
Belum terlambat lagi rasanya untuk menulis berkenaan dengan puasa dan ramadhan. Ibadat dan bulan yang mengubah suasana ummat islam. Selain kelebihan ibadat yang digandakan, ummat islam dituntut melihat kepada sejarah di bulan ini. Perang Badar, Perang Ain Jalut, pembukaan Al-Aqsa dan pelbagai lagi sejarah yang seharusnya membangkitkan semangat ummat islam.
Bulan ini sinonim dengan perjuangan kerana bulan selepas ini, Syawal adalah simbol kepada kemenangan.
Semua Agama Dari Sumber Yang Sama?
Bercakap tentang puasa. Boleh dikatakan semua agama mempunyai ibadat seperti ini cuma cara dan waktunya berbeza.
Seperti agama islam yang menyatakan antara tujuan berpuasa untuk bertaqwa iaitu membina kekuatan dalaman, begitu juga agama lain yang menganggap bahawa puasa untuk membina kerohanian pada penganutnya.
Ini bukan pandangan pluralism yang menyamakan semua agama. Cuma saya tertarik dengan beberapa teori daripada pemikir-pemikir termasuk pemikir islam sendiri bahawa semua agama berasal daripada sumber langit.
Berikut adalah alasan untuk mengukuh hujjah mereka.
1. Harun Yahya dalam buku The Parished Nation ( Kaum-kaum yang pupus ) menyebut bahawa kisah banjir besar pada zaman Nabi Nuh disebut dalam semua kitab suci agama termasuk Buddha dan Hindu, cuma versi yang berbeza. Apa yang pasti tidak mungkin cerita itu direka melainkan mesti datang daripada sumber wahyu.
2. Beberapa pengkaji islam telah membuktikan dalam kitab suci agama Hindu, Buddha dan agama langit, Yahudi dan Kristian ada menceritakan berita kedatangan Nabi yang terakhir, Muhammad S.A.W. Walaupun tidak dinyatakan nama, namun disebutkan sifat-sifat yang ada pada baginda. Mustahil berita tersebut direka oleh manusia.
3. Ayat Al-Quran sendiri telah menyebut :
Dan ( Kami telah mengutuskan ) beberapa orang Rasul yang telah kami ceritakan kepada kamu dahulu sebelum ini, dan rasul-rasul yang tidak kami ceritakan hal mereka kepada kamu... ( An-Nisa' : 164 )
Berdasarkan ayat ini kemungkinan pengasas agama lain adalah Rasul utusan Allah yang tidak diceritakan apatah lagi kebanyakkan agama lain di dunia ini lebih awal daripada Islam.
Namun, bukanlah kewajipan untuk mempercayainya. Kita hanya dituntut beriman dengan nama Rasul dan nabi yang disebut secara jelas dalam Al-Quran.
Jika benar pun teori tersebut, ummat Islam meyakini bahawa semua agama melainkan islam telah pun diselewengkan daripada sumber asal mereka.
Mereka berpuasa, kita pun berpuasa.
Namun ganjarannya di akhirat adalah berbeza.
0 ulasan:
Post a Comment