Semalam saya berpeluang membentangkan kertas kerja sejarah perkembangan mazhab kepada pelajar baru. Sudah masuk kali ke 3 semenjak saya berada di sini. Cuma tahun lepas saya membentangkan fundamental fiqh islami.
Dengan suasana wisma yang padat dan agak panas ditambah pula giliran saya yang terakhir sebagai pembentang, agak memcabar bagi saya. Azmir terlajak, Syafiq pula lebih pendek. Apa pun tahniah buat Azmir, harapan saya sebagai perintis di masa hadapan.
Soalan yang diajukan kepada saya berkenaan talfiq menyebabkan perbincangan lebih jauh. Ramai yang merungut banyak istilah yang agak sukar difahami. Namun, saya sedar keadaan mahasiswa yang berbeza penguasaan memerlukan penelitian. Ada pelajar daripada sekolah, ada daripada kolej dan pelbagai lagi lapisan yang berbeza-beza.
Berkenaan dengan talfiq, sehingga bergelar tahun 4, saya tidak pernah mendengar perkataan tersebut daripada pensyarah dalam kelas. Sebab itulah, bukan sahaja tahun 1, saya kira tahun 3 pun belum pasti dapat memahaminya.
Namun, dengan pembacaan dan pertanyaan daripada mereka yang lebih mengetahui memberi sedikit kelebihan buat saya. Saya kira dapat menjawabnya dengan baik.
Malam itu juga, saya cuba membuka minda mahasiswa dengan menonjolkan beberapa mazhab. Antaranya mazhab Hanafi. Mungkin ketika pulang bercuti di Malaysia dahulu, apabila saya membaca buku fiqh Al-Aqaliyyat, Dr Yusof Al-Qaradhawi yang banyak memuji mazhab Hanafi yang dianggap sebagai mazhab rasional pada zaman ini turut memberi kesan kepada saya.
Memberi kesan bukan menjadikan saya ingin bermazhab Hanafi, namun mengkaji akan mazhab ini. Kalau dahulu pendapat mazhab ini sering dianggap syaz ( ganjil ) kerana sering bertentangan dengan jumhur, kini banyak pendapat mereka mula dinilai dan dipakai.
Umpamanya pengambilan riba di negara kafir harbi, kuasa wali perempuan tidak mutlak, pembahagian bai' fasid dan batil, hukuman qisas tidak dikenakan di negara kafir harbi, dan lain-lain lagi. Semua ini ada rasionalnya pada zaman moden.
Insyallah dalam siri kedua cafe idari, saya telah mengupasnya lebih dalam. Nantikan kemunculannya.
Berbalik kepada program semalam. Ada juga yang bertanya berkenaan ciri-ciri seorang mujtahid. Saya sendiri tidak tahu bagaimana persepsi anda terhadap jawapan saya.
Mujtahid, tentulah bukan sesuatu yang mustahil untuk mencapainya kerana sudah ada yang mencapainya dan yang mencapainya itu adalah manusia.
Itu jawapan secara fakta dan sebagai galakan moga usaha kita seperti mujtahid.
Namun, untuk bergelar mujtahid, bukan sesenang yang disangka. Bahkan mereka yang sudah bergelar mujtahid secara mutlak ramai yang memilih untuk mengikat diri dengan mazhab. Sebagai contoh imam Ghazali.
Antara syarat-syarat utama mujtahid:-
1. Menguasai Quran dan Sunnah.
2. Menguasai Bahasa Arab.
3. Menguasai usul fiqh, maqasid dan uruf.
Sangat sukar, namun ijtihad bukanlah satu pekej yang perlu anda kuasai segalanya. Ijtihad ada tahap-tahapnya.
Ada yang mutlak seperti imam 4 mazhab. Terus mengeluarkan hukum daripada Quran dan Sunnah.
Ada yang tarjih. Menilai antara pendapat mazhab dan memilih yang lebih tepat.
Ada yang tajazu'. Hanya berijtihad dalam bidang-bidang tertentu.
Seperti kata Dr Yusof Al-Qaradhawi, tidak mustahil bagi mereka yang belajar bahasa arab dan asas ilmu syariah menjadi mujtahid sekurang-kurangnya secara tarjih dan tajazu'.
Kita semua, usuludin yang mempunyai kelebihan mengkaji hadith dan quran, pelajar adab dengan kelebihan bahasa dan pelajar fiqh dengan kelebihan pemikirannya, insyallah kita semua ke arah itu.
Jika tidak mampu menjadi mujtahid, ambillah semangat mereka.
0 ulasan:
Post a Comment