Tuesday, November 3, 2009

Menanggung Amanah Itu

Alhamdulillah, kelas subjek muamalat maliah dan maqasid berjaya saya sempurnakan silibus untuk peperiksaan pertama mereka. Baki masih tinggal kelas firaq. Saya juga memohon maaf kepada pelajar kelas fiqh ibadat 2 kerana tidak sempat mengadakan kelas terakhir sebelum peperiksaan anda.

Untuk semester ini saya diminta oleh biro akademik mengendalikan kelas:-
1. Firoq fi tarikh islami.
2. Maqasid Syariah.
3. Muamalat maliah muasirah.
4. Fiqh Ibadat 2 ( zakat, puasa dan haji )

Di samping itu juga, biro bimbingan rohani memberi ruang kepada saya untuk mengadakan kelas fatwa muasirah pada setiap hari khamis.

Hingga kini, sejak tahun 2 lagi saya menjadi tenaga pengajar bagi kelas tambahan biro akademik. Alhamdulillah, semakin hari penyampaian saya semakin baik disamping penguasaan saya terhadap ilmu tersebut.

Cuma tadi agak perlahan kerana kehadiran Nurul pelajar Indonesia menyebabkan saya berusaha mempelbagaikan penggunaan perkataan.

Apa pun, tiada kedengaran lagi mereka yang menyatakan saya bercakap terlalu laju dan terlalu loghat terengganu. Masing-masing nampaknya mudah dan tidak segan berinteraksi dengan saya ataupun sekurang-kurangnya menggelengkan kepala jika tidak faham.

Dalam kelas juga saya tidak suka terlalu menumpukan kepada peperiksaan. Kadang-kadang saya akan cuba menyoal mereka berkenaan ilmu-ilmu asas syariah. Ini sangat penting samada ilmu fiqh ataupun usuludin, pengajian tidak seharusnya berbentuk juzu', bahkan sepatutnya ilmu itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.


Nukilan Yang Amanah.

Selain itu juga saya mengambil peranan menyumbang dalam bidang ilmu di Mu'tah ini dengan menaqalkan kata-kata pensyarah syariah. Kalau dahulu sangat aktif menyumbangnya dalam bentuk bahan bercetak kepada persatuan, mungkin kini masa agak terhad.

Apapun setiap kali saya menterjemah ataupun menaqalkan kata-kata mereka pastinya saya akan menulis dihujungnya diterjemahkan dan dinaqalkan oleh Muhammad Shahrul Ifwat. Bukan untuk mencari nama, namun agar mahasiswa faham itu adalah kefahaman saya daripada pendengaran ataupun terjemahan saya daripada pensyarah, bukannya kata-kata pensyarah 100%.

Kerana saya menanggung amanah penyampaian ilmu itu.

Sejak dari tahun 2 hingga sekarang, saya masih mampu memahami kata-kata mereka dengan tepat dan menulisnya dengan baik hinggalah 2 hari lepas ust Mahadi menegur tentang tulisan ini

berkaitan dengan pengajian Dr Mohammad Hawa. Seperti kata ustaz Mahadi, sebenarnya ada juga dikalangan ulama Jordan hatta adik beliau sendiri kurang setuju dengan beliau terutama dalam masalah mendhaifkan hadith.

Yang sebenarnya kata ust mahadi adik Dr Mohammad Said Hawa, Sheikh Muaz menyatakan orang ramai yang tidak bersetuju dengan abang beliau bukannya beliau.

Ini saya tulis daripada kalam melayu bagaimana terjemahan saya daripada pensyarah yang berbahasa arab? Betapa lemahnya manusia ini.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah" ( Al-Baqarah : 286 )

Saya juga menanggung risiko kelas bantuan akademik, apatah ada beberapa subjek bukan daripada pensyarah yang saya pernah lalui, masalah yang timbul kadang-kadang ada silibus yang saya tidak pernah belajar.

Kadang-kadang hati ini terdetik, benarkah apa yang aku ajar ini.

Namun, saya mengharapkan saya dikalangan orang yang berijtihad, yang menyumbang ilmu dalam keadaan saya belajar dan berusaha, bukannya memandai-mandai.

Apabila seseorang hakim itu ingin memutuskan sesuatu hukum, lalu dia berijtihad dan ( ijtihadnya ) betul maka baginya 2 pahala dan apabila dia ingin memutuskan hukum yang lain lalu dia berijtihad kemudian ( ijtihadnya ) salah baginya 1 pahala.
(Hadith Bukhari )

Hakim yang memutuskan perkara di kalangan umat manusia dengan landasan kebodohan maka dia juga di neraka.
(HR. Abu Dawud, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah dan dishahihkan Al Hakim).

Kita pelajar syariah menanggung amanah ini. Pelajar Fiqh suatu hari nanti akan mengeluarkan hukum halal dan haram dan Halal haram itu membawa kepada dosa dan pahala. Yang bertanya dari kalangan awam tidak dipertanggungjawabkan, namun kita yang akan dipertanggungjawabkan kerana kita yang belajar.

Pelajar Usuludin pula, anda bakal menilai sesuatu hadith. Jika anda menyatakan itu adalah sahih sedangkan Rasulullah sendiri tidak mengucapkannya bukankah itu satu tanggungan yang sangat berat?

Ulama fiqh dan hadith meninggalkan satu khazanah turath yang sangat sempurna dalam menjaga agama ini. Ada dikalangan mereka yang menghabiskan masa hidup semata-mata kerana ilmu untuk mewariskan ini semua kepada kita, pelajar agama.

Namun, bagaimana gaya hidup kita kini. Rasa bertanggungjawabkah?

0 ulasan: