Wednesday, October 7, 2009

Kembali Ke Syariah

"Saya kembali ke syariah"

Itulah ayat saya kepada sahabat baik saya, Abdul Hayyee. Tersenyum dia. Sudah 2 semester saya tidak berada di kuliah syariah secara kerap sehinggakan Dr. Hammad Azzam pun menyedari hal ini. Dr. Ali Zuqaili pula sudah melupai nama keramat saya.

Bukan tiada tapi hanya subjek tilawah. Kesannya, saya jarang merujuk pensyarah dua semester lepas. Hanya kelas tafaqquh sahaja bersama Dr Syuesh dan kadang-kadang saya masih merujuk Dr. Faris Mar'ei.

Minggu ini saya kembali dengan 5 subjek Syariah iaitu:-
1. Firaq dalam tarikh muslimin ( sejarah perpecahan dalam ummat islam )
2. Manahij Muhaddithin ( Metodologi ulama hadith )
3. Ahadith Ahkam ( Hadith-hadith yang berkaitan dengan hukum hakam )
4. Tilawah 2
5. Tilawah 3.

Alhamdulillah, sehingga saat ini saya dapat aktif dalam kelas dan memahami apa yang diajar oleh pensyarah.

Dengan subjek firaq barulah saya faham apa maksud sebenar hadith ummat islam akan berpecah kepada 73 golongan. Ketika pulang ke Malaysia baru-baru ni kerap dilontar soalan tersebut.

Subjek manahij muhaddithin pula, hingga kini masih perlahan. Dr Mustofa Abu Ziyad masih ingin mengulang kaji pembelajaran ulum hadith dan takhrij sebelum masuk ke subjek ini.

Yang paling mendebarkan saya adalah subjek hadith ahkam. Bukan kerana takut markah, ataupun tidak faham, namun terlalu takjub kepada Dr. Mohammad Said Hawa. Walaupun sebelum ini saya bertalaqqi kitab Riyadus solihin dengan beliau, namun hari ini saya sangat kagum dengan penyampaian beliau.

Daripada isu kaedah hadith, akidah hinggalah perbahasan hadith.

Semalam Dr Mohammad Said Hawa menimbulkan persoalan Imam Mahdi. Kata beliau, jika Imam Mahdi digambarkan seorang yang akan menguasai dunia, memimpin ummah dan menegakkan keadilan mengapa:-
1. Perkara yang begitu penting ini tidak disebut dalam Al-Quran.
2. Tidak disebut dalam 2 kitab sohih hadith.

Maka, kata beliau tiada sebab untuk sampai tahap beriman pada perkara ini. Jika ingin berpegang juga pada hadith itu, maka berpeganglah bahawa untuk mencapai kemenangan islam dengan usaha bukannya mengharap kemunculan seorang yang dikenali sebagai mahdi itu secara tiba-tiba. Ini adalah pegangan Syiah yang menanti munculnya imam terakhir mereka.

Kata beliau lagi, boleh jadi Mahdi itu Salahuddin Al-Ayubbi dan boleh jadi Khalifah Umar Abdul Aziz. Yang pasti tanpa perjuangan, tiadalah kemenangan islam.

Begitu juga halnya dalam syafaat Rasul. Kata beliau tiada sebab untuk mengkafirkan kepada mereka yang menolak hadith syafaat rasul kerana ianya bertaraf Hadith Ahad.

Semua perkara penting dalam akidah islam telah disebut dalam Al-Quran dan sunnah mutawatir.

Saya begitu tertarik dengan pendapat Asyaierah dalam perkara akidah mestilah daripada sumber Al-Quran dan Hadith Mutawatir. Yang paling penting juga manhaj Asyaierah turut menyeimbangkan peranan akal dalam memahami dan menilai sesuatu hadith.

" Sheikh, masih tidak puas hati lagi?" Tegur Dr Mohammad kepada Abdul Ilah.

Beliau yang berfahaman pekat salafi wahabi sudah semestinya akan terus menentang. Kalau Dr Abdul Hamid Majali sebelum ini tidak begitu melayan sangat perangainya.

Saya kagum dengan Abdul Ilah yang sangat cemerlang dalam pelajaran, namun sikap beliau yang terlalu ultra salafi hinggakan habis kelas pun masih berkeras kepada rakan-rakan lain tentang salafinya.

Semua mengetahui hal ini.

Apa pun, sikap sedemikian jauh lebih bagus daripada pelajar Malaysia yang masih tidak dapat memahami isu-isu ini dengan lebih baik, lantaran membiarkannya.

Pelajar syariah mestilah ada pegangan tersendiri dalam hal ini.

Berusahalah..

0 ulasan: