Penat juga menerbitkan buku. Berapa malam saya tidak tidur untuk menulis artikel-artikel walaupun kebanyakkannya daripada blog saya sendiri, saya cuba mengolah kembali kepada bentuk fikrah, bukannya pendapat fiqh.
Bagi saya buku itu bertujuan untuk memahami sesuatu isu. Sekadar memahami bukannya sebagai rujukan ilmu.
Semalam, saya mendapat surat daripada saudara Presiden supaya meneruskan Baitul Hikmah. Sekarang sudah menjadi kelab. Saya merasakan hanya Baitul Hikmah sahaja unit yang masih dikekalkan.
Cuma bentuk pembawaannya, presiden mahu dibangunkan kemahiran menulis pelajar. Sebenarnya di Mu'tah lebih daripada 50 blogger yang kita ada dan saya kira juga lebih daripada 20 daripada mereka menulis dalam bentuk ilmiah dan konsisten dalam usaha mereka. Namun, masih gagal usaha untuk menghimpunkan mereka. Mungkin lebih selesa menulis secara individu.
Saya akui saya memperlahankan sedikit pergerakan baitul hikmah sejak penghujung semester awal sesi lepas. Mungkin saya masih memikirkan bentuk kumpulan yang terbaik.
Sehinggalah saya membimbing kelas terjemah dan membentuk team fatwa EF, baru saya nampak masa depan unit ini.
Cuma bagi pihak PERMATA, saya mencadangkan baitul hikmah menghimpunkan 2 kumpulan iaitu kumpulan tutor akademik dan kumpulan team penulisan ( terjemah & fatwa )
Saya juga ditanya oleh Timbalan presiden 1 dan ketua biro akademik berkenaan cadangan hala tuju ilmiah untuk PERMATA sesi ini. Cuma sebelum kita merancang sesuatu ada baiknya kita menilai sejauh mana kuasa dan peranan yang boleh dimainkan persatuan.
Bagi saya, yang paling utama adalah membangkitkan kesedaran ahli. Saya merasakan Timbalan presiden dan Ketua BA sudah mempunyai perancangan tersendiri. Sebenarnya semua itu bergantung kepada ahli dalam memajukan pencapaian masing-masing.
Berikut adalah beberapa isu yang perlu diberi perhatian:-
Perpustakaan Universiti
Sejak kebelakangan ini saya lihat perpustakaan Universiti Mu'tah agak suram daripada kunjungan mahasiswa Malaysia Mu'tah. Sebenarnya jika dibandingkan dengan perpustakaan Universiti di Malaysia sangat jauh bezanya jumlah kitab syariah di sini.
Terutama di tingkat bawah, banyak buku yang sangat sukar untuk dijumpai di luar sana.
Di tingkat 2, terdapat banyak himpunan kertas kerja ilmiah yang dibukukan.
Dan ditingkat yang paling atas, buku-buku rujukan mazhab perlu bagi pelajar sekurang-kurangnya mengetahui nama kitab dan mazhab penulis.
Dulu masa saya tahun 1, Ust Mahadi memperkenalkan buku-buku tersebut secara ringkas.
Mungkin persatuan boleh mempromosikannya.
Hubungan Dengan Pensyarah
Sebelum ini saya pernah menulis artikel suara ada nilainya. Itu dari sudut musyarakah. Pelajar seharusnya lebih rapat dengan mereka dan persatuan perlu sekurang-kurangnya mengadakan program ceramah khas bersama pensyarah pilihan setiap bulan ( selain kelas tafaquh ).
Sebelum ini saya sempat bertalaqi dengan Dr. Muhammad Said Hawa ( kitab riyadus solihin ), Dr Hammad Azzam ( Kitab kifayatul Akhyar ) Dr Ghuraibah ( kitab Ashbah Wa Nazoir ). Kadang-kadang saya merujuk kitab Hidayah syarh Bidayah kepada Dr Faris.
Pelajar seharusnya menggunakan kesempatan ini, jika tidak pasti anda menyesal apabila pulang nanti. Berusaha untuk bertalaqi dengan pensyarah, jika mereka tiada kelapangan sekurang-kurangnya bertanya mana-mana bahagian yang anda tidak faham.
Jika masih tiada kelapangan sekurang-kurangnya anda perlu berjumpa mereka sekali setiap minggu untuk bertanya apa-apa hukum.
Kemahiran Berbahasa Arab
Tidak dinafikan pelajar kita lemah dalam bahasa arab. Saya menilai daripada beberapa sudut. Pelajar kita lemah bertutur, buktinya suara musyarakah Malaysia sangat kurang. Pelajar kita lemah menulis, buktinya tiada pelajar yang menulis artikel dalam bahasa arab. Pelajar kita kekurangan vocab atau kalimah bahasa arab, buktinya tidak ramai pelajar yang mampu membaca dan memahami kitab.
Itu tidak dikira penguasaan nahu dan sorof pelajar.
Wujudkan biah yang membawa pelajar ke arah ini. Sesi lepas kami, ALT pernah bermesyuarat dalam bahasa inggeris dan arab ( walaupun cincai ).
Celik Turath.
Dulu, semasa saya tiba di sini, jika memasuki bilik senior, semuanya bagaikan mini perpustakaan. Penuh dengan himpunan kitab. Berlainan dengan sekarang. Boleh dibilang pelajar yang mengumpul kitab terutamanya kitab turath.
Alasan pelajar tidak tahu ingin membeli kitab apa..
Dan jawapan yang kurang optimis " beli banyak-banyak pun bukannya baca semua"
Sebenarnya sebagai pelajar aliran syariah, kitab-kitab yang kita beli itu bukannya untuk dibaca dari kulit ke kulit namun yang paling utama sebagai rujukan.
Dalam sistem pembelajaran yang terbuka di Universiti Mu'tah. Pelajar didedahkan dengan pengajian perbandingan mazhab. Kita akan menilai pendapat Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Zohiri dan kemudian mentarjihkannya. Itu dalam bidang fiqh, dalam bidang akidah pula kita didedahkan dengan pandangan salafi, Asyaierah, muktazilah dan lain-lain lagi.
Kita juga didedahkan dengan pengajian ala ahli hadith.
Semua ini memerlukan mahasiswa ruang untuk merujuk dengan lebih luas.
0 ulasan:
Post a Comment