Thursday, August 20, 2009

Menanti Hembusan Bayu Timur



Esok saya pulang ke tanah air. Ramai yang terkejut dengan keputusan saya disebabkan hanya berbaki satu semester sahaja. Ada yang bergurau saya akan menamatkan zaman bujang, rasanya jauh sekali tanggapan itu dengan realiti saya sekarang.

Masih jauh untuk sampai ke tahap itu, walaupun hati ini mengimpikan agar ruang sentiasa dipermudahkan.

" Ifwat, kalau rasa kena balik, balik je" pesan Ustaz Jimie.

Saya merasakan kata-kata itu memberi kesan kepada saya dan hanya beliau faham keadaan saya. Yang lain semuanya melihat sebagai ketidakwajaran dan membazir wang. Untuk mengabur pandangan semua hatta keluarga, saya menyatakan kepulangan untuk berhari raya bersama keluarga.

Sebenar saya merindui angin bayu timur..
Tempat saya dibesarkan..
Tempat saya mencari ilham dan ketenangan..

Saya merindui suasana nelayan waktu pagi di pantai Batu Burok walaupun sekarang sudah hampir dengan musim tengkujuh. Sebenarnya saya sudah tidak tinggal di rumah arwah nenek di batu burok.

Saya menghadapi sedikit kelainan perasaan sejak kebelakangan ini. Keputusan peperiksaan dan hubungan saya dengan mahasiswa di sini.

Kadang-kadang saya terkejut dan tidak menyangka sedemikian.

Ada juga nasihat berikut kepada saya:
1. Jauhkanlah diri daripada suasana pelajar Malaysia buat seketika.
2. Jangan bersikap menonjol diri.

Di Mu'tah, pelbagai ragam manusia. Bumi ini berkat dengan darah dan jasad syuhada', namun jangan lupa jaraknya hanya sekitar 30 km daripada Israel. Silap hari bulan perangai yahudi yang ada pada kita. Nauzubillah..

Sudah berapa ramai rakan kita yang menjadi mangsa fitnah? sudah berapa ramai rakan kita sudah menjadi daging ratahan kita?

Adakah sebab kita pelajar syariah, maka kita kebal dengan semua itu?

Dulu saya pernah menulis satu artikel 'akses yang terpantas di dunia' yang pernah dipaparkan dalam risalah Aura PERMATA.

Saya menyindir dan mengingatkan bahawa mulut suatu perkara yang sangat dasyat. Anda mungkin seronok, namun sedarlah setiap kalam kita ada yang mencatatnya.

Cukuplah untuk mengupasnya...

Sangat sukar untuk menjadi seorang bersabar, lagi sukar untuk menjadi seorang yang bersyukur. Semoga kita dikalangan 2 golongan itu.

Bayu timur....

Saya perlukan hembusannya untuk bangkit kembali.
Mungkin ada sesuatu yang boleh saya dapat daripadanya.

Selamat menyambut ramadhan dan doakan kepulangan saya....

0 ulasan: