Wednesday, October 1, 2008

Maqasid Syariah : Hukum-Hakam Bukanlah Sia-sia Pensyariatannya

Untuk semester ini saya mengambil subjek maqasid syariah, antara subjek fiqh saya yang terakhir kuliah syariah. Sebenarnya, saya begitu risau sekiranya mengambil subjek ini terlalu awal. Sebagai mana subjek Qawaid Fiqhiah, subjek maqasid juga memerlukan mahasiswa mendalami subjek-subjek fiqh yang lain dahulu.

Seperti kata Dr. Abdul Rahman Kailani, Fiqh itu bermula dengan usul iaitu satu susunan kaedah dan metodologi untuk mengeluarkan hukum, kemudian beralih kepada pengajian fiqh seperti fiqh ibadat, muamalat, uqubat dan ahwal shakhsiah iaitu berkaitan dengan hukum-hakam, kemudian akhir sekali mempelajari maqasid syariah agar mengetahui objektif dan hikmah fiqh ataupun syariah itu sendiri.

Hakikat Maqasid.
Sebelum memberikan gambaran umum terhadap ilmu ini, hendaklah kita fahami pensyariatan hukum-hakam dalam islam bukanlah sia-sia. Nas sendiri yang menyatakannya seperti disyariatkan solat untuk mencegah perkara mungkar, puasa agar kita bertaqwa, zakat untuk menyucikan harta dan diri, larangan zina kerana akan membawa kepada mafsadah yang besar ( rujuk ayat berkenaan ).

Akhirnya dapat kita fahami bahawa syariat ini ada objektifnya, misinya dan visinya. Sudah tentu sebagai pencipta kepada manusia, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Secara kesimpulan daripada hukum-hakam dapatla difahami syariat diturunkan untuk menjaga maslahat manusia dan menghapuskan kemudharatan.

Dalam menjaga masalahat, hukum-hakam islam bermatlamat memelihara 5 perkara utama iaitu : Agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

Apakah peranan maqasid?
Tentu ramai yang faham sekiranya maqasid itu adalah hikmah daripada hukum maka ianya tiadalah terlalu penting diketahui. Sebenarnya ini adalah konsep yang silap.

Dalam ijtihad muasirah ( kontemporari ), peranan maqasid sangat jelas terutama dalam bidang muamalat dan perubatan. Umum mengatahui permasalahan muasirah agak terhad dalil naqli ataupun nas yang jelas terhadap sesuatu hukum, namun berdasarkan maqasidlah ulama menentukan hukumnya. Antaranya, menderma organ-organ kepada orang yang memerlukannya dari sudut perubatan kerana maqasid syariah adalah untuk memelihara nyawa manusia, manakala dari sudut muamalat, hukum insurans juga dipengaruhi dengan ijtihad berdasarkan maqasid kerana manusia memerlukan insurans pada zaman kini untuk memelihara harta mereka.

Namun, apa yang lebih penting fiqh dan hukum bukanlah perkara yang boleh dihafal begitu sahaja. Begitu juga nas Quran dan Sunnah, bukanlah hanya sekadar pemahaman zahir semata-mata bahkan perlukan penelitian dan perbandingan antara satu sama lain.

Seperti kata Dr.Syueh mahamid, kita tidak boleh menghukum hanya berdasarkan satu nas samada Quran ataupun sunnah, bahkan kita mesti menghimpunkan sehingga 10 nas yang berkaitan, kemudian bandingkan antara satu sama lain dan ini akan memberikan kita kefahaman apakah tujuan sebenar nas tersebut ( maqasid syariah )

Akhir sekali, Fiqh berhajat kepada kefahaman yang mendalam baik dari sudut permaslahan itu sendiri serta pemahaman nas agar kita memahami objektif syariat islam itu sendiri dan hikmahnya.

0 ulasan em “Maqasid Syariah : Hukum-Hakam Bukanlah Sia-sia Pensyariatannya”

 

Bayu Timur Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger