Tuesday, July 28, 2009

Belajar Menilai Daripada Mereka.

Pagi tadi di Cafe Idari ketika menerangkan kepada Hayee subjek Hadith Ahkam bab perempuan menjadi hakim, tiba-tiba Syah datang.

" Wat, tau tak Dr. Syuesh kata insurans perniagaan halal"
" Iye, Dr Azzam kata haram. Dr Syuesh menyokong pendapat syeikh Mustafa Zarqa'"
" Tapi Kesatuan Ulama Sedunia mengharamkan"
" Benar, tapi dari segi hukum asal, dari segi perlaksanaannya ulama berbeza-beza"

Tahun lepas hampir satu bulan saya berbincang dengan Dr Hammad Azzam yang merupakan ketua Jabatan Fiqh dan Usul dan Dr. Syuesh Mahamid yang juga bekas ketua jabatan tersebut.

Isunya hukum insuran perniagaan. Kedua-dua pensyarah ini berbeza pendapat.

Dr Hammad Azzam menyatakan insuran perniagaan adalah haram disebabkan:-
1. Unsur Riba ( pembayaran wang pampasan tidak sama dengan wang caruman )
2. unsur Gharar ( ketidakpastian dalam pembayaran wang caruman dan wang pampasan)
3. Unsur Judi ( Wang pampasan kemungkinan akan dapat dan kemungkinan tidak )

Tiga hujjah utama disamping hujjah lain yang agak longgar. Saya beralih kepada Dr. Syuesh pula. Pada mulanya beliau menyatakan kehairanan mengapa ada pihak yang menghalalkan insuran negara dan taa'wuni ( konsep takaful ), namun mengharamkan insuran perniagaan sedangkan tujuannya adalah sama menjaga kepentingan manusia.

Beliau menolak hujjah Dr. Hammad Azzam.
1. Riba jika mengenakan lebihan dalam pinjaman wang, sedangkan insuran bukan pinjaman wang tetapi adalah perniagaan yang berbentuk khidmat.
2. Jika berhujjahkan dengan unsur Gharar, semua perniagaan mempunyai gharar. Sebagai contoh jika anda membeli sebiji buah, ada kemungkinan buah itu rosak. Itu pun dinamakan gharar.
3. Beliau menolak unsur judi kerana niat penjudi adalah untuk mendapat keuntungan dengan cara bertaruh nasib sedangkan niat pencarum insuran adalah untuk mendapat jaminan keselamatan.

Saya merujuk kembali Dr Hammad, beliau menjawab kembali hujjah Dr Syuesh.
1. Riba tidak terhad dalam pinjaman namun ada juga dalam jual beli. Di sini jelas lebihan dan penangguhan dalam pembayaran.
2. Gharar dalam insuran diketogarikan sebagai gharar fahish iaitu yang ketidakpastian besar yang boleh membawa kepada pergaduhan. Buktinya banyak kes mahkamah yang melibatkan pertelingkahan antara syarikat insurans.
3. Dalam bab judi, kita tidak melihat kepada niat namun melihat kepada konsep judi iaitu ketidakpastian.

Saya merasakan sudah jelas hujjah kedua-dua pihak, saya merujuk pensyarah lain seperti Dr. Muhammad Said hawa dan Dr Abdul Rahman Kailani.

Benar, secara teori insurans adalah haram akadnya disebabkan pelaburannya dalam bank riba, namun secara realiti agak sukar untuk melaksanakannya.

Semua pembelian kereta mensyaratkan insurans. Jika kita menyatakan itu keadaan dharurat, agak janggal konsep dharurat melibatkan semua pembelian. Kebiasaannya dharurat hanya keadaan tertentu.

Begitu juga seperti kata Dr Abdul Rahman Kailani, ada beberapa negara yang mensyaratkan khidmat kesihatan dengan pembelian insurans. Sebagai contoh ada sebuah negara yang mengenakan bayaran kesihatan yang tinggi bagi pesakit yang tidak mempunyai insurans nyawa.

Membicarakan fiqh tidak cukup sekadar teori, samalah ilmu lain.

Cuma dalam artikel ini, saya mengharapkan pelajar menggunakan kesempatan belajar menilai perbezaan pendapat antara pensyarah. Cara ini sebenarnya membiasakan pelajar dalam berhadapan dengan khilaf ulama mazhab samada silam ataupun kontemporari.

Apatah lagi pensyarah kita bukan calang-calang orang. Hampir semua mempunyai PHD dan ada beberapa pensyarah sudah pun memegang title mufti seperti Dr. Ali Zuqaili dan Prof Dr Amin Butush.

Jika di Malaysia mudahkah anda berjumpa dengan Datuk Harunsani dan mufti-mufti lain?

0 ulasan: