusaha menjaga kesucian agama ini daripada ditokok-tambah.

Ada satu perkara yang kita tidak inginkan semasa mendalami mana-mana aliran, namun terkena juga tempiasnya. Iaitu hilang hormat kepada mereka yang beraliran sebaliknya terutamanya ulama.

Hinggalah manhaj di Universiti Mu’tah lebih bersederhana. Saya terus hilang minat isu bid’ah ini. Seperti kata Dr. Syuesh ini semua angkara pengikut.

Tidak kira salafiyah dan asyaierah, lahir dikalangan mereka ulama-ulama yang bukannya hebat. Khazanah ilmu dan kitab mereka sangat besar dan sudah berkurun-kurun.

Siapa mereka yang mengkritik Al-Bani? Mampukah anda menghasilkan silsilah hadith dhaif dan shahih seperti beliau? Hebatkah manhaj takhrij hadith mereka?

Siapa mereka yang mengkritik Syeikh Al-Buti, adakah mereka mempunyai ilmu dan penulisan yang luas seperti beliau?

Maka, siapa yang lebih benar? Persoalan yang tiada jawapan objektifnya.

Ada yang cuba lari dan tidak berminat dengan isu ini bahkan merasakan takut untuk terjebak.

Tapi isu ini adalah isu orang agama, sekiranya anda lari siapa lagi yang akan mendalaminya?

Bersambung...

Monday, June 15, 2009

MEKAR MPPMJ 09


Dalam melabuh tirai yang sesi 2008/2009, Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan bakal menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan dan Karnival Akademik dan Budaya atau singkatannya MEKAR 09.

Program ini akan menyempurnakan pertandingan akademik dan budaya yang telah digugurkan dalam KARISMA baru-baru ini.

Antara acara menarik yang bakal diadakan adalah debat dan persembahan kebudayaan.

Anugerah pelajar turut diadakan seperti anugerah akademik dan tokoh pelajar.

Pihak MPPMJ dan MSD bersetuju memilih mantiqah Mafraq sebagai tuan rumah dan tarikh yang dipilih adalah pada 10 dan 11 Julai 2009.

Hadirlah beramai-ramai ahli MPPMJ sekalian.

Permata Sahara Mu'tah


Dalam menggerakkan kerja-kerja persatuan samada untuk sesuatu program ataupun pentadbiran biro, kita tidak mampu melakukan secara bersendirian. Kita juga tidak seronok jika melakukan bersama rakan-rakan yang tidak menepati kehendak kita. Yang terakhir kita tidak bersemangat jika tidak berkongsi misi dengan mereka seperjuangan.

Setakat ini, membentuk team hanya jika anda menyertai persatuan dan diberi peluang mengendalikan program. Yang kedua, anda diberi kepercayaan sebagai ketua pasukan.

Misi mencari the dream team...

Sebelum ini, saya menulis suasana di Irbid dan Mafraq. Untuk Mu'tah, mungkin artikel saya lebih terperinci menyentuh individu.

Saya namakan mereka Permata Sahara Mu'tah.

Saya mulakan dengan Si Ramah. Mendapat gelaran datuk bandar Mu'tah. Bak kata salah seorang rakan. " Kalau engkau bertanding wakil rakyat Mu'tah pun, nescaya pemandu bas, tokeh kedai, kabilah sorarah, taraunah, semuanya akan mengundi kamu".

Mungkin saya sebut kelemahannya terlebih dahulu. Seorang yang agak mudah dipengaruhi oleh emosi dan kurang pendedahan kerja-kerja teknikal pengurusan.

Namun, kelebihannya mengatasi kelemahannya.
Semangatnya tidak pernah luntur. Sekiranya anda menjadi ketuanya, anda akan dipertahankan sehabis-habisan. Kesetiaan dan pengorbanannya tidak berbelah bagi.

Dia akan sentiasa bersama anda samada susah ataupun senang.

Sebab itulah saya melantik dia sebagai orang yang paling kanan dalam KARISMA.

Kelebihan lain, seorang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat tempatan, pensyarah universiti dan seorang mempunyai stamina dalam permainan bola sepak.

Si Genius itu sangat pintar dalam pelajaran, bukan bermula di sini, bahkan sejak sekolah lagi. Kini, beliau berkemampuan mengendalikan kelas. Begitu ramai yang hadir.

Kelemahan beliau, mungkin agak sukar untuk meng’arah’ orang. Saya kira faktor usia.

Namun, kelebihannya, tidak pernah lekok untuk menerima nasihat dan belajar. Hubungan beliau juga baik dengan mantan-mantan persatuan, dengan itu saya fikir dia menyimpan banyak cerita dan pengalaman. Semua ini sangat berguna di masa akan datang.

Beliau juga lantang bersuara. Tidak kira dengan siapa yang beliau berhadapan.

Alangkah baiknya, si genius ini mewakili suara Mu’tah ke Jordan. Imej dan pemikiran beliau sudah cukup mengkagumkan semua.

Si Cergas itu mungkin tidak begitu menonjol apatah lagi di mata akhawat. Kelemahan beliau mungkin tidak begitu dalam dari sudut pengalaman persatuan sini.

Namun, kelebihan beliau.
Sudah bergelar tenaga pengajar bagi kelas akademik. Gerak kerja yang dilakukan agak cepat dan serius.

Persamaan antara mereka semua,
1. Mudah mendengar nasihat dan menerima cadangan..
2. Cekap dalam kerja, tidak akan ada masalah teknikal.
3. Mudah ditegur jika melakukan kesilapan.
4. Boleh turun dalam semua lapangan bidang, akademik, sukan dan kelas tafaquh.
5. Akademik yang stabil.
6. Imej yang sederhana diterima oleh semua pihak.
7. Disiplin dalam gerak kerja.

Nada ini bukanlah satu kempen terhadap mereka menjelang pilihanraya PERMATA dan MPPM.

Bahkan, sebagai penghargaan kepada mereka kerana sudi bekerjasama dengan saya.

Inilah permata sahara Mu’tah

Wednesday, June 10, 2009

Meminta Jawatan Atau Memberi Khidmat?


Menjelang pilihanraya persatuan pelajar Malaysia di Jordan, isu-isu mula dilaungkan samada di pihak kepimpinan dan ahli. Mahasiswa Malaysia Jordan bukanlah terlampau aktif untuk menumpukan pemilihan tersebut. Setakat ini jarang ada kempen yang terbuka. Yang jelas, kebanyakan pelajar suka me'nilik' muka-muka yang bakal naik nanti.

Cuma kadang-kadang diterjemahkan dalam bentuk gurauan dan provokasi kepada yang dijangka naik. Untuk kali ini, saya dimaklumkan, pengarah SPR ingin mengadakan rapat umum antara semua calon bagi kempen menifesto mereka.

" Ada ke orang akan berkempen untuk diri sendiri?" tanya Syaheed.
" Sepanjang 3 tahun bersama persatuan, yang pasti hampir separuh nama yang dicalonkan akan menghantar surat penarikan diri"
" Hinggakan SPR terpaksa mengetatkan syarat untuk mengundur diri"

Apatah lagi untuk berkempen? Sememangnya ada, bahkan kadang-kadang hingga membawa kepada menyentuh peribadi calon. Yang dianggap penting apa ideologi politik calon dan bagaimana pergaulannya dengan kaum berlainan jantina. Itu yang kebiasaannya dinilai.

Jarang sekali calon yang berkempen untuk dirinya dan saya merasakan faktor utama disebabkan malu atau bakal dilebal gila kuasa.

Ataupun meminta jawatan. Begitu aib di sisi mahasiswa. Amanah suatu yang suci yang hanya layak pada ahlinya, kemudian diminta dan dituntut sedemikian rupa.

Cuma dalam tulisan ini, saya merasakan mungkin kita perlu meneliti perbahasan ulama dalam masalah meminta imarah ataupun kuasa.

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."
(Riwayat Muslim)

Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Hinggakan kitab-kitab utama hadith mengkhususkan satu bab larangan meminta amanah.

Walaubagaimanapun, jika diteliti larangan tersebut mempunyai sebab ataupun illah tersendiri iaitu kelemahan dalam kepimpinan. Sekiranya seseorang itu berkemampuan ataupun ahliha, sudah tentu bukan termasuk dalam hadith tersebut.

Bahkan, banyak juga nas-nas samada daripada Al-Quran dan Hadith berkenaan kepimpinan yang adil dan amanah. Kisah Daud, Sulaiman, Dzulkarnain yang disebut dalam Quran.

Tidak lupa juga hadith yang membicarakan 7 golongan yang mendapat perlindungan arash Allah dan golongan pertama adalah pemimpin yang adil.

Dalam pemilihan khalifah Ar-Rasyiddin ke 3 turut menyaksikan persaingan antara saidina Uthman dan saidina Ali hinggakan membawa kepada pengundian.

Melihat keadaan realiti sekarang juga, parti islam dan ulama juga menyertai pilihanraya, berkempen, bukankah me’nuntut’ itu dibenarkan?

Apatah lagi sekiranya tiada orang yang berkelayakan melainkan dia, pastinya jatuh kepada wajib menuntut.

Bercakap dalam skop persatuan Jordan, semua persatuan terbina atas dasar kebajikan dan khidmat kepada ahli. Pastinya, kita mengkehendaki bakal-bakal pimpinan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Maka, tidak salah jika wujud persaingan dalam mempromosikan pencapaian yang bakal dijanjikan.

Isu amanah adalah isu individu, manakala isu kebajikan adalah maslahat ahli dalam persatuan adalah isu utama.

Lebih baik kita memberikan amanah itu kepada mereka yang menjanjikan kemampuan, manifesto kebajikan yang jelas dan pengalaman mereka sendiri berbanding memberikan kepada orang yang tidak jelas matlamat yang bakal beliau bawakan untuk kepentingan persatuan.

Memetik kata-kata Dr. Muhammad Said Hawa, anak kepada Said Hawa, ulama terkenal Syria.

“ Saya pernah ditanya oleh pelajar kita berkenaan hukum mengundi pelajar masihi ( kristian ) dalam kepimpinan pelajar di Universiti, Maka saya menjawab, persatuan pelajar dibina atas khidmat bukannya atas wala’. Sesiapa yang mampu memberi kebajikan dan khidmat yang terbaik, maka tiada masalah untuk diundi walaupun bukan islam.”

Selamat memilih pemimpin…

Selamat bercuti…

Saturday, June 6, 2009

Harapan Mafraq : Permata MPPM




Untuk jaulah kedua, saya akan menceritakan mantiqah Mafraq. Tidak dinafikan mantiqah ini ada sedikit persamaan dengan mantiqah Mu’tah dari sudut pengajian dan kos hidup. Kali pertama saya menjejak kaki di Mafraq ketika Sambutan Pelajar Baru ( SPB ).

Sebenarnya, Mafraq antara mantiqah yang sudah biasa menganjurkan program berskala besar khasnya MPPM. Mungkin disebabkan kemudahan penempatan.

Antara kelebihan mafraq berbanding Mu’tah, pelajar-pelajarnya lebih mudah bertalaqi. Mungkin disebabkan jarak mereka dekat dengan Amman. Pencapaian pelajar mereka juga hebat dari sudut akademik.

Bukan setakat pencapaian dalam peperiksaan, bahkan saya mendapat tahu mereka juga aktif dengan mengajar dan membimbing pelajar lain. Sistem tutorial yang berkesan.

Ketika menyertai jaulah MPPM kali pertama di Mafraq, komitmen yang ditunjukkan oleh Presiden Mafraq dan YDP BKAN yang berada di sana membanggakan. Pelbagai masalah yang dibincangkan dengan pihak kami,AMT MPPM.

Selain itu, Mafraq juga ramai melahirkan individu-individu yang berbakat. Ketika Persidangan Tahunan Mahasiswa Se Jordan ( PERTAMA ) baru-baru ini telah menyaksikan hampir separuh penerima anugerah kecemerlangan akademik dibolot oleh mereka. Kemudian, hampir semua tokoh-tokoh khas diperolehi oleh mereka.

