Thursday, May 28, 2009

Detik 29 Mei : Moga Saat Itu Kembali


“ Tentera Turki Uthmaniah sangat kuat. Ada pepatah menyatakan sekiranya mereka memulakan peperangan, siang akan bertukar menjadi malam kerana asap armada laut yang banyak menutupi kecerahan siang”

“ Jika mereka memulakan peperangan disebelah malam pula, maka malam akan bertukar menjadi siang kerana tembakan meriam yang terlampau banyak”.

Selain datang ke Jordan kerana pengajian Islam, saya menaruh impian untuk menjejak kaki ke 2 destinasi. Yang pertama adalah medan perang Mu’tah dan yang kedua adalah Bandar Istanbul.

Perang Mu’tah menyaksikan pertembungan kali pertama antara islam dan kristian. Saat itu bermulalah pertembungan antara 2 agama samawi ini takala ancaman kafir Quraisy di Mekah semakin lemah.

Siri peperangan antara 2 golongan ini berterusan ketika kerajaan islam di bawah Khalifah Ar-Rasyidin. Bani Umayyah yang menggantikan khilafah Ar-Rasyidin ketika itu memulakan ekspidisi laut ke Cyprus dan juga ke Andalusia demi membebaskan tanah tersebut daripada dinasti kristian.

Saat kegemilangan itu berterusan sehinggalah kurun ke 10 hingga ke 12 menyaksikan saat genting menimpa kerajaan islam. Quds jatuh ke tangan tentera salib, Baghdad jatuh ke Tartar dan Andalusia ditawan kembali oleh puak kristian.

Namun, kesedihan umat islam tidak lama. Salahuddin muncul wira menakluk kembali Baitul Maqdis.

Kelahiran dinasti Osman Gazi mengubah segala-galanya. Bangsa yang serumpun dengan bangsa Monggol dan Afganistan ini diiktiraf antara bangsa yang terkuat dunia.

Bermula dengan sebuah kerajaan kecil akhir semakin berkembang dan kemuncaknya pembebasan kota Costantinople.

Tanggal 29 Mei 1453 menandakan berakhirnya pasca perang salib era silam apabila costantinople, pusat pemerintahan Rom Timur jatuh ke tangan umat islam.

Hampir 400 tahun percubaan menakluknya. Begitu lama penantiannya.

Persiapan teknikal yang hebat ditambah dengan kekuatan spiritual. Artikel Ustaz Fauzi dan Ustaz Hasrizal sangat menarik untuk dibaca dalam menceritakan detik bersejarah itu.

Tertawannya Constantinople, benarlah janji Nabi s.a.w akan kota itu akan ditawan oleh umat islam.

Kurun ke 17 bermulalah kemerosotan empayar ini hinggalah perang dunia pertama Turki menyaksikan tewas kepada kuasa berikat. Istanbul turut ditawan, namun akhirnya kemerdekaan diberikan kepada Turki dengan syarat penubuhan sebuah republik dan pembebasan wilayah kekuasaannya.

Sejak daripada itu juga ibu kota Turki dipindahkan daripada Istanbul ke Ankara.

Perkembangan sekarang menyaksikan Turki ke arah kembali kepada zaman kegemilangan islamnya. Politik, kepimpinan dan kesedaran rakyatnya menuju kepada impian kegemilangan sejarah nenek moyang mereka suatu ketika dahulu.

Detik 29 Mei.. Moga saat itu kembali

0 ulasan: