Friday, November 6, 2009

Tanpanya, Tiadalah Agama


Dalam kajian antara agama, perkara yang paling asas dalam menjadikan agama itu mampu bertahan adalah kewujudan kitab suci. Semua agama mempunyai kitab suci yang tersendiri. Inilah sumber ketuhanan dalam agama tersebut, ibadat, panduan hidup dan kehidupan selepas mati.

Jika ditinjau, kitab agama mempunyai beberapa ciri-ciri tertentu. Antaranya mempunyai bahasa yang agak sukar difahami. Ada yang sudah tidak dapat dibaca langsung seperti kitab Rig Veda agama Hindu. Dakwaan mereka kitab itu adalah bahasa tuhan yang tidak dapat difahami oleh manusia.

Kitab suci agama juga kebiasaannya dianggap sebagai bahan suci. Jika tidak dapat membacanya ataupun mengamalkan kandungannya, cukup sekadar menjadi bahan suci di rumah penganut untuk menjauhkan daripada unsur-unsur kuasa dan roh jahat.

Kitab suci juga mengandungi kisah-kisah manusia terdahulu agar menjadi pengajaran kepada manusia pada hari ini. Kisah pertembungan antara kuasa jahat dan baik, kisah pahlawan agama, kisah Tuhan dan juga kisah pengasas agama tersebut.

Dalam perdebatan antara agama, jika pendebat ingin membuktikan kepalsuan agama lawan, mereka mestilah membuktikan kepalsuan kitab agama tersebut terlebih dahulu. Jika berjaya, maka runtuhlah agama tersebut.

Inilah yang digunakan oelh Ahmad Deedat apabila berdebat dengan agamawan kristian. Dengan mendedahkan penyelewengan yang terdapat dalam bible, maka tiada apa lagi yang perlu dipertahankan oleh mereka.

Al-Quran dan Al-Hadith.
2 sumber utama islam ini cukup menakjubkan jika kita mengkajinya. Bahkan pemeliharaan 2 khazanah ini diakui oleh pengkaji barat.

Jika dibandingkan dengan agama lain, Al-Quran telah wujud penulis tetap yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun tidak dikumpulkan pada zaman baginda, sekurang-kurangnya Al-Quran mempunyai kekuatan pemeliharaan daripada 2 sudut iaitu:-
1. Hafazan oleh sahabat
2. Penulisan oleh sahabat.

Kemudian dibukukan pada zaman Khalifah Abu Bakar dan diselaraskan pada zaman Khalifah Uthman. Ketika itu masih ramai lagi sahabat Rasulullah yang masih hidup sebagai saksi kepada semua ini. Hal ini berbeza dengan bible yang dikatakan ditulis 50 tahun selepas kematian Jesus oelh individu yang berbeza-beza.

Satu perkara yang menarik dalam Al-Quran selain daripada warisan antara generasi ke generasi cukup ramai, disiplin penulisannya sangat ketat. Hinggakan mempunyai bentuk tulisan yang tersendiri yang dikenali sebagai resam uthmani. Bentuk tulisan ini tidak boleh diubah.

Hal ini menjadikan Al-Quran yang ada pada zaman kini 100% sama pada zaman Rasulullah s.a.w.

Ada percubaan untuk memalsukan Al-Quran, namun semua itu menemui kegagalan dan pasti berlaku pendedahan ke atasnya. Betapa ajaibnya kitab ini.

Kemudian beralih kepada sumber yang kedua iaitu Al-hadith. Selain kitab suci yang diwahyukan, kata-kata, perbuatan nabi serta sifatnya cuba direkodkan. Walaupun penulisan dan pengumpulannya agak lambat, namun ahli agama ini meletakkan syarat yang begitu ketat untuk menjadikannya sebagai hadith.

Jika ada dikalangan mereka yang menyampaikan hadith tersebut dari kalangan yang tidak dipercayai terus ditolak.

Jika hafazan orang yang meriwayat itu diragui, terus ditolak.

Jika bertentangan dengan riwayat yang lebih dipercayai, juga ditolak.

Jika memasukkan sedikit kata-kata manusia lain ketika meriwayatkannya, juga ditolak.

Syarat yang cukup sukar agar 100% daripada hadith itu daripada Rasulullah s.a.w.

Kesimpulannya, agama islam membezakan 3 bentuk penulisan agar tidak bercampur antara satu sama lain:-
1. Al-Quran yang merupakan kitab suci yang diwahyukan.
2. Hadith yang merupakan segala yang disandarkan kepada Rasul s.a.w.
3. Kata-kata ulama dalam mentafsir, takwil dan syarah kepada 2 sumber di atas ini.

Begitu telitinya penulisan dan pemeliharaan dalam khazanah suci islam.

Jika ditinjau kitab agama lain, kitab talmud merupakan karangan pendeta Yahudi. Bagi Kristian pula, pendeta mereka dikurniakan wahyu dari Jesus untuk menulis kitab suci.


Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya ( Al-hijr: 9 )

Inilah yang membezakan ummat ini....