Alhamdulillah, lega apabila sudah melepasi ujian subjek tilawah. Terasa bebannya apatah lagi dengan tempoh yang begitu pendek pada semester musim panas ini. Baki subjek lain tidak lah begitu sukar. Kemahiran komputer 2, English 2 dan pendidikan sukan.
Dengan baki 8 hari sebelum pulang ke Malaysia, saya telah berjanji kepada BPP PERMATA untuk menyumbangkan beberapa artikel berkaitan Palestin antaranya terjemahan artikel Dr Azzam Tamimi, The End of Zionis. Kemudian artikel yang agak baru juga dalam penulisan isu ini iaitu mengenai golongan Holocaust Denial, golongan yang dikatakan menafi jumlah angka pembunuhan Yahudi ketika era Hitler.
Menanti sambutan hari Al-Quds sedunia yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ketika tahun 2 dahulu apabila menjadi ketua BA, saya telah mengedarkan artikel Al-Quds sempena hari tersebut. Ada yang memerli dengan menyatakan itu adalah Bid'ah. Terus terang saya nyatakan kesedaran Palestin mahasiswa Malaysia Mu'tah masih lagi belum memuaskan walaupun jarak kami dengan Israel hanyalah 30 km!
Mungkin dasar politik Jordan yang menjadikan sebahagian daripada kita perlu berhati-hati. Apa yang berlaku pada Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia ( PERTAMA ) baru-baru ini menyebabkan kita perlu tidak terlalu agresif.
Ada benar kata pengarah MSD, biarlah kita menjadi seorang yang realistik bukan sekadar idealistik. Iaitu keperluan melihat persekitaran sebelum melakukan sesuatu.
Namun, ini bukanlah bermakna kita perlu pekak mendengar isu ini, buta melihat isu ini dan bisu membicarakan isu ini. Kewajipan jihad tetap berterusan selagi rejim itu masih belum keluar dari bumi suci kita. Berusahalah untuk menambahkan ilmu, maklumat agar semua itu dapat dijadikan bahan kesedaran masyarakat apabila ke pulang nanti.
Saya masih ingat ceramah Ust Maszlee Malik ketika di Irbid 2 tahun lepas
" Kamu semua adalah duta Al-Aqsa"
Semoga kita tidak didakwa diakhirat nanti sebagai orang yang tidak peduli, lembab dan tidak berjihad dalam perjuangan palestin.
Manusia Dan Perjuangan.
Apa yang menjadikan manusia berjuang?
Umumnya, kesedaranlah yang membangkitkan perjuangan. Kesedaran juga membezakan perjuangan itu benar ataupun batil. Tidak kiralah apa isu sekali pun. Manusia harus dibiasakan dengan perjuangan agar jiwanya kental.
Semalam kawan baik saya, Dr. Dzulkarnain menghubungi saya mengucapkan tahniah atas penerbitan buku saya. Beliau juga akan cuba mengaktifkan semangat penulisan di Irbid.
Sebenarnya, saya kagum dengan beliau atas usaha mewujudkan sistem zakat dan sedekah MPPM. Saya masih ingat lagi idea itu terbit dalam mesyuarat MPPM sesi lepas kali pertama. Ketika itu saya membangkitkan ada sebahagian daripada mahasiswa kita tidak mampu meneruskan pengajian disebabkan masalah kewangan.
Idea sememangnya mudah, namun untuk melaksanakannya sangat sukar. Ini bukannya bentuk program yang sekadar pelengkap takwim persatuan, tapi ini adalah program yang benar-benar berada dalam realiti.
Sangat sukar untuk menggerakkannya, ramai yang tidak memahami misi dan pemikiran beliau, menyebabkan perjalanannya terbantut seketika.
Namun, dengan kesedaran dan semangat yang tinggi, akhirnya beliau sendiri yang mempengerusikan unit ini di saat-saat akhir. Dengan perbincangan dengan beberapa orang pelajar bertaraf Master dan PHD hingga menyebabkan beberapa kali bentuk sistem terpaksa diubah, Zul tetap tabah.
Semalam skim tersebut berjaya dilancarkan dengan rasmi.
Terus terang saya menasihati pelajar Malaysia terutamanya pelajar syariah di bumi Jordan ini wajar mencontohi semangat dan sikap beliau yang menuntut dalam jurusan perubatan namun kesedaran dan sikap beliau mungkin terkehadapan daripada kita.
Apa pun teruskan lah berjuang. Janganlah mengharapkan hasil yang begitu cepat. Bahkan boleh jadi tiada langsung habuan di dunia ini, namun yang pasti diakhirat nilainya jauh lebih beharga.
Asalkan kita ikhlas, sabar dan terus berjuang...
0 ulasan:
Post a Comment