Menjelang pilihanraya persatuan pelajar Malaysia di Jordan, isu-isu mula dilaungkan samada di pihak kepimpinan dan ahli. Mahasiswa Malaysia Jordan bukanlah terlampau aktif untuk menumpukan pemilihan tersebut. Setakat ini jarang ada kempen yang terbuka. Yang jelas, kebanyakan pelajar suka me'nilik' muka-muka yang bakal naik nanti.
Cuma kadang-kadang diterjemahkan dalam bentuk gurauan dan provokasi kepada yang dijangka naik. Untuk kali ini, saya dimaklumkan, pengarah SPR ingin mengadakan rapat umum antara semua calon bagi kempen menifesto mereka.
" Ada ke orang akan berkempen untuk diri sendiri?" tanya Syaheed.
" Sepanjang 3 tahun bersama persatuan, yang pasti hampir separuh nama yang dicalonkan akan menghantar surat penarikan diri"
" Hinggakan SPR terpaksa mengetatkan syarat untuk mengundur diri"
Apatah lagi untuk berkempen? Sememangnya ada, bahkan kadang-kadang hingga membawa kepada menyentuh peribadi calon. Yang dianggap penting apa ideologi politik calon dan bagaimana pergaulannya dengan kaum berlainan jantina. Itu yang kebiasaannya dinilai.
Jarang sekali calon yang berkempen untuk dirinya dan saya merasakan faktor utama disebabkan malu atau bakal dilebal gila kuasa.
Ataupun meminta jawatan. Begitu aib di sisi mahasiswa. Amanah suatu yang suci yang hanya layak pada ahlinya, kemudian diminta dan dituntut sedemikian rupa.
Cuma dalam tulisan ini, saya merasakan mungkin kita perlu meneliti perbahasan ulama dalam masalah meminta imarah ataupun kuasa.
“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."
(Riwayat Muslim)
Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Hinggakan kitab-kitab utama hadith mengkhususkan satu bab larangan meminta amanah.
Walaubagaimanapun, jika diteliti larangan tersebut mempunyai sebab ataupun illah tersendiri iaitu kelemahan dalam kepimpinan. Sekiranya seseorang itu berkemampuan ataupun ahliha, sudah tentu bukan termasuk dalam hadith tersebut.
Bahkan, banyak juga nas-nas samada daripada Al-Quran dan Hadith berkenaan kepimpinan yang adil dan amanah. Kisah Daud, Sulaiman, Dzulkarnain yang disebut dalam Quran.
Tidak lupa juga hadith yang membicarakan 7 golongan yang mendapat perlindungan arash Allah dan golongan pertama adalah pemimpin yang adil.
Dalam pemilihan khalifah Ar-Rasyiddin ke 3 turut menyaksikan persaingan antara saidina Uthman dan saidina Ali hinggakan membawa kepada pengundian.
Melihat keadaan realiti sekarang juga, parti islam dan ulama juga menyertai pilihanraya, berkempen, bukankah me’nuntut’ itu dibenarkan?
Apatah lagi sekiranya tiada orang yang berkelayakan melainkan dia, pastinya jatuh kepada wajib menuntut.
Bercakap dalam skop persatuan Jordan, semua persatuan terbina atas dasar kebajikan dan khidmat kepada ahli. Pastinya, kita mengkehendaki bakal-bakal pimpinan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Maka, tidak salah jika wujud persaingan dalam mempromosikan pencapaian yang bakal dijanjikan.
Isu amanah adalah isu individu, manakala isu kebajikan adalah maslahat ahli dalam persatuan adalah isu utama.
Lebih baik kita memberikan amanah itu kepada mereka yang menjanjikan kemampuan, manifesto kebajikan yang jelas dan pengalaman mereka sendiri berbanding memberikan kepada orang yang tidak jelas matlamat yang bakal beliau bawakan untuk kepentingan persatuan.
Memetik kata-kata Dr. Muhammad Said Hawa, anak kepada Said Hawa, ulama terkenal Syria.
“ Saya pernah ditanya oleh pelajar kita berkenaan hukum mengundi pelajar masihi ( kristian ) dalam kepimpinan pelajar di Universiti, Maka saya menjawab, persatuan pelajar dibina atas khidmat bukannya atas wala’. Sesiapa yang mampu memberi kebajikan dan khidmat yang terbaik, maka tiada masalah untuk diundi walaupun bukan islam.”
Selamat memilih pemimpin…
Selamat bercuti…
1 ulasan:
Menarik artikel ni. syukran.
cuma sedikit persoalan, bukankah kita mahu khidmat yang ditawarkan oleh pemimpin kita itu, khidmat yang berlandaskan Islam??
Adakah orang yang bukan Islam akan melaksanakan khidmat yang berdasarkan Islam setelah dia menjadi pemimpin nanti?
ke camana?
Post a Comment