Baru-baru ini, saya tertarik dengan kata-kata seorang sahabat.
" Tuhan bagi harta dan kemewahan bukan untuk diri sendiri, tapi untuk dikongsikan dengan orang sekeliling yang susah. Ramai lagi yang terpaksa tangguh belajar kerana tiada duit untuk membayar yuran"
" Yang terpaksa berhutang"
“ Yang berlapar”
Isunya sikap sebahagian pelajar yang bermewah dalam masa yang sama keadaan sekelilingnya masih ramai yang susah.
Benar, semua itu bukanlah rezeki. Kehidupan manusia bukanlah seperti impian komunis dengan semuanya memiliki kehidupan yang sama. Ada yang miskin, ada yang kaya, ada yang sederhana, ada yang senang dan ada yang susah.
Sebab itu kita ada sistem zakat yang tiada pada agama dan ideologi lain.
Begitu juga dalam masalah ilmu. Bukan semua dikalangan kita dilahirkan dengan kemampuan yang sama dari sudut kefahaman dan kebijaksanaan. Ada yang cemerlang, ada yang biasa dan ada yang gagal.
Lupakan seketika sikap pelajar yang malas berusaha.
Yang penting bagi mereka yang mempunyai kefahaman dan kecerdasan, anda bertanggungjawab membimbing mereka yang lemah.
Filem Laskar Pelangi
Filem ini benar-benar menyentuh para penonton hingga Presiden Indonesia sendiri. Konsep kehidupan masyarakat yang susah dalam menuntut hak pendidikan menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan.
Tidak hairanlah, saudara Tarmizi sudah menghadamkan cerita ini sebanyak 5 kali, saudara Abdul Hayee pula hampir berteriak kesedihan, begitu juga Dol yang tidak sanggup menontonnya hingga ke akhir.
Namun, maksud tersirat disebalik kesusahan dan kesedihan itu adalah sikap menyumbang dengan apa saja yang termampu.
" Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya bukan menerima sebanyak-banyaknya"
Sama juga dengan tema blog Ustaz Hasrizal
" Erti hidup pada memberi"
Fardu Kifayah
Konsep fardu kifayah tidak meletakkan kewajipan kepada setiap orang namun, jika tiada yang melaksanakan kewajipan tersebut maka, semuanya akan menanggung dosa.
Dalam masyarakat mesti ada seorang alim, seorang doktor, seorang pemimpin.
Namun, adakah ilmu si alim itu untuk dirinya? Adakah kepakaran seorang doktor untuk dirinya sahaja? Adakah kepimpinan seorang pemimpin itu hanya untuknya?
Tidak, semuanya akan dipertanggungjawabkan jika tidak disumbangkan.
Sebab bukan semua kebolehan, bakat dan apa saja yang ada pada anda, turut ada pada orang lain.
Maka, memberilah. Ramai yang memerlukan. Ramai yang mengharapkan. Lupakanlah mereka yang cuba menghalang dan menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kamu.
Yang pandai,ajarlah mereka yang lemah.
Yang senang, bantulah mereka yang susah.
Yang berkepimpinan,bimbinglah mereka yang di bawah.
0 ulasan:
Post a Comment