Saturday, September 5, 2009

Budaya Membaca Dan Majalah Islam



Alhamdulillah, hampir 2 minggu saya di tanah air. Dengan kepulangan yang dikatakan tidak berbaloi kerana berbaki hanya satu semester, saya berusaha untuk memanfaatkan masa sebaik mungkin.

Mengetahui isu semasa dengan lebih mendalam dan mencari ruang masa depan yang akan datang.

Tidak dinafikan kemudahan internet menjadikan mahasiswa di Jordan tidak ketinggalan dalam mengikuti isu politik dan semasa di Malaysia. Namun, itu semua masih belum mencukupi. Kebanyakkan bahan dalam internet lebih sekadar berita.

Sebagai contoh laman harakahdaily dan siasahdaily hanya menyiarkan berita. Jika membeli akhbar, masih banyak rencana dan analisis politik yang menarik.

Alhamdulillah, Malaysia semakin mempunyai banyak akhbar yang tidak condong kepada satu parti politik sahaja. Sebagai contoh akhbar sinar harian. Jika dilihat akhbar tempatan ini sangat bagus analisanya tentang politik tanah air.

Sebenarnya, kewujudan banyak sumber dan media alternatif menyumbang kepada kemenangan pakatan rakyat pada PRU 12 dan PR kecil selepas itu. Jika Pakatan Rakyat diberi ruang memiliki lesen televesyen sudah pasti gelombang mereka tidak akan dihalang oleh pihak kerajaan.

Tidak dinafikan pihak kerajaan yang begitu terdesak. Polis, SPRM, media perdana terus disalah gunakan. Yang terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) menunjukkan sikap tidak profesionalnya apabila menolak keputusan speaker DUN Kedah. Prof Abdul Aziz Bari, pensyarah UIAM terus menempelak, sejak bila SPR mempunyai kuasa mentafsir perlembagaan ataupun Undang-undang tubuh negeri.

Kali ini SPR, esok lusa seluruh agensi kerajaan akan mentafsir undang-undang. Bayangkan jika pihak polis mentafsirkan ISA, OSA dan akta hasutan? Bayangkan jika SPRM mentafsirkan akta rasuah?

Jika diperhatikan sejarah moden manusia, mana-mana regim pemerintah yang akan jatuh, kebiasaannya mereka akan menggunakan apa sahaja untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Polis, tentera, dan seluruh jentera kerajaan. Lihatlah Shah Iran dan Suharto di Indonesia.

Lupakan sementara politik.

Saya tertarik dengan kempen membaca dalam televisyen baru-baru ini. Jika dilihat kewujudan bahan bacaan bercetak seperti majalah, surat khabar, buku ilmiah dan buku isu semasa terlampau banyak.

Namun, kesedaran membaca rakyat masih ditahap rendah. Jika tahap membaca sedemikian, sudah tentu akan memberi kesan kepada tahap menilai sesuatu isu.

Akhirnya hanya bergantung kepada media elektronik.

Antara majalah I dan Al-Islam.
Saya juga tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan majalah agama di tanah air. Sehingga kini, 2 majalah agama yang berpengaruh adalah majalah Al-Islam dan I, masih lagi kosisten pengeluarannya.

Majalah Al-Islam tidak lagi seperti dulu. Jika editornya dahulu Astora Jabat melariskan jualan majalah tersebut dengan pandangan-pandangan agama yang sangat kontroversi, kini editor baru majalah ini ada pendekatan yang berbeza.

Bahkan ramai penulis seperti Dr.Asri, Prof Mahmud Zuhdi melontarkan idea dalam majalah ini.

Berbeza dengan majalah I. Kemunculan majalah ini banyak menjawab kekeliruan
isu majalah Al-Islam.

Namun, majalah yang pro-salafi ini nampaknya semakin ketandusan isu. Apatah lagi masih berlegar dengan isu-isu khilafiah. Yang terbaru bulan Ogos, ramai penulis yang dahulunya tulisannya begitu hebat seperti Prof Abdul Aziz Bari, Dr. Daniel, Dr. Asri, Ustaz Maszlee Malik sudah tidak wujud.

Walaubagaimanapun, penulis-penulis jemputan lain masih lagi hebat seperti Ust Zaharuddin. Mungkin pandangan saya adalah silap kerana hanya menilai 2 buah majalah yang terbit dalam bulan Ogos dan September.

Apa pun, kita masih kekurangan majalah agama yang berbentuk moden seperti ini. Semoga perjuangan kedua-dua majalah ini berterusan agar masyarakat kita dapat memahami isu-isu dari sudut perspektif islam.

Semaikan kempen membaca...

0 ulasan: