Antara kaedah utama dalam konsep ibadat adalah " Asal Bagi Ibadat Adalah Tawaquf ( Tidak melaksanakan ) melainkan jika bersandarkan dalil". Hal ini kerana:-
1. Amalan ibadat tidak dapat difikirkan dengan akal akan sebabnya, maka perlaksanaannya berdasarkan taabudiah iaitu tanpa banyak soal. Contohnya bilangan rakaat dalam solat yang berbeza-beza tanpa diketahui sebabnya. Selain itu juga dapat dilihat perbuatan solat, bulan ramadhan sebagai bulan wajib berpuasa, perlaksanaan ibadat haji, dan kadar-kadar tertentu dalam bahagian zakat menguatkan lagi kaedah ini.
2. Sekiranya ibadat tidak bersandarkan dalil, maka ibadat tersebut akan diluaskan berdasarkan logik manusia. Sebagai contoh sekiranya seseorang berpendapat bahawa bilangan rakaat menunjukkan tanda keimanan, maka orang akan menambah bilangan tersebut untuk membuktikan dia lebih beriman. Maka, muncullah ibadat-ibadat baru.
3. Kaedah ini juga membezakan antara ibadat dan adat. Adat di sini bermaksud kebiasaan perbuatan manusia. Ibadat hanya dilakukan apabila mendapat perintah daripada Allah menunjukkan di sana ada konsep ketaatan dan inilah tiada pada adat. Contohnya perbezaan antara puasa bulan ramadhan dan puasa kerana diet.
Daripada konsep ini dapatlah kita fahami bahawa:
1. Perlaksanaan ibadat hanyalah jika terdapat dalil.
2. Perlaksanaan ibadat juga mestilah 100% mengikut dalil tersebut tanpa kurang dan tambah.
3. Unsur-unsur akal mestilah dijauhkan daripada konsep ibadat. Perlaksanaannya mestilah tanpa banyak soal.
Namun demikian adakah konsep ini 100% tepat?
Ada beberapa masalah ibadat turut difikirkan sebabnya seperti:-
1. Jumhur ulama mewajibkan zakat bagi kanak-kanak dan orang gila sekiranya harta tersebut mencukupi nisob. Ini kerana mereka melihat maksud tersirat pada perlaksanaan zakat adalah kerana harta bukannya individu muslim walaupun mereka bukan mukallaf.
2. Sebahagian ulama turut mewajibkan mandi bagi jenazah syuhada. Mereka berpandangan peristiwa Rasul s.a.w tidak memandikan jenazah syuhada Uhud adalah disebabkan kesukaran mencari air.
3. Sahabat Muaz bin Jabal ketika menjadi gabenor di Yaman menerima pakaian orang Yaman sebagai ganti kepada bijirin dalam pembayaran zakat sebagaiman yang dinyatakan nas. Beliau berpendapat keadaan orang Yaman yang lebih mudah menyerahkan pakaian berbanding bijirin dan keadaan orang Madinah yang lebih memerlukan pakaian.
Jadi apa pendapat anda?
0 ulasan:
Post a Comment