Tahniah saya ucapkan.

Ketika kunjungan mereka ke Mu’tah dalam menyertai piala presiden PERMATA, tahniah saya ucapkan atas kejuaraan anda. Namun, apa yang lebih penting terima kasih kerana mencetuskan kepada saya tema “ saya datang kerana ukhuwwah”

Kempen sifar ikhtilat juga suatu perkara yang menarik. Namun, saya mencadangkan agar pihak persatuan selain daripada melaksanakan kempen tersebut yang bersifat jangka masa pendek, jangan lupa rancangkan satu usaha jangka panjang.

Maksud saya di sini, bentuklah generasi yang baru dengan tarbiyah yang sebaik-baiknya. Jika nilai kefahaman dan kesedaran agama dapat dipupuk, nescaya kita dapat melahirkan generasi yang terbaik.

Kesedaran atas nama agama dan ahklak, bukannya statik dengan kefahaman qarar persatuan.

Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-Bayt ( PRISMA ), saya lihat agak menarik struktur organisasinya. Pembahagian jawatankuasa kepada 2 biro iaitu pembangunan insan dan kemahiran insan berbeza dengan persatuan lain di Jordan ini. Dua bahagian inilah yang perlu digarap untuk pembangunan mahasiswa

Mesyuarat Agung MPPM akan dilangsungkan di Mafraq pada 10 Julai. Ayuh kawan-kawan kita meriahkannya.

Wednesday, June 3, 2009

Harapan Irbid : Nadi MPPM

Kunjungan kali pertama ke Irbid


Untuk pengetahuan semua, Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ ) telah menetapkan mesyuarat agung tahunan MPPMJ pada 10 Julai, manakala persatuan zon pada 17 dan 18 Julai.

Di saat-saat akhir amanah saya dengan MPPMJ, saya ingin menceritakan jaulah saya seluruh Jordan.

Pertamanya, saya mulakan dengan Irbid, mantiqah yang paling utara dalam peta Jordan ini.

Kali pertama saya mengunjungi Irbid pada bulan Oktober 2006, ketika itu saya bersama Fudhail dan Faiz dengan tujuan mengikuti ceramah Ust Maszlee Malik, apatah lagi beliau merupakan bekas pensyarah kami di pusat matrikulasi UIA.

Itulah kali pertama saya menjejak kaki ke sana. Terpegun melihat permandangan Irbid yang jauh lebih maju daripada Mu'tah. Itulah kali pertama namun bukanlah kali terakhir.

Kemudian saya menyertai Piala Duta 2007. kami muncul juara dengan mengalahkan pasukan tuan rumah Irbid. Ketika itu, saya sudah mempunyai ramai kenalan terutamanya batch saya sendiri, namun tidaklah terlalu rapat.

Pengalaman yang paling sukar apabila pulang dari Turki, saya bersendirian tiba di Dimasq pada pukul 7:30 petang. Ketika itu saya hanya mempunyai 2 pilihan samada ke Amman ataupun ke Irbid. Saya memilih Amman kerana saya masih belum mempunyai kenalan yang rapat di Irbid.

Keadaan cukup sukar menyebabkan saya bercita-cita ingin membina ukhuwah se Jordan.

Selepas itu, saya menyertai KARISMA kali pertama di Irbid. Karnival tersebut sangat meriah, cuma mungkin kali pertama diadakan perlu berhadapan dengan cabaran. Saya tidak kisah dnegan kelemahan teknikal, cuma, saya gak terguris melihat hubungan antara mahasiswa berlainan mantiqah ketika itu.

Pada tahun yang sama juga saya menghadiri AGM MPPM di sana. Saya terpilih dengan undian sebagai Ahli Majlis Tertinggi MPPM. Undian itu merangkumi Mu'tah, Irbid, Mafraq dan Amman. Itulah yang mengubah segala-galanya buat saya.

Ketika itu juga bermulanya misi ukhuwah se Jordan.

Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI ) terbentuk dengan kehadiran pelajar perubatan dan penggigian. PERMAI ada sedikit keunikan berbanding persatuan lain di Jordan ini dengan dibentuk oleh Majlis Mahasiswa JUST ( MMJ ) dan Majlis Mahasiswa Yarmouk ( MMY )

Saya mendapat maklumat, kedua-dua badan ini dibentuk untuk pembangunan akademik mahasiswa dan mereka mempunyai dana tersendiri. Dari segi pengurusan persatuan, mereka juga agak kehadapan terutama dari sudut perhubungan kepada ahli.

Dari segi sosial pelajar, saya tertarik dengan kepelbagaian mahasiswa di sini. Ekonomi, syariah, perubatan, penggigian dan bahasa arab. Ada pelajar BA, MA dan PHD. Yang menariknya, hubungan dan sumbangan antara satu sama lain begitu akrab. Sebagai contoh, pelajar PHD dan MA tidak menjadikan status mereka halangan untuk menyumbang terhadap pembangunan insan di Irbid.

Pemilihan presiden PERMAI juga tidak direbut berdasarkan takhasus ataupun universiti. Walaupun mejoriti terbesar di Irbid adalah pelajar perubatan, tidak semestinya mereka menuntut jawatan tertinggi PERMAI itu. Mungkin faktor kesibukan dan pelajaran.

PERMAI, Irbid dan MPPM.
PERMAI mempunyai kekuatan modal insan dan ekonomi yang saya kira agak kehadapan berbanding persatuan lain. Keahlian mereka mencecah 600 orang dan merupakan 60% komposisi mahasiswa Malaysia se Jordan. Yuran keahlian mereka sebanyak 6 JD setahun, 6 kali ganda lebih tinggi daripada Mu’tah.

Aktiviti mereka menjangkau lingkungan pelajar Malaysia sebagai contoh lawatan dan sumbangan mereka kepada anak yatim tempatan.

Dari sudut program, mantiqah ini menjadi tumpuan kepada MPPM dan BKAN untuk mengadakan program hinggakan menimbulkan kesesakkan buat mereka.

Maka, tidak hairanlah saya menggelarkan mereka nadi MPPM dan BKAN. Suatu hari nanti sekiranya sekritariat MPPM dapat diwujudkan, saya merasakan Irbid yang paling sesuai untuk sebagai pusatnya.

Tidak hairanlah untuk sesi ini 5 daripada 7 ahli Majlis Tertinggi MPPM dari Irbid.

Ada yang membandingkan keramahan dan layanan pelajar Irbid berbanding mantiqah lain. Sehingga kini, saya tidak nampak kelemahan mereka walaupun sebelum saya menjadi Timbalan Presiden MPPM.

Ataupun kesimpulan yang paling tersirat, gaya hidup dan persekitaran mereka berbeza dan itulah yang membezakan layanan mereka.

Harapan saya, agak komposisi mahasiswa terbesar Jordan ini terus mempertahankan keutuhan MPPM. Dengan kesibukan anda semua, saya mengharapkan itu tidak menghalang anda menziarahi mantiqah lain.

Jadikanlah ziarah itu amalan yang berterusan agar ukhuwah seluruh Jordan dapat dipupuk. Dari sudut persatuan, kongsikanlah pengalaman anda dengan persatuan lain.

Tahniah atas kejuaraan anda di KARISMA 09. .

Tiba-tiba.

“ Ifwat, demo ni lebih mengutamakan adik beradik ‘tiri’ daripada adik kandung”

Saya tersenyum.

Dengan ukhuwah, saya kenal siapa yang harus saya hargai…

Harapan MPPM, harapan PERMAI..

Tuesday, June 2, 2009

Zakat : Sistem Yang Menakjubkan.


Apabila membicarakan berkenaan ekonomi dan muamalat dalam islam, seharusnya para dae', ustaz ataupun pelajar pengajian islam menguasai 2 bab utama dalam hal ini.

Riba dan zakat.

Kerana kedua-duanya berkaitan dengan hukum halal dan haram iaitu dosa dan pahala

Kedua-duanya juga memberi kesan yang besar terhadap negara dan masyarakat.

Jika riba tidak dihapuskan maka sistem ekonomi negara akan ke arah kehancuran dan seterusnya jurang antara kaya dan miskin semakin jauh.

Jika zakat tidak disuburkan, maka sistem pemilikan harta masyarakat kita tidak akan seimbang dan seterusnya melebarkan jurang antara kaya dan miskin.

Persamaan antara keduanya juga, dari sudut aplikasi di zaman moden, riba kadang-kadang wujud secara tersembunyi dalam sesuatu urusan muamalat yang tidak disedari.

Zakat pula kadang-kadang perlu dilihat kembali kepada harta-harta ataupun barang yang mendatangkan hasil yang mana tidak wujud di zaman silam.

Maka, persamaannya, ijtihad baru dan penelitian yang mendalam sangat perlu bagi ahli agama dalam hal ini.

Bercakap tentang zakat, tajuk ini sangat luas. Perbezaan antara mazhab juga agak banyak dalam perbahasannya. Namun, objektifnya tetap disepakati.

Menyucikan harta ( surah At-taubah ayat 103 )
Membantu mereka yang memerlukan ( surah At-Taubat ayat 60 )

Hakikatnya zakat dilihat dalam 2 aspek iaitu ibadat dan muamalat. Antara hubungan manusia dan Allah dan hubungan manusia dan manusia.

Secara umumnya, perbahasan zakat berkisar kepada 2 unsur utama:-
1. Harta yang perlu dizakatkan.
2. Mereka yang berhak mendapat zakat.

Secara teorinya, zakat hanya dikenakan terhadap harta yang mempunyai sifat nama’ iaitu berkembang dan akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Namun, oleh sebab zakat termasuk dalam bab ibadat, teori tadi seharusnya dipandu oleh Quran dan Sunnah kerana ibadat mestilah terikat dengan nas-nas yang terbit daripadanya.

Harta yang disebut secra jelas dalam nas adalah:-
1. Haiwan ternak: unta, lembu dan kambing.
2. Tanaman dan buah-buahan.
3. Duit ( emas dan perak )
4. Hasil perniagaan.
5. Harta yang terbit dan tertanam dalam perut bumi.

Manakala mereka yang berhak mendapat zakat adalah:-
1. Fakir
2. Miskin
3. Amil zakat
4. Muallaf
5. Orang yang berhutang.
6. Hamba mukatab
7. Orang yang berjuang dijalan Allah.
8. Ibnu Sabil.

Cuma di zaman moden ini timbul beberpada masalah baru yang memerlukan penelitian dalam ijtihad. Antaranya:-
1. Zakat pada duit kertas, saham, harta tanah, aset perniagaan, wang simpanan, pendapatan, KWSP dan bon.
2. Penyaluran zakat untuk pembinaan masjid, pusat kebajikan, hospital,pengajian pelajar dan lain-lain jalan kebajikan.
3. Pelaburan terhadap duit zakat.

Maka, dalam kajian fiqh zakat, seseorang itu mesti mengimbangi antara kefahaman nas, maqasidnya dan keadaan semasa pada sesuatu tempat serta zaman.

Apa pun, dalam mempelajarinya jangan lupa satu bab yang sangat penting juga iaitu perbandingannya dengan sistem lain dan hikmahnya.

Sistem zakat akan dibandingkan dengan 2 sistem ekonomi utama dunia iaitu komunis dan kapitalis.

Yang pasti zakat sangat unggul kerana tidak menyekat pencarian peribadi manusia dalam harta menjadikan ekonomi sentiasa subur. Inilah yang tiada pada sistem komunis yang menghalang pemilikan secara individu.

Yang jelas juga, sistem ini tidak mengabaikan mereka yang memerlukan. Menekankan sikap tanggungjwab dan penyucian harta. Inilah yang tiada pada sistem kapitalis yang berasaskan material semata-mata dan mengetepikan soal halal dan haram.

Wallahu a’lam.