Wednesday, December 9, 2009

Hadith Seruan Perang?



Dari Ibnu Umar R.A bahwa Rasulullah SAW bersabda,

"Aku dipe-rintahkan agar memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahwa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahwa Muham-mad adalah utusan Allah, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu, maka terlindung dariku jiwa dan harta mereka, kecuali dengan hak Islam, dan perhitungan mereka diserahkan pada Allah.

Hadith ini merupakan antara hadith yang masyhur oleh kebanyakan ummat islam. Hadith ini turut diriwayat oleh 2 kitab yang dianggap paling sahih selepas Al-Quran iaitu sahih Bukhari dan sahih Muslim. Ada juga ulama yang mengkategorikan hadith ini bertaraf mutawatir. Maka, tidak hairanlah Imam Nawawi memilihnya sebagai salah satu hadith daripada 40 hadith pilihannya.

Dari sudut sejarahnya hadith ini pernah dihujjahkan oleh Saidina Abu Bakar kepada Saidina Umar untuk memerangi golongan yang enggan membayar zakat.

Namun, masalah yang timbul hadith ini seakan-akan bertentangan dengan nas Quran tiada paksaan dalam agama.

Hadith ini juga digunakan oleh sebahagian suara anti islam bahawa agama ini menyeru kepada keganasan dan menafikan kebebasan agama.

Untuk menolak hadith ini amat mustahil dengan tarafnya yang berstatus mutawatir dan diriwayatkan oleh shaikhan ( bukhari dan Muslim ). Maka, hanya ada satu jalan, iaitu melihat yang tersirat daripada hadith ini untuk mentakwilkannya agar selari dengan kaedah islam.

Menurut Ketua Jabatan Usuludin, Kuliyyah Syariah, Dr Muhammad Said Hawa ada beberapa takwilan dan tafsiran kepada hadith ini.

1. Ada sebahagian ulama menafsirkan hadith ini ditujukan kepada musyrikin Mekah, iaitu mereka yang menyembah berhala. Manakala Ahli Kitab bukanlah yang dimaksudkan dengan hadith ini. Maka, mereka hendaklah diperangi sehingga menerima islam ataupun membayar jizyah.
2. Pendapat yang kedua pula, melihat kepada antara asbab wurudnya adalah ketika perang. Maka, dalam suasana perang antara islam dan kafir, jika mereka yang tidak beriman inginkan perlindungan hendaklah mengucap 2 kalimah syahadah.

Kesimpulannya, pendapat kedua lebih tepat berbanding pendapat pertama yang dilihat tidak selari dengan kebebasan memilih agama yang dianjurkan oleh islam. Bahkan pendapat kedua menjadikan islam sebagai pelindung daripada ancaman.

Wallahu a’lam

0 ulasan: