Saturday, May 30, 2009

Haramkah Arak? Bagaimana?



Dalam fatwa muasirah Qaradhawi jilid pertama ada membincangkan 3 isu berkenaan arak ataupun khamar. Persoalan pertama yang ditimbulkan adakah pengharaman arak itu qat'ie? Yang kedua, adakah 'bir' yang ditulis bebas alkohol itu halal? Yang terakhir, mengapakah Allah menyatakan pada arak juga ada manfaat? Apakah manfaat itu?

Ada pihak cuba menimbulkan keraguan berkenaan dengan hurum arak kerana Al-Quran tidak meletakkan perkataan 'haram'. Berikut adalah petikan terjemahan daripada surah Al-Maidah

" Wahai orang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, menilik nasib adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu semoga kamu mendapat keuntungan"


Daripada ayat ini kita dapat menghuraikan pengharaman arak daripada beberapa sudut.
1. Allah telah menyamakan arak dengan berhala iaitu sama taraf dengan syirik.

2. Kemudian dinyatakan arak itu adalah termasuk perbuatan keji. Lafaz tersebut hanyalah disebut dalam Quran untuk daging khinzir dan berhala.

3. Arak juga digambarkan sebagai salah satu daripada amalan Syaitan.

4. Kemudian, disuruh supaya menjauhkan diri daripadanya. Dalam Al-Quran, perkataan menjauhkan diri hanya ditujukan kepada ta'ghut dan dosa besar.

5. Akhir sekali, perbuatan menjauhkan diri itu disertakan dengan mendapat keuntungan.

Maka, pengharamannya cukup jelas. Bahkan ini adalah tahap pengharaman yang paling tinggi dalam hukum islam. Bagi mereka yang berpegang bahawa perbuatan haram itu mestilah disebut 'haram' adalah daripada kalangan mereka yang jahil.

Pengharaman Arak juga telah diijma'kan oleh ulama, maka bagi yang ingkar jatuh hukum kafir padanya.

Dalam persoalan kedua yang ditimbulkan, berkenaan dengan bir yang bebas dengan alkohol, perlulah melihat kaedah islam dalam menentukan konsep arak.

" Setiap yang memabukkan adalah arak, Setiap arak adalah haram, apa yang memabukkan samada sedikit ataupun banyak adalah haram"

Sekiranya bebas daripada bahan yang memabukkan, maka hukumnya tentulah bebas daripada arak. Cuma, syeikh Qaradhawi menambah, sekiranya ada keraguan,jalan yang lebih baik tinggalkanlah.

Kerana keraguaan itu syubhah dan syubhah sangat hampir dengan haram.

Isu yang terakhir pula adalah mengapakah Al-Quran menyebut manfaat pada arak walaupun sedikit dan apakah manfaat itu?

Syeikh menghuraikan manfaat dalam ayat tersebut adalah manfaat ekonomi dari sudut pengeluaran dan perniagaan.

Namun, mudharatnya cukup besar meliputi tubuh badan manusia, akal dan jiwa.

Kesannya akan lahir masyarakat pemabuk yang tiada nilainya. Tidak mampu berhadapan dengan musuh. Tidak mampu untuk bangkit.

Kaedah islam juga menetapkan jika mudharat mengatasi manfaat, maka padanya adalah haram.

Sesuatu yang menarik berkaitan arak adalah pengharamannya bertadarruj ataupun berperingkat berbeza dengan perkara haram yang lain.

Bahkan menurut saidina Umar, surah al-Maidah ini antara ayat yang terakhir diwahyukan.

Wallahu A'lam

1 ulasan:

Fez said...

Aslmkm. kebetulan pula, akk pun sdg mncari jwpn utk hukum arak ni. ada 1 soalan y bermain di kepala sejak kami mempelajari tajuk 'alcohol'.
Apa yang kami pelajari, alcohol terbahagi kepda 3 jenis, beer (4-5% alcohol), wine (16-25%) dan spirits (almost 100%). pembahagiannya yang berbeza adalah kerana mengikut komposisi alcohol dalam minuman tersebut.
Beer cthnya, diperbuat dari malt(bijirin, barley) yang difermented (diperam). selalu nmpak dijual di pasaraya. Rasanya kandungannya tidaklah memabukkan. Jadi apa hukum beer ni? ada alkohol tapi tidak memabukkan.
Syukran.