Sunday, May 31, 2009

Jasa Mu Dikenang

Kepada Akhi Ifwat;
" Semoga terus thabat dalam perjuangan dan jadikan hidupmu berpandukan ayat 33, surah Fussilat dalam sebarang tindakanmu"

" Dan takutilah penyekit nifaq dan riya', kerana keduanya penghancur para pejuang islam"

" Salam hormat dan kagum dari senior kepada junior"

Hari ni, PERMATA kehilangan seorang permata yang sangat beharga buat kami. Kepulangan beliau bukan saja dirasai oleh ahli rumah beliau, bahkan warga Mu'tah dan juga mahasiswa Malaysia se Jordan.

Tidak kira bagaimana imej dan pencapaian beliau di sini, namun itu semua tidak menghalang kami daripada mengkagumi keilmuan dan ketokohan beliau.

Mungkin ada hikmah yang menanti beliau. Hanya Allah dan mungkin diri beliau sahaja yang mengenalinya.

" Ifwat, sejarah memang berbeza, tapi sejarah juga tidak pernah menipu" itu nasihat dia yang terakhir saya kira selepas saya menulis isu MSD, persatuan dan kelab.

Bezanya beliau dengan senior lain, beliau adalah penasihat utama saya dalam persatuan. Pengalaman beliau itulah yang saya naqal demi kebaikan persatuan di sini.

Dari sudut ilmi, banyak kemahiran yang saya belajar dengan beliau terutama dari sudut kaedah penterjemahan dan kemahiran berkomunikasi.

" Itu pun kamu tak tau"
" Dah berapa tahun duduk sini"

Kadang-kadang saya agak kurang senang dengan sikap beberapa senior yang memperlekehkan mereka yang bertanya bahasa komunikasi, tapi tidak bagi beliau.

Tidak kira apa sahaja pertanyaan, jawapan yang diberikan amat serius.

EF yang beliau hasilkan masih hidup hingga kini. Selagi mana EF dihasilkan, selagi itulah ganjaran akhiratnya untuk beliau.

Himpunan tulisan monograf dan pelbagai lagi karya persatuan ini diusahakan oleh beliau agar semua itu tidak hilang.

Apa pun saya mendoakan kejayaan anda di Malaysia nanti, jangan lupakan kami di sini.

Salam perjuangan.

Saturday, May 30, 2009

Sebab Alkohol Atau Arak?



Dalam menentukan definesi arak, ulama silam telah pun berbeza pendapat.
1.Mazhab Hanafi menghadkan maksud arak kepada perahan anggur sahaja.
2.Jumhur Ulama pula mentakrifkan arak kepada semua yang memabukkan.

Secara umumnya terdapat 3 hukum terhadap arak dan peminumnya daripada aspek yang berlainan.
1.Hukum perbuatan : Haram dan peminum akan berdosa.
2.Hukum jenayah : Peminum dikenakan had sebanyak 80 sebatan.
3.Hukum zat arak : zat arak adalah najis.

Sebenarnya, dalam Mazhab Hanafi, mereka menghadkan istilah arak bukan bermaksud mereka menghalalkan minuman yang memabukkan selain daripadanya. Cuma mereka membahagikan kepada 2 perbahasan dalam masalah ini.

1.Hukum arak.
2.Hukum bahan yang memabukkan.

Kesimpulannya, semua yang memabukkan adalah haram secara ijma'.

Dari sudut illah ataupun sebab, Ulama bersepakat illah pengharaman arak kerana ciri-cirinya yang memabukkan.

Tanda-tanda mabuk seperti peminum hilang akal dan tidak memahami apa yang dipertuturkannya.

Zaman moden.
Zaman kini menyaksikan pakar-pakar dapat mengenal pasti bahan memabukkan yang diberi nama alkohol.

Kemudian didapati alkohol juga terdapat dalam bahan makanan lain yang halal.

Maka suatu penelitian amat perlu di zaman ini.

“Semua yang memabukkan adalah arak, dan semua yang memabukkan adalah haram”. hadith muslim

Hadith ini dijadikan kaedah dan konsep arak dari sudut fiqh. Daripadanya, kita dapat membuat beberapa penelitian untuk menentukan ciri-ciri arak.

1.Dari sudut bahan campuran.
Bahan yang terkandung berpadu daripada air, karbohidrat, etanol ( alkohol ), vitamin dan mineral. Hasilnya menghasilkan ciri-ciri yang memabukkan. Sekiranya hanya alkohol sahaja ataupun alkohol yang berpadu dengan bahan lain, tentunya tidak menepati ciri-ciri arak. Maka, hukumnya bukanlah hukum arak.

2. Dari sudut proses.
Arak dihasilkan melalui proses tertentu untuk melahirkan sifat mabuk padanya. Proses yang sama juga menghasilkan bir, wain, wiski dan lain-lain nama lagi. Dengan proses inilah yang menghasilkan mabuk walaupun setiap jenis daripadanya mempunyai kadar alkohol yang berlainan.

Kesimpulan yang paling jelas adalah kita perlu membezakan alkohol dengan arak. Maka, hukum alkohol yang bersendirian berbeza dengan alkohol yang berpadu dengan bahan lain dalam menghasilkan arak.

Dalam masalah yang ditimbulkan, hukum bagi bir, wain dan wiski atau apa sahaja minuman yang dikelaskan sebagai alcoholic drink. Lupakan kandungan alkoholnya, sekiranya proses tersebut memang untuk pembuatan arak maka hukumnya adalah haram berdasarkan kaedah.

“ Apa yang memabukkan samada sedikit ataupun banyak, maka adalah haram”

Kemudian, sekiranya bahan itu pada asalnya bukan bertujuan menghasilkan arak, kemudian mempunyai illah yang memabukkan barulah kita menghukum berdasarkan kaedah

“ Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak adalah haram”.

Dalam masalah bir tanpa alkohol, saya memetik daripada fatwa Syeikh Al-Qaradhawi sebelum ini sekiranya bebas daripada bahan yang memabukkan, maka hukumnya adalah harus.

Apa pun hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud ini perlu dijadikan perhatian.

“ Akan minum sekelompok daripada umatku khamar ( arak ), namun mereka menamakan dengan nama yang lain”

Wallahu ‘alam

rujukan:
1. Fiqh Islami wa Adillahu jilid 7, Dr. Wahbah Zuhaili.
2. Fatawa Muasirah jilid 1, Dr. Yusof Al-Qaradhawi.
3. Portal E-fatwa ( fatwa-fatwa yang diwartakan di negeri-negeri Malaysia )

Haramkah Arak? Bagaimana?



Dalam fatwa muasirah Qaradhawi jilid pertama ada membincangkan 3 isu berkenaan arak ataupun khamar. Persoalan pertama yang ditimbulkan adakah pengharaman arak itu qat'ie? Yang kedua, adakah 'bir' yang ditulis bebas alkohol itu halal? Yang terakhir, mengapakah Allah menyatakan pada arak juga ada manfaat? Apakah manfaat itu?

Ada pihak cuba menimbulkan keraguan berkenaan dengan hurum arak kerana Al-Quran tidak meletakkan perkataan 'haram'. Berikut adalah petikan terjemahan daripada surah Al-Maidah

" Wahai orang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, menilik nasib adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu semoga kamu mendapat keuntungan"


Daripada ayat ini kita dapat menghuraikan pengharaman arak daripada beberapa sudut.
1. Allah telah menyamakan arak dengan berhala iaitu sama taraf dengan syirik.

2. Kemudian dinyatakan arak itu adalah termasuk perbuatan keji. Lafaz tersebut hanyalah disebut dalam Quran untuk daging khinzir dan berhala.

3. Arak juga digambarkan sebagai salah satu daripada amalan Syaitan.

4. Kemudian, disuruh supaya menjauhkan diri daripadanya. Dalam Al-Quran, perkataan menjauhkan diri hanya ditujukan kepada ta'ghut dan dosa besar.

5. Akhir sekali, perbuatan menjauhkan diri itu disertakan dengan mendapat keuntungan.

Maka, pengharamannya cukup jelas. Bahkan ini adalah tahap pengharaman yang paling tinggi dalam hukum islam. Bagi mereka yang berpegang bahawa perbuatan haram itu mestilah disebut 'haram' adalah daripada kalangan mereka yang jahil.

Pengharaman Arak juga telah diijma'kan oleh ulama, maka bagi yang ingkar jatuh hukum kafir padanya.

Dalam persoalan kedua yang ditimbulkan, berkenaan dengan bir yang bebas dengan alkohol, perlulah melihat kaedah islam dalam menentukan konsep arak.

" Setiap yang memabukkan adalah arak, Setiap arak adalah haram, apa yang memabukkan samada sedikit ataupun banyak adalah haram"

Sekiranya bebas daripada bahan yang memabukkan, maka hukumnya tentulah bebas daripada arak. Cuma, syeikh Qaradhawi menambah, sekiranya ada keraguan,jalan yang lebih baik tinggalkanlah.

Kerana keraguaan itu syubhah dan syubhah sangat hampir dengan haram.

Isu yang terakhir pula adalah mengapakah Al-Quran menyebut manfaat pada arak walaupun sedikit dan apakah manfaat itu?

Syeikh menghuraikan manfaat dalam ayat tersebut adalah manfaat ekonomi dari sudut pengeluaran dan perniagaan.

Namun, mudharatnya cukup besar meliputi tubuh badan manusia, akal dan jiwa.

Kesannya akan lahir masyarakat pemabuk yang tiada nilainya. Tidak mampu berhadapan dengan musuh. Tidak mampu untuk bangkit.

Kaedah islam juga menetapkan jika mudharat mengatasi manfaat, maka padanya adalah haram.

Sesuatu yang menarik berkaitan arak adalah pengharamannya bertadarruj ataupun berperingkat berbeza dengan perkara haram yang lain.

Bahkan menurut saidina Umar, surah al-Maidah ini antara ayat yang terakhir diwahyukan.

Wallahu A'lam

Friday, May 29, 2009

Cerita mengenai Riba.


Alhamdulillah, semalam dalam cafe muasirah, kami sudah beralih ke jilid 2. Setakat ini saya kira sudah melebihi 10 kali diskusi kami. Ahli tetap masih lagi setia. Sekali lagi saya mengalu-alukan kahadiran syabab Mu'tah ke diskusi kami setiap malam jumaat. Saya juga memohon pengiktirafan daripada BBR sebagai salah satu TDI rasmi PERMATA.

Untuk kali ini saya akan cuba menceritakan sekadar yang termampu antara hasil diskusi kami, dan untuk kali saya memilih tajuk berkenaan riba.

Dalam fatwa jilid satu, terdapat 3 masalah berkaitan riba. Yang pertama berkenaan hukum faedah di Bank Konvensional. Yang kedua, kisah seorang graduan ekonomi yang hanya mendapat pekerjaan di Bank konvensional dan yang ketiga hukum riba pada wang kertas.

Mengulas makna riba, konsep yang mudah diperkenalkan oleh beliau iaitu sebarang hasil yang diperolehi tanpa usaha dan penat lelah.

Sudah tentu maksudnya mengenakan caj tambahan apabila memberi pinjaman kepada pihak lain.

Isu yang paling besar zaman kini adalah menyimpan wang di bank konvensional yang jelas menyediakan pekej berbentuk riba. Samada faedah yang perolehi oleh pemegang akaun ataupun faedah yang dikenakan bank kepada peminjam lain.

Kesimpulannya hampir berlaku ijma' ulama bahawa faedah ataupun bunga di bank konvensional adalah riba.

Cuma timbul masalah, sekiranya sudah terjebak, bagaimanakah dengan duit bunga itu? Hukumnya jelas haram maka bukanlah milik kita, namun bukan juga milik bank.

Dalam masalah ini, kaedah islam yang cukup jelas harta tidak boleh disia-siakan. Selagi bermanfaat hendaklah disalurkan untuk kepentingan semua, maka jalan yang paling sesuai adalah menyalurkannya sebagai sedekah sunat ataupun apa sahaja perbelanjaan ke arah maslahat ummat.

Melainkan zakat. Kerana zakat disyaratkan harta tersebut mestilah daripada sumber yang halal.

Dalam fatwa yang ke dua, syeikh menceritakan bagaimana beratnya dosa riba sehinggakan semua yang terlibat turut berdosa samada pemberi, penerima, penulis dan seluruh orang sekelilingnya.

Namun, punca yang paling utama adalah sistem negara dan kesedaran masyarakat. Tidak cukup menghapuskan riba dengan hanya melarang orang bekerja di bank konvensional.

Secara khususnya, Syeikh menyatakan bukan semua pekerjaan di bank konvensional itu haram. Masih ada beberapa bidang yang bebas daripada urusan riba sebagai contoh urusan broker dan bahagian pengurusan lain.

Selain itu juga, sekiranya kita keluar daripada bank tersebut nescaya yang menguasainya adalah daripada bukan islam yang sekaligus akan mendatangkan ancaman kepada umat islam.

Apa pun, dalam masalah ini semuanya bergantung kepada niat selagi mana tidak meredhoi sistem riba pada bank tersebut. Dalam masa yang sama berusahalah untuk cuba mengubahnya sekadar termampu. Mungkin keharusan itu sampai di tahap dharurat iaitu dharurat untuk hidup kerana ketiadaan peluang pekerjaan lain.

Fatwa yang ketiga berkaitan dengan hukum riba pada wang kertas zaman. Kesimpulannya wang kertas pada zaman moden sama taraf dengan emas dan perak. Maka, sekiranya emas dan perak mengalir padanya hukum riba begitu juga dengan wang kertas.

Mungkin fatwa ini memerlukan ruang yang panjang untuk diceritakan. Bolehlah merujuk tulisan saya sebelum ini


Siri akan datang : Arak, pengharaman, konsep, manfaat dan mudharatnya.

Thursday, May 28, 2009

Detik 29 Mei : Moga Saat Itu Kembali


“ Tentera Turki Uthmaniah sangat kuat. Ada pepatah menyatakan sekiranya mereka memulakan peperangan, siang akan bertukar menjadi malam kerana asap armada laut yang banyak menutupi kecerahan siang”

“ Jika mereka memulakan peperangan disebelah malam pula, maka malam akan bertukar menjadi siang kerana tembakan meriam yang terlampau banyak”.

Selain datang ke Jordan kerana pengajian Islam, saya menaruh impian untuk menjejak kaki ke 2 destinasi. Yang pertama adalah medan perang Mu’tah dan yang kedua adalah Bandar Istanbul.

Perang Mu’tah menyaksikan pertembungan kali pertama antara islam dan kristian. Saat itu bermulalah pertembungan antara 2 agama samawi ini takala ancaman kafir Quraisy di Mekah semakin lemah.

Siri peperangan antara 2 golongan ini berterusan ketika kerajaan islam di bawah Khalifah Ar-Rasyidin. Bani Umayyah yang menggantikan khilafah Ar-Rasyidin ketika itu memulakan ekspidisi laut ke Cyprus dan juga ke Andalusia demi membebaskan tanah tersebut daripada dinasti kristian.

Saat kegemilangan itu berterusan sehinggalah kurun ke 10 hingga ke 12 menyaksikan saat genting menimpa kerajaan islam. Quds jatuh ke tangan tentera salib, Baghdad jatuh ke Tartar dan Andalusia ditawan kembali oleh puak kristian.

Namun, kesedihan umat islam tidak lama. Salahuddin muncul wira menakluk kembali Baitul Maqdis.

Kelahiran dinasti Osman Gazi mengubah segala-galanya. Bangsa yang serumpun dengan bangsa Monggol dan Afganistan ini diiktiraf antara bangsa yang terkuat dunia.

Bermula dengan sebuah kerajaan kecil akhir semakin berkembang dan kemuncaknya pembebasan kota Costantinople.

Tanggal 29 Mei 1453 menandakan berakhirnya pasca perang salib era silam apabila costantinople, pusat pemerintahan Rom Timur jatuh ke tangan umat islam.

Hampir 400 tahun percubaan menakluknya. Begitu lama penantiannya.

Persiapan teknikal yang hebat ditambah dengan kekuatan spiritual. Artikel Ustaz Fauzi dan Ustaz Hasrizal sangat menarik untuk dibaca dalam menceritakan detik bersejarah itu.

Tertawannya Constantinople, benarlah janji Nabi s.a.w akan kota itu akan ditawan oleh umat islam.

Kurun ke 17 bermulalah kemerosotan empayar ini hinggalah perang dunia pertama Turki menyaksikan tewas kepada kuasa berikat. Istanbul turut ditawan, namun akhirnya kemerdekaan diberikan kepada Turki dengan syarat penubuhan sebuah republik dan pembebasan wilayah kekuasaannya.

Sejak daripada itu juga ibu kota Turki dipindahkan daripada Istanbul ke Ankara.

Perkembangan sekarang menyaksikan Turki ke arah kembali kepada zaman kegemilangan islamnya. Politik, kepimpinan dan kesedaran rakyatnya menuju kepada impian kegemilangan sejarah nenek moyang mereka suatu ketika dahulu.

Detik 29 Mei.. Moga saat itu kembali

Wednesday, May 27, 2009

EF : Jadikan Sebagai Alternatif Ilmu.

Semalam saya membuat perjumpaan dengan team fatwa EF, seramai 8 orang yang terpilih. Bagi syabab saya memilih Jeme, Fatah, Azmuddin. 3 orang pelajar baru yang saya nilai agak kehadapan dari sudut akademik. Kemudian ditambah pula dengan Syafiq. Selain itu juga mereka merupakan ahli tetap usrah café muasirah saya.

Bagi akhawat pula saya memilih Ain sesuai dengan kecemerlangan beliau dalam akademik selain merupakan tenaga pengajar kelas PERMATA. Kemudian Basyirah, bekas pelajar cemerlang batch 2006 selaku timbalan presiden 2 PERMATA. Afifah Azzam dan Ida Dayana merupakan 2 orang ahli kelas terjemah saya sebelum ini turut serta. Saya mengharapkan kemahiran dan komitmen mereka. Yang terakhir adalah Akmalina, seorang muka baru yang menunjukkan komitmen.

Berfatwa?
“ Apa fatwa yang dikeluarkan daripada perbincangan kamu?” gurau Tarmizi.

Sebenarnya group kami bukanlah para ulama yang berijtihad mengeluarkan fatwa apatah lagi kami hanyalah pelajar biasa.

Cumanya, tugasan kami adalah untuk menterjemahkan fatwa-fatwa terkini. Percubaan pertama adalah menyumbang bahan kepada E frekuensi Biro Akademik.

Antara fatwa yang menjadi pilihan kami adalah daripada website islamonline.net. Selain itu juga kami akan memilih fatwa-fatwa daripada kitab muasirah ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Zarqa, Ulama Tanah Haram dan Syeikh Ali Syartawi.

Untuk tugasan kedua, kami akan meminta fatwa ataupun pendapat daripada pensyarah-pensyarah kuliyyah Syariah seperti Prof Abdullah Fawwaz, Dr. Syuesh Mahamid, Dr. Hammad Azzam, Dr. Muhammad Said Hawa dan lain-lain lagi.

Cumanya untuk tugasan kedua, masa agak sempit takala musim cuti sudah bermula. Semua ini bergantung kepada kemampuan dan komitmen kami.

Orang tertentu tidak boleh baca?
Baru-baru ini ada yang meminta agar dikurangkan bahagian ilmiah supaya orang-orang yang agak ‘jauh’ daripada kelas tafaquh boleh menerimanya. Alasannya mereka digambarkan tidak begitu berminat dengan ilmi.

Saya sangat kecewa dengan pemikiran seperti ini. Lupakan jenis golongan, mereka semua adalah pelajar syariah dan bahasa arab. Mengapa perlu dilebalkan sedemikian?

Sekiranya bidang ilmiah tidak mampu untuk dipadukan jangan harap untuk penyatuan yang lain. Bahan Ef ini sepatutnya menjadi alternatif kepada semua golongan disebabkan bukan semua program ilmiah yang berbentuk ceramah disertai oleh pelajar.

Jangan terus meracuni sikap pelajar. Berusahalah mencari penawarnya.

Cuma saya merasakan maksud individu tersebut bahan ilmiah yang berat untuk difahami dan dibaca. Sebenarnya, semua ini bergantung kepada sikap dan minat pelajar dalam membaca. Bukan semua orang ke kelas tafaquh dan berimej akademik suka membaca. Begitu juga sebaliknya.

Akhirnya ramuan yang terbaik, kita sediakan dalam bentuk yang lebih sederhana penulisannya.

Kemudian, kita sediakan isu-isu yang boleh membuka minda dan mencetuskan rasa minat ingin mengetahui lebih lanjut. Inilah yang saya bawa dalam EF sebelum ini.

Apa pun semoga berjaya team EF 2008/2009 ini.

Nantikan karya mereka.

Tuesday, May 26, 2009

Akal vs Adat = Masih Sesat?


Petang tadi saya mendengar perbualan kawan-kawan arab( orang kampung ).

" Apa sebab Allah jadikan bulu ketiak? Apa hikmahnya pada Allah?" si A menimbulkan persoalan.

" Hikmahnya untuk menentukan seorang itu baligh dan yang kedua untuk membezakan lelaki dan perempuan" jawab si B.

" Menentukan baligh dengan macam ini? Ada perempuan yang ada bulu" balas si A.

" Apa gunanya Allah jadikan kemaluan, namun diharamkan istimta' dengan tangan" persoalan kedua ditimbulkan oleh A.

" Dengan cara kahwin la" jawab si B.

" Bukan semua orang dapat kahwin dan ada yang kahwin bila dah usia lanjut. Mana tahan masa muda" balas si A.

" Mengapa Allah jadikan orang kafir? apa beza lahir bayi daripada kafir dan islam, tapi akhirnya yang kafir masuk neraka. Allah zalim!. " kata si A.

" Cuba tengok orang kafir. Mengapa Allah cipta mereka kuat? padahal orang islam yang beriman"

" Kenapa kena bersolat? kenapa kena berpuasa? apa untungnya kepada Allah?"

" Semua itu ada hikmah. Baik kamu diam dalam hal ini. Ikut saja!!" jawab si B yang cuba untuk menutup perbahasan.

Si A merupakan seorang yang selalu berfikir. Segala kejadian Tuhan selalu difikirkannya demi mencari jawapan sehingga begitu berani mempersoalkan isu ketuhanan jika difikirkan tidak logik.

Beralih kepada si B. Seorang yang berpegang teguh pada adat dan apa yang diwarisi turun temurun walaupun apa yang difikirkan tidak logik.

Persamaan antara keduanya, ketiadaan ilmu dan wahyu yang memamdu mereka.

Saya hanya mendiamkan diri, walaupun si A cuba mengajak saya ke dalam perbincangan. Puncanya, saya tiada analogi terbaik dalam hal ni dan melihat keadaannya yang sangat keras kepala. Lagipun, saya masih diperingkat memerhatikan mad'u saya.

Apa pun cara beliau yang berasaskan kepada logik dan berfikir tepat dengan ajaran islam. Begitu banyak sekali ayat-ayat yang menyeru manusia memerhatikan kejadian alam dan itu semua membuktikan kewujudan serta kehebatan ciptaan Tuhan.

Namun, masalahnya si A hanya bergantung kepada akal, tanpa belajar dan beribadat apatah lagi melihat apa yang terkandung dalam wahyu. Akalnya dipandu dengan ego.

Kita lihat pula si B.

Beliau boleh dikategorikan sebagai seorang yang menganut islam berasaskan adat. Lahirnya sebagai seorang islam, membesar dalam islam dan hidup dalam masyarakat islam. Namun kelemahannya, gagal memberikan keyakinan dalam pegangannya.

Islamnya berasaskan adat.

Kesimpulan sementara
Sebenarnya, tidak dapat dinafikan kepentingan berfikir dalam agama apatah lagi untuk mencari hikmah.

Namun, jika dipandu oleh ego dan tanpa bimbingan ilmu pastinya akan hanyut.

Adat juga ada penting menjadikan pegangan seseorang itu kuat lantaran sudah mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Menjadikan islam itu sebati dalam kehidupan hingga sukar untuk meninggalkannya.

Namun, keadaan itu boleh goyah apatah lagi dipropagandakan dengan persoalan-persoalan yang bermain dengan akal.

Akhirnya tidak dapat dinafikan bahawa formula yang berjaya dalam hidup ini, mencari hikmah dengan akal agar jawapannya jelas. Kemudian berpegang secara adat, agar pegangan itu sebati.

Walaubagaimanapun jangan lupa acuan yang paling utama iaitu ilmu.

Lupa Sebentar Isu Itu.
Mungkin mahasiswa Jordan hidup dalam kelompok tahap kesedaran dan pendidikan islam menyebabkan kita bercakap isu agama yang bertahap 'tinggi'. Kita menghafal dalil ikhtilat, berusaha menjatuhkan hukum dengannya. Pihak yang sebelah lagi pula berusaha mencari dalil untuk menangkisnya.

Ikhtilat, safar mar'ah, niqob, tabir, mesej, persatuan.

Saya tidak menafikan kepentingannya, namun bersediakan mahasiswa jika persoalan yang lebih 'rendah' tahapnya dibangkitkan?

Mungkin kelemahan kita di sini kita tiada ma'du diperingkat orang awam. mad'u kita dikalangan kita.

" Saya usuludin, orang feqh la yang akan jawab bab hukum"
" Saya belajar bahasa"

Ini jawapan yang sungguh mudah, namun bersifat sementara.

Apabila pulang nanti bolehkah dijadikan modal untuk masyarakat awam?

Apa yang masyarakat mahu?

Usuludin tidak akan ditanya berapa hadith yang ditakhrijnya. Pelajar Adab tidak akan ditanya apa syair yang dihafalnya dan Pelajar Fiqh tidak akan ditanya soal khilaf mazhab. Bahkan saya merasakan tempias ini turut terkena kepada pelajar perubatan dan ekonomi disebabkan kita belajar di bumi arab.

Sekiranya dalam cerita tadi bangsa arab yang diturunkan kepadanya Al-Quran masih begitu jahil apatah lagi masyarakat kita.

Kembali muhasabah sebentar.

Sunday, May 24, 2009

Ke Mana Arahnya? Antara MSD, Persatuan & KELAB ( siri 2 )




dari kiri, Amzari ( Pres KUJ & BP MPPM ),Syafiq ( ALT PERMATA ), DZulkarnain ( Pres MPPM ), U.Arman ( Atase pendidikan ), T.Y.T Dato' Abdul Malik ( Duta Malaysia Amman ), Syaheed ( Pres PERMATA ) dan saya ( Timb pres MPPM & PERMATA )



“ Ifwat, Am nak lakukan pembaharuan dalam kelab ini”
“ Kelab ini hanya kuat dengan MSD, Kedutaan dibelakang dan kewangan. Am nak ubahnya.”

Belum pun saya sempat menulis bahagian ke dua artikel ini, Presiden KUJ telah pun memberikan respon. Apa pun, semoga berjaya dalam matlamat baik kamu itu.

Untuk menghukum KUJ atas peristiwa yang lepas bukanlah tindakan yang bijak. Mereka sudah berubah terutama dari sudut pimpinan. Sehingga kini, mereka masih tidak mengganggu perjalanan persatuan bahkan ramai dikalangan mereka menjadi penggerak persatuan.

Untuk menyamakan mereka dengan UMNO di Malaysia juga tidak tepat. UMNO merupakan badan politik di Malaysia, manakala KUJ lebih ke arah kelab kebajikan.

Lupakankan isu ideologi kerana kita hanya beberapa tahun. Lagi pun bukannya kelab ini ingin memperjuangkan kerajaan di sini. Apa pun saya tidak berminat untuk mengulasnya lebih panjang.

Setakat ini saya hanya bertegas bahawa persatuan mahasiswa dan KUJ tidak akan mengadakan kerjasama rasmi. Bukan kerana kami terlalu idealistik ataupun ta’sub namun kerana.
1. Perlembagaan MPPM dan persatuan gabungan yang inginkan pertubuhan ini bebas daripada pengaruh politik.
2. Sentimen mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk politik.

Maka langkah yang terbaik, bebaskan pengaruh persatuan pelajar daripada politik walaupun atas nama kebajikan. Samada hijau, biru merah ataupun apa sahaja.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, bukan semua dikalangan kita apabila pulang ke Malaysia nanti akan menjadi sebahagian daripada ahli politik. Maka biarlah persatuan ini memperjuangkan kebajikan pelajar dan dalam masa yang sama mempertingkatkan kesedaran ahli dalam akademik, isu semasa dan masyarakat.

Keadaan ini turut difahami oleh kawan-kawan KUJ, terima kasih kerana profseional dan kami tidak pernah melayan mereka sebagai kelas kedua. Masih banyak khidmat mereka yang kami perlukan.

Ahli mereka lebih kehadapan dalam bidang kesenian dan kebudayaan Malaysia. Selain itu juga gerak kerja protocol persatuan banyak dibantu oleh mereka.

Untuk bertegang urat dalam hal ini juga suatu yang tidak bijak.

Harap hubungan ini dapat berkekalan. Kita mempunyai matlamat yang sama namun cara yang berbeza. Dalam masa beberapa tahun adalah tidak bijak untuk kita menghukum antara satu sama lain.

Bantulah kami menjelaskan kepada mereka.
Saya tidak pasti isu ini sensitif atau tidak, namun saya terpaksa menulisnya. Sekiranya menjadi isu besar dan salah faham saya akan menariknya kembali.

“ Macamlah kelantan ini najis, sampai ini pun tidak boleh” kecewa salah seorang AJK KARISMA yang juga merupakan pemain bola sepak.

Isunya pasukan tersebut memakai jersey tajaan kerajaan negeri kelantan sehingga mencetuskan kontroversi. Sebenarnya jersey tersebut adalah sumbangan kerjaan negeri kelantan kepada kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan ( KMKJ ) salah sebuah persatuan yang bernaung dibawah MSD dan bergabung dalam gabungan MPPM.

Walhal jersey tersebut telah digunakan selama 2 tahun dan ketika itu turut menjuarai piala duta 3 kali berturut-turut. Saya menghargai jawapan salah seorang pegawai MSD ini mungkin agak sensitif terhadap pihak kedutaan dan pihak MSD yang terpaksa menjawabnya.

Saya sendiri agak dilemma, sebenarnya ada 5 buah Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) bernaung di bawah kerajaan negeri ‘pembangkang’ daripada 11 BKAN. Agak besar juga pengaruh itu. Apatah lagi kerajaan negeri merupakan antara penyumbang kepada BKAN. Apakah semua sumbangan 5 kerajaan negeri ini tidak boleh diterima?

Sya tidak pasti tulisan ini memburukkan lagi keadaan ataupun tidak, yang pasti 5 buah BKAN ini mempunyai hak yang sama dalam MPPM.

Cuma tujuan tulisan saya adalah ingin meminta tolong daripada sahabat KUJ.

Sebenarnya walaupun MPPM dan persatuan gabungan mempunyai pengaruh yang cukup besar daripada mahasiswa, namun suara kami agak jauh untuk sampai ke pihak kedutaan. Mesyuarat kami hanyalah dengan pihak MSD.

Maka, saya mengharapkan sahabat-sahabat seperjuangan dalam KUJ dapat memanjangkan masalah ini ke pihak atasan apatah lagi KUJ bernaung terus di bawah kedutaan. Jelaskanlah kepada mereka keadaan kita. Jelaskan kepada mereka apa yang menyebabkan perpaduan mahasiswa kita utuh. Jelaskan juga kepada mereka bagaimana hubungan kita dengan pegawai.

Mungkin ini kerjasama yang terbaik antara persatuan pelajar dan KUJ. Mungkin ini juga perbezaan antara KUJ dan kelab UMNO lain.

Semoga ukhuwwah, perpaduan dan kekuatan kita akan sentiasa berterusan.

* Saya menulis tulisan ini atas pendirian peribadi bukannya MPPM

Saturday, May 23, 2009

Ke Mana Arahnya? Antara MSD, Persatuan & KELAB ( siri 1 )


Apabila membaca kisah pegawai di blog ustaz Hasrizal bukanlah suatu yang pelik. Kebiasaannya, pelajar timur tengah akan berhadapan dengan jenis pegawai sedemikian. Puncanya kebanyakan pelajar lebih cenderung kepada aliran politik bertentangan dengan pegawai.

Bermula dengan perbezaan idealogi hingga terbawa-bawa kepada ke’profesional’an mereka dengan urusan pelajar.

Apabila bercakap keadaan di Jordan, saya kena berhati-hati. Saya diperhatikan oleh pihak pegawai dan pelajar. Namun kadang-kadang saya perlu berterus terang agar suasana positif akan berkekalan demi...

Kemudahan MSD dan kebaikan persatuan.

Ketika saya mula-mula menjejak kaki di bumi ini, terus menimbulkan kemarahan pihak MSD. Isunya, kami bertukar universiti tanpa pengetahuan mereka. Kami sepatutnya ke Universiti Al-bayt namun terus ke Universiti Mu’tah. Saya masih ingat lagi ketika tiba di MSD, ayat yang pertama keluar daripada mulut pegawai sana.

“ Kamu biadap!!”

Setelah bertikam lidah dengan mereka barulah diterima. Kami sendiri merasa pelik mengapa dilayan sedemikian. Tidak ubah seperti cikgu disiplin sekolah. Namun kata-kata terakhir mereka terhadap saya.

“ Kamu jangan pasif dengan persatuan pulak”

Kini
Selepas daripada itu saya memerhatikan pihak MSD dan persatuan. Bagaikan ikatan yang kuat antara mereka dan kami, mereka sering hadir ke program kami, memberi sumbangan dan sokongan. Semakin aktif kami semakin banyak mereka menyumbang. Tidak hairanlah 70% kewangan program dan persatuan daripada pihak mereka dan tidak hairanlah program mereka 100% tenaga penggeraknya adalah daripada persatuan.

Suatu hari pernah saya membawa kawan yang belajar di Mesir ke MSD Jordan.

“ Anta tahu tak macam mana nak tukar cek tu?” Tanya En. Azmir
“ Saya akan cuba sorof di mana-mana” Jawab saya
“ Nanti kalau tidak boleh bagitau saya ye. Saya kena keluar ni” Jawab beliau sambil tersenyum.

Tergamam kawan saya.

“ Biar benar layanan MSD Jordan”
" Iyelah, mereka bekerja untuk kebajikan kita. Mereka wujud pun kerana kita. Kita mudah kerana mereka".

Sebenarnya, mengikut cerita beliau, keadaan ini sangat berbeza dengan Mesir. Saya tidak layak bercakap puncanya namun kesannya apa yang saya tahu hubungan yang tegang antara persatuan dan MSD cukup dasyat. Di tambah pula dengan kewujudan pertubuhan politik di sana yang sering digambarkan meneguk air keruh.

Apa pun kesannya, MSD dianggap tidak profesional dan mesra manakala persatuan tidak berani untuk didekati pelajar. Ramai pelajar bersikap pasif.

Sebenarnya membandingkan Mesir dan Jordan adalah sesuatu yang tidak tepat. Keadaan kami berbeza.

Realiti Jordan.
Keadaan pelajar di sini agak berbeza. Mungkin disebabkan sistem pengajian yang padat sehinggakan setiap semester pelajar terpaksa menghadapi 3 peperiksaan ditambah pula kelas diwajibkan.

Jarak antara setiap universiti pelajar sangat jauh, ditambah pula dengan cuaca yang mempengaruhi ke’aktif’an pelajar.

Seterusnya, persatuan pelajar yang terlampau banyak menyesakkan lagi waktu hujung minggu pelajar.

Mungkin dengan faktor-faktor ini menyebabkan agenda pelajar agak perlahan apatah lagi dalam hal-hal politik.

Dari sudut MSD pula, mereka banyak bergantung kepada persatuan pelajar dari sudut pengurusan di universiti bahkan kami bagaikan diaggap wakil kedutaan dan MSD ketika berurusan.

Selain itu, fokus mereka juga lebih ke arah perkembangan akademik dan masalah pelajar.

Kelab UMNO Jordan.
Saya tidak berani bercakap jauh, namun saya berkawan cukup rapat dengan presidennya. Saya tahu sejarah hitam kelab ini dengan persatuan mahasiswa Jordan dan saya harap ini tidak akan berulang lagi.

“ Saya tengok ifwat agresif dengan KUJ” kata seorang individu yang akhirnya sampai juga ke pengatahuan saya.

Bersambung...

Wednesday, May 20, 2009

Anugerah Itu Bukan Hanya Untuk Mu


Baru-baru ini, saya tertarik dengan kata-kata seorang sahabat.

" Tuhan bagi harta dan kemewahan bukan untuk diri sendiri, tapi untuk dikongsikan dengan orang sekeliling yang susah. Ramai lagi yang terpaksa tangguh belajar kerana tiada duit untuk membayar yuran"

" Yang terpaksa berhutang"

“ Yang berlapar”

Isunya sikap sebahagian pelajar yang bermewah dalam masa yang sama keadaan sekelilingnya masih ramai yang susah.

Benar, semua itu bukanlah rezeki. Kehidupan manusia bukanlah seperti impian komunis dengan semuanya memiliki kehidupan yang sama. Ada yang miskin, ada yang kaya, ada yang sederhana, ada yang senang dan ada yang susah.

Sebab itu kita ada sistem zakat yang tiada pada agama dan ideologi lain.

Begitu juga dalam masalah ilmu. Bukan semua dikalangan kita dilahirkan dengan kemampuan yang sama dari sudut kefahaman dan kebijaksanaan. Ada yang cemerlang, ada yang biasa dan ada yang gagal.

Lupakan seketika sikap pelajar yang malas berusaha.

Yang penting bagi mereka yang mempunyai kefahaman dan kecerdasan, anda bertanggungjawab membimbing mereka yang lemah.

Filem Laskar Pelangi
Filem ini benar-benar menyentuh para penonton hingga Presiden Indonesia sendiri. Konsep kehidupan masyarakat yang susah dalam menuntut hak pendidikan menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan.

Tidak hairanlah, saudara Tarmizi sudah menghadamkan cerita ini sebanyak 5 kali, saudara Abdul Hayee pula hampir berteriak kesedihan, begitu juga Dol yang tidak sanggup menontonnya hingga ke akhir.

Namun, maksud tersirat disebalik kesusahan dan kesedihan itu adalah sikap menyumbang dengan apa saja yang termampu.

" Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya bukan menerima sebanyak-banyaknya"

Sama juga dengan tema blog Ustaz Hasrizal

" Erti hidup pada memberi"

Fardu Kifayah
Konsep fardu kifayah tidak meletakkan kewajipan kepada setiap orang namun, jika tiada yang melaksanakan kewajipan tersebut maka, semuanya akan menanggung dosa.

Dalam masyarakat mesti ada seorang alim, seorang doktor, seorang pemimpin.

Namun, adakah ilmu si alim itu untuk dirinya? Adakah kepakaran seorang doktor untuk dirinya sahaja? Adakah kepimpinan seorang pemimpin itu hanya untuknya?

Tidak, semuanya akan dipertanggungjawabkan jika tidak disumbangkan.

Sebab bukan semua kebolehan, bakat dan apa saja yang ada pada anda, turut ada pada orang lain.

Maka, memberilah. Ramai yang memerlukan. Ramai yang mengharapkan. Lupakanlah mereka yang cuba menghalang dan menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kamu.

Yang pandai,ajarlah mereka yang lemah.
Yang senang, bantulah mereka yang susah.
Yang berkepimpinan,bimbinglah mereka yang di bawah.

Monday, May 18, 2009

Kamu Lebih Ta'sub Daripada Kami.


Baru-baru ini, ketika mengendalikan kelas bimbingan Ayat Ahkam, saya tertarik dengan jawapan Dr. Ali As-Sobuni kepada seorang kristian berkenaan hukum perkahwinan antara ahli kitab dan muslim.

Sebelum itu, secara umumnya dalam masalah ini:-
1. Perempuan muslimah haram berkahwin dengan lelaki bukan muslim.
2. Lelaki Muslim haram berkahwin dengan perempuan kafir selain ahli kitab.

Dalam masalah perkahwinan antara muslim dan ahli kitab ( Yahudi dan kristian ), terdapat 2 perbahasan mengenainya. Jumhur ulama mengharuskannya manakala pendapat Saidina Umar dan Ibnu Umar melarangnya.

Apa pun pendapat jumhur lebih tepat berdasarkan surah maidah ayat 5.

Namun, keharusan tersebut bukannya mutlak. Ada syaratnya. Antaranya:-
1.perempuan tersebut mestilah daripada Ahli kitab dan berpegang teguh dengan agamanya bukannya sekadar lahir daripada ibu bapa ahli kitab.

2.Mestilah perempuan yang muhsonah iaitu baik dan tidak tercemar maruahnya dengan tuduhan zina.

3.Perempuan tersebut tidak membawa mudharat kepada islam. Seperti bukan seorang pengintip ataupun mempunyai agenda jahat terhadap islam melalui perkahwinannya.

Secara umumnya, seolah-olah tidak begitu adil kepada bukan islam. Terdapat banyak hujjah-hujjah daripada ulama-ulama dan cendiakawan muslim dalam masalah ini, namun jawapan Sheikh Ali As-Sobuni sangat menarik.

" Kami kaum muslimin beriman dengan nabi kamu ( Isa a.s. ) dan kitab kamu ( Injil ), sekiranya kamu beriman dengan nabi kami ( Muhammad s.a.w. )dan kitab kami ( Quran ), kami akan kahwinkan kamu dengan anak-anak perempuan kami"

Sekarang siapa yang lebih ta'sub?

Sunday, May 17, 2009

Apabila Anak Hendak Di Jodohkan.



" Mengapa kita ketepikan hak perempuan? Mereka juga diberikan Allah hak" tegas Dr. Abdul Hamid.

" Kaum perempuan dikurniakan dengan separuh akal menurut satu hadith" celah seorang pelajar.

" Maka tiada bezalah antara mereka dan orang gila, pengsan dan tidur? Begitu? Mereka juga tidak sempurna akal. Adakah sama seperti perempuan?" jawab beliau kembali.

" Yang dimaksudkan dengan hadith nabi s.a.w adalah perempuan lebih dipengaruhi oleh emosi dalam membuat keputusan bukannya akal mereka separuh"

Bagi golongan hawa, ada beberapa perkara mereka tidak boleh bersendirian dalam membuat keputusan. Antaranya dalam masalah perkahwinan.

Dalam cafe muasirah baru-baru ini, kami membincangkan fatwa qaradhawi kisah seorang wanita yang sudah mempunyai calonnya sendiri namun, keluarganya ingin menjodohkan dengan orang lain.

Si perempuan buntu.

Perkahwinan bukanlah perkara yang berlangsung selama bebrapa jam atau hari. Ianya ibarat pembinaan sebuah rumah. Daripadanya lahir generasi manusia dan pembentukan masyarakat.

Maka,
Suara perempuan tidak boleh diabaikan. Mereka tidak boleh dipaksa berkahwin dengan orang yang mereka tidak suka. Telah datang seorang gadis kepada rasulullah seraya mengadu bahawa dirinya tidak menyukai calon pilihan ayahnya lantas baginda mengarahkan agar si ayah tidak memaksa anaknya.

Namun begitu, perempuan ada kelemahannya, sebgaimana mereka lebih dipengaruhi dengan emosi, mereka juga mudah terpikat dengan perangkap lelaki. Begitu ramai lelaki di luar sana yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Maka,
Suara Wali tidak boleh dinafikan, mereka kenal sifat dan sikap lelaki. Kerana itulah islam mensyariatkan wali. Bahkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda; “ Barang sesiapa daripada perempuan menikahi dirinya tanpa pengetahuan wali, maka perkahwinan tersebut adalah batil”.

Namun begitu, keputusan bapa atau wali lelaki masih tidak mencukupi,

Maka,
Suara Ibu tidak boleh diabakan. Sebagai insane yang melahir, menyusu dan membesarkan anak perempuannya, Ibu lebih memahami keperluan seseorang perempuan. Bahkan Nabi s.a.w telah bersabda; “Berbincanglah dengan perempuan akan urusan anaknya “

Kesimpulannya, si anak, si bapa dan si ibu perlu berbincang antara satu sama lain dalam urusan jodoh si anak.

Semoga perkahwinan mereka penuh berkat dan bahagia.

Saturday, May 16, 2009

Hari Guru : Terima Kasih Cikgu ( siri 2 )



“ Siapakah kamu yang tidak ingin maafkan mereka?”
“ Kamu lupakah apa itu hikmah?”

Tersentak dengan bisikan itu tiba-tiba saya mendapat mesej.

“ Selamat Hari Guru”

Saya mengkritik beberapa individu yang mendapat gelaran guru. Siapakah mereka?

Wahyu itu guru kepada Nabi s.a.w.
Nabi s.a.w. guru kepada sahabat.
Sahabat guru kepada tabiien.
Tabien guru kepada fuqaha’ mazhab.
Kemudian berterusan hingga kini.

Dengan guru ilmu sampai kepada kita. Dengan mereka jugalah kita memperolehi kefahaman.

Konsep guru: Sanad dan Syarah.

Ada dikalangan mereka yang sanggup bersengkang mata kerana anak murid. Berapa ramai dari kalangan mereka yang sabar melayan sikap anak-anak didik yang tidak faham dan biadap. Betapa ramai mereke terpaksa abaikan keluarga kerana menumpukan kepada institusi yang mulia ini.

Terima kasih cikgu. Manusia bergelar insan hanya apabila bertemu kamu.

“ Ifwat, kamu tahu apa perbezaan ibu hazim dengan ulama lain?” Tanya Dr. Syuesh.
“ Apa dia dr?”
“ Dia mempelajari agama tanpa guru, maka kritikan beliau agak keras dan tidak mementingkan adab”

Apapun Ibnu Hazim tetap seorang yang faqih, cuma metodologi beliau dalam mengkritik agak kasar. Itulah bezanya belajar dengan guru atau tanpa guru.

Semua guru inginkan anak didiknya berakhlak bukan sekadar ilmu.

Cikgu Ifwat.
Gelaran tersebut popular kepada saya ketika tahun 2 selepas kepulangan ustaz mahadi. Sejak itu saya banyak mengendalikan kelas-kelas bantuan akademik. Pelik, kebiasaannya, uruf di sini mereka menggelarkan tenaga pengajar sebagai ustaz. Mungkin perwatakan saya agak sederhana dan pengajaran lebih ke arah membimbing.

Kegembiraan seorang guru apabila anak didiknya berjaya.

Kerisauan seorang guru apabila anak didiknya bermasalah.

Saya merasainya.

Kepada semua guru, martabatkanlah sistem pendidikan kita. Bentuklah pelajar dengan seikhlasnya. Kamulah yang melahirkan segala jenis orang.

Kepada bakal guru, sedarlah kamu bukan hanya sekadar memenuhi kouta jawatan guru. Kamu bakal menghadapi pelbagai jenis manusia yang menagih ilmu dari mu.

Jiwailah watak pendidik, Semaikanlah kasih sayang buat anak didikmu,

Terima kasih kepada Mak dan Abah kerana membesarkan saya.
Terima kasih kepada cikgu PASTI, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama.
Terima kasih kepada pensyarah di Matrikulasi UIA dan UIA Gombak.
Terima kasih kepada pensyarah di Universiti Mu’tah.

Kepada semua yang mengajar saya walaupun satu kalimah.

Maafkan kesilapan anak didik mu ini.

Selamat Hari Guru

Hari Guru : Layakkah Kamu Menyambutnya? ( siri 1 )


“ Ifwat, awak yang tulis surat lucah ni kan?”
“ Apa bukti cikgu?”
“ Jawab elok-elok atau kaki aku yang naik ke muka kamu”

Saya hairan ketika itu mengapa 3 pertuduhan besar daripada guru disiplin dan ketua warden begitu mudah terhadap saya? Sedangkan saya merupakan seorang pengawas sekolah dan salah seorang pelajar cemerlang akademik.

“ Ifwat, sebenarnya ada cikgu yang tidak senang dengan sikap kamu yang berkawan dengan semua orang terutama pelajar bermasalah. Apatah lagi kamu seorang pengawas”

Memang diduga, dalam masa 3 bulan saya dilucutkan jawatan pengawas, hilang kelayakan untuk tinggal di asrama dan terus dicemuh oleh kebanyakan guru.

Ketika lalu di bilik guru, terdengar mereka menyindir saya.

Cikgu, mengapa saya diperlakukan sedemikian?

Kemudian, seramai lebih 20 orang daripada kami digugurkan daripada asrama untuk sesi depan tanpa sebab.

“ Senang sahaja, kalau kamu semua nak tinggal di asrama lagi, kamu kena senaraikan segala kesalahan kamu. Saya cuma nak menilai kejujuran kamu”

Semua pelajar menulisnya hinggakan ada yang mereka-reka kesalahan lantaran ingin menunjukkan kejujuran, namun 2 minggu selepas itu, kesalahan tersebut telah dihantar kepada semua ibu bapa.

Saya datang dengan abah untuk proses rayuan, cikgu langsung tidak melihat wajah abah. Saya begitu sedih.

“ Abah rasa elok kamu tukar sekolah”

Tidak! saya perlu membersihkan diri saya. Dengan menaikkan rayuan ke peringkat pengetua saya diterima kembali dengan syarat buktikan kecemerlangan. Setahun saya berusaha dengan tekanan daripada ‘Dia’ namun tekanan itulah menjadikan saya antara pelajar cemerlang PMR sekolah.

Kali ini ‘dia’ sekali lagi menggugurkan nama saya atas alasan rayuan saya cuma satu tahun sahaja. Namun, dengan kecemerlangan sijil saya, saya tidak ingin lagi melutut dihadapan kamu. Apatah lagi menyentak kegembiraan keluarga saya. Moga kamu bahagia, cikgu.

“Anas, kamu bersekolah dimana?”

“Saya bekerja membina bangunan”

Teringat Anas, seorang pelajar yang bijak, namun atas kesalahan yang kecil, beliau dihantar ke sekolah yang bermasalah. Ditambah dengan masalah keluarga, akhirnya beliau berhenti sekolah dan bekerja sebagai buruh kasar.

Cikgu, mengapa kamu bersifat menghukum, kamu sepatutnya membimbing? Ramai kawan saya yang bijak namun dengan sikap kamu, mereka berubah. Apakah kamu bangga kuasa menjatuhkan hukuman ditangan kamu? Ataupun kamu bangga dapat menghina ibu-bapa pelajar?

Saya masih ingat lagi kata-kata kamu kepada bapa kawan saya.

“ Anak kamu memang baik macam malaikat”

Menitis air mata seorang ayah.

Saya sangsi dengan kemulian kamu cikgu. Apa lebihnya kamu daripada saya. Saya pun membimbing pelajar.

“ Kamu buatlah apa saja, akhir bulan gaji saya masuk”
“ Senang je cikgu, kita hantar je dia ke sekolah lain, kita kena jaga nama sekolah kita”

Kisah sekolah baru.
Ketika berpindah ke sekolah baru, sekolah agama, pemikiran saya masih sama, apatah lagi 2 minggu selepas itu, dapat saya saksikan ramai kawan-kawan yang digantung sekolah.

Tidak sampai 4 bulan di sekolah baru, terus dipanggil.

“ifwat, semalam awak ke pusat snuker bersama budak perempuan tahun 2”
“ Ya Allah, tidak benar cikgu”

Ini mahkamah guru, baik sikit daripada ISA. Hukuman rotan dan gantung sekolah bukanlah ditakuti pelajar, namun hukuman imej lebih besar.

“ kamu memalukah budak aliran agama” sindir seorang ustaz
“ Kamu dirasuk syaitan, saya nak jumpa mak abah kamu”

“ Mereka sibuk, saya tinggal dengan nenek. Ustaz tak patut dengar cerita daripada sebelah pihak? Benar ke pertuduhan kepada saya?! ” tinggi suara saya menjawabnya.

Hukuman dijatuhkan maruah, dilebal jahat, itulah yang membunuh masa depan pelajar. Mereka belum lagi matang, namun kamu menghukum mereka sedemikian.

Beberapa bulan selepas itu, duit tabung sekolah hilang. Sebahagian cikgu menuduh pekerja sekolah yang mencurinya.

“ Nak buat macam mana ifwat, cikgu kan maksum” keluh pemandu van kepada saya.

Layakkah kamu mendapat satu hari yang dinamakan hari guru!!

Bersambung…

Thursday, May 14, 2009

Cerita Cafe Muasirah Hari Ini.


" Dol, ulang balik apa yang kita belajar minggu lepas"
" Err.. Kawe faham, tapi tak reti nak terang" terus gelak.

Hari ini cafe muasirah kami berjalan seperti biasa di rumah pasir puteh, cuma saya agak keletihan.

Hanya satu fatwa sahaja dibincangkan iaitu kisah seorang lelaki yang menerima pinangan untuk anak perempuannya, namun bakal menantunya itu seorang komunis.

Secara umumnya, Sheikh Qaradhawi menjelaskan kedudukan ideologi komunis yang terkeluar daripada akidah islam.

Kemudian cuba ditimbulkan persoalan sekiranya dia hanya berpegang dari sudut ekonomi dan kemasyarakatan dalam masa yang sama masih beragama islam.

Sebenarnya, itu sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu terkeluar daripada islam kerana idea komunis dalam masalah ekonomi dan masyarakat turut bertentangan dengan hukum islam. Mereka menolak mirath, pusaka, wasiat dan zakat. Semua itu berkaitan dengan hukum agama secara dharuri. Sekiranya ingkar terus kafir.

Sebelum itu kami mengulangi kembali fatwa-fatwa minggu lepas:-
1. Hukum menyalurkan zakat ke luar negeri.
2. Hukum memberi zakat kepada isteri.
3. Hukum memberi zakat kepada adik beradik
4. Hukum membayar zakat secara ansuran.

Ada satu lagi masalah menarik iaitu kisah seorang perempuan yang sudah berjanji dan bersumpah akan bersama dengan seorang lelaki, namun apabila pihak lelaki datang meminang, ditolak oleh keluarga perempuan.

Bagaimanakah hukum janji dan sumpah mereka?

Selepas selesai kami sempat berbincang berkenaan masa depan kelas ini. Terpandang juga iklan TDI yang terpampang di rumah Pasir Puteh.

" Jangan harap pelajar nak mendaftar" tegas ust Pendi

Bukan salah BBR, saya sedar pihak mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan TDI atau dikenali sebagai usrah. Semalam saya mencadangkan kepada ketua BBR agar cafe muasirah kendalian saya dan usrah online ust Afendi dijadikan antara kumpulan TDI BBR.

Dari Kelas Tafaquh ke Usrah
" Wat, ada orang bising, kenapa tak iklankan cafe kita ni jadi kelas terus?" tanya salah seorang kawan

" Demo nak mari, demo mari. Benda dah jelas" terus Ayi bersemangat menjawab.

Sebelum ini saya mengadakan kelas fatwa muasirah, namun saya menghentikannya kerana beberapa sebab:-

1. Sambutan yang semakin menurun. Bukan tiada orang namun kehadiran pelajar terlampau lewat.
2. Saya terpaksa menyediakan bahan kertas kerja.
3. Kadang-kadang terpaksa menghantar mesej kepada semua.
4. Ada yang datang ke kelas tersebut semata-mata menguji tahap saya.
5. Saya sendiri masih belum layak.

Namun, saya ada strategi tersendiri iaitu membentuk kumpulan ilmiah dengan skop yang lebih kecil. Muncullah cafe muasirah. Sambil berdiskusi, menghirup the.

Ada beberapa sebab saya agak selesa dengan kelas ini.
1. Pemilihan kitab fatwa Qaradhawi dijadikan bahan asas kajian. Fatwa yang menarik sesuai untuk yang hadir.
2. Ahli-ahli yang bersemangat memudahkan saya.
3. Bentuk kelas yang lebih ke arah perbincangan, diskusi, menimbulkan masalah dan berijtihad mencari penyelesaian( bukan ijtihad mutlak )

Mungkin ini cadangan model untuk usrah @ TDI di Mu’tah. Kita perlukan kesedaran ahli dan kemampuan naqib. Namun, saya tahu ketua BBR lebih arif dalam masalah ini.

Semoga bidang ilmu akan terus berkembang.

Saya akan membantu sekadar termampu.

Tuesday, May 12, 2009

Pahat Mana Yang Masih Berbunyi?

Sebenarnya, semalam saya berborak dengan beberapa individu. Isu yang ditimbulkan perlantikan beberapa AJK KARISMA saya terutamanya AJK-AJK junior. Tersenyum saya, biasalah Mu'tah ini memang tak lekang daripada bisik-bisik belakang.

Saya pun sebenarnya tidak berminat utnuk menjawab atau melenting, namun perlu juga ditulis agar individu terbabit tidak dipandang negetif.

Ustazah Afifah Binti Azzam.

" Ifwat sudah lama memerhatikannya?"
" Suruh semua AJK memberikan respon terbaik padanya?"

Baiklah, saya akan menjelaskan mengapa beliau dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan pengarah 2. Untuk pengetahuan semua, permulaannya saya hanya melantik seorang sahaja timbalan iaitu Abdul Hayyee, Afifah ketika itu berada di tempat timbalan setiausaha, kemudian dilantik berdasarkan keputusan mesyuarat KARISMA kali pertama. Berikut mungkin perkara yang anda tidak tahu:-

1. Beliau satu-satunya AJK yang berjaya mendapatkan sumbangan luar untuk KARISMA. Sebanyak JD 500 daripada 5 buah syarikat di Malaysia.

2. Beliau juga telah menghantar proposal KARISMA kepada TNB, telekom, JPN, KPT dan pelbagai lagi agensi di Malaysia.

3. Takala pihak MSD kurang senang kepada AJK kerana semua sibuk di venue dan tiada siapa yang dapat menemani rombongan kedutaan, beliaulah yang menyelamatkan AJK kami dengan menyertai rombongan tersebut.

4. Sepanjang 8 kali mesyuarat KARISMA, beliau lah satu-satunya AJK yang memberikan nasihat berbentuk agama.

5. Beliau juga menyelia villa yang diduduki oleh Duta dan isteri.

6. Beliau juga berjaya menyelesaikan masalah makanan VIP pada tengah hari hari kedua.

7. Kebajikan atlit Mu'tah banyak beliau yang uruskan.

Ini mungkin perkara yang anda tidak tahu yang berlaku pada KARISMA. Seperti kata Tarmizi.
" Saya hairan bagaimana Fifah berjaya menjumpai sebungkus nasi untuk menyelamatkan kami semua daripada 'mulut bising' VIP. Tahniah"

Syafiq Murat pula memberi komen.
" Belum pernah aku lihat timbalan pengarah mempunyai peranan selain dia"

Sekarang saya ingin menceritakan perkara sebelum KARISMA.
1. Beliau merupakan pelajar terbaik minggu haluan siswa peringkat Mu'tah.

2. Beliau memberi komitmen yang tinggi kepada persatuan terutama Biro Akademik, PERMATA dan MPPM.

3.Beliau juga merupakan AJK Biro Kebudayaan, kesenian dan Sukan MPPM.

4.Beliau mengikuti kelas terjemah saya, dan memberikan komitmen yang tinggi.

