Sunday, September 27, 2009

Semoga Tahun ke 8 Hijrah Memberi Semangat Baru



" Apa khabar Asmahan?"
" Baik, Alhamdulillah. Lama tak nampak kamu"

Untuk semester ini saya mendaftar 20jam kredit, tentu ramai sahabat yang terkejut, namun itulah yang sebenarnya. Saya perlu bekerja keras untuk kembalikan muaddal harapan saya. 2 semester sebelum ini agak buruk, kini peluang satu semester untuk menebus kembali.

Belajar daripada pengalaman bukanlah sesuatu yang memalukan. Jika tiada pengalaman jatuh, apa erti kejayaan untuk dikongsi kepada orang lain. Yang penting bagaimana kita bangkit.

Keluar dewan umawi, terus terserempak dengan Azmudin dan Mazlan. Kesian melihat mereka menguruskan pelajar baru yang melebihi 100 orang. Teringat 2 tahun yang lalu saya menguruskan kehadiran pelajar baru bersama Ust Mahadi dan Ust Judin. Teringat juga bagaimana cuaknya saya apabila surat MSD tiba-tiba hilang, mujurlah pihak universiti mengakui kesilapan mereka. Saya juga sempat dengan sistem kemasukan tanpa kementerian pengajian tinggi. Ketika itu, pelajar boleh datang tanpa melalui MSD ataupun KPT.

Tahniah Azmudin, semoga dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Terkejut juga apabila melihat kebanjira pelajar-pelajar baru. Ada yang sudah berkeluarga, yang sudah senior. Mungkin faktor kehadiran yang begitu ramai pelajar ke Jordan dipengaruhi oleh sistem kemasukan di Universiti Al-Azhar yang mensyaratkan STAM dan kesukaran mendapatkan visa di Syria. Jordan kembali ke era 1995-1997.

Apa pun, saya menganggap dan mengharapkan perubahan ini ke arah positif.

Sempat juga saya singgah di Kuliyyah Syariah bertemu beberapa orang pensyarah. Suasana sudah berubah. Dr. Ali Zuqaili sudah bergelar dekan kuliyyah dan Dr. Hammad Azzam selaku timbalan beliau. Dr. Khalid pula naik selaku ketua jabatan fiqh dan usul.

Selepas ini, bilik dekan pula yang akan menjadi tumpuan pensyarah bersembang. Siapa tidak kenal Dr. Ali yang tidak boleh duduk diam.

Sempat juga saya bertanya soalan tadi.

" Dr, ada perkara baru di Malaysia, sekarang ada syarikat telefon yang menyediakan perkhidmatan membayar zakat fitrah dengan cara sms. Sedangkan pengguna dalam keadaan berhutang kerana membayar bil pada hujung bulan. Bukankah zakat fitrah disyaratkan kepada mereka yang dalam keadaan mempunyai wang. bla.. bla.. bla..

Betapa panjang lebarnya soalan dan penerangan masalah yang saya utarakan. Namun..

" Bisir-bisir ( boleh-boleh )"

Itu sahaja jawapannya. Namun, siapa yang rapat dengan Dr. Ali mengetahui hal ini. Beliau antara pakar rujuk di Universiti Mutah serta bekas mufti Karak dan kawasan selatan. Antara pensyarah kegemaran saya.

Ketika pulang saya terserempak dengan Dr. Faris Mar'ie.

" Kullu am wa antum bikhair" sapa Dr Faris.

" Kamu ada ambik subjek dengan saya?" tanya beliau.

" Tidak Dr, tapi saya harap saya boleh habiskan banyak masa dengan kamu, lagi pun saya sudah semester akhir"

" Apa salahnya"

Dr Faris juga antara pilihan saya walaupun saya tidak mendapat markah tinggi dengan beliau yang lebih mendatangkan soalan berorientasikan menghafal. Namun, saya gemar kerana jawapan beliau cukup meyakinkan bagi sesiapa yang bertanya ditambah pula beliau seorang yang mudah didekati.

Hari ini bermula perjuangan. Bagi yang junior ataupun senior. Amat rugi mereka yang tidak bersedia dan mengabaikan peluang di sini.

Alangkah baiknya jika kita mengingati kembali apa sebenarnya yang ada pada Mu'tah, bumi yang gersang ini?

Mu'tah ini tidak akan terkenal tanpa peristiwa perang Mu'tah, peperangan pertama antara 2 agama samawi ini. Universiti ini wujud hasil daripada mengingati perjuangan tersebut.

Ramai yang menuntut duit zakat, walaupun menumpang pada asnaf fi sabilillah. Bukan saya menafikan, namun jika anda mengambilnya atas dasar fi sabilillah, perjuangannya harus setaraf dengan fi sabilillah.

Fi sabilillah itu jihad dan perjuangan kerana agama.

Mengimbau kembali perang Mu'tah, bayangkan peperangan itu berlaku dalam keadaan:-
1. Bilangan tentera musuh 66 kali ganda dari pihak islam.
2. Peperangan pertama tentera islam di luar tanah hijjaz.
3. Waktu peperangan yang berlangsung pada musim sejuk.
4. Tekanan yang dihadapi apabila 3 panglima di bunuh.

Namun, mereka tidak mengalah dan berjaya memaksa musuh berundur.

Kita hadir selaku mujahid, mengutip senjata-senjata dalam menghadapi ghazwatu fikr. Sekeliling kita penuh dengan cabaran dan ancaman.

Jiran kita, Palestin dalam perjuangan membebaskan diri daripada Zionis. Jika Arab di sini masih hanyut dan kembali kepada jahilyyah, mengapa harus terkesan dengan kita?

Jika kita menerima ancaman itulah adalah lumrah perjuangan. Jika syahid, itu adalah matlamat perjuangan.

Kuatkan semangat dan terus berjuang.

Selamat datang kepada pelajar baru.

0 ulasan: