Thursday, February 2, 2012

Sifat 20 dan Tauhid Tiga : Menilai Yang Lebih Utama.


Beberapa hari lepas ramai pelajar tahun satu bertanya apakah perbezaan antara sifat 20 dan tauhid tiga? Manakah yang lebih ‘afdhal’ untuk dipelajari? 


Sukar untuk menjawab soalan itu secara spontan.

Cara yang terbaik untuk memahaminya mestilah dengan belajar melalui kelas samada di Universiti atau talaqqi, merujuk kitab, bertanya kepada kedua-dua guru aliran yang berbeza-beza dan yang terakhir serta yang paling penting menilai hanya apabila anda betul-betul faham dengan adil.

Ia memerlukan masa, usaha dan yang paling penting kesabaran anda sebelum berkata

“ Ini afdhal, itu tidak releven”

Teringat saya dengan seorang bekas garduan syariah mengkritik pengajian akidah di Jordan yang mengandungi fahaman-fahaman Asyaerah. Apabila saya bertanya mengapa, jawapannya..

“ Payah untuk difahami”

Bagaimana anda mengkritik perkara yang anda tidak faham? Adilkah?

Tulisan ini bukan bertujuan mengenyangkan anda dengan isu ini. Namun anggaplah ia adalah gambaran umum untuk memudahkan kefahaman anda.

Menyelusuri Sejarah.
Dalam memahami mazhab dalam islam, sejarah adalah sebahagian daripada jawapannya. Ini kerana setiap yang muncul pasti terkesan dengan suasana yang berbeza-beza. Mereka yang tidak membaca sejarah tidak layak untuk mengupasnya.

Generasi Zaman Salaf.
Zaman salaf merujuk kepada zaman baginda s.a.w., sahabat dan generasi awal tabien. Golongan ini dianggap sebagai golongan yang terbaik untuk diteladani oleh ummah.

Dalam akidah, Rasulullah s.a.w. menggunakan ‘akal’ dalam membicarakan tentangnya demi kebenaran islam itu sendiri. Baginda  s.a.w berdialog dengan ahli kitab, berdebat dengan musyrikin, dan menjawab persoalan-persoalan mereka. Namun cara ini hanya digunakan dalam dakwah.

Di zaman ini tidak wujud perbincangan atau perdebatan berkaitan dengan ciri-ciri iman ( perkara yang mengeluarkan iman seseorang ), qada’dan qadar secara terperinci dan sifat-sifat Allah. Mereka hanya menerima apa yang diwahyukan tanpa bertanya atau meminta penjelasan secara terperinci.

Ia berterusan di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Sikap inilah dikatakan sebagai manhaj salaf..


Selepas zaman Khilafah Ar-Rasyidin muncul dua mazhab paling besar dikalangan ummat islam iaitu Syiah dan Khawarij. Asas perjuangan mereka adalah politik, namun akhirnya membawa kepada akidah apabila kedua-duanya menggunakan istilah ‘kafir’ kepada mana-mana yang ingkar dengan mereka.

Generasi Selepas Salaf.
Zaman Khilafah Abbasiyah menyaksikan fatrah kemuncak perkembangan ilmu dalam sejarah islam. Berlakunya pertukaran budaya dan ilmu seperti sains, sastera, kemanusian hatta agama dengan tamadun-tamadun lain dengan kegiatan penterjemahan begitu rancak ketika itu. Antara yang diterjemah adalah ilmu kalam atau dikenali juga sebagai ilmu mantiq.

Ilmu kalam sebenarnya bermatlamat membetulkan cara memahami sesuatu dengan panduan akal yang tepat. Ia dikatakan berasal daripada tamadun Greek. Dengan ilmu ini, kata-kata dapat disusun dengan baik, akal dipertajamkan, hujjah diselarikan demi mengukuhkan pendirian dan sebenarnya adalah manhaj berhujjah serta berdebat.

Ilmu ini di’import’ ke dalam perbahasan akidah. Jika sebelum ini dalil akidah hanyalah naqal iaitu nas Al-Quran dan As-Sunnah secara zahir, Ilmu kalam menjadikan akidah juga mesti disokong oleh akal dan hujjah logik demi memantapkan iman.

Golongan muktazilah adalah yang paling awal mempeloporinya. Satu perkara yang perlu diketahui, Muktazilah ada jasanya yang tersendiri dalam akidah islam. Ulama-ulama mereka banyak menulis kitab menentang golongan-golongan yang sesat ketika itu seperti Jabariah dan Qadariah.

Cuma masalahnya, apabila mereka melampau dalam mengagungkan akal sehingga dijadikan penentu kebenaran. Sebagai contoh apabila ada nas ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang bertentangan dengan logik akal, mereka akan men’takwil’ nas tersebut ( mengubah makna ) agar selari dengan logik. Hasilnya banyak fahaman-fahaman bid’ah yang muncul dan kemuncaknya adalah Al-Quran itu makhluk.

Munculnya Asyaerah dan Maturidi.
Setelah sekian lama Muktazilah ber’takhta’ muncul seorang ulama terkenal Abu Hassan Al-Asyari yang mengasaskan aliran Asyaerah. Beliau menggunakan ilmu kalam untuk menyanggah kembali pendapat-pendapat Muktazilah. 


Mazhab Asyaerah ini lebih bersederhana antara golongan Salaf yang hanya memahami akidah secara zahir nas dan mazhab Muktazilah yang memahami akidah dengan akal secara melampau.

Bersama dengan Asyaerah adalah Mazhab Maturidi ( Diasaskan oleh Abu Mansur Al-Maturidi ) yang ‘lebih’ sedikit daripada mazhab Asyaerah dalam manhaj akal namun tidak melampau seperti Muktazilah. Kedua-dua mazhab ini dikenali sebagai Ahli Sunnah ketika itu.

Jasa paling besar mazhab ini adalah berjaya meruntuhkan Muktazilah hingga menjadikan mereka hanyalah sejarah untuk dipelajari. Kemenangan mereka ke atas muktazilah berpaksikan hujjah dan akal, satu senjata menjadi kebanggaan muktazilah suatu ketika dahulu.

Sifat 20
Mazhab Asyaerah menyusun 16 sifat wajib bagi Allah. Manakala Mazhab Maturidi menambah 4 lagi menjadikannya sebagai sifat 20 wajib bagi Allah. Pengajian akidah disusun sebegini:-

20 sifat wajib bagi Allah
20 sifat mustahil bagi Allah
1 sifat harus bagi Allah.
4 sifat wajib bagi Rasul
4 sifat mustahil bagi Rasul
1 sifat harus bagi Rasul

50 sifat ini perlu dipelajari oleh seluruh ummat islam, bukan hanya sifat 20. Selain itu, ilmu kalam dan mantiq juga dipelajari sebagai muqaddimah sebelum mendalami sifat 50 ini..