5. Seorang ahli debat yang cemerlang.

Simpanlah pahat itu, gunakanlah apabila perlu dan ke arah kebaikan.

Mungkin juga saya ceritakan pemilihan AJK KARISMA. Sebenarnya, hampir 1 fasal saya memerhatikan individu-individu yang layak untuk dijadikan team saya. Antaranya, Saya melihat program KOMIS yang banyak disertai oleh AJK-AJK terbaik Mu'tah. Mereka berkebolehan dan berpengalaman.

Namun, itu tidak cukup.

Apa yang penting dalam pemilihan saya ketaatan kepada ketua dan berjuang sebagai satu pasukan. Tidak kira anda muda dan kurang berpengalaman.

Abdul Hayyee, sengaja saya letakkan sebagai timbalan 1 saya kerana dia seorang yang sangat patuh kepada ketua dan selalu membela team.

Syafiq dan Amer selayaknya diletakan sebagai setiausaha atas pengalaman dan imej.

Faiz dan Kak Afrah, saya perlukan kepakaran mereka dalam urusan kewangan KARISMA.

Fatin dan Arif, mereka masih baru dan mudah untuk saya bentuk.

Ikhwan selayak dengan sikap protokolnya mengendalikan majlis perasmian.

Syafiq, Syaheed, dan Tarmizi, saya perlukan pengaruh mereka dikalangan mahasiswa dan pihak luar untuk melancarkan KARISMA.

Hanan? Bekerja sepenuh masa untuk KARISMA.

Rabbani, walaupun agak liat untuk bersama kami, namun tidak pernah mengelak daripada tugasan.

Kak Wa, Siti, Aisyah, Solehah, Nina, Asmida. Mereka ada gah tersendiri dan tidak mengecewakan. Tahniah kepada mereka yang berjaya menyelesaikan masalah bola jaring dan bola tampar.

Saya tahu siapa yang layak bersama saya. Ini bukan persatuan tapi ini perjuangan team kami. Tanyalah mereka berapa kali mereka dimarahi dan ditegur oleh saya. Bahkan saya sering mencabar mereka meletak jawatan. Wajarkah seorang ketua atau pengarah bercakap sedemikian?

Tentulah wajar sebab saya memiliki team yang kuat.

The dream team.

Terima kasih semua.

Monday, May 11, 2009

Dilema Baitul Hikmah ( siri 2 )


Alhamdulillah, KARISMA telah berakhir, sekarang mahasiswa Malaysia Mu'tah bertumpu ke arah pameran negara-negara wafidin di Universiti Mu'tah.

Seperti KARISMA, ma’rad thaqafi ini ada persamaan yang positif antara keduanya. Sambutan dan komitmen mahasiswa Malaysia membanggakan. Ketika KARISMA, kami cuba menonjolkan imej mahasiswa Mu'tah kepada mantiqah luar, Ma'rad pula lebih ke arah menonjolkan imej Malaysia kepada masyarakat arab.

Apa yang pasti, kita berkongsi satu matlamat dan misi iaitu

maruah dan imej kita...

Sebenarnya 2 program besar ini menenggelamkan program-program kecil PERMATA. Itu negetifnya. Namun mengejar kualiti program berbanding kuantiti adalah lebih baik. Lihatlah AJK KARISMA dan Ma’rad, berapa ramai yang terlibat? samada secara langsung ataupun tidak langsung. Berbanding program yang kecil yang kadang-kadang hanya melibatkan beberapa pihak sahaja.

Biarlah kita semua menggerakkan sesuatu program dengan kita bersatu dalam misi dan tekanan.

Namun, saya tahu tempias yang paling besar adalah program ilmiah seperti kelas akademik, tafaquh dan TDI. Apabila disebut ilmiah, saya ingin bercakap berkenaan Baitul Hikmah, akademi ini yang hidup segan, mati tak mahu.

Harapan Yang Masih Ada
Alhamduillah,sehingga kini cafe muasirah yang saya kendalikan masih lagi berterusan bahkan semakin hari semakin bertambah ahli kami. Saya tidak mensasarkan ahli yang ramai namun ahli yang komitmen amat ditagih. Saya juga tidak mengharapkan yang hadir itu kelompok-kelompok elit, cukup kepada mereka yang berminat dalam bidang ilmiah.

Dengan menjadikan fatwa muasirah Syeikh Al-Qaradhawi sebagai bahan diskusi, perbahasan kami lebih ke arah:-
1. Tidak semat-mata bercakap berkenaan hukum fiqh, bahkan turut disertakan penyelesaian masalah dari sudut kounseling.

2. Kami juga mengkaji metodologi syeikh Qaradhawi yang lebih berbentuk dakwah dan terbuka berbanding hukum hakam semat-mata.

3. Masalah-masalah lebih bertumpu ahwal shakhsiah dan kekeluargaan kerana masalah ini sangat penting apabila pulang ke Malaysia nanti.

Selain berdiskusi fatwa muasirah Qaradhawi, kumpulan kami juga bertalaqi kitab riyadus solihin dengan Dr. Muhammad Siad Hawa. Kami banyak mengambil peluang untuk bertanyakan masalah-masalah agama pada beliau.

“ Kadang-kadang kumpulan yang kecil lebih baik dari kumpulan yang besar” kata Dr. Muhammad Hawa.

Manakala dari sudut penulisan pula, saya melihat perkembangan blogger-blogger Mu’tah semakin positif.

Mungkin suatu hari nanti kita akan bersatu kembali.

Semangat ilmi kita masih lagi hidup.

Baitul Hikmah mungkin sudah mati di atas kertas, namun masih hidup dalam hati kita.

Saturday, May 9, 2009

Salam Mafraq

( artikel untuk ahli MPPMJ Mafraq )

Semalam saya dijemput sebagai penal forum yang bertajuk

“PERSATUAN,MAHASISWA DAN KEUTAMAANNYA”.

Selaku panel pertama saya diberi soalan apakah kepentingan berpersatuan. Soalan yang cukup senang, sudah dihidangkan dengan terlampau banyak jawapan sejak berkurun-kurun. Namun, dalam perjalanan ke Irbid, saya terfikir siapakah yang akan menghadiri forum tersebut. Mustahil jika yang hadir orang yang pasif persatuan semata-mata ingin mencari jawapan kepentingan berpersatuan.

Saya bercakap dihadapan muka-muka orang persatuan. Mantan pimpinan dan barisan pimpinan. Logikkah sekiranya saya mengutarakan hujah kita mendapat sijil, softskill dan sebagai medan dakwah?

Kita Wujud Kerana Orang
Saya cuba melontarkan satu fikrah bahawa persatuan wujud kerana ahlinya. Ahli adalah aset yang penting dalam sesuatu persatuan. Mereka mempunyai kuasa untuk menubuh ataupun membubarkan kita.

Satu fikrah yang salah, apabila perjuangan kita berasaskan program. Kita wujud kerana program, kita lemah kerana program kita tidak mendapat sambutan. Semuanya berorientasikan program.

Maka perbezaan kita dengan mereka di luar sana ( orang yang pasif ) adalah kita mempunyai peluang untuk mengkaji manusia iaitu ahli kita. Program hanyaklah wasilah bagi mencapai matlamat itu. Tugas kita mengkaji mengapa mereka sedemikian.

Hasilnya, kita berpeluang menjadikan persatuan sebagai medan untuk mencuba formula membentuk dan memahami fikrah manusia. Sebagai contoh KARISMA 09. Belum pernah program persatuan, ahli membahaskan tema program. Kebiasaanya, tema hanyalah pelengkap dan perhiasan sesuatu program. Sebagai pengarah saya ingin melihat bagaimanakah fikrah mahasiswa Malaysia.

Apabila “ saya datang kerana ukhuwah” dijadikan tema, ada yang menyindir, ada yang menyokong, ada yang menulis berkaitan ukhuwah, yang berceramah, yang berpantun sehinggakan terbawa-bawa ungkapan itu dalam KARISMA. Ukhuwah terus di bibir mahasiswa walaupun pemahaman yang berbeza. Kesannya, perkataan tersebut memberi makna yang besar kepada kita semua.

Sekiranya anda bukan orang persatuan, mampukah anda melaksanakan idea tersebut?

Kekuatan Persatuan
Kita adalah manusia, bukannya lebah ataupun semut yang sangat berdisplin dan taat kepada pemimpin. Bercakap tentang manusia, makhluk ini mempunyai ragam ataupun pemikiran yang sentiasa berubah-ubah.

Satu Isu yang ditimbulkan lagi adalah “saya laksanakan program, tapi kehadiran mengecewakan. Persatuan kita lemah”. Persoalan yang menjadikan seorang pengarah sedih dan kecewa. Namun, kadang-kadang kita perlu melihat beberapa sudut.

Sekiranya ahli-ahli menghayati nilai-nilai kebajikan dan persaudaraan, itu semua sudah membuktikan persatuan kita ada nilainya. Sebab itu saya menyatakan kita wujud adalah kerana ahli. Makan pencapaian yang terbaik apabila ahli menghayati nilai-nilai persatuan bukannya semata-mata program kita dihadiri oleh semua. Mungkin jawapan ini lebih ke arah memujuk mereka yang kecewa.

Anda tersilap planet ataupun tersilap makhluk sekiranya mengharapkan penghargaan daripada mereka.

Antara Muhasabah dan Peluang.
Sebenarnya, masalah kita dengan orang pasif adalah mungkin disebabkan kita memekak diri daripada kritikan mereka. Kita gagal memahami apa itu ‘muhasabah’ dan seterusnya juga kita gagal dalam memberi peluang kepada mereka untuk berubah dan melakukan perubahan.

Muhasabah dan peluang, 2 perkara inilah yang menghasilkan perubahan.

Apa yang pasti isu persatuan adalah isu yang sangat subjektif dan mereka yang berada disekelilingnya juga adalah makhluk subjektif. Kita tidak akan menjumpai jawapan yang tepat untuk semua ini.

Namun, kita orang yang ‘sedar’ harus terus berjuang, bersabar dan terus melakukan perubahan.

Kita ada matlamat agama dan kita tidak bersendirian.

Isu-isu MPPM.
Semalam kami dihujani dengan beberapa isu berkaitan MPPM, antaranya resolusi PERTAMA. Secara jujur, pendapat peribadi saya ianya menjadi bebanan yang sangat besar buat persatuan. Saya mencadangkan agar reseolusi PERTAMA bersifat penasihat bukannya ketetapan yang wajib persatuan laksanakan.

Cadangan kedua juga, saya mengharapkan agar resolusi PERTAMA untuk akan datang ditujukan kepada mahasiswa bukannya persatuan. Kita sendiri sudah mempunyai mesyuarat agung selaku ketetapan khas yang wajib persatuan laksanakan. Apapun, sekiranya berkemampuan adalah lebih baik persatuan melaksanakannya.

Isu kedua berkaitan dengan penyeragaman persatuan sejordan agar semuanya di bawah MPPM.

MPPM sadalah sebuah badan konfiderasi yang terbentuk dengan kekuatan PZ dan BKAN. Adakalanya peranan PZ dan BKAN lebih berkesan berbanding MPPM. Pengurusan, pentadbiran PZ di zon lebih berperanan. Begitu juga BKAN yang lebih diperlukan ahli dalam masalah kebajikan. Untuk menghazafkan, mereka mempunyai perlembagaan, aset, kewangan dalam mendokong kewujudan mereka.

Saya yakin bagi mereka yang mengusulkan cadangan ini adalah untuk memastikan kita lebih bersatu. Usaha yang murni namun memerlukan masa,tenaga dan apa yang lebih penting kefahaman ahli dalam hal ini.

Sehingga kini, saya berpendapat kita perlu memartabatkan kualiti penganjuran program kita. Hanya kita yang mampu melaksanakan Mingggu Haluan Siswa, PERTAMA dan KARISMA. Usaha-usaha inilah yang menaikkan MPPM di mata ahli.

Lobi KARISMA 03 di Mafraq.
2 hari lepas, alhamdulillahkami telah selesai melaksanakan mesyuarat muhasabah KARISMA 02. Laporan kewangan sudah pun dihantar. Sebelum itu, saya tidak lupa untuk mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada kontijen Mafraq atas sokongan dan penyertaan anda di Bumi Mu’tah.

KARISMA benar-benar satu anugerah kepada kami.

Dengan KARISMA, kami bersatu untuk membuktikan kepada semua kami mampu lakukan.

Dengan KARISMA, gerak kerja kami sentiasa serius dan sentiasa dalam keadaan tolong menolong antara satu sama lain.

Dengan KARISMA, persatuan semakin releven dan ramai yang bekerja untuknya.

Saya tidak pasti suasana di Mafraq, namun saya mengharapkan agar KARISMA 03 dilangsung di Mafraq. Percayalah KARISMA mampu menyatukan anda semua. Kami sebagai AJK KARISMA 02 menyatakan sokongan ini kepada anda semua dan bersedia membantu .

Hingga Saat Ini
Ntah berapa kali saya datang ke Mafraq, menyertai program, menziarahi pelajar dan bermain futsal. Hubungan saya dengan pelajar Mafraq cukup baik kerana kami mejoritinya takhasus yang sama. Saya tertarik keramahan kamu semua. Banyak juga yang kami, Mu’tah belajar daripada kamu.

Saya memohon maaf tidak dapat bersama kamu semua untuk jaulah MT kerana beberapa jam saja lagi saya akan menduduki imtihan.

Akhir kata, Jadikanlah persatuan sebagai medan untuk perjuangan serta penyatuan kita.

Salam Ukhuwwah.

Muhammad Shahrul Ifwat Bin Ishak
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ )
9.00 a.m, 9 Mei 2009

Monday, May 4, 2009

SBB : Kan Kami Dah Cakap!



" Siapa kita?"
" SBB!!"

" Apa yang kita mahu?!"
" Menang"

Itulah sorakan setiap kali menghadapi apa-apa perlawanan. Sorakan yang sentiasa meninggalkan nostalgia buat saya. Kali ini cukup manis 4 kali berturut-turut kami tidak melepaskannya kepada pasukan lain.

Futsal Piala Presiden
Pengalaman ketika futsal piala presiden betul-betul memberi pengajaran kepada kami. Memang SBB perlukan seorang ketua. Kami sibuk ketika itu, akhirnya kami tewas. Namun, itu masih belum terlambat untuk muhasabah. Kan Kami Dah Cakap!

Peristiwa Hitam.
" Apa?! Nak berpecah, mana boleh macam ni"
" Kita wat 2 team kuat la, biar sama-sama ke final"
" Ini pemain SBB S, ni pemain SBB J"

Itulah saat yang paling mendukacitakan. Sekiranya berlarutan, jangan mimpilah kemenangan. Kita kuat kerana bersatu dan membuang kepentingan diri. Ramai lagi pasukan yang hebat, namun apa kelebihan kita? tentunya bersatu. Kan Kami Dah Cakap!

Tanpa perancangan?
" Maafla, kawe dah pencen"
" Ikut suka hati Kau la"
" Aku nak main sini, ko main sana"

Inilah faktor SBB kuat, kami ada jurulatih. Sehingga kini, saya tidak nampak pasukan lain mempunyai jurulatih. Bagi mereka cukup sekadar ketua. Tapi sedarkah anda kalau perancang berada dalam padang, mampukah mereka melihat keseluruhan perlawanan. Kita perlukan orang di luar. Yang mengawal kita. Tahniah Pak Long. Kan Kami Dah Cakap!

Keseimbangan Pasukan.
" Apa yang orang atas buat?!"
" Habis tu, korang la yang main kat atas!"

Untuk tahun ini juga saya kecewa apabila pertahanan mempertikaikan bahagian serangan. Mungkin dipengaruhi emosi. Sekiranya serangan membuat silap, kita lebih bersemangat untuk memburu gol, namun sekiranya pertahanan membuat silap, buruk padahnya. Apa pun untuk kali ini, anda dapat menyaksikan berapa kali sahaja penjaga gol kami memegang bola dan cuba kamu perhatikan penjaga gol lawan,berapa kali mereka menarik nafas? Kan Kami Dah Cakap!

Ibu Sukan Milik Kami.
Tidak kira anda merampas semua pingat untuk KARISMA. Tidak kira berapa ramai pemain kami yang kamu ambil. Namun, kamu tidak akan puas sekiranya gagal merampas Piala Idaman Mahasiswa Jordan ini. Namun, inilah syaratnya. Kami menyediakan jalan yang sukar buat kamu. Kan Kami Dah Cakap!

Kan Kami Dah Cakap!

Kenalkah Kamu siapa KAMI?

Go SBB Go!

p/s Ini adalah nada semangat pemain, jangan terasa. InsyaAllah ini Piala Duta terakhir saya.

Selamat Tinggal KARISMA 09

Alhamdulillah, KARISMA berjaya direalisasikan di bumi Mu'tah ini. 8 sukan dipertandingkan dengan hanya 12 jam sahaja untuk semua ini. Namun, semua itu tidak menghalang pergerakannya walaupun pada hari pertama, venue kami 5 buah hingga menyukarkan perhubungan.

Saya memuji beberapa perkara:-
1. Sikap disiplin yang ditunjukkan oleh peserta sehingga kebanyakan sukan dapat dimulakan tepat pada waktunya.

2. Sikap tetamu ( peserta luar ) yang begitu ramah dan gembira dengan KARISMA kali ini.

3. Sikap kebanyakan mahasiswa Mu'tah yang sanggup bertungkus lumus menjayakan kejohanan kali ini.

4. Sikap T.Y.T Dato' Abdul Aziz yang memahami begitu beratnya tugas kami. Semua ini beliau nyatakan dalam ucapan penutup beliau.

5. Datin dan juga semua staf juga nampak begitu ramah dengan kami.

6. Kecekapan AJK menangani masalah-masalah venue hinggakan masalah tersebut tidak diketahui oleh peserta.

Bagi saya, dengan kekuatan zon Mu'tah serta mahasiswa Malaysia yang menghuni bumi ini, karnival ini adalah yang terbaik yang mampu kami lakukan. Saya juga ingin memohon maaf secara terbuka kepada:-

1. Pihak kedutaan dan pegawai sekiranya kami lebih menumpukan kepada program pelajar.

2. Semua AJK kerana terpaksa memerah keringat untuk melaksanakan yang terbaik.

3. Tetamu luar sekiranya tidak dapat melayan anda sebaik mungkin.

Bagi ajk, saya tahu Hadi dan kawan-kawan tidak tidur malam untuk memastikan pesegaran berjalan lancar. Hanan dan kawan-kawan terpaksa ulang-alik ke Amman untuk menyelesaikan urusan hadiah. Hayee, Fatin, Syafiq dan Fudat yang sentiasa sibuk menyelesaikan masalah venue dan jadual. Syaheed yang terpaksa turun padang menjadi wakil kami berurusan dengan pihak Universiti dan Amer Faisal. Afifah, Faiz dan Kak Afrah yang sentiasa memastikan rekod kewangan kami lancar. Amer, Arif yang saya dengar cerita hingga termuntah membuat kerja. Mizi yang begitu pening dengan jadual bas.

Kak Wa, Hajar, Aisyah Aziz, Solehah yang sentiasa sibuk menyelesaikan masalah akhowat. Ikhwan, Lutpi, Amzari, Epoi, Basyirah dan seluruh team majlis penutup, ntah berapa kali mereka melaksanakan raptai. Topek dan pasukan silatnya. Bucas terpaksa melayan dato' pada hari kedua. Syarif, Syahidi dan Hadi yang menguruskan penempatan. Seluruh atlit Mu'tah yang tidak semena-mena menjadi AJK kami. Tidak lupa Kak Faezah dan Nuek yang turut menjadi AJK tugasan khas kami.

Terlalu ramai yang menyumbang.

Maaf sekiranya saya terkasar kepada AJK.

Anda membanggakan saya.

Moga ukhuwwah ini sentiasa terjalin.