Petang tadi saya mendengar perbualan kawan-kawan arab( orang kampung ).
" Apa sebab Allah jadikan bulu ketiak? Apa hikmahnya pada Allah?" si A menimbulkan persoalan.
" Hikmahnya untuk menentukan seorang itu baligh dan yang kedua untuk membezakan lelaki dan perempuan" jawab si B.
" Menentukan baligh dengan macam ini? Ada perempuan yang ada bulu" balas si A.
" Apa gunanya Allah jadikan kemaluan, namun diharamkan istimta' dengan tangan" persoalan kedua ditimbulkan oleh A.
" Dengan cara kahwin la" jawab si B.
" Bukan semua orang dapat kahwin dan ada yang kahwin bila dah usia lanjut. Mana tahan masa muda" balas si A.
" Mengapa Allah jadikan orang kafir? apa beza lahir bayi daripada kafir dan islam, tapi akhirnya yang kafir masuk neraka. Allah zalim!. " kata si A.
" Cuba tengok orang kafir. Mengapa Allah cipta mereka kuat? padahal orang islam yang beriman"
" Kenapa kena bersolat? kenapa kena berpuasa? apa untungnya kepada Allah?"
" Semua itu ada hikmah. Baik kamu diam dalam hal ini. Ikut saja!!" jawab si B yang cuba untuk menutup perbahasan.
Si A merupakan seorang yang selalu berfikir. Segala kejadian Tuhan selalu difikirkannya demi mencari jawapan sehingga begitu berani mempersoalkan isu ketuhanan jika difikirkan tidak logik.
Beralih kepada si B. Seorang yang berpegang teguh pada adat dan apa yang diwarisi turun temurun walaupun apa yang difikirkan tidak logik.
Persamaan antara keduanya, ketiadaan ilmu dan wahyu yang memamdu mereka.
Saya hanya mendiamkan diri, walaupun si A cuba mengajak saya ke dalam perbincangan. Puncanya, saya tiada analogi terbaik dalam hal ni dan melihat keadaannya yang sangat keras kepala. Lagipun, saya masih diperingkat memerhatikan mad'u saya.
Apa pun cara beliau yang berasaskan kepada logik dan berfikir tepat dengan ajaran islam. Begitu banyak sekali ayat-ayat yang menyeru manusia memerhatikan kejadian alam dan itu semua membuktikan kewujudan serta kehebatan ciptaan Tuhan.
Namun, masalahnya si A hanya bergantung kepada akal, tanpa belajar dan beribadat apatah lagi melihat apa yang terkandung dalam wahyu. Akalnya dipandu dengan ego.
Kita lihat pula si B.
Beliau boleh dikategorikan sebagai seorang yang menganut islam berasaskan adat. Lahirnya sebagai seorang islam, membesar dalam islam dan hidup dalam masyarakat islam. Namun kelemahannya, gagal memberikan keyakinan dalam pegangannya.
Islamnya berasaskan adat.
Kesimpulan sementara
Sebenarnya, tidak dapat dinafikan kepentingan berfikir dalam agama apatah lagi untuk mencari hikmah.
Namun, jika dipandu oleh ego dan tanpa bimbingan ilmu pastinya akan hanyut.
Adat juga ada penting menjadikan pegangan seseorang itu kuat lantaran sudah mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Menjadikan islam itu sebati dalam kehidupan hingga sukar untuk meninggalkannya.
Namun, keadaan itu boleh goyah apatah lagi dipropagandakan dengan persoalan-persoalan yang bermain dengan akal.
Akhirnya tidak dapat dinafikan bahawa formula yang berjaya dalam hidup ini, mencari hikmah dengan akal agar jawapannya jelas. Kemudian berpegang secara adat, agar pegangan itu sebati.
Walaubagaimanapun jangan lupa acuan yang paling utama iaitu ilmu.
Lupa Sebentar Isu Itu.
Mungkin mahasiswa Jordan hidup dalam kelompok tahap kesedaran dan pendidikan islam menyebabkan kita bercakap isu agama yang bertahap 'tinggi'. Kita menghafal dalil ikhtilat, berusaha menjatuhkan hukum dengannya. Pihak yang sebelah lagi pula berusaha mencari dalil untuk menangkisnya.
Ikhtilat, safar mar'ah, niqob, tabir, mesej, persatuan.
Saya tidak menafikan kepentingannya, namun bersediakan mahasiswa jika persoalan yang lebih 'rendah' tahapnya dibangkitkan?
Mungkin kelemahan kita di sini kita tiada ma'du diperingkat orang awam. mad'u kita dikalangan kita.
" Saya usuludin, orang feqh la yang akan jawab bab hukum"
" Saya belajar bahasa"
Ini jawapan yang sungguh mudah, namun bersifat sementara.
Apabila pulang nanti bolehkah dijadikan modal untuk masyarakat awam?
Apa yang masyarakat mahu?
Usuludin tidak akan ditanya berapa hadith yang ditakhrijnya. Pelajar Adab tidak akan ditanya apa syair yang dihafalnya dan Pelajar Fiqh tidak akan ditanya soal khilaf mazhab. Bahkan saya merasakan tempias ini turut terkena kepada pelajar perubatan dan ekonomi disebabkan kita belajar di bumi arab.
Sekiranya dalam cerita tadi bangsa arab yang diturunkan kepadanya Al-Quran masih begitu jahil apatah lagi masyarakat kita.
Kembali muhasabah sebentar.
0 ulasan:
Post a Comment