Munculnya Salafiyyah.
Setelah berkurun-kurun cara pengajian akidah terkesan dengan ilmu kalam, muncul tokoh pembaharuan terkenal, Ibnu Taimiyyah dengan seruan kembali kepada kefahaman golongan salaf dalam bab akidah terutamanya dalam bab sifat-sifat Tuhan. 

Tauhid dalam akidah difahami dengan tiga perkara iaitu:-

Tauhid Rububiyyah : Beriman bahawa Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini.
Tauhid Uluhiyyah : Beriman bahawa Allah maha Esa, tiada Tuhan yang wajib disemba selain daripadanya.
Tauhid Asma' wa Sifat : Beriman bahawa sifat Allah maha suci daripada persamaan dengan sifat makhluknya.

Antara 2 ‘akidah’
Untuk menjadikan diri sebagai seorang mukmin cukup sekadar meyakini dan memahami kalimah syahadah serta beriman dengan 6 perkara seperti yang diajar oleh Jibril A.S kepada baginda s.a.w.

Sebenarnya kita pernah melalui pengajian KEDUA-DUA aliran ini sejak kelas KAFA hinggalah Pendidikan Syariah Islamiah ( SPM ) samada sedar ataupun tidak.

Cumanya, kita hanya meng’hafal’ ataupun mungkin kita tidak tahu ada pertembungan antara kedua-duanya yang masing-masing mendakwa cara mereka adalah betul.

Sepanjang apa yang saya belajar di UIA, belajar subjek akidah di Universiti Mu’tah, seterusnya secara bertallaqi, saya dapati setiap daripada kedua-duanya ada kelebihan masing-masing.

Tauhid tiga cukup jelas dan sesuai untuk dipelajari oleh orang awam dan mereka yang baru memeluk islam. 


Sifat ‘50’ pula ataupun aliran Asyaerah pula sangat PENTING untuk dipelajari dan difahami kepada mereka yang MENDALAMI PENGAJIAN SYARIAH.

Kepentingannya adalah untuk berhujjah dan menjawab keraguan yang ditimbulkan oleh Orientalis, golongan Ateis, Syiah, Muktazilah atau apa sahaja fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan akidah yang sebenar.

Akal menjawab akal..

Hujjah menjawab hujjah..

Saya belajar dan  saya coretkan dalam buku sulong saya kembara mencari tuhan bahagian dua.



Ingat, kita berbeza dengan orang awam biasa kerana tugas kita menjawab keraguan dalam agama…

Ingat, jangan terlalu cepat menilai atau menghukum jika kita sendiri tidak faham…

Ingat, mendalami agama tidak akan menghasilkan faham apabila kita sendiri meletakkan tanggapan yang negetif terhadap apa yang ingin dipelajari..

Saturday, January 28, 2012

Pencerahan Solat Hormat Waktu



Ramai yang bertanya tentang solat hormat waktu adakah ia mempunyai sandaran atau tidak? Jika ada bagaimanakah perlaksanaannya? Bagaimana pula dengan hukumnya, adakah solat tersebut sah ataupun sekadar mengangkat dosa sahaja?

Untuk menghuraikan isu ini, perkara paling asas yang perlu diketahui adalah mengapakah ulama menyebut tentang hal ini?

Isu ini berlaku apabila seseorang itu gagal menyempurnakan syarat-syarat sah solat. Antara keadaan tersebut:-

1. Tidak dapat bersuci samada wuduk atau tayammum ( seperti dalam kenderaan yang tidak mampu berhenti, atau menaiki kapal namun tidak sampai untuk mengambil air )

2. Dalam keadaan pakaian terkena najis yang tidak mampu untuk menukarkannya dalam tempoh waktu solat.

Boleh disimpulkan keadaan-keadaan yang disebut ganjil dan jarang berlaku apatah lagi di zaman moden ini.

Terdapat empat pendapat utama dalam masalah ini. Antaranya:-

 Pendapat pertama : Iman Abu Hanifah, Sebahagian sahabat, Sebahagian Ulama Syafie, dan dinukilkan juga daripada Imam Thauri dan Auzai, tidak perlu solat namun perlu diqada’ ( diganti ). Dalil mereka:-

1. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ( Tiada solat melainkan bersuci )

2. Qias kepada perempuan haid yang tidak wajib menunaikan solat dalam keadaan hadath.

Pendapat kedua : Pendapat Imam Malek. Tidak perlu solat dan tidak perlu diqada’. Kewajipan solat itu digugurkan.Dalil-dalilnya:-

1. " Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang ketika kamu sedang mabuk, kecuali jika kamu telah mengetahui apa-apa yang kamu katakan dan jangan pula sedang junub “ ( An-Nisa’ : 43 )

2. Hadith : Allah tidak akan menerima solat seseorang daripada kamu, apabila dia berhadath sehinggalah dia berwudhu.

Pendapat ketiga : Pendapat Imam Syafie, Abu Yusof ( Mazhab Hanafi ), Sebahagian Ulama Malik, juga salah satu pendapat Iman Ahmad dan Imam Tabari. Wajib solat sekadar rukun sahaja dan perlu diqada’ ( diulang kembali ). Solat ini dianggap tidak sempurna dan hanya dilaksanakan demi menghormati waktu.
Dalil-dalilnya:-

1. Hadith Aisyah yang diriwayatkan dalam Bukhari dan Muslim : Rasulullah s.a.w pernah menghantar Asid bin Hadr dan Anas untuk mencari kalung  Aisyah yang hilang, apabila tiba waktu solat mereka tidak menjumpai air lantas menunaikan solat tanpa bersuci, apabila diajukan kepada baginda s.a.w turunlah ayat tayamum

Hadith ini menunjukkan bahawa baginda s.a.w tidak mengingkari solat mereka ( tanpa bersuci ) dan perlu diulangi kembali kerana solat tidak akan sempurna tanpa bersuci.

2. Nas-nas yang menyuruh melaksanakan solat pada waktunya tidak memperincikan mereka yang boleh meninggalkan atau tidak. Ini menunjukkan kewajipan tidak akan digugurkan walau apa keadaan sekali pun.

Pendapat keempat : Salah satu pendapat Imam Ahmad, Ibnu Hazm dan Sebahagian besar ulama hadith.
Dalil-dalilnya:-

1. “Maka bertakwalah kepada Allah dengan kadar kemampuan kamu.” (al-Taghabun:16),

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sekadar kemampuannya.” (al-Baqarah:286)

“Allah tidak menghendaki untuk menjadikan ke atas kamu kesusahan.” (al-Maidah:6),

Ayat-ayat diatas menunjukkan bahawa Islam tidak membebankan penganutnya dalam menunaikan ibadat yang diperintahkan Allah. Maka, laksanakanlah ibadat sekadar kemampuan.

2. Rasululullah s.a.w tidak pernah menyuruh sahabat agar mengulangi solat tersebut.

Dalam memahami isu-isu perbezaan pendapat dikalangan ulama, adalah lebih baik kita mencari apakah punca perbezaan dikalangan mereka terutamannya dalam memahami nas. Dalam isu ini ia berpunca daripada kefahaman hadith sahabat mencari kalung Aisyah.

1. Mereka yang menyatakan bahawa solat itu wajib digugurkan terus berpendapat Rasulullah s.a.w tidak menyuruh mengulangi kembali solat tersebut dan solat itu sememangnya tidak sah tanpa bersuci.

2. Mereka yang berpendapat solat itu wajib dilaksanakan dan wajib diulang, melihat Rasulullah s.a.w tidak mengingkari solat mereka ( tanpa bersuci ) dan dalam masa yang sama solat tersebut tidak sah dan mesti diulangi.

3. Mereka yang menyatakan hanya perlu solat tanpa qada’ melihat baginda s.a.w tidak menyuruh sahabat mengulanginya kembali menunjukkan solat tersebut adalah sah.

Kesimpulan.
Jika dilihat kepada kekuatan nas secara jelas atau tidak sudah pasti pendapat wajib ditunaikan tanpa perlu diulang lebih kuat. 

Namun, jika dilihat dari sudut berhati-hati pendapat wajib menunaikan dan wajib menqadakkan kembali adalah paling selamat dan meyakinkan. 

Perkara yang perlu difahami asas ulama mewajibkan mengulangi solat dan hanya mengiktibarkan solat tersebut hanyalah menghormati waktu dibina atas dasar berhati-hati. Ia merupakan ijtihad mereka.

Jika anda yakin tidak ingin mengulanginya kembali terpulang..

Jika ada orang yang ingin mengulanginya mengapa perlu dihalang..

Keyakinan orang memilih pendapat adalah berbeza-beza..

Wallahua’lam.



Thursday, January 26, 2012

Faham Sebelum Terjah



Saya akui apabila menulis beberapa artikel sebelum ini berkenaan kepentingan sikap dan cara berfikir yang betul dalam memahami sesuatu isu kebanyakannya dituju kepada mereka yang pernah ada perbezaan pendapat dengan saya. Saya tidak ingin menamakan dengan nama golongan-golongan tertentu selain tidak mendatangkan faedah ia sebenarnya boleh menyemarakkan lagi perselisihan.

Sepanjang pengalaman yang saya lalui ketika di Mu’tah dan Al-Alibayt, berikut adalah isunya. Saya coretkan di sini moga-moga kita lebih faham sebelum mengkritik. Antaranya:-


1. Isu Jamak Ketika Hujan.
Ketika semester terakhir pengajian ijazah, saya pernah menulis isu Jamak Ketika Hujan ( Siri 1 ), dan Jamak Ketika Hujan ( Siri 2 ). Bukan sehari dua saya memikirkannya, namun sejak saya berada di tanah air lagi, memerhati, berfikir, merujuk kepada kitab dan yang penting ‘berguru’ sebelum melahirkan pendapat.

Seorang rakan memberi respon hingga berbelas-belas komen terhadap dalil yang saya gunakan. Respon yang sangat banyak namun berulang-ulang dan menjadinya perkara yang sia-sia untuk dilayan. Rakan ini menyangka saya menganggap mereka yang menjamakkan solat ketika hujan secara MUTLAK tanpa mengikut syarat yang ditetapkan oleh jumhur ulama adalah TIDAK SAH.

Walhal saya hanya menyatakan pendapat yang lebih selamat untuk diikuti pada penilaian saya adalah mengikut syarat yang ditetapkan. Seterusnya, saya juga ingin menegur kata-kata mereka yang mendabik dada bahawa pendapat jamak tanpa syarat itu lebih sunnah daripada yang lain. Alangkah baiknya jika memahami terlebih dahulu sebelum menerjah.


2. Isu Solat Hormat Waktu
Di Mafraq, ia bermula ketika kami mengikuti program bersama menteri dan Persatuan Peguam Islam di EMJ. Kami pulang setelah waktu asar dalam keadaan pemandu bas enggan berhenti untuk solat maghrib dan berjanji akan tiba di Mafraq sebelum waktu isyak, namun akhirnya terlewet jua.

Saya merujuk kepada Dr Ali Umari dan beliau memberi penyelesaian jika berlaku situasi yang sama agar melaksanakan solat hormat waktu dalam keadaan tiada upaya untuk melaksanakan dengan sempurna. Saya meletakkan di FB beserta pandangan lain samada ingin menjamak atau menqada’ apa yang penting berdoalah agar solat di terima dan pengajaran bagi kita semua jangan bekerjasama dengan orang yang tidak solat.

Tiba-tiba ada rakan yang kurang senang hanya kerana perkataan solat hormat waktu lantas meletakkan pendapat Dr Asri Zainal Abidin bahawa tidak wujud apa yang dinamakan sebagai solat hormat waktu.

Tahukah dia bahawa dia hanya bertaqlid dan saya juga bertaqlid dalam memetik pendapat? Kalau ijtihad pun tidak boleh membatalkan ijtihad orang lain, maka apatah lagi jika hanya bertaqlid kemudian mendakwa pendapat itu lebih sunnah.

Atau fahamkah dia, saya meletakkan jawapan Dr Ali Umari itu sebagai jawapan kepada persoalan yang ditanya bersama dengan pilihan lain. Ini bukan hanya bincang ilmiah, namun penyelesaian kepada realiti yang berlaku


3. Isu Keharusan Jamak dan Qasar di Mafraq.
Mulanya saya menulis artikel Jamak dan Qasar Mafraq Amman semata-mata ingin menyatakan ada pelbagai pendapat berkenaan dengan jarak musafir dengan harapan kita perlu memahami keterbukaan dan juga beramal dengan pendapat yang sesuai berdasarkan kekuatan dan keadaan.

Saya mengikuti satu ‘forum’ FB daripada rakan-rakan bahawa pendapat yang sunnah adalah tidak meletakkan jarak ketika musafir. ‘Panel-panel’ forum itu menjadikan rujukan Dr Anas dan kitab fiqh sunnah ( kalau tidak silap ) sebagai bahan diskusi. Saya tidak mengusik forum itu atas dasar menghormati pendapat.

Namun, saya juga tidak ingin rakan-rakan lain merasakan pendapat jumhur yang meletakkan syarat itu hanyalah kalam ulama semata-mata tanpa sandaran. Maka saya menulis artikel seterusnya Jamak dan Qasar Mafraq Amman ( satu penilaian ) menyokong pendapat jumhur dan merasakan pendapat ini paling selamat, sesuai serta pendapat majoriti pensyarah fiqh Uni. Al-Alibayt ( survey saya )

Kebebasan ingin mengamalkan mana-mana pendapat bukanlah isunya, namun mendakwa pendapat ini lebih sunnah dan pendapat lain tidak sunnah agak kurang sesuai disebut dalam perbezaan pendapat yang muktabar ( sebaiknya disebut rajih dan marjuh ). Selain perlu diingat memberi fatwa atau menjawab hukum perlu diambil berat kesan fatwa tersebut.


4. Isu Solat Jumaat.
Saya kira ini juga isu yang penting. Ada rakan yang menyatakan boleh meninggalkan solat jumaat secara mutlak jika bermusafir berdasarkan kata-kata Dr Anas. Benar ada pendapat itu di sisi imam-imam atau ulama yang lain.

Namun kita menyokong pendapat dikalangan Ulama mazhab Syafie ( tidak meninggalkan solat jumaat melainkan bertolak sebelum fajar ) kerana kesannya besar. Ramai rakan akan meninggalkan solat jumaat hanya kerana ingin membeli barang bundle, bercuti ke laut mati atau Petra dan pelbagai lagi urusan yang bertaraf 'remeh'.

Bukankah ini akan membawa kepada meninggalkan solat jumaat dengan mudah? Walhal ia antara syiar islam yang utama hingga disebut dalam Al-Quran mesti besegera serta meninggalkan jual beli meskipun ia adalah urusan kehidupan manusia yang penting.


5. Isu Hadith Dhaif dan Maudu’
Begitu juga ada segelintir daripada kita yang telalu cepat mendhaifkan hadith kemudian mempamerkan di FB. Niatnya bagus, cuma sebagai mereka yang mendalami ilmu syariah sikap berhati-hati mesti diambil kira.

Harus difahami memaudhu'kan hadith yang sampai kepada Nabi s.a.w sama keadaan dengan mereka-rekakan hadith. Bukan saya ingin mempertikaikan apa yang disebut, namun alangkah baiknya jika menulis sebegini “ hadith ini dhaif di sisi fulan”.

Selain menunjukkan kecermatan kita dalam menilai, ia juga adalah bentuk tawaduk. Sepanjang mendalami pengajian hadith, saya dapati ulama hadith adalah mereka yang paling lebih berhati-hati dalam menilai dan menghukum, mengapa tidak mencontohi mereka?


6. Isu muzik.
Boleh baca artikel saya, isunya mengapa hanya ingin mendengar apa yang ingin didengar sahaja?

Untuk akhirnya..
Kebebasan memilih pendapat adalah hak setiap orang. Mengkritik pendapat juga adalah hak jika dirasakan berada di pihak yang benar. Namun, alangkah baiknya difahami dahulu isu sebelum menegur atau mengkritik.

Saya memohon maaf kepada rakan-rakan yang mungkin terasa akibat berbeza pendapat dalam isu-isu yang disebutkan tadi. Dalam isu hukum hakam, fiqh, salafi atau apa sahaja isu perbezaan pendapat dalam agama, saya tidak pernah menerjah FB atau blog orang yang berbeza pendapat atas dasar hormat.

Dan saya rasa ini hikmah yang terbaik untuk menegur yang boleh saya lakukan.

Mungkn ada berkata, isu di atas cuma kecil sahaja, mengapa ingin diperbesarkan. Saya tidak membesarkan isu tersebut kerana ia hanyalah contoh, Isunya adalah

Betulkan SIKAP..

Betulkan CARA BERFIKIR..

Samada isu keluarga, politik, agama, perjuangan semuanya bermula dari situ..



Tuesday, January 24, 2012

Tak Perlu Keluar Salafi.





Tak Perlu Keluar Salafi.
Teringat ketika menuntut di pusat matrikulasi UIA enam tahun yang lalu, saya telah menghabiskan RM 1,000 sempena ekspo buku satu malam sahaja semata-mata mengumpulkan buku-buku karangan Ustaz Rasul Dahari, Dr Asri, Kapten Hafiz Firdaus, Mohd Yaakub bin Mohd Yunus  dan buku-buku ulama salafiyyah daripada Indonesia.

Saat itu saya begitu kagum dengan aliran yang digelar sunnah, salafi, ataupun tajdid ( pembaharuan ) yang menyeru agar ummah kembali kepada amalan generasi salaf ( generasi awal islam )samada dalam memahami akidah ataupun pengamalan ibadat.

Dalam bab akidah, tauhid uluhiyyat, rububiyyat dan asma’ wa sifat ditekankan oleh golongan ini lebih jelas dan mudah difahami berbanding sifat 20 yang menjadi pengajian majoriti masyarakat ketika itu. Begitu juga sifat-sifat Tuhan hendaklah difahami tanpa ditakwil ( diubah dengan makna yang lebih sesuai ) seperti tangan Allah, mata Allah dan sebagainya tidak perlu diubah perkataan tersebut demi mengelak menyamakan Tuhan dan makhluk

Begitu juga dalam amalan ibadat, hendaklah benar-benar disebut nas Al-Quran dan As-sunnah secara jelas dan yang sahih. Tinggalkanlah wirid secara berjemaah selepas solat, doa qunut, amalan tahlil dan bacaan yassin ketika jummat. Kewajipan ummat islam adalah mengikut Rasulullah s.a.w bukannya taqlid kepada mana-mana mazhab ataupun imam.

Cantik seruan itu sambil disokong bahawa segala kerosakan yang berlaku pada agama-agama sebelum ini adalah akibat penganutnya membiarkan bid’ah dalam agama mereka. Jika ada yang menghalang seruan ini dimotivasikan dengan perjuangan baginda s.a.w. juga ditentang hebat tatkala ingin mengubah amalan jahiliyyah ketika itu.

Saya merasakan inilah jalan yang sebenar setelah bertahun-tahun belajar di sekolah agama ala-ala pondok dengan metod menghafal, membaca kitab arab, belajar ilmu mantiq, balaghah, nahu yang cukup membosankan. Semakin lama semakin ramai rakan meninggalkannya dan saya hampir memilih jalan tersebut.

Berbeza dengan aliran salafi yang menekankan setiap kalam dalam agama mesti ada hujjah dan nas bukannya berpaksi kepada kata-kata ulama dan kitab semata-mata. Ia lebih seronok untuk diterokai.

Namun saya tidaklah terlalu berani menzahirkannya berbanding ramai dikalangan sahabat yang terkesan sudah berani berdebat dan melahirkan perkataan bid’ah kepada sesiapa yang dilihat bertentangan dengan mereka. Begitu juga mengamalkan beberapa amalan yang kelihatan ganjil di mata masyarakat seperti menyapu stokin, jamak ketika hujan, mengerak-gerakkan jari ketika tasyahhud, meninggalkan qunut serta wirid dan pelbagai lagi.

Saya masih cuba mengkaji setelah beberapa bulan di UIA, saya kembali ke sekolah bertanyakan hal ini kepada ustaz. Panjang syarahannya namun apa yang saya dapat fahami salafi, wahabi, ibnu taimiyyah, kaum muda, albani adalah itu sesat akidah mereka, tidak menghormati ulama dan anti mazhab.

Kemudian saya disindir oleh pensyarah tatkala kembali menceritakan apa yang disebut oleh ustaz itu lantas mencadang agar saya meng’khatam’kan kitab tulisan Kapten Hafiz Firdaus ‘Membongkar jenayah ilmu Buku Salafiyah Wahabiyyah karangan ustaz Zamihan’.

Orang yang berkata wahabi itu sesat adalah ustaz. Orang yang berkata wahabi itu sebenar-benar aliran juga ustaz. Jadi saya tiada pilihan, melainkan saya sendiri yang perlu jadi USTAZ!!

Akhirnya dengan tekad saya meninggalkan UIA dan tanah air  semata-mata untuk hadir ke bumi Jordan ini. Matlamat utama adalah untuk menjadi mereka yang memahami agama, tanpa dilupakan ingin menyelesaikan persoalan yang merumitkan saya siapakah salafi, Ibnu Taimiyyah, wahabi dan yang anti dengan mereka. Siapakah yang betul, siapakah salah?

Di sini saya menuntut dengan pensyarah-pensyarah yang pelbagai latar belakangnya. Ada yang Salafi, ada yang Hanafi dan yang Kontemporari, ada yang Haraki ( pro gerakan islam ) dan ada yang pro kerajaan. Semuanya ditagih ilmu dan hikmah tanpa mempedulikan latarbelakang mereka.

Lama-kelamaan, saya menyedari sesuatu yang berbeza. Ada pensyarah yang anti Salafi Wahabi tetapi menyokong ijtihad Ibnu Taimiyyah. Ada yang melihat akidah tauhid tiga yang diperjuangkan oleh Salafi( uluhiyyah, rububiyyah dan asma’ wa siffat ) adalah suatu yang sesuai untuk dipelajari namun tidak menyokong gerakan Wahabi di Saudi. Ada yang bercakap melangkaui mazhab namun tidak membid’ahkan orang lain.

Sehingga hari ini..

Akhirnya saya faham apa yang berlaku dikalangan kita yang mengupas isu ini adalah masalah sikap dan akhlak bukannya kebenaran ilmu. Daripada kedua-dua pihak, keta’suban antara mereka begitu tebal. Adab dan Akhlak khilaf dilanggar begitu sahaja. Begitu juga sikap meletakkan pekej salafi, Ibnu Taimiyyah, wahabi, kaum muda dan tidak bermazhab adalah perkara yang sama walhal ia bukan sedemikian.

Saya meyakini perjuangan aliran salafi iaitu agar kita kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah, dan pengamalan genarasi salaf adalah yang terbaik. Dan saya yakin semua daripada kita tidak mengingkarinya.
Namun, siapakah yang boleh mendakwa jalan mereka adalah 100% mengikut pengamalan salaf? dan mereka yang berbeza dengan kita adalah salah?

Dalam isu akidah, adakah kita pasti apabila sahabat tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat, ini bermakna mereka melarang yang lain daripada mentakwilkannya? Adakah ia masalah usul atau furu’?

Seterusnya,  fahamkah kita sejarah munculnya mazhab Asyaerah ini? Lupakah kita siapakah yang berjaya menundukkan golongan muktazilah hingga pupus saki bakinya pada hari ini?  Begitu faktor sejarah mengapa Ibnu Taimiyyah dan Muhammad Bin Abdul Wahab menyeru agar kembali kepada pemahaman salaf?

Setelah membetulkan sikap dan adab, jangan juga mem’bangkul sampah’kan sejarah kemunculan mereka. mereka yang buta sejarah tidak layak bercakap.

Berkenaan dengan amalan-amalan. Saya meyakini bahawa dalam perbezaan pendapat maka Al-Quran dan As-sunnah adalah penentunya. Setiap amalan dan ibadat mestilah bersumberkan daripada kedua-duanya. Saya yakin semua daripada kita beriman tentang hal ini.

Namun, adakah apabila sesuatu amalan itu tidak disebut secara sorih dari sudut nas atau bersumberkan nas yang kurang sahih, layak digelar bid’ah? Bagaimana jika amalan tersebut masih dalam lingkungan ijtihad ulama yang pastinya juga masih dibawah pemahaman nas.

Jika pendapat itu dirasakan kurang tepat, lebih baik digantikan dengan amalan ini marjuh ( kurang kuat ) berbanding menyebut amalan ini adalah tidak sunnah. Walaupun kecil isunya, besar kesannya.

Saya lalui persoalan-persoalan tersebut dan saya yakin tidak perlu keluar salafi,tapi jadilah salafi yang sebenar. Generasi salaf yang penuh tawadu’ dan berakhlak dalam berbeza pendapat yang kecil.
Salaf yang tidak mengingkari ijtihad orang lain jika berbeza pendapat..

Beralihlah kepada manhaj yang sederhana samada Salafi ataupun Asyaerah..

Sekurang-kurang ia menyelamatkan kita dari bercakap perkara yang kita sendiri belum pasti..

Monday, January 16, 2012

Fatwa-Fatwa Ganjil ( Siri Akhir )


Dalam bab yang seterusnya, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi telah menyentuh beberapa isu dan fatwa yang sebenarnya bukanlah ganjil walaupun kelihatan sedemikian. Antaranya:-

1. Fatwa muqallid ( mengikat diri ) dengan mazhab
Fatwa yang dikeluarkan oleh seseorang mujtahid berdasarkan mazhabnya tidak dinamakan sebagai syaz walaupun ia bertentangan ulama-ulama dalam mazhab yang sama ataupun dengan mazhab yang lain.

2. Fatwa bertentangan dengan empat mazhab
Begitu juga dengan fatwa yang berlawanan dengan empat mazhab tidak dianggap ganjil. Walaupun ada ulama yang mewajibkan agar setiap fatwa yang dikeluarkan tidak bertentangan dengan empat mazhab yang muktabar, namun Al-Qardhawi menganggap syarat tersebut sebenarnya menyempitkan ummah.

3. Fatwa bertentangan dengan majoriti ulama
Pendapat individu ataupun minoriti yang berbeza dengan majoriti juga tidak dianggap sebagai  syaz, bahkan sahabat sendiri banyak bersendirian dalam pendapat mereka seperti pendapat Ibnu Abbas dalam masalah mirath ( pusaka ). Begitu juga pendapat Abu Bakar ketika memutuskan ingin memerangi golongan yang enggan membayar zakat yang pada mulanya tidak dipersetujui oleh majoriti.

4. Ijtihad Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim.
Pendapat Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan mereka mengikuti aliran ini sering dicemuh lantaran bertentangan dengan empat mazhab yang dianggap sebagai ijmak, namun akhirnya diterima bahkan ada yang dijadikan sebagai undang-undang khususnya masalah talak tiga dalam satu lafaz hukumnya adalah jatuh satu.

Ada juga dengan fatwa yang dianggap sebagai ganjil suatu ketika dahulu seperti fatwa harus melontar jamrah sebelum tergelincir matahari ketika menunaikan haji, kini diterima berdasarkan wujudnya dalil naqli dan juga bertepatan dengan maqasid Syariah iaitu memudahkan urusan ibadat.

Sama juga dengan fatwa yang mengharuskan memulakan ihram setelah tiba di lapangan terbang Jeddah dan mengiktibarkannya ( Jeddah ) sebagai salah satu miqat ( tempat yang ditetapkan untuk bermulanya niat haji dan ihramnya ) daripada miqat-miqat haji.

Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi juga cuba mempertahankan beberapa fatwa beliau dalam isu minoriti ( fatwa yang dikeluarkan untuk masyarakat muslim di Eropah ) bahawa ia bukanlah hukum yang ganjil, bahkan pendapat-pendapat tersebut terbina atas pendapat sahabat, tabien dan generasi salaf yang menurut beliau lebih aula untuk diikuti apatah lagi bertepatan dengan maqasid syariah. Antaranya:-

1. Wanita yang memeluk islam tanpa suaminya ( masih kafir ) tidak perlu dibatalkan perkahwinan mereka dengan syarat-syarat tertentu seperti suami tidak memaksa isteri menukar agama. Fatwa ini juga merupakan pendapat Saidinia Umar, Saidina Ali dan Imam Zuhri. Hikmahnya agar ia tidak menghalang hasrat wanita mendekati islam berbanding apabila mengetahui terpaksa berpisah dengan suami.

2. Muslim mewarisi mirath ( pusaka ) daripada keluarga mereka yang bukan islam. 
Fatwa daripada pendapat Ibnu Taimiyah ini juga bertepatan dengan maslahat ummat islam dan agar harta tersebut tidak lari daripada pemilikan mereka.

Dalam bab yang terakhir, Dr Yusof cuba membuat kesimpulan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan fatwa-fatwa ganjil ini terhasil. Antaranya:-
  1. Fatwa yang dikeluarkan bukan daripada ahlinya. 
  2. Tidak menghormati pengkhususan ilmu ( seperti ulama fiqh lebih mengetahui kaedah-kaedah hukum berbanding ulama aliran lain )
  3. Tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa
  4. Kagum dengan pendapat peribadi ( keengganan untuk berbincang pendapat secara musyawwarah ) 
  5. Mengikut selera politik.
  6. Melampau-lampau dalam mengiktibarkan maslahat

Seterusnya dalam mengatasi fatwa-fatwa ganjil ini, antara penyelesaiannya:-
  1. Memberi kefahaman kepada umat islam tentang hukum-hakam islam.
  2. Memberi amaran kepada ulama yang mengeluarkan fatwa-fatwa ganjil
  3. Berbincang dan berhujjah dengan ulama yang mengeluarkan fatwa ganjil ini dengan hujjah ilmiah. 

Namun langkah pencegahan adalah lebih baik sebelum berlakunya fatwa ganjil ini. Antaranya:-
  1. Menentukan ahli fatwa yang berkelayakan.
  2. Menambah thaqafah ( ilmu pengetahuan ) ahli-ahli fatwa
  3. Memerhati dan menilai fatwa dan pengajian ahli-ahli fatwa
  4. Mewujudkan pembentukan ahli-ahli fatwa
  5. Mewujudkan ma’had ataupun pusat ilmu untuk melahirkan ahli-ahli fatwa yang berkualiti.
Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hafiz Dasar yang sudi meminjam buku tersebut kepada saya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang mengikuti diskusi fatwa ini di Café Ghazali setiap ahad, selasa dan khamis. Moga kita dapat mengadakan kembali diskusi-diskusi ilmiah santai ini sambil menghirup nescafe panas..

Sekian..

Sunday, January 15, 2012

Fatwa-Fatwa Ganjil ( Siri 2 )


Seperti apa yang disebut dalam artikel sebelum ini, fatwa-fatwa ganjil tidak banyak berlaku dalam turath fiqh silam, namun ia banyak terhasil dan disebarkan di zaman moden ini. Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi menghuraikan bab yang seterusnya dalam kitab fatawa syaz beliau, telah menyebut beberapa faktor fatwa-fatwa ganjil ini. Antaranya:-

1.    Fatwa yang bertentangan dengan Al-Quran

Umpamanya menyamakan mirath lelaki dan perempuan seperti yang disebut oleh Presiden Tunisia, Habib Bourqibah atas dasar maslahat dan perubahan zaman. Begitu juga dakwaan bahawa babi yang diharamkan oleh islam adalah babi kotor yang makan makanan yang kotor pada zaman silam, namun berbeza dengan babi zaman moden ini yang dipelihara dengan baik, maka ia tidak lagi menjadi haram. Begitu juga dengan arak, ia diharuskan di negara yang sejuk.


2.       Fatwa yang bertentangan dengan As-sunnah

Fatwa keharusan membina patung
Fatwa Imam Mohammad Bin Abduh yang mengharuskan binaan patung atas dasar larangan hadith-hadith sebelum ini adalah disebabkan akan membawa kepada penyembahan, namun berbeza pada zaman kini.
Dakwaan ini adalah batil dan jelas bertentangan dengan hadith yang menyebut pengharamannya adalah disebabkan ( menyerupai makhluk Allah ), bukannya disebabkan penyembahaan.

Tabaruj daripada dosa-dosa kecil
Sebahagian ulama mesir mendakwa bahawa bentuk perhiasan yang dilarang pada zaman jahilyyah seperti mendedahkan kepala, menyambung rambut, menjarang gigi, melukis tatu semuanya itu hanya merupakan dosa-dosa kecil semata-mata, cukup sekadar dihapuskan dengan wuduk.

Ini adalah dakwaan batil, sesiapa yang membaca hadith berkaitan dengan larangan-larangan tersebut jelas disifatkan pelakunya oleh baginda s.a.w sebagai ‘ahli neraka’, dan ‘laknat Allah’, yang semuanya membawa maksud sebagai dosa besar.


3.       Fatwa bertentangan dengan Ijmak.

Haram emas yang berlingkar
Fatwa Syeikh Nasiruddin Al-bani mengharamkan emas yang berbentuk lingkaran kepada perempuan seperti gelang, cincin dan rantai walhal ijmak ulama sepakat akan keharusan emas kepada perempuan secara mutlak berdasarkan dalil yang sahih dan jelas.

Tidak wajib zakat perniagaan.
Begitu juga fatwa beliau tidak diwajib mengeluarkan zakat hasil daripada perniagaan, bertentangan apa yang dinukilkan daripada Ibnu Munzir bahawa zakat tersebut wajib disepakati oleh ulama.

Walaupun sebenarnya terdapat beberapa ulama silam yang tidak mengiktibarnya seperti Ibnu hazm, Syaukani dan juga Syiah Imamiyah, Dr Yusof Al-Qardhawi menyatakan rasa ganjil beliau terhadap fatwa tersebut ( albani ) yang berlaku di zaman moden dimana perniagaan adalah sumber kekayaan manusia dalam masa yang sama ramai ummat islam menderita kelaparan.


4.       Fatwa terbina atas Qias yang Batil

Qias riba kerajaan dan rakyat dengan bapa dan anak.
Fatwa diiharuskan riba antara kerajaan dan rakyat berdasarkan qias kepada hadith ( tiada riba antara anak dan ayah ). Walhal itu sebenarnya bukanlah hadith namun kaedah fiqh yang terbina atas hadith ( kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu ).

Menyamakan hubungan antara rakyat dan kerajaan dengan anak dan ayah adalah persamaan yang sangat jauh bahkan sebenarnya terbina atas helah untuk menghalalkan riba.

Fatwa Penyusuan untuk mengelak khalwat
Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Dr ‘Izzah Atiyyah, ketua jabatan Usuludin Universiti Al-Azhar yang cuba memberi penyelesaian bagi lelaki dan perempuan yang terpaksa berada dalam bilik yang sama sewaktu bekerja agar lelaki tersebut menyusu dengannya. Dengan demikian, lelaki tersebut akan menjadi anak susuan bagi perempuan sekaligus menghalalkan khalwat bahkan aurat antara mereka.

Fatwa tersebut terbina atas qias kepada kisah Salim maula Huzaifah yang merupakan anak angkat di zaman jahiliyyah, dibesarkan dalam keluarga angkatnnya hinggalah turun ayat yang melarang tabanni ( larangan menasabkan anak angkat ).

Melihat kepada kesukaran Salim yang tidak mempunyai orang lain melainkan keluarganya, maka Rasulullah s.aw. memberi penyelesaian agar disusukan Salim supaya menjadi anak susuan.
Qias terhadap masalah ini adalah batil kerana kisah Salim adalah satu-satunya pengecualian oleh baginda s.a.w. pada zaman tersebut.

Jika benar dakwaan Dr Atiyyah bagaimana ingin melaksanakannya kerana penyusuan disyaratkan kekenyangan. Bahkan penyelesaian yang dikemukan ini mengundang bahaya fitnah yang lebih besar.


5.    Bertentangan dengan Maqasid Syariah

Fatwa makan bawang diharuskan meninggalkan solat jumaat

Fatwa yang dipelopori golongan Ahbash ini berdasarkan hadith-hadith yang menyeru agar menjauhkan daripada jemaah solat jika makan bawang kerana boleh mengganggu jemaah yang lain.

Hadith ini sebenarnya bermaksud agar ummat islam menjauhkan diri daripada memakan apa sahaja yang berbau sebelum waktu solat bukannya sebagai helah mengelakkan diri daripada ke masjid.

Bahkan hadith tersebut merujuk kepada larangan ke solat berjamaah bukannya solat jumaat yang menjadi kewajipan kepada seluruh ummat islam.

Harus Melihat Gambar Lucah.
Begitu juga fatwa golongan Ahbash yang menyatakan tidak haram melihat gambar yang lucah atas dasar ia bukanlah perempuan yang sebenar namun adalah sekeping gambar!

Duit Kertas Bukan Duit Yang Sebenarnya.
Fatwa seterusnya daripada golongan yang sama ( Ahbash ) menganggap duit kertas pada zaman moden ini bukan duit atas alasan duit yang sebenarnya hanyalah dinar dan dirham. Maka, duit kertas ini tidak akan ada riba padanya begitu juga tidak diwajibkan zakat ke atasnya.

6. Kegagalan mendapatkann gambaran yang sebenar keadaan yang ingin difatwakan.


Kewajipan Meninggalkan Palestin.
Fatwa Sheikh Al-bani menyebut menjadi kewajipan bagi ummat islam Palestin berhijrah meninggalkan bumi tersebut. Ini terbina atas dasar hijrah ummat islam di Mekah setelah tidak mampu menegakkan syiar islam.

Hakikatnya, fatwa ini tidak terbina atas realiti memandangkan keadaan ummat islam di Mekah, mereka berada di negara yang kafir. Namun dalam isu Palestin mereka adalah penduduk asal kemudian diceroboh dan dijajahi oleh Zionis

Faedah Bank adalah halal.
Fatwa daripada bekas mufti Mesir, Sheikh Tantawi yang berpendapat harus faedah bank konvesional atas dasar ia adalah satu pelaburan yang diharuskan oleh islam sama seperti konsep mudharah.

Hakikatnya ia bukanlah mudharabah kerana bank menjadikan duit penyimpan sebagai pinjaman kepada orang yang memerlukan kemudian mengenakan riba yang tinggi ke atas mereka.

Harus Berdamai Dengan Zionis
Fatwa ini dicetuskan oleh sebahagian ulama Mesir dan juga bekas mufti Arab Saudi, Bin Baz setelah berlakunya perjanjian damai antara Israel dan Mesir serta Jprdan. Mereka menyandarkan fatwa ini berdasarkan keharusan genjatan senjata dalam islam dengan musuh jika wujudnya maslahat.

Namun hakikatnya, keadaan Zionis pada hari ini mustahil untuk mengaplikasikan pendapat tersebut kerana tindakan mereka yang menjajah serta merampas tanah ummat islam, menumpahkan darah mereka, merobohkan rumah, memenjarakan beribu-ribu rakyat Palestin dan sentiasa memungkiri penjanjian-perjanjian yang termeterai sebelum ini.

( Sambungan : Fatwa yang tidak dianggap ganjil )

Friday, January 13, 2012

Fatwa-Fatwa Ganjil ( Siri 1 )



Fatawa Syazah, saya kira antara buku terbaru karangan ulama terkenal Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi. Buku yang setebal 160 muka surat ini padat, ringkas dan cukup sesuai untuk dijadikan bacaan tambahan bagi pelajar aliran agama. Baru-baru ini, saya telah menjadikannya sabagai bahan diskusi untuk group fiqh di Café Ghazali. Mungkin boleh dikongsi untuk semua.

Permulaannya, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi menyifat fatwa ganjil ini berlaku apabila seseorang itu telah terkeluar daripada metodologi fatwa yang sebenar. Ia sangat kurang berlaku pada zaman silam, namun di zaman moden terdapat banyak fatwa yang disifatkan sebagai ganjil ini.
Fatwa ganjil pada zaman silam

1 .Fatwa Laith bin Laith.
Imam Laith telah mengeluarkan fatwa mewajibkan puasa dua bulan berturut-turut kepada seorang Raja yang melakukan persetubuhan di siang hari Ramadhan. Ia bertentang dengan fatwa Jumhur Ulama bahawa kafarah tersebut adalah berdasarkan urutan iaitu membebaskan hamba, jika tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu handaklah memberi makan kepada 60 fakir miskin. Mazhab Maliki pula berpendapat dibenarkan memilih antara mana-mana kafarah tadi.

Namun Imam Laith yang merupakan anak murid kepada Imam Malik ini berfatwa sebaliknya ( wajib berpuasa ) dengan hujjah sebagai satu pencegahan kepada Raja yang jika kafarahnya adalah membebaskan hamba, ataupun memberi makan kepada 60 fakir miskin ia mudah dilaksanakan dan kemungkinan akan mengulangi kembali perbuatan tersebut.

Tambah Al-Qardhawi, ia adalah hujjah yang batil bertentangan dengan Al-Quran atas dasar maslahat bahkan boleh membawa kepada mengubah nas mengikut keadaan.

2.Fatwa Ibnu Hazm
Membincangkan fatwa ganjil dikalangan ulama silam, tidak dapat tidak contoh fatwa Ibnu Hazm pasti disebut. Dek keganjilan fatwa beliau hingga ada ulama menyebut
من حزم أن يترك رأي إبن حزم ( menjadi kewajipan meniggalkan pendapat Ibnu Hazm )

Antara pendapat beliau:-

1.Jilatan Anjing
Hadith Nabi s.a.w menyebut "jika anjing menjilat bekas dikalangan kamu, hendaklah kamu membasuhnya dengan tujuh basuhan, basuhan pertama dengan air tanah". ( riwayat Muslim )

Ibnu Hazm menyatakan hukum basuhan tersebut hanya terhad pada jilatan anjing sahaja. Jika anjing itu makan dalam bekas, ataupun mandi di dalamnya tidak perlu dibasuh seperti hukum jilatannya, Begitu juga jika anjing menjilat selain daripada bekas seperti tangan manusia maka tidak diwajibkan basuhan dengan air tanah dan enam air biasa!

2.Air Kencing Dalam Bekas Bertakung.
Begitu juga dalam memahami hadith

“ Janganlah kamu membuang air kecil dalam bekas yang bertakung yang tidak mengalir ( janganlah ) kamu mandi didalamnya “

Ibnu Hazm mengkhususkan hanya kencing yang secara terus ke dalam bekas bertakung yang dilarang. Namun, jika kencing di luar kemudian air kencing itu mengalir masuk ke dalam bekas, maka ia tidak merosakkan air tersebut.

Lebih ta’ajub lagi, air tersebut hanya tidak boleh digunakan untuk berwuduk namun untuk minum dan lain-lain ia masih halal selagi mana tidak berubah sifat!

3.Najis Musyrikin

“ Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis” ( At-taubah : 28 )

Begitu juga dalam memahami ayat kenajisan kaum Musyrikin. Ibnu Hazm memahami najis tersebut adalah najis yang hakiki ( sebenar ), maka segala peluh, air liur dan air mata mereka adalah najis. Ini bertentangan dengan pendapat jumhur bahawa kenajisan yang dimaksudkan di sini adalah najis maknawi ( kiasan ) iaitu merujuk kepada akidah dan kepercayaan mereka.

Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:-
1.Keharusan berkahwin dan makan makanan serta sembelihan ahli kitab.
2.Rasulullah s.a.w pernah berwuduk dengan bekas seorang perempuan musyrikah..
3.Baginda s.a.w pernah mengikat Thamamah bin Athal sebagai tahanan di masjid ( beliau adalah kafir ).
4.Baginda s.a.w pernah memakan daging biri-biri yang dihadiah oleh Yahudi Khaibar.
5.Begitu juga membenarkan sahabat menggunakan periuk orang majusi.

Secara kesimpulannya pendapat Ibnu Hazm berbeza dengan jumhur adalah disebabkan method beliau sendiri yang hanya menghukum secara literal nas, menolak qias, menolak takwil serta mengabaikan maqasid syariah dalam memahami nas.

( sambungan : fatawa ganjil di zaman moden )