Thursday, July 23, 2009

Politik Kita?

Saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap mahasiswa pengajian fiqh dan usul Universiti Mu'tah. Perkara ini mungkin tidak dilihat penting, namun sebenarnya ia berkaitan dengan perjuangan islam yang paling besar.

Menegakkan negara islam!!

Bukannya saya maksudkan mahasiswa di sini buta politik. Lihatlah bagaimana suasana di cafe Idari. Masing-masing bagaikan YB- YB dalam mengupas sesuatu isu. Pakatan rakyat, kerajaan perpaduan, one malaysia, kepimpinan Ulama, UMNO, PAS, Anwar, Tok Guru semuanya lancar dalam perbincangan.

Bertuahnya parti tersebut dengan pelapis-pelapis sebegini.

Namun..

Agak jarang pelajar bercakap isu politik secara ilmiah dan akademik. Maksud saya dalam lingkungan perbahasan ulama fiqh ataupun pemikir politik. Kita di sini memahami rung lingkup politik dengan isu semasa. Kesannya lahirlah muqallid yang mengikut parti politik mereka sahaja.

Hari ini apabila ada parti islam mengharuskan kerjasama dengan bukan islam, pengikutnya akan meng'iya'kannya.

Esokkan kalaulah parti itu mengharamkan kerjasama tersebut, pasti akan di'iya'kan juga.

Tiada pegangan dari sudut ilmu dan fiqh. Pernah sekali apabila saya menyertai borak-borak isu kerajaan perpaduan, mereka yang bercakap bersandarkan kepada tokoh-tokoh dalam parti tersebut dan saya mencelah dengan memberi pendapat Dr.Wahbah Zuhaili dalam hubungan parti islam dengan parti bukan islam.

Masing-masing pelik. Mengapa?

Bersumberkan Isu.
Jika kita mempelajari sesuatu berdasarkan media dan kenyataan pimpinan politik semata-mata, ilmu tersebut sekadar maklumat bukannya pegangan. Sebab media sentiasa hanyut dengan mengikuti arus yang menguntungkan mereka.

Orang politik pula, mereka ada strategi tersendiri dalam memainkan sesuatu isu agar mendapat keuntungan. Bukan maksud saya ingin memburukkan orang politik, namun sememangnya itu peranan dan sikap mereka. Bukankah politik itu peperangan dan helah dibenarkan dalam memenanginya?

Maka, kita yang mempelajarinya dengan disiplin ilmu perlu membezakan antara kita dan orang awam.

Bermula Di sini.
Akhirnya, saya mendapat satu jawapan dalam teori saya kegagalan pelajar kita berpunca daripada subjek Nizom Hukum.

Manakan tidak, subjek ini hanya ada 2 orang pensyarah iaitu Dr. Iwadi dan Dr. Bassam. Mereka berdua terkenal sebagai pensyarah yang langsung tidak menilai hasil kerja pelajar melayu. Markah yang diberikan berdasarkan mood mereka.

Yang pastinya pelajar kita akan mendapat lulus. Samada anda terlampau rajin ataupun tidak memahaminya, keputusannya hampir sama. Bahkan baru-baru ini ada pelajar kita yang muaddalnya mumtaz terkandas dalam madah ini.

Maka, sebahagian pelajar mempelajari subjek ini tanpa minat.

Sedangkan subjek ini membincangkan tentang negara islam, khalifah, sistem, ahli syura, demokrasi, negara persekutuan, bai'ah, pilihanraya, kerjasama politik, hak bukan islam.

Bahkan hampir 90% perkara dalam pemerintahan adalah perkara ijtihad yang memerlukan penilaian pelajar.

Seterusnya memberi kesan kepada kepimpinan pelajar dalam persatuan. Lahirlah fatwa mereka pilihanraya itu Yahudi, pimpinan 100% mestilah imej thiqah, amanah persatuan mesti didahuluikan ke atas pelajaran dan pelbagai lagi dotrin yang merugikan semua.

Apabila pulang ke Malaysia, gagal mengaplikasinya dalam suasana politik di Malaysia.

Mahasiswa Malaysia Mu'tah, berusahalah menguasai subjek ini, jika orang agama tidak faham khilafah islam bagaimanakah ingin memperjuangkannya?

0 ulasan: