Tuesday, April 14, 2009

Ta'sub Mazhab : Sesuatu Yang Positif?

Dalam kelas halal wa haram Dr Syuesh Mahamid baru-baru ini, kami membincang tajuk asobiyah yang merupakan sifat tercela dalam islam. Asobiyah di sini merujuk kepada sikap ta’sub kepada kabilah ataupun kaum dan menolong mereka samada dalam perkara yang benar ataupun batil.

Tiba-tiba Rozaimi, salah seorang pelajar tahun 1 bertanya.

“ Dr, bagaimana pula dengan ta’sub mazhab”
“ Suatu perkara yang bagus” Jawab beliau dengan ringkas.

Saya kehairanan. Bagaimana pula boleh dikatakan bagus sedangkan dengan ta’sub mazhab lahirnya hadith-hadith palsu yang menghentam imam-imam lain. Kita juga tidak lupa bagaimana di masjidil haram boleh wujud 4 mimbar berdasarkan mazhab masing-masing. Lagi parah hinggakan lahir fatwa melarang solat dibelakang imam yang berbeza mazhab. Ini semua gara-gara gejala ta’sub yang menebal.

Tiba-tiba beliau menyambung lagi.

“ Itu lebih baik daripada kamu tiada pegangan langsung. Orang yang ta’sub ini dengan syarat tidak memburukkan mazhab lain lebih baik daripada orang yang hanyut”

Kalau itu fikrahnya, memang tepat. Hal ini mengingatkan saya satu perkara.

“ Apalah perbalahan salafi khalafi ini. Aku dah lama tinggal semua perbalahan ini” sinis seorang kawan takala saya berbincang berkenaan isu ini.

“ Jangan cakap besarlah, usul fiqh pun tak ambik lagi. Kamu tau ke khilaf antara mereka?”

Kadang-kadang ramai juga dikalangan kita yang cuba menjadi jaguh dengan tidak melibatkan dengan mana-mana aliran atau mazhab dalam islam. Mereka seolah-olah memperlekahkan ulama-ulama yang masih membincangkan isu ini. Tak kirala samada mazhab akidah ataupun fiqh.

Sedarkah mereka, semua ulama terkenal di dunia ini menyatakan pendirian mereka samada dalam mazhab fiqh ataupun aliran akidah. Sheikh Al-Qaradhawi mengisytiharkan diri beliau sebagai seorang salafi, namun beliau tidak berminat untuk mengkritik khalafi. Sheikh Ramadhan Buti juga menyatakan pendirian beliau dalam asyaeirah. Jadi siapakah anda untuk memperlekehkannya?

Yang jahil dan sombong sebenarnya adalah anda.

Bukan Perbezaan Tapi Kepelbagaian.
Apabila disebut perkataan khilaf ataupun perbezaan ianya tetap memberi gambaran negatif. Mungkin perkataan tersebut lebih baik diganti dengan perkataan kepelbagaian.

Jika dinyatakan khilaf bentuknya agak sempit dan kadang-kadang memberi gambaran kepada kita hanya ada yang benar dan salah sahaja.

Namun, jika menggunakan kepelbagaian, nampak kita mempunyai khazanah yang besar dan memberi peluang dan ruang yang luas untuk orang memilihnya.

0 ulasan: