Ntah mengapa perjalanan pergi ke tanah haram tidaklah begitu terasa waktunya, bahkan urusan di sempadan tidak terlalu lama berbanding umrah hari itu. Cumanya keadaan dalam bas agak kurang selesa. Maklumlah hanya 4 orang Malaysia dan bakinya adalah arab.
Bukan Arab Jordan, tapi Arab Mesir...
Menurut Arab Mesir, menunaikan haji melalui Jordan lebih mudah daripada Mesir. Harganya murah. Kami dikenakan bayaran sekitar JD 350 ( RM 1750 ) berbading warga Jordan kalau tidak silap mencecah JD 600 ( RM 3000 ).
Saya juga ada terdengar rakan-rakan Malaysia yang belajar di Syria sukar menunaikan haji ataupun umrah kerana masalah visa, begitu juga rakan Mesir yang terpaksa memohon begitu awal. Sedangkan di Jordan, sebulan sebelum tarikh haji, masih sempat untuk membuat keputusan.
Maka, rakan-rakan yang ada kemampuan, jangan lepaskan peluang ini.
Menjelajah bumi kerajaan dinasti Saud ini mengingatkan saya pertembungan antara 2 keturunan iaitu Saud dan Hashimi. Dahulu, 2 tanah haram diperintah oleh Raja Hussin berketuranan Hashimiyah. Baginda pernah mengisytiharkan diri Raja Arab demi membebaskan diri daripada khilafah Uthmaiyyah. Dengan bantuan British, seluruh tanah arab di'bebas'kan dari Turki Uthmaniyyah.
Yang menjadi persoalan saya, mengapa ketika keturunan Saud bersama Syeikh Mohammad Bin Abdul Wahab menghalau dinasti Hashimiyyah ke tanah gersang Jordan, British tidak pula membantu. Kasihan keturunan Hashimiyyah terpaksa menduduki negara arab tanpa minyak.
Saya merasakan tiada negara yang lebih mutlak penguasaan diraja berbanding Arab Saudi. Bayangkan daripada pemerintah hingga kepada menteri kabinet hanya khas untuk keturunan Saud.
Aliran agama dan mazhab pula mestilah yang sealiran dengan Salafiyyah Wahabiyyah.
Tiba di Madinah, terdapat penyebaran buku secara percuma. Buku yang ringkas sangat cantik kulitnya. Apa yang pasti penulisnya adalah Syeikh Bin Baz dan Syeikh Solah Uthaimin dan mereka yang sealiran dengannya.
Ketika membelek satu buku, rakan ada menegur.
" Wat, hati-hati skit,ada agenda buku tu secara percuma"
Saya tersenyum, sejak berada di UIA, fikiran saya dibasuh dengan aliran ini. Di sini pula saya dibasuh dengan aliran bertentangan pula. Kesannya, alhamdulillah, saya dapat menerima mana-mana manhaj yang baik asalkan tidak merugikan antara satu sama lain.
Apa yang mengejutkan saya apabila membaca buku itu, rupa-rupanya ulama Saudi menghentam habis-habisan ulama Jordan kerana tidak menegur pembinaan masjid di Maqam Ashabul Kahfi ( di Jordan ). Yang kedua, tulisan mereka juga mengutuk keturunan Hashimiyyah yang tidak membenarkan keturunan mereka berkahwin dengan keturunan bukan Hashimiyyah.
Untuk pengetahuan, Hashimiyyah adalah nasab keturunan Nabi s.a.w.
Ulama Saudi sangat keras dalam maslah pembinaan masjid di Kubur dan juga binaan atas kubur. Ini dianggap bid'ah dan bertentangan dengan hadith yang melaknat mereka berbuat demikian.
Maka, tidak hairanlah binaan-binaan di kubur baqi' semuanya di rombak. Bukan itu sahaja, apa-apa tempat yang mengundang kepada perbuatan syirik dilenyapkan. Khandak di Madinah dikambus, rumah kelahiran Nabi s.a.w dijadikan perpustakaan.
Walaubagaimanapun, saya tetap melihat suatu yang positif pemeliharaan terhadap 2 tanah haram itu. Biarlah bumi yang suci itu bebas daripada perbuatan syirik. Biarlah ibadat yang diamalkan asli tanpa tokok tambah.
Hakikatnya, walaupun penat pengembaraan ke tanah haram takala menyahut seruan sememangnya suatu yang membahagiakan.
0 ulasan:
Post a Comment