Sunday, October 25, 2009

Moga Kritikan Ini Membina

Subjek manahij muhadthin ( method ahli hadith ) kadang kala memberikan satu kelegaan kepada saya. Seperti kata Dr Mustofa

" Kamu tak mengapa, aku anggap seperti tetamu ( dalam kelas )"

Puncanya kerana saya pelajar jurusan fiqh, sedangkan subjek tersebut merupakan subjek usuludin. Sehingga kini saya tidak disoal seperti beliau menyoal pelajar lain. Bahkan ketika saya membangkitkan soalan berkenaan method penulisan mustakhrajat, sebelum menjawab soalan saya, beliau terus menyoal pelajar usuludin apa itu mustakhrajat.

Setelah ada yang memberi jawapan. Beliau terus menjawab.

"Kamu pelajar usuludin sepatutnya mendatangkan jawapan dengan lebih teliti. Tengok dia pelajar fiqh yang membangkitkan istilah tersebut"

Sebenarnya saya agak kurang gembira juga dengan subjek ini. Bukan kerana pensyarah, namun kerana pelajar. Maaf saya cakap. Moga kritikan ini membina buat anda pelajar usuludin.

Kelas sering terhenti kerana Dr Mustofa terpaksa merujuk kembali pengajian ulum hadith yang menjadi asas kepada subjek ini. Saya pun terkejut masih ada pelajar yang tidak mengetahui atau lupa istilah-istilah yang penting dalam ulum hadith seperti hadith gharib, syarat hadith sahih, sanad hadith, syawahid dan pelbagai lagi.

Sehinggakan beliau mengarahkan agar pelajar usuludin menulis kamus mini berkenaan istilah hadith. Hafal sebelum tidur dan tampal di dapur bagi akhwat.

Itu belum lagi keadaan pelajar kita yang sangat lemah penguasaan bahasa arab hinggakan ditempelak oleh pensyarah. Dengan bahasa arab yang lemah dan asas ilmu hadith yang anda lupa, bagaimanakah ingin belajar subjek ini?

Sehinggakan saya memberitahu Afiq, seorang pelajar terbaik usuludin bahawa mereka perlukan program intensif khas.

Jika asas ilmu usuludin pun belum dikuasai bagaimana ingin terjun ke alam hukum hakam ( fiqh )?

Maaf, harap kritikan ini membina dan mengubah keadaan kita.

Sama juga dengan pelajar fiqh, jika anda meminta mereka mengajar subjek pengenalan kepada ilmu fiqh, berapa ramaikan yang berkemampuan? Masih ramai pelajar fiqh gagal menguasai istilah-istilah penting seperti dalalatul nas, mafhum muwafaqah, takyif fiqh, wajhu istidlal, illah, qias.

Jika mereka mengetahui makna sekalipun mereka gagal mengaplikasinya dalam hukum semasa. Jadilah pengajian fiqh itu beku.

Sedangkan fiqh itu adalah faham. Faham tentang masalah, dalil, cara berdalil, dan keadaan semasa. Semua ini untuk menghasilkan sesuatu hukum. Maaf juga pelajar fiqh, saya sendiri pun bukan yang terbaik dikalangan anda.

Berbalik kepada pelajar adab. Ketika di Malaysia, ramai penceramah yang muncul dalam TV dan ceramah dikalangan pelajar bahasa. Namun saya terbayang, jika di Mu'tah, siapakah pelajar Adab yang mampu berbicara sedemikian?

Adakah mereka ingin membebaskan diri dengan menyatakan kami tidak belajar syariah?

Maaf pelajar Adab, saya risaukan keadaan anda nanti.

Saya akui, ada juga dikalangan pelajar fiqh yang berusaha menguasai bahasa arab dan ilmu usuludin, ada juga pelajar usuludin yang mengikuti kelas fiqh dan ada juga pelajar Adab yang berusaha mendalami ilmu syariah.

Mereka merasai tanggungjawab kerana mereka melihat jauh dihadapan.

Sangat rugi pelajar tidak menguasai bahasa arab dan ilmu berkaitan dengannya takala kita berada di negara arab, belajar di Universiti, bahkan ada pelajar melayu yang sukarela mengadakan kelas bimbingan. Namun, apa sikap kita?

Kelas halal wa haram oleh Dr Syuesh yang membincangkan hukum fiqh asas dan semasa, berapa ramai yang menyertai ditambah pula dengan kelas bantuan akademik yang wajar dijadikan sebagai kelas tambahan ilmu. Namun, apa sikap kita?

Tenggelam dengan kegembiraan kerana terlalu jauh dengan realiti?

Jika di Malaysia,kita terpaksa mengubah sikap menjadi seorang yang alim dan mutadayyin, maka di sini mereka tidak nampak kita dan kita terus berubah.

Moga saya mengkritik dengan ikhlas.

Moga kita semua akan berubah.

0 ulasan: